Dipetik: http://muzir.wordpress.com/2011/01/29/perbankan-islami-antara-perlu-dan-nafsu/
Apabila kita mengajak agar masyarakat menyokong sistem kewangan Islami, bukan bermakna kita mengajak agar masing-masing berduyun-duyun ke institusi perbankan Islami untuk mendapatkan produk-produk terkini kewangan. Tidak! Bukan itu maksudnya!
Yang paling baik, sudah tentulah hidup dengan sederhana dan berpada serta rasa cukup (qanaah) dengan rezeki yang ALLAH kurniakan kepada kita. Sifat tamak dan boros juga mestilah dijauhi dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan godaan. Godaan di sana sini, iklan di sana sini dan promosi di sana sini akan bisa memenangkan kehendak nafsu sekiranya sifat tamak dan boros tidak dikawal.
Memenuhi Keperluan Berurusan Secara Bebas Riba
Wujudnya sistem kewangan Islami adalah supaya ahli masyarakat dapat memilih untuk berurusan kewangan secara bebas Riba di institusi perbankan dan seumpamanya. Inilah hasrat dan cita-cita kita sejak dahulu lagi. Dengan hidayah dan taufiq dari ALLAH, maka ramailah ummat ISLAM membuat keputusan berhijrah dari perbankan konvensional ke perbankan Islami, supaya murka dari ALLAH ‘Azza wa Jalla dapat dijauhi.
Dahulu, kita tidak mampu keluar dari belenggu sistem Riba, tetapi kini, alhamdulillah dengan adanya sistem kewangan Islami, ummat Islam kini boleh berasa lega untuk berurusan dengan pihak bank. Kerana hal Riba sudah dicabut darinya dan diganti dengan kontrak-kontrak yang menepati syariat Islam. Lebih melegakan, setiap proses & kontrak-kontrak ini telah dan sentiasa dipantau oleh ahli-ahli panel pengawasan syariah masing-masing, bukan sahaja di peringkat institusi bank itu, malah di peringkat bank pusat.
Kini, kita sudah boleh menyimpan wang di bank, membuat pelaburan di bank, memohon pembiayaan untuk pembelian kereta, rumah dan memohon pembiayaan modal perniagaan dengan tidak tidak melibat Riba. Bukan itu sahaja, malah kita juga boleh melakukan pajak gadai melalui kaedah ar-Rahnu, berinsurans melalui skim Takaful dan bermacam-macam lagi.
Awasi Nafsu
Namun, di sini ingin saya berpesan kepada diri saya dan orang lain supaya kita tidak sewenang-wenangnya melibatkan diri dengan sistem perbankan Islami. Dengan adanya sistem perbankan Islami ini, seolah-olah masyarakat mula memandang tidak kisah dengan apa-apa produk yang diperkenalkan, asalkan ia diperkenalkan oleh bank Islami, maka ia baik fikir mereka.
Maka, mulalah memasang cita-cita untuk menukar kereta baru, sedangkan kereta lama masih elok boleh dipakai. Mulalah memasang angan-angan untuk membeli rumah besar, sedangkan rumah yang sedang diduduki sudah selesa didiami.
Jika dahulu kad kredit dijauhi kerana di sana tersangat jelas Riba, kini mula berjinak-jinak kembali dengan kad ‘kredit’ Islami yang berlandaskan syariah. Nafsu membeli mula segar. Ambil dahulu, kemudian bayar. Hampir semua peralatan rumah dan kelengkapan diri mahu dinaiktaraf, supaya tidak ketinggalan zaman, menepati gaya hidup terkini dan ingin diiktiraf.
Pembiayaan peribadi yang suatu ketika dahulu tidak popular dan sukar diperolehi, kini ia menjadi jalan pintas untuk memenuhkan selera nafsu berbelanja. Tanyalah mana-mana kakitangan kerajaan atau swasta yang beragama Islam, mereka kini sudah ramai terjebak dengannya. “Pembiayaan Peribadi Secara Islam”; itulah slogan institusi-institusi perbankan Islami tatkala mempromosi pembiayaan peribadi kepada ummat Islam di negara kita.
Pembiayaan Peribadi yang Menjerat Diri
Saya amat kecewa melihat institusi-institusi perbankan Islami berlumba-lumba memperkenalkan pembiayaan peribadi. Pernah satu bank dari Timur Tengah yang baru mendapat lesen mengamalkan perbankan Islami di Malaysia, antara produk awal yang menjadi hangat dan panas yang diperkenalkan ialah produk pembiayaan peribadi. Ramai orang Islam pergi memohon lantaran ciri-cirinya yang sangat menarik.
Saya tidak pelik kenapa mereka berbuat begitu kerana institusi-institusi ini merupakan institusi yang ingin membuat untung. Memang tidak salah ingin membuat untung secara yang halal. Tetapi, tidak bolehkah kita menjadi pihak yang mendidik agar ummat Islam jangan suka meminjam dan berbelanja. Jika tidak mahu mendidik agar jangan selalu meminjam dan berbelanja, janganlah pula menjadi pihak yang menggalakkan supaya meminjam dan berbelanja. Amat menyedihkan.
Yang lebih pelik ialah ummat Islam kita. Dengan adanya pembiayaan peribadi secara Islam yang bersepah di dalam pasaran, maka membuak-buaklah nafsu masing-masing. Nafsu diri semakin membesar dan dimanjai tanpa fikir baik dan buruknya.
Nak kahwin, buat pembiayaan peribadi supaya majlis perkahwinan menjadi ‘glamour’ mirip selebriti. Nak beli kereta, selain buat pembiayaan beli kereta, dibuat juga pembiayaan peribadi untuk dibayar duit muka. Nak melabur pun dibuat juga pembiayaan peribadi. Rumah yang dulu biasa-biasa sahaja, diubahsuai agar menepati citarasa trend terkini dengan menggunakan jalan pembiayaan peribadi. Ada yang membuat pembiayaan peribadi supaya kenderaan boleh dibuat modifikasi agar lebih mengancam kelihatan dan supaya berprestasi tinggi. Yang saja-saja membuat pembiayaan peribadi kerana mahu melihat duit yang banyak berada di dalam akaun bank untuk tujuan kecemasan pun ada juga. Dan banyak lagi…
Saya bukan mengatakan bahawa 100% salah untuk membuat pembiayaan peribadi, tetapi fikirlah masak-masak, adakah kita benar-benar perlukannya? Berbaloikah? Jika sekadar ingin memuaskan nafsu, tinggalkan sahajalah. Kerana perbuatan membuat pembiayaan peribadi hanya akan menyusahkan diri kelak.
Inilah antara trend yang jelas saya lihat hasil dari wujudnya pembiayaan peribadi, apatah lagi ia dipanggil pembiayaan peribadi secara Islam. Seperti tidak rasa bersalah untuk memilikinya. Aduhai…
Berpadalah…Jangan Tamak dan Boros
Akhir kalam, saya ingin nasihatkan diri saya terutamanya dan anda semua sekali lagi agar berpadalah, janganlah tamak dan boros. Inilah antara sifat yang baik dalam berhadapan dengan harta.
Sistem perbankan Islami memberikan kita peluang untuk melibatkan diri dengan bank secara bebas Riba, alhamdulillah. Kita mesti sokong ia dengan cara menasihati keluarga dan sahabat agar memilih sistem perbankan Islami, dan tidak sistem perbankan konvensional yang berasaskan Riba. Yang sudah melibatkan diri dengan sistem perbankan konvensional, hijrahlah ke sistem perbankan Islami sekarang. Fikir dalam-dalam dan pilihlah produk-produk dari sistem perbankan Islami yang dirasakan perlu dan wajar untuk disertai sahaja. Jangan ikut nafsu semata-mata.
Jika kita telusuri kehidupan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, Baginda tidak berkehendakkan sangat akan kemewahan dan kesenangan dunia, jadi kita juga seharusnya mengikuti Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam hal ini. Justeru, berpadalah, jangan tamak dan boros.
WAllahu A’lam.