MEMORANDUM BANGKIT 2012
Disediakan oleh: Gerakan Bersama Kebangkitan OKU 2012 ( BANGKIT 2012 * )
17 Mac 2012
Memorandum Menuntut Kerajaan Mewujudkan Agensi-Agensi Kerajaan & Swasta Serta Masyarakat Yang Cakna dalam Memahami Keperluan, Keupayaan Dan Sumbangan oleh Orang Kurang Upaya. Bermula berkuatkuasanya Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) pada 7 Julai 2008 adalah suatu tahap kejayaan yang penting kepada usaha membangunkan Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia. Ianya diikuti pula dengan tindakan kerajaan meratifikasikan “Convention on the Rights of Persons with Disabilities” pada19 Julai 2010.
Wawasan 2020 yang ingin membawa Malaysia mencapai status negara maju kini kian hampir. Dalam suasana inilah cabaran kepada pembangunan OKU terus menyaksikan lompang-lompang dalam sistem yang terdiri dari pemerintah dan rakyat yang perlu mendapat perhatian segera dan sewajarnya. Apatah lagi cabaran ketujuh Wawasan 2020 yang ingin mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu satu sistem sosial yang mengutamakan kepentingan mereka yang selalunya dipinggirkan dan ditindas.
OKU adalah individu yang hidup dalam sistem masyarakat yang tidak harus dipinggir atau dilihat terpinggir dalam arus perdana pembangunan. Justeru, hal-hal berikut perlu dihalusi bagi kesinambungan pembangunan OKU yang lebih lestari:
1. Pemantapan undang-undang sedia ada bagi menjamin kelangsungan hidup OKU.
(i) Pindaan perlembagaan bagi memasukkan “tiada diskriminasi berasaskan kecacatan” dalam Perkara 8 (2) dan 12 (1). Peruntukan asal fasal-fasal tersebut adalah seperti berikut:
Perkara 8. (1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
(2) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undangundang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.
Perkara 12. (1) Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir :
(a) dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-murid atau pelajarpelajar atau pembayaran fi; atau
(b) dalam memberikan bantuan kewangan daripada wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama ada di dalam atau di luar Persekutuan).
(ii) Meminda Akta OKU 2008 (Akta 685) bagi menyediakan remedi dan hukuman yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang gagal mematuhi hak-hak yang diberikan kepada OKU.
(iii) Meratifikasikan sepenuhnya “Convention on the Rights of Persons with Disabilities” termasuk “Optional Protocol.”
(iv) Memperkasakan Majlis Kebangsaan OKU yang ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Akta OKU 2008 termasuklah penyediaan laporan Majlis yang boleh diakses oleh semua pihak berkepentingan.
2. Pendaftaran wajib bagi memastikan dasar dan perancangan kerajaan tepat.
Merujuk kepada World Report on Disability (m/s 53) yang diterbitkan pada tahun 2011 terbitan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia (World Bank), dianggarkan kini 15% daripada penduduk dunia adalah OKU, bukan lagi pada anggaran 10%. Hingga kini Malaysia hanya mempunyai seramai 331,661 OKU yang berdaftar. Anggaran 4.2 juta yang ditetapkan oleh WHO perlu diberi perhatian khusus memandangkan perancangan yang mantap hanya boleh memberi kesan yang baik dengan data perangkaan yang tepat.
Pendaftaran wajib boleh dilakukan bagi OKU yang dikenalpasti pada waktu kelahiran. Persoalan keengganan ibu / bapa atau penjaga untuk mendaftar anak OKU kerana malu dan sebagainya mesti diatasi demi kepentingan anak yang dilahirkan. Anak tersebut merupakan warganegara yang berhak menikmati kehidupan yang baik dan ia menjadi tanggungjawab kerajaan dalam merencanakan pembangunan OKU yang memberi kesan kepada OKU keseluruhannya.
3. Pencelahan awal dan pembentukan sokongan keluarga, memperkasakan keluarga (family empowerment).
Tindakan mencelah termasuk saringan, penaksiran secara kesuluruhan, pemantauan (monitoring), sokongan keluarga dan perkara-perkara lain yang perlu, seperti merangkumi ujian pendengaran, penyaringan masalah penglihatan (buta atau kurang penglihatan (low vision)), penyaringan masalah perkembangan kanakkanak perlu dilakukan pada semua kelahiran, dan perlu memberi autonomi kepada ahli sains kesihatan (audiologi, optometri, fisioterapi dan terapi carakerja) untuk menjalankan penyaringan tersebut di hospital/klinik kesihatan.
Penyaringan awal membuka ruang untuk menjalankan pencelahan awal oleh ahli sains kesihatan termasuklah menjalankan terapi di rumah (home-based therapy) yang dapat memberi sokongan dan pemerkasaan (empowerment) kepada keluarga yang memerlukannya. Untuk menjalankan pencelahan awal, bilangan ahli terapi perlulah ramai. Kini, pencelahan oleh ahli terapi hanya didapati di hospital sahaja disebabkan kekurangan golongan terlatih yang ramai dalam bidang ini. Lebih banyak jawatan untuk bidang fisioterapi, terapi carakerja, audiologi dan terapi pertuturan (speech therapy) diperlukan di hospital dan klinik-klinik kesihatan.
Di samping itu, kelayakan ahli terapi haruslah sekurang-kurangnya berkelulusan Sarjana Muda. Ini bagi memastikan perkhidmatan yang berkualiti untuk masyarakat. Selain daripada itu, jawatan ahli terapi tidak terhad hanya dalam Kementerian Kesihatan sahaja. Kini, jawatan “U” hanya untuk sektor kesihatan sahaja. Ini berbeza dengan situasi di luar negara di mana ahli terapi bukan sahaja berkhidmat di hospital/klinik kesihatan, malah juga di sekolah, pusat/jabatan kebajikan dan jabatan sumber manusia. Dengan tiadanya jawatan “U” di sektor lain, maka perkhidmatan terapi untuk OKU hanya terhad di hospital/klinik-klinik sahaja. Dengan itu, hak OKU untuk mendapat bantuan tidak tercapai dengan sepenuhnya.
4. Pendidikan yang menepati keperluan kecacatan.
Adalah perlu hak pendidikan yang dijamin oleh Akta OKU 2008 diberi perhatian yang sepenuhnya. Hak pendidikan perlu diadakan untuk semua kategori kecacatan termasuk dan tidak terhad kepada OKU penglihatan, OKU pendengaran, OKU fizikal, OKU bermasalah pembelajaran, OKU intelektual dan lain-lain.
Peraturan 3 Peraturan Pendidikan Khas 1997, Akta Pendidikan 1996 yang memperkenalkan “educable” dan “non educable” perlu dihapuskan.
Latihan perguruan dalam arus perdana perlu merangkumi dengan lebih meluas sukatan berkaitan pendidikan khas agar setiap bakal guru tahu dan peka mengenai isu berkaitan pendidikan bagi OKU.
Dana yang mencukupi juga perlu bagi memastikan kerajaan dapat membiayai institusi pendidikan untuk OKU, dan juga untuk menyokong institusi yang disediakan dan diuruskan oleh badan-badan bukan kerajaan sebagai melengkapi keperluan OKU yang pelbagai.
5. Kemahiran hidup.
OKU juga perlu dididik supaya berkebolehan menanamkan dan membangunkan kemahiran-kemahiran bagi kelangsungan kehidupan sesuai dengan kecacatan yang dialami.
Kemahiran seperti mobiliti, komunikasi berkesan dan pelbagai lagi merupakan satu kemahiran asas yang kadangkala tidak didedahkan kepada OKU meskipun di peringkat pendidikan formal.
6. Pekerjaan dan sara hidup.
Dasar 1% yang diperkenalkan oleh kerajaan perlu diiringi dengan pelaksanaan yang sebenar. Sejumlah 1,500 OKU yang berkerja dalam sektor awam masih jauh dari sasaran berbanding 1.4 juta kakitangan awam seluruh negara.
Selama ini OKU sering menghadapi rintangan yang di luar kemunasabahan dalam mendapatkan pekerjaan. Tidak cukup dari itu, kakitangan OKU sering diberi tekanan dan penindasan mental dan psikologi yang berterusan di tempat kerja. Satu garis panduan khas berkaitan pengambilan OKU sebagai pekerja sehingga tamat perkhidmatan perlu diwujudkan, disebarkan dan diamalkan sebagai satu keperluan minimum bagi menyokong dasar 1% yang digubal.
Hak OKU untuk berkerja dan menjalankan perniagaan termasuklah perniagaan kecil dan penjaja perlu diiktiraf. Perlaksanaan Akta Orang Papa 1977 yang sering menjadikan OKU dikategorikan sebagai pengemis perlu dihapuskan.
Pemberian elaun atau insentif kepada OKU perlu mengikut keperluan dan situasi semasa. Kadar elaun dan insentif yang sedia ada perlu dikaji untuk memberi keselesaan yang lebih sesuai dan tepat dengan kerperluan OKU.
7. Cabaran OKU dalam membina keluarga.
Perlu ada suatu sistem sokongan bagi membantu OKU melestarikan kehidupan berkeluarga. Amat wajar untuk agensi seperti Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (“LPPKN”) memberi perhatian kepada masalah dan cabaran OKU dalam hal tersebut. Sistem sokongan mestilah sepertimana yang disyorkan oleh WHO. Disebabkan oleh kecacatan, segolongan OKU mengalami penderaan fizikal dan seksual yang tidak mendapat perhatian dan sering tidak dibincangkan. Satu badan khas harus ditubuhkan untuk membantu OKU yang berkeperluan dalam aspek kekeluargaan termasuk dan tidak terhad hanya kepada kesihatan seksual dan reproduktif (mengikut saranan WHO).
8. Perumahan.
Majoriti golongan OKU berkerja secara persendirian dengan kadar pendapatan yang tidak menentu. Keadaan ini menyukarkan untuk mereka memiliki rumah kediaman. Skim perumahan yang sedia ada amat terhad. Apatah lagi kebanyakannya bersifat pemberian melalui saluran politik yang sering mendatangkan kesulitan kepada OKU.
Skim perumahan sewa beli perlu diperbanyakkan. Kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan tanpa mengira fahaman politik perlu diperbaiki. Karenah birokrasi dalam meluluskan permohonan mestilah diatasi.
Perancangan perumahan yang rapi mesti direncanakan dengan memastikan kelompok OKU diletakkan bersama masyarakat bagi membolehkan interaksi antara OKU dan masyarakat berjalan dengan baik.
9. Kebolehaksesan ke tempat-tempat dan perkhidmatan awam.
Malaysia telah mengadakan undang-undang dan peraturan termasuk Uniform Building By-law, Indeks Reka Bentuk Sejagat (UDI), Standard Malaysia berkaitan akses OKU kepada bangunan dan persekitaran di luar bangunan, yang memperuntukkan akses kepada OKU dalam bangunan atau tempat awam.
Namun OKU masih mengalami pelbagai rintangan dan kesulitan untuk kebolehaksesan lantaran dari kurangnya pelaksanaan oleh pelbagai agensi yang masih belum peka kepada undang-undang dan peraturan serta keperluan OKU.
Demikian juga dalam perkhidmatan pengangkutan awam melalui penggubalan Seksyen 15(r), Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 714], Perenggan 4(h) dan Perenggan 7 Pekeliling LPKP Bil. 8 Tahun 2009, OKU masih berhadapan dengan sistem pengangkutan awam yang tidak mesra OKU.
Dalam kebanyakan kes, OKU terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi mengatasi kesulitan pengangkutan.
10. Penyertaan OKU dalam membentuk masyarakat.
Kempen berterusan perlu dilaksanakan bagi mendekatkan OKU kepada masyarakat. Halangan hasil dari interaksi antara OKU dan masyarakat telah membataskan penyertaanOKU dengan komuniti setempat. Maklumat berkaitan kebolehan, potensi dan keupayaan OKU mesti diperbanyakkan di media massa demi membentuk suatu masyarakat yang terbuka dan boleh disertai oleh golongan OKU.
Selain itu, pendidikan formal perlu menyediakan sukatan pengajian yang mendedahkan murid-murid pada peringkat yang paling awal berkaitan keperluan untuk cakna dan prihatin kepada golongan OKU. Sistem pendidikan yang dapat mendedahkan murid-murid dan para pelajar kepada masyarakat yang pelbagai akan melahirkan generasi pelapis negara yang berupaya memahami permasalahan dan keperluan lapisan masyarakat yang bersifat pelbagai pada masa hadapan.
11. Keperluan OKU di hari tua.
Peningkatan taraf kesihatan telah menjadikan jangka hayat seseorang warganegara Malaysia kian panjang. Golongan OKU tidak terkecuali dari peningkatan ini. Walau bagaimanapun, keupayaan seseorang OKU akan semakin berkurang bila usia semakin lanjut.
Satu sistem sokongan mantap harus disediakan bertujuan membantu golongan warga emas OKU. Perkhidmatan ke rumah dan perkhidmatan talian warga emas adalah antara khidmat sokongan yang amat diperlukan oleh OKU bila mencecah umur warga emas.
KESIMPULAN
Pembangunan program OKU perlu dilihat dari dua aspek iaitu OKU sebagai golongan yang dikategorikan sebagai condong kepada kemiskinan dan program pembangunan OKU sebagai seorang insan dan warganegara Malaysia. Justeru, pembangunan OKU perlu ditangani secara lebih menyeluruh dengan meletakkan tanggungjawab pembangunan OKU di bawah satu portfolio yang melapor terus kepada Kabinet dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan bukannya di bawah satu unit di dalam jabatan di sesebuah kementerian sahaja.
Pembabitan OKU seterusnya dalam penyediaan dasar-dasar negara perlu dipertimbangkan termasuklah memberi peluang kepada OKU menjadi ahli di kedua-dua dewan Parlimen, menjawat jawatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik dan menganggotai bahagian-bahagian dan badan-badan kerajaan yang merangka dasar yang lain.
Sikap “menolong diri” dan cara hidup yang bebas hanya akan berjaya sekiranya OKU benar-benar dapat mengambil bahagian secara aktif, mendalam dan meluas dalam proses “membuat keputusan” di mana-mana isu yang menjadi sebahagian daripada penghidupan OKU seharian. Tanpa pembabitan OKU secara langsung dalam proses merangka dan menggubal dasar serta perundangan negara, dalam apa jua bidang, mana mungkin sesuatu yang baik dan bermakna untuk OKU dapat dihasilkan.
Oleh:
Gerakan Bersama Kebangkitan OKU 2012 ( BANGKIT 2012 *)
Tarikh: 17 Mac 2012
* BANGKIT 2012 adalah kempen untuk meningkatkan kesedaran kepada orang awam dan orang OKU ke atas halhal yang berkaitan dengan OKU. BANGKIT 2012 diterajui oleh Kumpulan Kerja OKU, Jawatankuasa Hak-Hak Asasi Manusia Majlis Peguam