Oleh Ustaz Adlan Abdul Aziz
Apa maksud sebenar seruan 'kembali kepada Sunnah Nabi s.a.w.? Sebahagian yang menggelarkan diri mereka 'salafi' begitu asyik dengan seruan ini seolah-olah sekali pandang kita akan menyangka bahawa masyarakat kita begitu 'jauh' dari Sunnah Nabi s.a.w. Adakah begitu keadaannya?
Ada baiknya kita melihat kepada maksud seruan kembali kepada Sunnah atau kembali memahami Islam dengan panduan Sunnah Nabi s.a.w. Sudah pasti kita semua tahu dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menunjukkan perintah untuk kita meletakkan kedudukan Nabi s.a.w. dan Sunnah Baginda pada kedudukan 'rujukan' dalam agama. Tapi apakah maksud 'rujukan' di sini?
Seruan yang kita dengar daripada sebahagian 'salafi' ialah mereka ingin kita kembali kepada Sunnah tetapi dalam seruan mereka ada sedikit kekeliruan, antaranya:
Pertama, cara mereka membangkitkan seruan ini seolah-olah masyarakat begitu jauh dari Sunnah dan merekalah yang ingin membawa perubahan dalam meng'islah'kan kehidupan agar kembali ke jalan yang benar. Sedangkan masyarakat tidaklah sampai ke tahap sebegitu teruk. Kita dapati pengamalan Islam dalam masyarakat sememangnya secara keseluruhan adalah berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.
Contohnya mereka terlalu ingin membetulkan solat masyarakat dengan membawa seruan 'Sifat Solat Nabi s.a.w.'. Ada yang memang bersederhana dalam seruan itu tetapi ada yang terlalu beria-ia untuk menyalahkan amalan masyarakat yang telah pun solat dengan mengikut amalan tradisi. Rupanya bila diselidiki, seruan sebahagian bergelar 'salafi' ini rupanya menuju ke arah Sifat Solat Nabi s.a.w. versi ulama hadith tertentu sahaja, bukan menyeluruh meliputi pelbagai pandangan ulama terdahulu.
Masih teringat lagi kata-kata sahabat saya apabila dia mendengar terlalu banyak seruan ke arah kembali solat seperti cara Nabi s.a.w. Beliau berkata dengan ringkas: 'Bukankah menunaikan solat itu sendiri adalah Sunnah Nabi s.a.w. yang dilaksanakan masyarakat?'. Memang saya bersetuju dengan beliau.
Kedua, seruan agar masyarakat kembali kepada Sunnah rupanya dikaitkan dengan seruan lain iaitu 'menolak amalan tradisi' atau 'amalan mazhab'. Adakah ini sebenarnya apa yang dilakukan oleh para imam dan ulama hadith terdahulu? Apabila kita menyeru ke arah Sunnah, janganlah ia digambarkan seolah jauh dari mazhab kerana mazhab-mazhab utama dalam Islam sememangnya mengambil Sunnah sebagai rujukan. Maka tidak ada salahnya seorang yang ingin mengambil pandangan Mazhab Syafie jika dia berada di Malaysia kerana keyakinannya bahawa Imam as-Syafie dan para ulama di dalam mazhabnya sememangnya menggunakan Sunnah sebagai asas mengeluarkan pandangan. Jangan kita gambarkan situasi pertentangan atau permusuhan antara mazhab dan Sunnah!
Ketiga, seruan mereka telah tersasar dari maksud asal iaitu menjadikan Sunnah sebagai rujukan. Ia telah tersasar menuju kepada maksud baru iaitu 'menggunakan Sunnah semata-mata dengan melihat zahir lafaz atau teks hadith'. Apabila kita sebagai seorang muslim mengakui Sunnah sebagai rujukan, adakah ini bermakna kita meninggalkan huraian ulama sepanjang zaman? Adakah kita dengan mudah boleh mengambil mana-mana hadith lalu ditelek zahirnya lalu terkeluarlah hukum-hukum baru dan kita boleh menjadi mujtahid zaman baru? Jangan terpedaya wahai sahabat! Tidak mungkin anda boleh memahami hadith begitu sahaja tanpa huraian ulama. Bagaimana anda ingin menentukan sesuatu hadith itu telah dimansuhkan dengan hadith lain? Bagaimana anda ingin memahami beberapa hadith yang nampak bertentangan? Bagaimana anda mampu menentukan hukum hanya dengan sekadar membaca satu dua hadith? Contoh mudah ialah hadith-hadith tentang merapatkan saf sebagaimana pernah saya bangkitkan dalam artikel terdahulu. Cukup dengan anda melihat satu riwayat bahawa sebahagian sahabat Nabi s.a.w. melekatkan kaki dengan makmum di sebelah, lantas anda menyatakan ia wajib? Anda lupa huraian ulama zaman berzaman yang tidak pernah menyatakan begitu?
Nasihat ringkas saya ialah – bacalah buku Ibn Rusyd bertajuk 'Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtasid' dan anda akan dapat lihat bagaimana khilaf para ulama berlaku dalam memahami nas Al-Quran dan Hadith. Barulah anda faham bahawa para ulama tidaklah begitu mudah mengeluarkan hukum melainkan mereka melihat kepada semua dalil dari semua sudut.
Keempat, seruan sebahagian bergelar salafi ini nampaknya menjurus kepada 'menggunakan Sunnah semata-mata tanpa memperdulikan soal hukum'. Apabila kita ingin menggunakan Sunnah sebagai rujukan, kita diberitahu oleh para ulama zaman berzaman bahawa dalam Sunnah ada hadith-hadith yang membawa 5 hukum – wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Tetapi kita melihat kepada sikap sebahagian salafi ini mereka terus menggunakan hadith untuk 2 hukum – sunnah atau bid'ah. Kalau sesuatu amalan itu ada dalam hadith dan diperintah, ia menjadi seakan wajib. Kalau tiada dalam hadith, maka tidak boleh diamalkan pula seolah haram. Tidak begitu! Para ulama telah menetapkan bahawa setiap perintah dalam hadith tidak semestinya membawa hukum 'wajib'. Ada perintah yang membawa 'wajib', 'sunat' dan adakalanya membawa 'harus'. Tetapi sebahagian salafi ini apabila diajukan kepada mereka perkara sebegini, mereka cepat menyatakan 'yang terbaik ialah ikut Sunnah'. Mereka lupa soal hukum. Bila ada larangan pula, terus jadi 'tak boleh'. Sedangkan larangan dalam hadith ada yang bersifat larangan 'haram' dan ada larangan bersifat 'adab'.
Kelima, seruan mereka seringkali dikuatkan dengan buku-buku dan ulama tertentu sahaja. Ulama yang mereka gelar sebagai ulama 'salafi' juga. Akibatnya mereka kurang pembacaan, kurang pendedahan dan tidak banyak mengetahui cara ulama berbeza pandangan. Ada sebahagian salafi yang menyatakan keterbukaan tetapi rupanya mereka hanya ambil pandangan sebahagian kecil ulama. Adakah munasabah dalam dunia Islam yang luas ini hanya ada beberapa kerat sahaja ulama yang boleh 'dipakai' atau dijadikan 'rujukan'? Adakah ini seruan kembali kepada Sunnah atau seruan kembali kepada aliran baru iaitu 'Salafi'?
Kesimpulan dari artikel ringkas ini ialah:
- Jangan semata-mata laungkan seruan 'kembali kepada Sunnah' tanpa melihat apa yang telah dihuraikan oleh para ulama hadith.
- Luaskan pembacaan, banyakkan pengajian, pelbagaikan guru dan kembangkanlah dialog ilmiah untuk berkongsi pandangan agar lebih pandai menghormati perbezaan pandangan.
- Jangan mudah menilai sesuatu amalan masyarakat sebagai 'tidak sunnah' atau 'bid'ah' kerana mungkin sahaja kita yang tersalah sangka atau tersalah baca. Rupanya amalan itu boleh dibuat dan kita pula yang menghalang orang lain melakukan kebaikan!
Wallahu a'lam
Adlan Abd Aziz [alitantawi.blogspot.com]