Salam,
Saya baru mendapat tahu yg sujud sahwi ini WAJIB dibuat.. tetapi disebabkan lalai kadang-kadang saya menghadapi kemurungan disebabkan
1) Terlupa membaca bacaan sujud semasa sujud sahwi... bolehkan saya sekadar toma'ninah saja, tanpa membaca apa-apa. Ini kerana tiada bacaan khusus yg disebut dari Rasulullah, hanya dikiaskan dengan sujud biasa sahaja.
2) Bagaimana sekiranya saya tidak baca apa2 semasa duduk antara 2 sujud semasa sujud sahwi? Saya baca yg Sheikh Uthmain menyebut sekadar Rabighfirlii.. ini bermakna ia sama dengan duduk antara dua sujud pada rakaat biasa.
Harap bantu saya.
WA.
wa'alaikumusalam
Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.
Hukum sujud sahwi ini khilaf dikalangan Mazhab.
Sujud sahwi adalah wajib mengikut pendapat yang sahih dari Mazhab Hanafi. Seseorang akan berdosa meninggalkannya, akan tetapi tidak membatalkan solat jika tidak melakukannya. Imam Ahmad mengatakan wajib bagi pengurangan dan penambahan.
Bagi Mazhab Maliki ia adalah sunat muakkad, samada bagi Imam ataupun yang bersolat sendirian. Imam Malik berpendapat bahawa ia menjadi wajib jika berlaku kekurangan, dan sunat jika berlaku penambahan.
Bagi Mazhab Syafie hukum sujud ini hanyalah sunat, baik bagi Imam atau bagi yang bersolat sendirian. Wajib hanyalah didalam keadaan solat berjemaah, dimana apabila Imam melakukan sujud sahwi, maka makmum wajib mengikut Imam walaupun dia masbuq. Solat makmum akan terbatal jika tidak turut serta sujud sahwi bersama Imam.
Menurut Mazhab Hanbali, sujud sahwi ini adakalanya wajib dan adakala sunat, Ia menjadi wajib apabila berlaku perbuatan yang boleh membatalkan solat denga sengaja disebabkan penambahan atau pengurangan dalam solat; seperti meninggalkan "perbuatan (fiil)". Begitu juga meninggalkan perkara wajib seperti tasbih semasa ruku' atau sujud.
Bagi Mazhab Hanbali sujud ini akan menjadi sunat, seperti terbaca tashahud semasa berdiri (qiam). Ia akan menjadi harus jika seseorang itu meninggalkan salah satu dari perkara sunat didalam solat [al-Fiqh al-Islami, 2/, Mausu'ah masaail al-Jumhuur fi al-Fiqh al-islami, 1/195].
Soalan 1 : Sah sujud sahwi jika tidak membaca apa-apa tasbih. Apa yang wajib ialah tama'ninah & kesempurnaan sujud.
Soalan 2 : Tidak membaca apa-apa diantara 2 sujud sahwi tidak merosakkannya. Syiekh Ibn Utsaimin ada menyebut bahawa bacaan tasbih sujud adalah sama seperti sujud biasa (Subhana Rabbiyal 'ala), dan bacaan semasa duduk adalah "Rabighfirli" [al-Sharh al-Mumthi' 'ala Zaadi al-Mustaqni', 1/646]. WA.
Sekian, wassalam
خيرالأمين