(Khatamun Nubuwwah) HATI HATI dengan apa yang nak digantung....

Primary tabs

Persoalan Khatamun Nubuwwah

Baru-baru ni ada jemaah masjid bertanya tentang 'khatamun nubuwwah' untuk digantung di rumah sebagai tawasul dengan Allah. Dia memberikan sehelai kertas yang tercatat sebuah hadis di samping gambar khatamun nubuwwah tersebut (lihat gambarnya di atas).  Persoalannya, betulkah hadis tersebut dan apakah benar bentuk khatamun nubuwwah yang ditunjukkan itu? Sebelum menjawab persoalan ini, didatangkan terlebih dahulu  isi kandungan yang tercatat dalam kertas tersebut iaitu:

Menurut mafhum hadis yang dipindahkan daripada Imam At Turmuzi Radhiyallahu 'anhu katanya :

"Barangsiapa menilek atau memandang kepada "Khatamun Nubuwwah" sedang ia berwudhu' pada waktu subuh, nescaya memelihara Allah akan dia hingga membawa ke petang. Dan barang siapa menilek kepadanya pada waktu maghrib terpelihara pula hingga ke pagi. Demikian juga barang siapa menilek kepadanya pada awal bulan nescaya memelihara Allah akan dia dari segala bala dan kecelakaan hingga akhir bulan itu.Selanjutnya barang siapa yang menileknya kepadanya sewaktu hendak berjalan (musafir) nescaya jadilah sepanjang perjalanannya itu barakah dan selamat dan barang siapa mati dalam tahun itu nescaya dimatikan Alllah dalam iman...".

Perbincangan

Apabila diteliti terhadap 'hadis' yang dibawa dan dinisbahkan pula kepada Imam al-Tirmizi, maka sewajarnya dirujuk maklumat tersebut dalam Sunan al-Tirmizi. Setelah disemak, didapati bahawa maklumat tersebut tidak terdapat dalam Sunan al-Tirmizi. Ini bermakna ia adalah suatu tohmahan atau tersilap menisbahkan kepada Imam al-Tirmizi.

Persoalan seterusnya ialah, dari manakah riwayat ini datang?

Sebenarnya riwayat ini  disandarkan kepada Al-Hakim At-Tirmizi berdasarkan perkataan Ibn Kathir dalam Al-Bidayah wan Nihayah: (Telah menyebut Al-Hafiz Abul Khatib ibn Dihyat Al-Misri dalam kitabnya At-Tanwir fi Maulid Al-Basyir An-Nazir daripada Abi Abdullah Muhammad ibn Ali ibn Husain ibn Bisyr yang terkenal dengan gelaran Al-Hakim At-Tirmizi bahawa beliau berkata: Adalah tanda kenabian yang berada antara dua belikat baginda S.A.W umpama telur burung (saiznya) yang tertulis di dalamnya “Allah yang esa” di luarnya “berhadaplah kemana kamu ingin kerana kamu pasti dibantu”)

Perlu diingat bahawa Imam  al-Tirmizi  bukannya al-Hakim al-Tirmizi, kedua-duanya adalah orang yang berbeza. Imam al-Tirmizi ialah pengarang kitab hadis tersohor iaitu Sunan al-Tirmizi , sebaliknya Hakim al-Tirmizi ialah seorang ulamak sufi.

Berbalik kepada hadis yang dibawakan oleh al-Hakim al-Tirmizi di atas, para ulama hadis  menyatakan bahawa darjat hadis tersebut adalah Bathil, Gharib, Munkar, dan Ibn Hajar Al-Asqalani mengatakan ianya tidak sabit daripada Rasulullah S.A.W

Kesimpulannya, hadis tersebut tidak boleh dipakai dan tidak boleh  diterima kerana ianya tidak sabit daripada Rasulullah S.A.W.
Manakala hadis sahih yang datang pada menyifatkan khatamun nubuwwah yang terdapat pada nabi hanya menyatakan bentuk dan rupa. Tidak ada hadis yang menceritakan tulisan yang tertulis padanya. Segala riwayat yang mencerikatan tulisan yang terdapat padanya adalah tidak sabit daripada Nabi S.A.W.

Al-Hafiz Al-Haithami berkata: Sebahagian perawi telah  tersilap  antara tanda kerasulan (khatam nubuwwah) dengan cop yang digunakan Rasulullah untuk surat-menyurat yang digunakan oleh nabi. Hal ini kerana cop tersebut tertulis “Muhammad Rasulullah”.