JH-MUTIARA-007- Mencari Keampunan Di Ramadhan

Primary tabs

 

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

 

Pengertian Hadith :

“Sesiapa yang berpuasa ramadhan dengan penuh keimananan dan mengharapkan keampunan Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu” [Muttafaqun ‘alaih]

Syarah Hadith :

Hadith ini merupakan hadith utama kelebihan orang-orang beriman yang berpuasa ramadhan iaitu dosa-dosa terdahulu mereka diampunkan. Dosa-dosa yang dimaksudkan ialah dosa-dosa selagimana mereka tidak melakukan dosa besar. Ini kerana dosa besar secara khususnya wajib bertaubat kepada Allah Ta’ala. Pengertian ini juga berkesinambungan dengan hadith yang menceritakan tentang “terhapusnya dosa bermula ramadhan ke ramadhan akan datang selagimana bukan merupakan dosa besar”.

Manakala, hadith diatas menyebut “dosa-dosa yang terdahulu” sahaja dan bukannya seperti sebahagian riwayat dhoif pada hadith tersebut dengan tambahan “diampunkan juga dosa-dosa yang akan datang”. Pakej istimewa tersebut ternyata hanya milik istimewa para anbiya dan rasul.

Dosa-dosa kecil orang-orang yang berpuasa Ramadhan ini dihapuskan oleh Allah dengan syarat :

1. DILAKUKAN PENUH KEIMANAN

Orang-orang mukmin sifat puasanya adalah dengan penuh keimanan. Yakni mengakui akan kewajipan berpuasa sebagai seorang muslim. Maka dia bersungguh-sungguh melakukan ibadat tersebut dengan penuh ketaatan dan meninggalkan segala pantang larang puasa. Manakala, Imam Nawawi menyebut yang dimaksudkan dengan dilakukan dengan penuh keimanan iaitu meyakini atas terdapat kelebihan-kelebihan berpuasa yang diberikan oleh Allah kepada hamba-hambaNya.

2. BERPUASA SEMATA-MATA MENGHARAPKAN KEAMPUNAN ALLAH

Manakala, orang yang berpuasa mengharapkan keampunan Allah bermakna mereka tidak mengharapkan pujian dari manusia, atau motif yang lain. Yang mereka tujukan puasa tersebut hanya kerana Allah Ta’la. Mereka yang terlalu mengharapkan rahmat, ganjaran, keampunan, taubat dari Allah antara golongan yang akan diampunkan dosa-dosanya selagi mana tidak melakukan dosa-dosa besar.

Oleh itu, marilah kita sama-sama merebut peluang keemasan yang telah ditawarkan sekali dalam setahun ini. Mungkin inilah Ramadhan yang terakhir buat diri kita.