[Fokus] Memahami Hukuman Bagi Kesalahan Meminum Arak - Implikasi Isu Kartika Sari

Primary tabs

Oleh zain-ys

Kartika Sari Dewi Shukarno ditangkap kerana minum arak. Beliau didapati bersalah dan dihukum dengan 6 sebatan. Kalau dilaksanakan, ini merupakan kali pertama wanita disebat di negara ini. Jadi, seperti biasa, ada pihak-pihak yang mempertikaikan hukuman sebat ini. Dan ada pihak yang mempertahankannya. Dengan kekecohan ini, hukuman ke atas Kartika Sari tertangguh-tangguh. Kartika Sari sendiri yang patuh dan rela dengan hukuman berkenaan menjadi bingung, sila jalankan hukuman ke atas saya. Dan bila?

Ketika kecoh isu Kartika Sari yang tertangguh-tangguh hukumannya, tiga orang wanita Islam disebat kerana kes zina. Mereka menjadi wanita pertama disebat atas kesalahan syariah.

Isu Kartikasari membuatkan ramai yang tertanya-tanya, bagaimana sebenarnya hukuman peminum arak di dalam Islam? Kalau hukumannya adalah sebatan, bagaimana ia dilaksanakan? Apakah seperti sebatan sivil? Dan dengan apa? Rotan? Cemeti?

al-ahkam.net akan cuba membawa anda menelusuri semua itu secara mudah dan ringkas..

Video:


Tiga pesalah syariah wanita jalani hukuman sebat buat pertama kali

PUTRAJAYA: Buat pertama kali, tiga wanita yang melakukan kesalahan jenayah syariah menjalani hukuman sebat pada 9 Februari lalu di Penjara Wanita Kajang, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sambil merujuk kepada hukuman sebatan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang belum pun dilaksanakan, beliau berkata kes itu sengaja digembar-gemburkan kerana jelas dari segi pelaksanaan hukuman sebat itu menunjukkan pesalah tidak mengalami kecederaan.

“Apa yang digembar-gemburkan dalam kes Kartika itu menimbulkan kebimbangan orang ramai, saya harap janganlah hanya fokus kepada satu kes yang belum dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini. Hishammuddin berkata, seorang daripada tiga pesalah wanita berkenaan dibebaskan pada Ahad lalu, pesalah kedua akan dibebaskan dalam tempoh beberapa hari lagi dan pesalah ketiga dibebaskan pada Jun nanti.

Hishammuddin berkata, wakil dari kementeriannya turut hadir semasa pelaksanaan hukuman dibuat bersama 13 orang lagi antaranya Pengarah Jabatan Agama Wilayah, Pegawai Jabatan Agama Wilayah dan wakil dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara serta wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Berdasarkan temu bual dengan tiga pesalah wanita itu, beliau berkata didapati bahawa mereka insaf, reda dan bertaubat dengan hukuman yang diterima walaupun sebatan itu tidak mendatangkan kesan luka.

“Diharapkan isu itu tidak disalahertikan sehingga mencemarkan kesucian Islam. Hukuman itu adalah untuk mendidik dan memberi keinsafan agar mereka yang terlanjur dapat kembali ke pangkal jalan dan membina hidup baru yang lebih baik,” katanya.

Pelaksanaan hukuman sebat mendapat liputan meluas sejak Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating, Pahang pada 11 Julai 2008.

Kartika yang mengaku bersalah kemudian didenda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan. Bagaimanapun hukuman sebatan itu masih tertangguh sehingga kini.- Bernama