JH-MUTIARA-012- Renungan Di Kala Umat Ditindas

Primary tabs

Oleh alitantawi

Ketika umat Islam ditindas, dihina, dizalimi dan dibunuh di serata dunia khususnya ketika ini di Palestin, marilah kita merenung beberapa pesanan Rasulullah SAW berkaitan pembelaan seorang mukmin terhadap saudara seagama.

1- Kesempurnaan iman bergantung kepada sejauh mana kita inginkan perkara yang baik berlaku kepada saudara seagama sebagaimana ia berlaku kepada diri kita. Begitulah juga kita tidak mahu perkara yang buruk berlaku kepada diri kita atau diri mereka. Sabda Rasulullah SAW di dalam sebuah hadith :

 

لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: Tidak sempurna iman kamu sehinggalah dia menyukai untuk saudaranya apa yang disukai untuk dirinya.

[HR: Al-Bukhari no.13 dan Muslim no.179]

2- Umat Islam diajar oleh Rasulullah SAW agar menjadi seperti satu jasad yang

turut sama merasai kesakitan mana-mana anggotanya sebagai petanda kesemuanya berada pada jasad yang sama.

 

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: Perbandingan orang-orang mukmin dalam kasih sayang, simpati dan belas ihsan mereka seumpama satu badan, apabila satu anggota sakit, seluruh badannya akan berjaga malam dan merasai sakit.

[HR: Al-Bukhari no.6011 dan Muslim no.6751)

3- Ganjaran berharga disediakan oleh Allah SWT apabila kita berusaha membebaskan saudara seagama kita daripada sebarang kesusahan dan kepayahan. Sabda Rasulullah SAW:

 

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Sesiapa yang membebaskan satu kesusahan daripada kesusahan dunia seorang mukmin, Allah SWT akan membebaskan untuknya satu kesusahan pada hari kiamat.

[HR: Muslim no.7028]

4- Tidak kira sama ada saudara kita dizalimi atau menzalimi, bantuan yang selayaknya perlu dihulurkan. Renungkanlah hadith berikut:

 

انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا

Maksudnya: Bantulah saudaramu yang menzalimi atau dizalimi.

[HR: Al-Bukhari no.2443)

Membantu yang menzalimi dengan menghalangnya dari terus melakukan kezaliman dan membantu yang dizalimi agar mereka terbela.

5- Jangan fikir kecil atau besar sesuatu yang kita lakukan untuk membela saudara seagama kerana ia tetap bernilai di sisi Allah SWT. Perhatikan sabda Rasulullah SAW:

 

لاَ تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Maksudnya: Janganlah sekali-kali kamu memandang remeh sesuatu perkara kebaikan, walaupun sekadar kamu bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang ceria.

[HR: Muslim no.6857]

6- Jangan lupa berdoa untuk kebaikan mukminin seluruhnya kerana ini amat penting di kala tiada lagi daya dan usaha kecuali merayu kepada Tuhan Yang Esa. Jangan pula bersungut bilakah akan dikabulkan?. Lihatlah sabda Nabi SAW:

 

يُسْتَجَابُ لأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ فَيَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ فَلاَ أَوْ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِى

Maksudnya: Dikabulkan untuk kamu doa selagi mana ia tidak gopoh, dia berkata: aku telah berdoa maka tidak dimakbulkan.

[HR: Al-Bukhari no.6340 dan Muslim no.7110)