“Kita menyeru tafsiran baru terhadap al-Qur’an” – Dr Jasser Auda

Primary tabs

Diterjemahkan oleh: Dr Ahmad Nabil Amir | Abduh Study Group, IRF

Sebuah pusat penyelidikan di Qatar berusaha memberi fokus dan penumpuan yang lebih terhadap dimensi etika dalam Islam. Pengasas pusat tersebut dan pengarahnya, Tariq Ramadan, menyeru ke arah pentafsiran baru al-Qur’an untuk melonjakkan kefahaman Islam kontemporer berkait isu etika alam sekitar dan gender. Christoph Dreyer bercakap dengan timbalan pengarah pusat, Jasser Auda.

Awal tahun ini, Pusat Penyelidikan bagi Perundangan dan Etika Islam, di mana anda adalah timbalan pengarah, mula menjalankan mandatnya di bawah Fakulti Pengajian Islam Yayasan Qatar. Mengapa diperlukan sebuah pusat sepertinya?

Jasser Auda:  Ide di sebalik pembikinannya adalah gagasan pembaharuan. Undang-undang Islam dan etika Islam memerlukan pembaharuan dari kedua-dua sudut: dari sudut undang-undang Islam, dimensi etika tidak ditekankan dengan cukup. Dan falsafah etika dalam Islam terlalu abstrak dan tidak memadai untuk diterap dan diaplikasi menjadi undang-undang, kerana perkataan “undang-undang” dalam Islam lebih bermaksud sebagai suatu kod etika daripada sistem perundangan dalam pengertian moden.

Ketika anda menekankan dimensi etika dalam Islam dengan begitu terarah, apakah sebenarnya yang anda cuba jarakkan diri darinya?  

Auda: Kita membedakan antara melihat kerangka perundangan Islam dalam kefahaman harfiah dan pengertian maksud, atau maqasid dalam bahasa Arab. Kami fikir sebaik kita melihat kepada maqasid berbanding harfiah dalam syari’at Islam, kita memberikan undang-undang Islam dinamisme yang diperlukan untuk berdepan dengan cabaran semasa dan untuk memenuhi harapan umat Islam dan bukan Islam dalam dunia hari ini.   

Apakah peranan yang dimainkan oleh konsep ijtihad dalam ide pembaharuan ini?

Auda: Hal inilah sebenarnya yang kita cuba lakukan. Ijtihad kontemporer tidak boleh menjadi ijtihad hanya berteras kepada kitab sahaja, ia harus bersandar kepada kitab dan realiti manusia – berpijak kepada teks dan juga konteks. Kita mengenengahkan dimensi konteks dalam ijtihad supaya ia tidak sekadar melibatkan teks dan interpretasi linguistik, tetapi lebih dari itu, berdasarkan disiplin sains yang berlainan – sains sosial, sains tulen – yang mencerahkan kefahamn kita. Demikian ini bukan suatu yang baru, tetapi kita cuba mendefinisikannya semula dalam kefahaman semasa.   

Apakah kemungkinan pendekatan anda dalam rangka praktis?

Auda: Sebagai contoh, cara kebanyakan Islamis mendekati politik adalah dengan mengambil pengertian harfiah, sama ada huruf dari sumber kitab atau kadang kala huruf dalam sejarah. Mereka fikir dalam rangka mendaulatkan khilafah seperti dibangunkan di zaman Nabi Muhammad. Tetapi jika kita lihat makna khilafah, maka ia adalah – sepertimana yang ditegaskan ulama’ klasik – negara yang berpaut pada keadilan.

Jadi sekiranya kita lihat tujuan penubuhan “negara Islam”, iaitu mencapai keadilan, maka ia dapat mengambil bentuk negara moden di mana setiap institusi memainkan peranan dan di mana kuasa dipisahkan dan sebagainya. Tetapi sekiranya kita mengambil perkara ini secara literal dan cuba membina negara yang hampir sama dengan negara Islam yang wujud 1,000 tahun yang lampau, maka kita akan tergelincir daripada keadilan dan kebebasan dan akan tersasar daripada beberapa isu yang sebenarnya merupakan isu dasar dalam Islam.Prinsip yang sama terpakai untuk isu yang lain, seperti wanita dan hak asasi manusia. Sekiranya kita menfokuskan kepada pesan al-Qur’an tentang belas kasihan dan cinta dan seterusnya, maka kita akan mampu untuk menangani isu-isu kontemporari dengan kaedah yang lebih baik. Demikian itu ternyata benar terutamanya dalam bidang politik dan kewanitaan dalam Islam atau lingkungan umum tentang hak asasi, dan ini adalah dua lapangan yang kami fikir penting dalam perdebatan mutakhir tentang pembaharuan.

Mengapa dua lapangan ini secara khusus?

Auda: Daerah politik dan wanita dalam Islam padat dengan konstruksi sejarah yang tidak semestinya sejajar dengan etika Islam. Contohnya, al-Qur’an mempotretkan pernikahan antara lelaki dan wanita sebagai sesuatu yang berlandaskan cinta dan belas kasihan. Hal ini bukan hakikat yang anda temui dalam fatwa-fatwa sejak era klasik yang menggambarkan  pernikahan sebagai suatu kontrak – dan terdapat semua jenis syarat yang disandarkan dalam kontrak tersebut, sebahagiannya adil dan sebahagian tidak. Sekiranya anda menarik intipati daripada pesan al-Qur’an, anda boleh memperbaharui kontrak ini dan norma sosial ini untuk menjadikannya lebih saksama, dan untuk memberikan wanita peranan yang lebih besar dalam keluarga dan untuk menjaga kebajikan anak-anak.

Tentunya kita tidak mengatakan al-Qur’an tidak adil, tetapi al-Qur’an ditafsirkan dengan cara yang tidak adil, dan kita menuntut suatu tafsiran baru, atau pembaharuan dalam pentafsiran, dalam rangka untuk membangunkan diskusi Islam tentang etika pada hari ini. Kami fikir ini adalah intisari yang asas dalam Islam.
 
Salah satu daripada seminar pertama yang diterajui pusat anda adalah berkaitan etika alam sekitar. Apakah pandangan etika Islam tentang hal tersebut?

Auda: Sekiranya anda membaca Islam dalam pengertian harfiah, anda tidak akan temui dalil dari sumber kitab yang dapat membantu menyelesaikan masalah persekitaran. Tetapi terdapat perbezaan jika anda membaca Islam dalam rangka nilai dan etikanya – nilai kesetaraan, kebersihan, kesucian, penekanan pada kesucian sumber air dan galakan dalam tradisi Islam terhadap kehijauan dan kesihatan. Sekiranya kita mengambil nilai ini dan mengaktifkannya, saya yakin kita akan berupaya mencadangkan beberapa polisi yang baik.

Baru-baru ini anda menerbitkan buku tentang Shari’ah dan Politik dalam pasca-revolusi negara-negara Arab. Apakah mesej anda menyentuh tentang situasi mereka?

Auda: Persoalan tentang pelaksanaan Shari’ah tampil di muka depan di negara-negara seperti Mesir, Tunisia atau Libya. Persoalan pertama pada tahap ini adalah: apa yang kita maksudkan dengan Shari’ah? Adakah kita maksudkan sejarah perundangan Islam atau kita maksudkan nilai dan matlamat Shari’ah? Jika kita maksudkan nilai dan matlamat dan falsafah syari’ah, maka kita bercakap tentang keadilan dan kebebasan dan apa yang kita sebut dalam bahasa Shari’ah sebagai pemeliharaan jiwa dan fikiran, intelek, keturunan dan kekayaan dan semua nilai yang berhubung dengan kebajikan masyarakat. Jadi jika kita mendefinisikan Shari’ah dengan cara ini, maka kita akan berupaya mendekati perundangan baru dan perlembagaan baru yang dirangka manusia untuk negara mereka berlandaskan tuntutan Islam dalam makna tersebut.

Pertanyaan lain melibatkan kedudukan minoriti bukan Islam dalam wilayah tertentu di dunia ini. Saya tidak ingin melihat aplikasi syari’ah berkompromi tentang hak mereka, tetapi ketentuan berbeza antara agama-agama, terutama dalam daerah undang-undang keluarga.   

Kerana itu, saya menggariskan beberapa lingkungan, lingkungan awam, di mana semua orang harus dipandang setara dan tidak seorang harus didiskriminasi atau dibezakan kerana latar belakang agamanya, dan lingkungan peribadi, di mana rakyat kadang-kala memilih untuk dilayan secara berbeza kerana agama mereka.

Sejauh mana anda akan menegakkan hujah seperti ini? Sebagai contoh, patutkah anda katakan bahawa presiden, dalam negara seperti Mesir, harus di kalangan Muslim.   

Auda: Dari sudut pandangan Islam, saya tidak melihat sebarang masalah untuk mengizinkan sesiapa – termasuk bukan Muslim lelaki atau wanita – untuk bertanding merebut kerusi presiden. Banyak pandangan dalam warisan Islam tidak membenarkan itu. Bagaimanapun, pandangan-pandangan ini tidak merujuk kepada presiden sebuah republik, mereka memperkatakan tentang sebuah khaleefah. Tetapi presiden Libya atau Syria atau Mesir bukan khaleefah, dan mereka tidak akan mengklaim status tersebut.

Kita mempunyai negara bangsa, dan negara bangsa mempunyai seorang presiden berteraskan asas negara bangsa ini, iaitu kesamaan hak seluruh rakyat. Sejauh negara didefinisikan, presiden tidak akan merubah watak dan sifat negara. Untuk bercakap secara realistik, adakah rakyat Mesir akan memilih presiden dari kaum Koptik? Ia hampir mustahil. Sepertimana mustahilnya rakyat German akan memilih Canselor Muslim atau rakyat Amerika memilih Presiden Muslim atau Buddha.

Tetapi nanti gerombolan Islamis akan membawa definisi mereka yang tersendiri tentang negara Islam. Jadi siapa yang akan memutuskan sama ada sesuatu pemerintahan dapat atau tidak dipertaruhkan sebagai “negara Islam”?

Auda: Saya fikir adalah penting untuk mempunyai negara Islam dalam pertimbangan keadilan dan kebebasan dan keserataan kepada semua. Anda mahu menggelar ini sebagai Islamik, atau demokratik, atau moden – nama tidak mustahak; tetapi nilai yang penting. Dalam wilayah dunia ini, nilai kesamaan dan keadilan dilihat melalui kefahaman tentang Islam; anda juga dapat menggelarnya “Negara Islam”.  

Itulah mengapa penyelidikan ini penting: kerana gerombolan Islamis tetap menuntut negara Islam. Jadi jika kita mendefinisikannya untuk mereka dengan cara yang sejajar dengan hak kemanusiaan, hak sivil dan semuanya itu, maka semua orang akan menang. Sebenarnya, revolusi tidak berlaku kerana alasan Islam. Revolusi bermaksud untuk membawa keadilan sosial dan sebagainya. Apabila rakyat memilih kalangan Islamis, mereka dipilih dengan kefahaman bahawa mereka akan membawa keadilan sosial. Sekiranya mereka tidak dapat membawanya, saya yakin mereka akan tersingkir dalam pilihanraya akan datang.

Pusat Perundangan dan Etika Islam
Interview diselenggara oleh Christoph Dreyer
© Qantara.de 2012


Jasser Auda adalah timbalan pengarah Pusat Perundangan dan Etika Islam di Yayasan Qatar, Doha. Beliau adalah jawatankuasa pengasas dan ahli lembaga eksekutif International Union of Muslim Scholars (Kesatuan Antarabangsa Ulama’ Islam) dan telah mengajar syari’ah Islam, terutama sudut maqasidnya, di pelbagai institusi akademik di seluruh dunia. Beliau telah menulis dan menerbitkan banyak artikel dan sejumlah buku dalam bahasa Arab dan Inggeris, paling terbaru Between Sharia and Politics: Questions in the Post-Revolutions Era. (Antara Shari’ah dan Politik: Persoalan dalam Era Pasca-Revolusi)

Editor: Aingeal Flanagan/Qantara.de