Novel "Imam" SN Abdullah Husein: Melakari Pemahaman Hal-hal Ugama dengan Kritis

Primary tabs

Muhammad Nazreen Jaafar | Intern, Islamic Renaissance Front (IRF)

"Kita bersolat hanya kerana pengaruh kebiasaan, pengaruh keadaan dan pengaruh tradisi. Sebab itu solat kita pada masa kanak-kanak, remaja, dewasa sama saja lalai"

(Halaman 338).

Lantas, ini adalah sebahagian petikan yang diambil daripada novel tulisan SN Abdullah Husein yang memenangi Hadiah Novel Nasional 1992 - 1994. Novel ini bertajuk 'Imam'. Mungkin, ramai di antara kita mula mengenali beliau menerusi kontroversi Interlok. Namun, karya beliau yang benar-benar mengghairahkan adalah 'Imam'.

 

Ramai mengenali Dato' Abdullah Hussain menerusi Interlok. Namun, karya beliau yang benar-benar mengghairahkan adalah 'Imam'Novel ini penuh dengan unsur-unsur sinikal terhadap alamiah masyarakat , mendepani zaman dan yang paling terkesan adalah sikap kritis terhadap agama. Kritis ini tidaklah bermaksud membelakangi agama tetapi mengapa agama sering dijadikan halangan walhal terbit agama itu adalah untuk mendendangkan kebebasan.

Mengapa saya terkesan dengan novel ini?  Pertamanya, hasil penceritaan beliau berjaya mengangkat nilai-nilai 'Islamik' yang keluar daripada kebiasaan. Jadi, apakah kacamata Islam itu hanya terbina dengan cara pemakaian, ataupun lakuran tradisi yang mampan dengan ciri-ciri fizikal 'Islam' semata-mata.

Seterusnya, persoalan yang timbul daripada hegemoni ini adakah Islam itu begitu mudah diberikan penampakkan sosok walhal Islam itu sendiri mendepani persoalan zaman bukan?

Dari sini, 'Imam' bertolak daripada semangat polemik dalam membawa unsur-unsur perdebatan Isu dalam Islam atau lebih tepat kesan 'Al-Risalah' yang didokongi gerakan pembaharuan Syeikh Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al- Afghani tetapi dicermati dengan ketara sekali.

Permulaan 'Imam' ini bertitik dengan suatu tragedi, membuka ruang pencarian makna dan jawapan besar kepada pembaca yang mana memperlihatkan tujuan SN Abdullah Husein adalah untuk para pembaca mengadili 'protagonis' sendiri.

Imam Mihad

Watak utama yang diceritakan di dalam novel ini adalah 'Imam Haji Mihad'. Novel ini menyelusuri perjalanan hidup Haji Mihad yang ingin membawa pembaharuan kepada masyarakatnya. Namun, hal ini mendapat tentangan keras daripada sebahagian penduduk termasuk di kalangan sanak saudara dan sahabat handai. Hal ini menjadi runcing setelah wujud campurtangan dan kerisauan Majlis Ugama yang cuba untuk mencampuri urusan ini atas sebab 'aqidah' Imam Haji Mihad semakin diragui.

Di sini wujud kritik terhadap institusi agama yang secara halusnya menanggapi kebenaran yang hakiki mestilah seiring dengan bentuk yang mereka susunkan. Jika lingkaran faham itu dianggap sedikit menyerong daripada apa yang mereka binakan, jadi dengan mudah isu takfir-mengkafir dicetus.

Imam Mihad didakwa atas tuduhan membawa ajaran asing di kampung itu. Dek kerana ruang membaharukan pembawaan agama oleh Imam Haji Mihad tidak dapat diresapi secara total perihalnya, ada sahaja jalan menolak dan menghalanginya.

Namun, penampakan sikap keterbukaan Imam Mihad di dalam cerita ini juga membawa pembaca ke dalam ruang yang lebih terkesan. Walau sering diperlakukan secara tidak adil, sifat keramahan dan kelembutan Imam Mihad pastinya mempesonakan hadirin pembaca tentang bagaimana sosok Imam Mihad ini mendasari persoalan asas agama yakni membawa kesetaraan dan kesaksamaan kepada masyarakat keseluruhannya.

Di sini saya sertakan beberapa sedutan kata-kata Imam Haji Mihad sebagai penjelasan terhadap pemahaman saya:

Sasterawan Negara, Dato' Abdullah HussainTentang solat

"Kita bersolat hanya kerana pengaruh kebiasaan, pengaruh keadaan dan pengaruh tradisi. Sebab itu solat kita pada masa kanak-kanak, remaja, dewasa sama saja lalai"

(Halaman 338).

"Cuba kita lihat lebih dekat sedikit, tangan yang mereka angkat waktu membuat takbir bermacam-macam cara, seperti orang kafir sembah berhala pun ada. Nauzubillah! Letak kaki mereka terkangkang sehingga dapat kambing lalu dicelahnya. Ada yang memegang betis sampai pinggangnya patah. Matanya bukan melihat tempat sujudnya tetapi menghitung jari kakinya. Waktu sujud pula seperti harimau atau anjing mahu tidur, merapatkan tangan dan hastanya di lantai. Banyak sangat kelakuan kita seolah-olah bukan sedang menghadap Allah."

(Halaman 339).

Jadi, unjuran sebenar pemahaman yang cuba disampaikan oleh Imam Haji Mihad ini tidak ubah adalah untuk membawa sudut pandang yang berbeza dengan urusan dan amalan masyarakat umumnya. Hal kritis seumpama ini lebih jelas menggarap bahawa kepercayaan ritual semena-mena tidak akan sesekali menjamin keberadaan faham agama di puncak pemikiran.

Bahkan, di dalam keremehan manusia melewati hukum, perkara-perkara kecil juga diabaikan secara tuntas. Misalnya, tujuan solat juga tersarung dengan kritikan dan analisis tajam Abdullah Husin di antara sedar mahupun tidak.

Tentang mazhab

Imam Haji Mihad tidak banyak menimbulkan isu pasal mazhab. Tidak perlu dipersoalkan sangat tentang mazhab. Beliau banyak memimpin jemaahnya kepada mengerjakan solat dengan sempurna dan teratur.

"Perbezaan mazhab itu ada rahmat Allah di sebaliknya. Imam yang empat telah menolong kita umat Islam sesudahnya dalam berbagai-bagai masalah fiqah. Iktiqad kita tetap sama. Perbezaan yang ada itu hanya perkara-perkara yang kecil. Mengapa kita mesti perluaskan jurangnya dengan mendakwa mazhab kita saja yang benar, yang lain itu salah. Padahal imam-imam itu sendiri seperti Imam Syafi'i misalnya berpesan agar orang sesudahnya tidak selalu bertaqlid saja kepada hadis atau riwayat yang pernah dikutipnya. Yang mula-mula sekali ditanya di akhirat ialah solat bukan mazhab."

(Halaman 408).

Keratan tulisan ini memberi garapan bahawa isu mazhab bukanlah urusan utama yang harus dibimbangi. SN Abdullah Husein mematakan semula bahawa landasan Islam itu sendiri menekankan nilai demokratik dan meraikan perbezaan pendapat. Jadi, perlambangan SN Abdullah Husein dalam Imam seolah-olah menyantuni perihal kebebasan, kesamaan dan persaudaraan.

Idea besar yang cuba dibawa novel 'Imam' ini memberikan interpretasi berbeza terhadap saduran novel yang secara tuntasnya mengangkat hal-hal yang Islami. Kedangkalan memberikan pemaknaan teras 'Islamisasi' karya tanpa memahami imbangan konteks juga diperlihatkan menerusi novel Imam.

Kacamata dan pandangan terhadap nilai Islami bukanlah ukuran-ukuran yang menampakkan watak fizikal dan material sahaja. Tetapi, saduran yang melewati konsep tanpa menciptakan bentuk sudah cukup untuk memecahkan kekakuan bahawa ciri 'Islam' haruslah 'Islami'.