Dr Ahmad Nabil Amir | Abduh Study Group, IRF
“Semua ibadah diharamkan kecuali yang ada perintahnya dari Nabi Muhammad” [KH Ahmad Dahlan]
Kiyai Haji Ahmad Dahlan adalah seorang ulama’ reformis dan pemikir penting yang telah mencetuskan revolusi perjuangan yang besar dalam rangka pembaharuan di Indonesia. Beliau dilahirkan di Kauman, Yogyakarta pada tahun 1868 sebagai Muhammad Darwis. Bapanya, Kiyai Haji Abu Bakar bin Kiyai Mas Sulaiman adalah khatib di Masjid Besar Kesultanan Yogya, dan ibunya, Nyai Abu Bakar adalah puteri kepada H. Ibrahim bin Kiyai H. Hasan, seorang penghulu kesultanan Yogya juga pada masa itu.
Dahlan dilahirkan dalam keluarga yang terkenal dengan latar agama dan sosial, dan mempunyai pengaruh yang kuat di daerah Kauman, dalam gerak perjuangan dan dakwahnya. Berbeza dengan kebiasaan dan cara pemikiran masyarakat dalam lingkungannya, Dahlan menzahirkan pandangan hidup yang luas dan ufuk pemikiran yang jauh.
Kesempatan mempelajari ilmu qiraat, tafsir, hadis, tawhid, fiqh, tasawwuf, dan falak di Makkah, dan kecenderungan menelaah karya-karya Imam Muhammad Abduh dan Muhammad Rashid Rida telah memberikan pengaruh yang besar dalam mencorakkan fikrah pembaharuan dalam jiwanya. Sebaik pulang ke Tanah Jawa, Muhammad Darwish menukar namanya kepada Haji Ahmad Dahlan.
Dahlan dikenal sebagai faqih dan ulama’ besar yang mempunyai kefahaman dan ijtihad fiqh yang tersendiri. Beliau merupakan sosok pencerah yang berhasil mengetengahkan idealisme dakwah dan pembaharuan yang digagaskan oleh Muhammad Abduh ke Tanah Jawa. Usahanya menerapkan mazhab pemikiran Abduh dan revolusi pemikiran yang dibawanya telah menghasilkan pencerahan yang bermakna di daerahnya.
Demikianlah yang diungkapkan oleh Solichin Salam dalam bukunya K.H. Ahmad Dahlan Reformer Islam Indonesia: “Alam kauman yang dahulu masih diliputi oleh suasana hidup beragama, tapi bersifat tradisional, konservatif dan statis, oleh Ahmad Dahlan ditukar menjadi masyarakat Islam yang dinamis dan revolusioner…bagaikan suara halilintar di siang hari dalam teriknya sinar matahari layaknya, pecahnya api-revolusi di Kauman Yogya adalah di luar dugaan. Karena mesiu itu meledak justeru di tempat hidupnya feudalisme, tradisionalisme dan konservatisme yang subur.”
Cita-Cita Perjuangan
“K.H. Ahmad Dahlan adalah manusia-amal…yang dadanya penuh dengan cita-cita yang luhur” [Presiden Soekarno]
“Ahmad Dahlan adalah manusia pejuang yang tabah dan ulet, tidak kenal menyerah dan putus asa dalam mengejar cita-cita” [Solichin Salam]
Perjuangan Kiyai Dahlan bertolak daripada cita-cita besar untuk menggerakkan revolusi, mencetuskan perubahan dan reformasi, dan membawa modernisasi Islam ke Indonesia. Hal ini diperlihatkan dalam perjuangannya bersama organisasi Islam seperti Budi Utomo, Serikat Islam dan Muhammadiyah bagi menghapuskan bid‘ah, membanteras kepercayaan khurafat dan syirik, membungkam faham mistik dan tahyul daripada warisan Hindu-Buddha, menumpaskan feudalisme, dan mengusir penjajah.
Dalam memimpin perubahan, dan merealisasikan ide-ide pembaharuannya, beliau tampil ke garis depan, memberi arahan dan mempelopori perjuangan yang dahsyat itu dengan meniupkan api perjuangan dan nahdah dan membangkitkan kesedaran ijtihad, dan menggerakkan aktivisme dan kegiatan rakyat dalam program keagamaan dan pendidikan, yang berhasil melenyapkan autoriti aparat agama dan membenamkan taqlid yang telah menyebabkan kemunduran fikiran.
Beliau membangun organisasi dakwah yang besar dengan mendirikan Muhammadiyah sebagai platform perjuangannya yang sah untuk membawa perubahan dan idealisme pemikiran yang segar di zamannya. Dalam hal ini Dr. H. Roeslan Abdulgani mengulas: “K.H. Ahmad Dahlan adalah salah seorang tokoh yang mewakili jiwa dan semangat aktivisme dari zaman 1912 itu.”
Tekad perjuangannya juga adalah untuk menukar sistem lama dalam pengajian di Pesantren, dan merangka kurikulum baru yang selaras dengan perkembangan moden, seperti diungkapkan oleh Dr. H. Abd. Karim Amrullah (Haji Rasul, ayahanda Hamka) tentang ide-nya untuk merobah sistem pendidikan pondok: “K.H.Ahmad Dahlan kecewa sekali melihat kekolotan yang meliputi tanah Jawa dalam soal Islam. Faham-faham salah tentang agama masih mendalam. Kaum Kristen bertambah maju. Kiyai itu berusaha hendak membangkitkan Islam dengan cara baru, iaitu membuat pelajaran pondok dengan secara sekolah, sehingga jalan pengajaran beraturan. Cara pondok lama saja, tidak akan dapat dipertahankan lagi.”
Pengaruh Muhammad Abduh
“Pada suatu ketika, Syeikh Ahmad Surkati naik kereta api dari Jakarta menuju Surabaya, lewat Yogya dan Solo. Dalam perjalanan itu bertemulah Surkati di dalam kereta api dengan Kiai Dahlan yang sedang membaca kitab tafsir Muhammad Abduh.” [K.H. Ahmad Dahlan Reformer Islam Indonesia oleh Solichin Salam] – (Syeikh Ahmad Surkati adalah pengasas gerkan reformis al-Irsyad, salah satu daripada tiga gerakan reformis Indonesia selain Muhammadiyah dan Persatuan Islam oleh A. Hassan Bandung)
KH Ahmad Dahlan termasuk salah seorang ahli fikir Muslim yang besar yang terkesan dengan seruan pembaharuan yang dicanangkan Muhammad Abduh. Hal ini dizahirkan daripada perjuangannya untuk membangun pemikiran moden yang diasaskan oleh Muhammad Abduh, seperti diungkapkan oleh Prof. Dr. H. Kraemer dalam bukunya Agama Islam: “Sebetulnya di dunia Islam sudah ada teladan pergerakan Islam yang bersifat baru lagi yang bermaksud mempertahankan agama Islam terhadap pengaruh-pengaruh kebaratan yang mungkin mengancam kedudukan umat Islam. Iaitu pergerakan baru yang timbul di Mesir di bawah pimpinan Muhammad Abduh. Maksud Muhammad Abduh dan kawan-kawannya ialah membuktikan agama Islam mungkin mencocokkan dirinya dengan suasana zaman baru oleh sebab asas dasar agama Islam sebenarnya untuk segala zaman. Dengan menurut teladan itu, di Indonesia pula diisytiharkan pergerakan Islam yang bersifat baru dengan pimpinan Haji Ahmad Dahlan di Yoyakarta.”
Pengaruh Imam Muhammad Abduh terhadap gerakan Muhammadiyah cukup besar dalam garis perjuangan yang dilakarkannya dan manhaj pemikiran yang dikemukakannya, dan ketrampilan gerakan Muhammadiyah banyak terpengaruh dengan sosok dan pemikiran Abduh yang terbangun daripada gagasan Pan Islamisme-nya.
Khittah perjuangan yang digariskan Abduh bersama al-Afghani dan Ridha dalam al-‘Urwat Al-Wuthqa dan Tafsir al-Manar telah menzahirkan kesan dan dampak yang jelas dalam pemikiran dan idealisme perjuangan K.H. Ahmad Dahlan, seperti yang dirakamkan dalam Ensiklopedi Islam Indonesia tentang ketokohan dan aspirasi perjuangan Dahlan: “Ia pun semakin intens berinteraksi dengan pemikiran-pemikiran pembaharu dalam dunia Islam, seperti Muhammad Abduh, al-Afghani, Rashid Ridha dan Ibn Taimiyah. Interaksi dengan tokoh-tokoh Islam pembaharu itu sangat berpengaruh pada semangat, jiwa dan pemikiran Darwisy.”
Hasil karya Imam Muhammad Abduh seperti Risalat Tawhid, Tafsir Juz Amma, Al-Islam wa al-Nasraniyyah Ma‘a al-‘Ilm wa al-Madaniyah, Al-‘Urwat al-Wuthqa dan Tafsir al-Manar banyak mengilhamkan ide dan fikrah pembaharuan dalam dirinya. Karya-karya ini melantarkan ide-ide reform yang tuntas dan mendasar dan melakarkan falsafah perjuangan yang jelas yang telah mencorakkan kefahaman Islam yang kental dan menggilap ruh perjuangan dalam dirinya.
Pengaruh Muhammad Abduh terhadap Kiyai Dahlan ini dirumuskan oleh Solichin Salam dalam karyanya K.H. Ahmad Dahlan Reformer Islam Indonesia yang menganalisis kekuatan tersendiri Ahmad Dahlan:
“Jikalau kita bandingkan perbedaan dari kedua reformer Islam Muhammad Abduh di Mesir dan K.H. Ahmad Dahlan di Indonesia ialah kalau Abduh terkenal dengan ketajaman penanya, dan dengan penanya itu pula dituangkannya segala fikiran dan cita-citanya, maka dalam hal ini berbeda halnya dengan Ahmad Dahlan. Beliau rupanya tidaklah termasuk seorang penulis atau pengarang yang lancar penanya sebagai Abduh. Hal ini dibuktikan bahwa sepanjang pengetahuan kita belum pernah terdengar bahwa beliau ada meninggalkan hasil karya atau karangan yang dapat dijadikan pedoman serta bahan dalam melanjutkan cita-cita dan perjuangannya. Melainkan kedua-duanya sama ahli berfikirnya, sama pula idealis dan pejuangnya, serta sama pula reformernya, namun kelemahan yang ada pada Ahmad Dahlan ialah karena beliau tidak memiliki kepandaian mengarang sebagaimana Abduh, tetapi kelebihannya ialah beliau dapat mengamalkan apa yang dicita-citakan dalam bentuk suatu organisasi seperti Muhammadiyah.”
Pemikiran reform Muhammad Abduh yang meledak di Mesir itu turut diperjuangkan oleh kelompok muda yang lain di Indonesia seperti Said Muhammad bin Aqil, Hamka, Hassan Bandung, Hasbi ash-Shiddiqi, Abdul Halim Hasan, Zainal Arifin Abbas, Sulayman Rasyid, Isa Ansari, Munawwar Khalil dan Ahmad Surkati menerusi Jam‘iyat al-Islah wa al-Irsyad al-Islamiyyah.
Di Tanah Malaya perjuangan Abduh diteruskan oleh Syaikh Tahir Jalaluddin, Ustaz Abu Bakar al-Syaari, Ustaz Mustafa Abdul Rahman, Sayid Sheikh al-Hadi dan lain-lainnya yang hampir kesemuanya pernah menuntut di al-Azhar dan berusaha menghidupkan semula tradisi pemikiran yang diperjuangkan Abduh dan melanjutkan gagasan pembaharuannya.
Muhammadiyah
“Saya titipkan Muhammadiyah ini kepadamu!” – K.H. Ahmad Dahlan
Terkesan dengan perjuangan Imam Muhammad Abduh, KH Ahmad Dahlan mendirikan Perserikatan Muhammadiyah pada 18 November 1912 (8 Zulhijjah 1330) bagi meneruskan cita-cita perjuangan Abduh. Tujuan asasnya adalah untuk memperbaharui pemahaman agama, memangkin perubahan sosial, mengangkat kehidupan rakyat, dan menggerakkan aspirasi moden dan memajukan pesantren-pesantren di seluruh Indonesia. Ia berusaha melenyapkan aliran orthodoks yang masih terbelenggu dengan faham konservatif yang kolot, membasmi kebekuan, stagnansi, dan keterbelakangan umat Islam daripada sudut kemajuan fikiran.
Dasar Muhammadiyah yang termaktub dalam pasal IV perlembagaannya mengisytiharkan: “Bahwa maksud dan tujuan perserikatan ini ialah menegakkan dan menjunjung tinggi agama Islam, sehingga dapat mewujudkan masyarakat Islam yang sebenar-benarnya.”
Untuk mencapai maksud dan tujuan tersebut diusahakanlah berbagai langkah termasuk: (1) meneguhkan iman, memperkuat ibadah serta mempertinggi akhlak (2) menggiatkan penyelidikan ilmu Islam dan mendapatkan kemurniannya (3) memajukan dan memperbaharui pendidikan dan kebudayaan menurut tuntutan Islam (4) menggerakkan dakwah dengan kegiatan amar ma‘ruf nahi munkar (5) mendirikan dan memelihara tempat-tempat ibadah dan wakaf (6) membimbing pemuda-pemuda supaya menjadi orang Islam yang bererti (7) menyuburkan amalan tolong menolong dalam kebajikan dan taqwa, dan (8) menanam kesedaran agar tuntunan dan peraturan Islam berlaku dalam masyarakat.
Muhammadiyah ditunjangi oleh Majlis Tarjih, Hikmah, Aisyiyah, Hizbul Watan, Pemuda, Pengajaran, Taman Pustaka, Tabligh, Penolong Kesengsaraan Umum, Ekonomi, Wakaf dan keharta-bendaan, yang mewakili hasratnya di setiap peringkat untuk melancarkan penyebaran ilmu, mengangkat kedudukan wanita, memacu pertumbuhan ekonomi, memajukan pengetahuan dan dakwah Islam dan menyemai semangat kerukunan beragama.
Mengulas peranan Muhammadiyah yang penting dalam pemberdayaan massa ini, Soedarisman Poerwokoesoemo menyatakan: “Lahirnya Muhammadiyah bererti suatu renaissance bagi agama Islam sebab Muhammadiyah memperbaharui cara-cara agama Islam itu harus dipraktikkan oleh umatnya. Logis bahwa ada reaksi terhadap usaha Muhammadiyah itu, karena dalam perjuangan memang suatu hal yang biasa, di mana ada aksi mesti ada reaksi. Rasanya juist reaksi inilah yang dapat menjadi pendorong bagi Muhammadiyah untuk giat berjuang untuk mencapai cita-citanya.”
Muhammadiyah dianggap gerakan Islam paling tersusun di dunia yang diterajui oleh jentera dakwah yang tersusun dan saf kader yang teguh mempertahan idealisme dan cita-cita perjuangannya, seperti ditegaskan oleh Sayyid Amin al-Husayni, bekas mufti Palestin ketika mengunjungi Indonesia dan melihat gerakan Muhammadiyah dengan mata kepalanya sendiri: “Perserikatan Muhammadiyah adalah perserikatan Islam yang paling besar dan paling teratur di dunia…di tanah Arab pun tidak ada perserikatan agama sebesar dan seteratur ini.”
Petikan dari Filem Sang Pencerah:
{youtube width="550" height="470"}28Q7Y2RApSs{/youtube}