Seperti yang telah diberitahu dalam artikel tentang pembahagian kategori Jabatan Hadith AAN, terdapat satu kategori yang khusus tentang sejarah hadith. Kategori ini akan membicarakan tentang beberapa maklumat atau fakta penting berkaitan sejarah hadith sejak zaman Rasulullah SAW. Kategori ini juga akan membicarakan tentang biodata tokoh-tokoh hadith terkemuka sejak zaman terdahulu hingga kini.
MENGENALI SEJARAH HADITH SATU KEPERLUAN
Tidak ramai pencinta ilmu hadith atau penuntut ilmu hadith gemar untuk mengkaji sejarah perkembangan hadith dan kajiannya dengan mendalam. Kebanyakan mereka lebih menggemari kaedah-kaedah kajian atau apa yang dipanggil sebagai Mustolah al-Hadith. Ini kerana Mustolah al-Hadith pada pandangan mereka adalah satu-satunya keperluan untuk mengkaji hadith pada zaman moden ini.
Pandangan ini kurang tepat. Ini disebabkan keperluan seseorang yang ingin mengkaji hadith bukan hanya terhad kepada kaedah-kaedah ringkas Mustolah al-Hadith. Malah sesiapa yang membaca mana-mana buku Mustolah al-Hadith yang terkenal seperti Nuzhat al-Nazhor karya Ibn Hajar al-Asqalani (852H) atau Tadrib al-Rawi karya al-Suyuti (911H) dan buku-buku lain, akan dapat melihat dengan jelas betapa ilmu tentang sejarah perkembangan hadith adalah di antara kelengkapan yang perlu dimiliki oleh seorang pengkaji.
Kekurangan maklumat tentang sejarah hadith akan hanya menjadikan seorang pengkaji atau pencinta sunnah terperangkap dalam teori dan sangkaan tanpa mengaitkannya dengan keadaan sebenar kajian hadith.
Lebih malang lagi, kekurangan maklumat tentang sejarah hadith boleh menjadi penyebab umat Islam tertipu dengan pembohongan ilmiah sebahagian musuh Islam. Penyelewengan fakta dan penghuraian sejarah yang salah akan ditelan bulat-bulat oleh seorang muslim atau muslimah yang tidak mengambil berat tentang sejarah sebenar ilmu hadith dan kajiannya.
Mungkin dengan memberikan contoh, ia akan lebih mudah dijelaskan. Contoh yang ingin saya sebutkan ialah tuduhan mereka bahawa hadith tidak ditulis pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, sebaliknya ia mula ditulis beratus tahun selepas wafatnya Rasulullah SAW. Bagaimana agaknya saya dan anda akan tahu ini adalah pembohongan? Melalui sejarah perkembangan hadith. Sejarah membuktikan bahawa penulisan hadith Rasulullah SAW telah bermula sejak zaman Rasulullah SAW lagi dan ia semakin berkembang pada zaman sahabat dan pada zaman-zaman selepasnya. Namun bagi mereka yang tidak memberikan tumpuan tentang sejarah hadith, segala pembohongan itu dilihat seolah-olah seperti fakta atau hasil kajian yang tidak diragui sama sekali. Boleh jadi ia dilihat sebagai satu perkara yang mungkin berlaku atau ada benarnya. Hanya melalui sejarah, kita akan mengenali dengan lebih dekat apa yang dikatakan sebagai fakta dan apa yang hanya bersifat pembohongan, jenayah ilmu dan sangkaan. Malah setiap cabang ilmu memerlukan kepada kajian yang melibatkan sejarah. Tidak kira apa jua bidang dan tajuk kajian, ia perlu dilandaskan di atas fakta sejarah yang jelas agar kajian tidak tersasar dari kebenaran.
BIODATA AHLI HADITH JUGA KEPERLUAN ASAS
Kategori Sejarah juga akan memberikan tumpuan kepada memperkenalkan sebahagian tokoh hadith utama sejak zaman awal Islam terutama pada zaman kegemilangan kajian hadith sekitar kurun ketiga dan keempat Hijrah. Kenapa perkara ini penting? Sebahagian pengkaji dan peminat sunnah kadangkala melihat ahli hadith atau ulama hadith dengan satu pandangan yang umum. Pandangan sebegini meletakkan semua ulama hadith dalam satu tempat tanpa membezakan antara mereka. Contohnya nama tokoh-tokoh hadith terkenal seperti Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmidzi diletakkan sebaris dan setaraf dengan ulama-ulama selepas mereka seperti al-Nawawi, al-Iraqi dan al-Zahabi. Malah mereka semua diletakkan sebaris dengan pengkaji moden seperti Ahmad Syakir, al-Albani, Syuaib al-Arnaouth dan juga para pensyarah hadith yang mempunyai ijazah dalam bidang itu. Ini adalah satu sikap yang amat bertentangan dengan realiti kajian hadith itu sendiri. Kalau anda dapat meluangkan masa membaca buku-buku Mustolah al-Hadith karya ulama terkemudian seperti Ibn Hajar, al-Sakhawi dan al-Suyuti, mereka sering dilihat mengagungkan kehebatan ulama salaf terutama tokoh-tokoh hadith terkemuka seperti Syubah Ibn al-Hajjaj, Abd. Rahman Ibn Mahdi, Yahya Ibn Said al-Qattan, Yahya Ibn Main, Ali Ibn al-Madini, Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain lagi. Kenapa mereka diagungkan? Di antara sebabnya ialah penulis buku-buku Mustolah al-Hadith tadi amat mengenali biodata para tokoh hadith salaf dan mengenali kehebatan dan kemampuan mereka.
Di sini kita boleh menjawab persoalan kenapa pengkaji dan pencinta hadith zaman ini tidak begitu mengagungkan ulama hadith salaf? Jawapan yang mudah kerana kurang mengenali biodata dan kemampuan mereka. Lalu mereka menyangka bahawa semua ahli hadith serupa sahaja. Kononnya ulama salaf hanyalah pengkaji yang telah berijtihad dan kita di zaman moden ini juga boleh berijtihad. Tetapi kita lupa bahawa tidak semua orang boleh berijtihad. Kita juga lupa bahawa tokoh-tokoh hadith salaf lebih dekat dengan zaman periwayatan dan melihat sendiri kajian itu malah kajian hadith telah menjadi darah daging mereka sepanjang hayat berbanding pengkaji hadith moden yang hanya bekerja sambilan dalam mengkaji hadith.
Oleh itu amat penting bagi Jabatan Hadith AAN untuk berusaha memberikan maklumat sekadar termampu tentang sejarah pengkajian hadith serta biodata tokoh-tokoh hadith terkemuka. Ini semua dibuat agar pencinta dan pengkaji hadith zaman ini benar-benar berjalan di atas panduan yang tepat dan tidak lagi terjebak dalam kesilapan-kesilapan yang menjejaskan kajian mereka.
Kita tidak menuntut para pembaca agar menguasai dengan mendalam setiap maklumat yang akan diberikan. Tetapi apa yang kami di al-ahkam.net harapkan ialah para pembaca akan mendapat maklumat tentang apa yang perlu diketahui dan bukannya semata-mata apa yang ingin diketahui.
Semoga cita-cita ini akan menjadi kenyataan sepanjang anda membaca ruangan SEJARAH HADITH. Insya Allah.
alitantawi Penyelaras, Jabatan Hadith AAN