Oleh: Ustaz Adlan Abd Aziz @ alitantawi
Bagi yang pernah membaca biodata dan kisah hidup para ulama hadith silam (seperti Imam al-Bukhari, Imam Ahmad dan lain-lain) pasti akan dapat melihat dengan jelas bagaimana para ulama hadith pada zaman itu dan sebelumnya malah selepasnya - begitu hebat dalam pengembaraan mencari ilmu.
Melihat kepada jarak, tempoh masa bertahun-tahun, kesusahan, kepayahan, harta dan tenaga yang mereka habiskan - kita hanya mampu menggelengkan kepala seakan tidak percaya bagaimana mereka mampu mengharunginya?
Terdapat pelbagai ungkapan dan kata-kata indah para ulama hadith dalam menggambarkan kehebatan pengembaraan menuntut dan mempelajari hadith, namun ada dua ungkapan yang sentiasa terngiang di minda saya sejak saya pertama kali membacanya bertahun yang lalu, iaitu kata-kata dua orang muhaddith terkemuka -
Sa'id Bin al-Musayyab (wafat 94H) dan Makhul al-Dimasyqi (wafat 112H)
1- Sa'id pernah menuturkan:
"Aku pernah merantau beberapa hari dan beberapa malam untuk mencari SATU hadith".
2- Makhul pula pernah berkata:
"Aku telah tawaf mengelilingi DUNIA untuk menuntut ilmu."
[Rujukan: Al-Rihlah Fi Talabi al-Hadith - al-Khatib al-Baghdadi]
* Hayatilah kesungguhan Sa'id Bin al-Musayyab sehingga beliau mengambil masa beberapa hari hanya untuk mencari SATU hadith! Sa'id Bin al-Musayyab merupakan ulama yang menghafaz dan menulis beratus ribu hadith, bayangkan tempoh masa dan kepayahan serta kesabaran beliau mencari hadith sehingga terkadang SATU hadith boleh memakan masa berhari-hari lamanya!
* Perhatikan dan renungkan perkataan 'DUNIA' yang diungkapkan oleh Makhul. Seakan kita merasai bagaimana Makhul bukannya bergurau, tetapi beliau sebenarnya tidak menemui perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan begitu luasnya dan jauhnya pengembaraan beliau melainkan hanya satu kalimah, hanya satu perkataan - DUNIA....seluas dunia!
- Berdoa dan berharaplah serta berusahalah untuk mencapai walau secebis kesabaran, kesungguhan dan kekuatan ulama hadith silam seumpama Makhul dan Sa'id.....pasti ia akan mengubah hidup kita selama-lamanya!! [pemudaiman]