Adab Penuntut Ilmu Hadis (Dan Untuk Para Penuntut Ilmu Umumnya)
Petikan: Mabahith Fi al-Hadith al-Syarif Prof Dr Ahmad Umar Hasyim (Buku teks STAM)
Terjemahan: zain-ys | Tarikh: 15/04/2012
Para ulama Hadis dengan tekun telah menghimpunkan sebahagian adab-adab yang menurut pandangan mereka perlu ada pada setiap penuntut ilmu. Ini kerana peri penting dan mulianya ilmu Hadis ini. Apa tidaknya, kerana dengan ilmu yang penting inilah kita semua dapat mengetahui mana-mana yang mujmal (umum) di dalam al-Quran. Dari al-Quran dan al-Sunnahlah digali segala hukum-hakam Syariah yang ditetapkan.
Adab-adab ini sebenarnya merupakan adab penting yang mesti ada pada setiap penuntut ilmu secara umumnya.
1. Ikhlas niat hanya untuk Allah Taala: Penuntut ilmu Hadis hendaklah ikhlas kerana Allah Taala, bukan untuk habuan keduniaan, bukan juga untuk menunjuk-nunjuk di kalangan manusia.
2. Penuntut ilmu hendaklah mengembara jika usaha itu diperlukan. Hendaklah dia bersungguh-sungguh bersegera mendengar ‘Isnad Aali’ (sanad yang tinggi) di negerinya. Setelah selesai di negerinya, dia perlu pergi ke negeri yang berhampiran. Dan begitulah seterusnya.
Ibrahim bin Adham berkata rhm:
“Sesungguhnya Allah menolak bala’ daripada umat ini dengan rehlah (pengembaraan) ahli Hadis.[i]”
3. Penuntut ilmu hendaklah mengamalkan apa yang diketahuinya. Sesiapa yang beramal dengan apa yang diketahuinya nescaya Allah akan mewariskannya dengan ilmu yang tidak diketahuinya.
Hendaklah dia mempraktikkan semampu mungkin dari fadha’il a’mal (kelebihan beramal) yang terdapat di dalam Hadis.
4. Hendaklah dia mempunyai hubungan yang baik dengan syeikhnya atau ustaznya. Mereka hendaklah dihormati serta tidak terlalu lama mendengar dari mereka sehingga menyebabkan kebosanan.
5. Penuntut ilmu hendaklah berusaha bersungguh-sungguh memberi manfaat kepada orang lain dalam usaha menyebar dan mengajarkan ilmu. Dia tidak boleh menyembunyikan ilmunya, kerana terdapat Hadis:
“Barangsiapa yang mengetahui satu ilmu, kemudian dia menyembunyikannya, maka dia akan dikenakan oleh Allah kekang dengan kekang api neraka, pada hari kiamat.[ii]”
6. Para penuntut ilmu hendaklah mengambil manfaat dari setiap orang yang dilihatnya dapat diambil manfaat dan ilmunya, tidak kira samada mereka itu lebih tua atau sebaya atau lebih muda darinya. Hendaklah dia ambil ilmu, meriwayatkan dan mencatat dari mereka itu. Waki’ telah berkata:
“Tidak akan menjadi pandai seorang lelaki sehingga dia mencatat dari mereka yang di atasnya, yang setara dengannya dan yang di bawahnya.[iii]”
7. Penuntut ilmu hendaklah bersungguh-sungguh di dalam memahami apa yang didengari, dibaca dan dicatatnya. Dia nanti tidaklah semata-mata mendengar dan mencatat sahaja sehingga tidaklah dia melakukan sesuatu yang tidak berfaedah.