Dari beberapa kitab sirah, saya memilih kitab Nurul Yaqin Fi Sirah Saiyidil Mursalin karangan al-marhum al-Khudari Bek, kerana dalam periwayatan ia berpegang dengan al-Quran dan al-Hadis, popularitinya di kalangan orang awam dan orang khawas..
Sumber Rujukan Islam Anda..
Ringkasan Sirah Nabi s.a.w. vol 1
-
-
Baginda s.a.w. merupakan utusan Allah kepada seluruh manusia, yang terakhir dari kalangan para nabi dan imam para rasul. Baginda s.a.w. datang dengan membawa agama Islam, di mana pada hari kiamat Allah tidak akan menerima agama selain Islam.
-
Ayahnya: Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdi Manaf bin Qushai bin Kilab. Ibunya: Aminah binti Wahab bin Abdi Manaf bin Zuhrah bin Kilab. Keturunan ibu dan ayahnya bercantum pada datuknya yang kelima, iaitu Kilab.
-
Baginda s.a.w. dilahirkan di Mekah pada hari Isnin, 12 Rabi’ul Awal, Tahun Tajah. Tahun kelahiran baginda s.a.w. dinamakan dengan nama Tahun Gajah kerana raja Habsyah pada tahun kelahiran baginda s.a.w. telah mengirim tentera ke Mekah untuk meruntuhkan Ka’bah. Terdapat seekor gajah besar di dalam tentera ini. Kemudian Allah Taala memusnahkan tenteraini kerana memuliakan kelahiran baginda s.a.w.
-
Ibu baginda s.a.w. meninggal dunia ketiga baginda s.a.w. berusia 6 tahun, ketika ibunya pulang dari Madinah. Ibunya pergi ke Madinah bersama datuknya Abdul Mutalib untuk menziarahi kubur ayahnya.
-
Selepas kematian ibunya, datuknya Abdul Mutalib telah mengambil alih mendidiknya. Beliau sangat menyayangi baginda s.a.w. melebihi anak-anaknya sendiri. Ketika baginda s.a.w. berusia 8 tahun, datuknya telah meninggal dunia, iaitu selepas 2 tahun beliau menanggung baginda s.a.w.
-
Baginda s.a.w. sejak kecil berkerja sebagai penggembala kambing untuk penduduk Mekah dengan upah yang akan digunakan untuk menyara hidupnya. Ketika baginda s.a.w. berusia 9 tahun, baginda s.a.w. telah bermusafir ke Syam bersama bapa saudaranya Abu Talib dengan barang dagangan.
-
Ketika berusia 25 tahun baginda s.a.w. telah bermusafir kali kedua ke Syam untuk menguruskan perniagaan saidah Khadijah. Beliau merupakan wanita mulia dan berharta. Beliau mengupah orang untuk menguruskan hartanya. Beliau telah memilih baginda s.a.w. untuk tugas ini kerana beliau mendengar tentang sifat benar, amanah dan akhlaknya yang mulia.
-
Selepas baginda s.a.w. kembali dari permusafirannya yang kedua, baginda s.a.w. telah berkahwin dengan saiyidah Khadijah. Beliaulah yang meminang baginda s.a.w. Saiyidah Khadijah ketika itu berusia 40 tahun dan umur baginda s.a.w. 25 tahun. Sebelumnya, saiyidah Khadijah pernah berkahwin dengan Abu Halah. Suaminya meninggal dunia dengan meninggalkan seorang anak lelaki bernama Halah.
-
Ketika baginda s.a.w. berusia 35 tahun, kaum Quraisy telah meruntuhkan Ka’bah dan memperbaharui pembinaannya. Baginda s.a.w. turut bersama mereka membinanya. Baginda s.a.w. mengangkat batu-batu bersama para pembesar Quraisy. Turut bersamanya ialah bapa saudaranya al-Abbas.