Ramadhan: Bolehkah Solat Tahajud Selepas mengerjakan Tarawih dan Witir?

Primary tabs

Masalah sering ditanya sepanjang bulan Ramadhan.. Sepanjang malam bulan Ramadhan kita mengerjakan solat Tarawih yang disudahi dengan solat Witir sebanyak 3 rakaat.

Persoalan yang sering ditanyakan ialah, solat Witir adalah solat penutup. Bila disebut penutup, bermakna tidak boleh ada solat lain selepas itu. jadi bagaimana jika pada tengah malam hari selepas kita bertarawih dan berwitir, kita hendak mengerjakan solat Tahajjud? Bolehkah?

Barisan Panel Feqh al-ahkam.net telah beberapa kali menjawab permasalahan ini. Kita pilih salah satu jawpannya yang diberikan oleh Ustaz al-jawhar:

Solat witir disebut dalam hadis Baginda saw sebagai penutup solat malam (qiyam) sebagaimana di bawah:
Jadikan witir sebagai akhir (penutup) solat kamu dimalam hari. (HR Imam Bukhari : 998 dan Imam Muslim : 751)

Kata Asy-Syaikh Abdullah bin Abd Rahman Al-Bassam , walau bagaimana pun tidak dilarang untuk seseorang menunaikan solat-solat sunat lain seperti solat sunat bersebab , tahajjud dan sebagainya selepas menunaikan solat witir.Ini kerana perbuatan tersebut adalah thabit dari Rasulullah saw sebagaimana hadisnya yang diriwayatkan dari Saidatina A’isyah r.a :
Sesungguhnya Nabi saw menunaikan solat 2 rakaat dimalam hari selepas solat witir , dan dia dalam keadaan duduk  (HR Imam Muslim : 738)

Asy-Syaikh Ibn Jibrin r.h dalam fatawanya [Fatawa Ramadhan : 826] menyebutkan bahawa sesiapa yang telah menunaikan witir bersama-sama dengan imam dalam solat tarawikh , maka ia tidak perlu mengulanginya semula (solat witir).Dia boleh melakukan solat sunat dua rakaat lain jika dia ingin bangun malam , tetapi tidak boleh menunaikan solat witir kali kedua kerana solat witir tidak boleh dilakukan 2 kali dalam satu malam.

Dalilnya ialah hadis Rasulullah saw :
Tidak ada dua witir dalam satu malam  (Hadis Hasan riwayat Ahmad 4/23 , Abu Daud : 1439 , Tirmizi : 470 , An-Nasaie: 1679 dan Ibn Hibban : 6/201)

Maka kesimpulannya , tidak ada tegahan untuk melakukan solat sunat malam seperti tahajjud selepas menunaikan solat witir , tetapi tidak boleh diulangi solat witir lagi selepas itu.Cukup dengan sekali witir sahaja yang telah dikerjakan sebelum itu.

WA
Sumber: http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=95&t=36942