Satu syarahan umum yang disampaikan oleh Sheikh Dr `Abdur Rahman Ibn `Abdul Aziz as-Sudais telah diadakan pada 20/4/2011. Ia telah dianjurkan oleh International Insititute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia dan diadakan di dewan IAIS.
Syarahan umum tersebut telah bermula pada jam 12.30 tengahari dengan disampaikan oleh Sheikh as-Sudais dalam bahasa Arab, dan diterjemahkan oleh Profesor Ibrahim Zein sebagai moderator majlis tersebut. Tajuk syarahan yang diberi oleh pihak penganjur ialah: “The Future of Islamic Civilisation (al-Hadarah al-Islamiyyah) in the 21st Century”.
Ciri-ciri Tamadun Islami
Dalam menghuraikan tajuk yang diberi, Sheikh as-Sudais telah menyenaraikan dan menghuraikan beberapa ciri yang mesti dipenuhi untuk memastikan masa depan Tamadun Islami berjaya. Berikut adalah beberapa mesej yang sempat saya salin dari ucapan beliau:
- Tamadun Islami mestilah didasarkan oleh aqidah yang betul sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan golongan terdahulu selepas Baginda, iaitu golongan salaf. Tanpa aqidah yang betul, tamadun Islami yang ingin dibangunkan tidak akan berjaya.
- Ia mestilah dibangunkan di atas prinsip-prinsip moral dan etika yang betul berlandaskan apa yang telah ISLAM gariskan.
- Cara membangunkan Tamadun Islami mestilah merujuk kepada cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam membangunkan masyarakat dan negara Islam. Tiada rujukan yang lebih baik, kerana pada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam itu adalah ikutan yang terbaik.
- Ia didasarkan kepada menjaga maruah manusia.
- Tidak boleh lari dari melindungi 5 kepentingan seperti yang dinyatakan di dalam maqasid syariah yang biasa kita dengar, iaitu:
- Melindungi agama
- Melindungi nyawa dan diri manusia
- Melindungi akal
- Melindungi kehormatan dan maruah diri
- Melindungi harta
- Maqasid Syariah di atas bukan sahaja melindungi kepentingan si Muslim, tetapi juga melindungi si non-Muslim. Ia melindungi kepentingan semua.
- Tidak seperti tamadun lain yang biasanya hanya menumpukan salah satu, iaitu samada aspek rohani atau material. Tamadun Islami menumpukan kepada kedua-dua aspek iaitu rohani dan juga material. Adalah anggapan yang salah sekiranya seseorang menganggap ISLAM hanya menumpukan aspek rohani sahaja.
- Setiap lelaki dan perempuan diberikan taklif yang sama iaitu menanggung amanah dan bertanggungjawab terhadapnya. Namun, lelaki dan perempuan mempunyai peranan masing-masing dan mesti memainkan peranan itu dengan sedaya mungkin.
- Walaupun di dunia ini mempunyai bangsa yang berbeza, namun tumpuan hendaklah ditumpukan kepada nilai kemanusiaan dan tidak boleh dilayan manusia itu berdasarkan kaum dan bangsa yang berbeza. Pada zaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, walaupun para sahabah berbeza bangsa dan keturunan, hatta ada yang datang dari negara yang lain pun diberi layanan yang sama rata, malah memegang peranan yang penting mengikut kepakaran masing-masing.
- Tamadun Islami yang hendak dibina mestilah berdasarkan kepada ilmu.
- Tamadun tersebut mestilah membawa kebaikan kepada seluruh manusia dan penghuni dunia.
- Tamadun yang berjaya adalah tamadun yang menghargai nilai keintelektualan.
- Semua kebaikan itu bukan sahaja untuk Muslim sahaja, malah juga kepada yang bukan Muslim.
- Prinsip keadilan mesti dijadikan asas kepada Tamadun Islami.
- Kebebasan juga merupakan unsur yang penting di dalam Tamadun Islami. Kebebasan yang dimaksudkan adalah kebebasan yang masih di dalam lingkungan syara`. Kebebasan tidak sama dengan anarki. Sistem Anarki bermaksud sistem kebebasan tanpa peraturan, tanpa undang-undang dan tanpa pemerintahan. Bukan itu maksud kebebasan di dalam ISLAM. Anarkisme tidak diterima di dalam ISLAM.
- Sheikh Sudais juga telah menekankan prinsip washatiyyah iaitu kesederhanaan. Sifat melampau samada terlalu ketat atau terlalu longgar dalam mengamalkan ISLAM tidak patut dibiarkan berlaku. Kerana ia boleh membawa kesan yang buruk dan boleh memberikan maksud yang tidak baik kepada agama ISLAM dan keseluruhan manusia.
- Hendaklah Tamadun Islami yang dibina itu mempunyai sifat tasamuh iaitu toleransi sesama manusia. Lihat sahaja bagaimana kisah pembukaan Mekkah oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam, pembukaan beberapa negara oleh Umar ra, pembukaan Palestin oleh Salahuddin al-Ayubi dan pembukaan Istanbul oleh Muhammad al-Fateh. Mereka tidak berdendam, malah bertoleransi dan memberi maaf kepada musuh-musuh ummat ISLAM.
- Tamadun Islami juga mestilah didasarkan dengan nilai-nilai keamanan dan kesejahteraan manusia. ALLAH subhanahu wa Ta`ala tidak suka orang-orang yang berbuat kerosakan!
- Semua nilai-nilai di atas hanya boleh dibina dengan mempunyai kekuatan dalaman yang tinggi iaitu Iman. Tanpa Iman, sukar untuk ia dicapai.
Cabaran Ummat ISLAM
Ada 2 cabaran besar yang dihadapi oleh ummat ISLAM dalam usaha untuk merealisasikan Tamadun Islami. Pertama ialah cabaran dalaman, iaitu cabaran yang ditimbulkan oleh ummat ISLAM sendiri. Dan yang kedua ialah cabaran luaran, iaitu cabaran yang ditimbulkan oleh pihak yang bukan dari kalangan ummat ISLAM dan suasana persekitaran. Berikut adalah beberapa senarai cabaran yang disebut beliau:
Cabaran dalaman:
- Ummat ISLAM tidak mengambil Islam sebagai sistem hidup.
- Ramai ummat ISLAM mempunyai salah faham terhadap ajaran ISLAM itu sendiri.
- Ramai salah aplikasi ajaran ISLAM.
- Hasil daripada salah faham dan salah aplikasi ini maka wujudlah fitnah terhadap ISLAM. Ummat ISLAM mesti ambil peranan untuk memberikan penjelasan kepada ummat ISLAM sendiri dan juga kepada yang bukan ISLAM.
- Tidak bersatu.
- Hendak bersatu mestilah masing-masing merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah dan fahami betul-betul ajaran dan maksud ajaran di dalamnya.
- Jangan mudah melabel orang lain. Jangan menuduh orang lain kafir, sesat, fasiq dan lain-lain gelaran tanpa haq.
- Jika ada perbezaan pendapat dan pegangan, jangan bergaduh. Utamakanlah kesatuan ummah. Kesatuan ummah itu mesti menjadi agenda penting. Perbezaan di antara muslim dengan muslim tidak sepatutnya menjadi punca perpecahan.
- Sikap suka menyalahkan orang lain. Jangan mudah menyalahkan unsur luar seperti negara barat atau pihak-pihak tertentu. Ummat ISLAM mestilah melihat kepada kesilapan dan kelemahan diri sendiri. Dan berusaha ke arah memperbetulkannya.
Cabaran luaran:
- Syahwat dan syubuhat.
- Manipulasi orang lain, terutama Barat dan lain-lain tamadun.
- Globalisasi adalah ancaman yang sangat merisaukan.
- Internet dan media
Walaupun Sheikh as-Sudais menyenaraikan beberapa cabaran dan unsur luaran yang boleh menggugat ummat ISLAM, namun beliau tetap menegaskan bahawa kita sebagai ummat ISLAM jangan terlalu tumpukan sangat kepada unsur luaran dan menyalahkannya. Kerana apa yang lebih penting ialah melihat ke dalam diri kita sendiri. Dan cuba untuk memperbaiki kesemua kelemahan itu…
Di akhir syarahan, Sheikh as-Sudais menekankan bahawa masa depan dunia adalah dengan ISLAM. Dan ini pasti berlaku kerana ia telah difirman ALLAH & disabdakan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Beliau memetik ayat al-Quran dan hadith yang menjanjikan hal ini, namun atas kedhaifan saya, saya tidak dapat memetik ayat al-Quran dan hadith yang beliau nyatakan.
Itulah antara perkara penting yang disentuh oleh as-Sheikh. Sebenarnya mungkin banyak lagi yang disentuh oleh beliau, tetapi saya tidak mampu menyalinnya dengan sempurna. La haula wa la quwwata illa biLLAH.
Bahasa yang digunakan oleh Sheikh as-Sudais memang sedap didengar. Disebut satu-satu perkataannya dan penuh makna, juga sarat dengan ayat-ayat dari al-Quran dan al-Hadith. Penuh dengan mesej. Profesor Ibrahim Zein yang menterjemahkan syarahan beliau, dengan merendah diri mengakui beliau tidak mampu menterjemahkan semua bahasa Arab yang digunakan oleh Sheikh as-Sudais ke dalam bahasa Inggeris kerana bahasa yang digunakan oleh Sheikh penuh dengan retorik dan makna yang mendalam.
Apa yang saya perhati, yang menariknya tentang Sheikh as-Sudais ini, beliau kadang-kadang bergurau dan berjenaka dengan moderator majlis. Dan selang beberapa sesi, beliau akan berhenti untuk bertanya dengan para hadirin. Beliau mengajukan beberapa soalan untuk dijawab oleh hadirin untuk menguji kefahaman hadirin. Dalam sesi syarahan yang berlangsung 1 jam 30 minit itu, beliau telah berhenti sebanyak 3 kali untuk berinteraksi dengan hadirin. Dan alhamdulillah, hadirin juga dengan sangat teruja menjawab soalan-soalan beliau. Sesi soal-jawab tidak dapat dilakukan dengan sempurna disebabkan oleh kesuntukan masa.
Mudah-mudahan catitan ini ada manfaatnya buat diri saya dan buat kalian yang mungkin terbacanya. Semoga kita semua berupaya untuk mengambil iktibar dan berubah berdasarkan beberapa mesej yang tercatit di atas. La haula wa la quwwata illa biLLAH…
WAllahu Ta`ala A`lam.
SUMBER: http://muzir.wordpress.com/2011/04/21/masa-depan-tamadun-islam-oleh-sheikh-as-sudais/