Sebelum Membaca Buku Hadith...Bahagian 3

Primary tabs

Sebelum membaca mana-mana buku hadith atau buku berkaitan kajian hadith, kita perlu mengetahui bahawa buku-buku ini ditulis pada asalnya di dalam Bahasa Arab. Ini  bermakna kita perlu menerima dua hakikat penting :

Pertama: ia ditulis oleh penulis asalnya di dalam Bahasa Arab dan hanya dengan memahami bahasa asal penulis kita dapat memahami atau hampir dapat memahami apa yang diingini oleh beliau.

Kedua: apabila ia cuba diterjemah, sudah pasti ia tidak akan dapat menghuraikan seratus peratus apa yang ditulis di dalam bahasa asalnya. Ini mendedahkan kita kepada satu perkara penting dalam bidang terjemahan….

Izinkan saya untuk memetik apa yang pernah saya tulis di dalam blog alitantawi.blogspot.com tidak lama dahulu:

Satu:
Memang sudah ada banyak buku yang telah diterjemahkan dari bahasa asalnya iaitu B.Arab kepada bahasa lain yang difahami seperti Indonesia, Melayu dan Inggeris. Tetapi masih terlalu banyak (ya, terlalu) buku-buku rujukan utama tafsir, fiqh, hadith dan ilmu-ilmu Islam lain yang belum diterjemahkan. Tak percaya? Boleh dapatkan senarai buku-buku utama dalam setiap bidang...contohnya bidang tafsir. Senaraikan buku-buku rujukan utama dalam B.Arab (bahasa asal) dan buat pula carian tentang terjemahan buku-buku tersebut dalam bahasa lain. Insya Allah anda akan tahu.

Dua:
Kalaulah kita membuat andaian bahawa 'buku-buku rujukan ilmu Islam yang telah diterjemah telah cukup', saya ingin menegaskan bahawa: kita masih belum tahu adakah terjemahan itu tepat dan berjaya menjelaskan maksud penulis yang menulis dalam bahasa asal? Saya secara peribadi telah bertemu dengan terjemahan-terjemahan yang mempunyai masalah seperti: tidak tepat dengan maksud asal, terlalu ringkas, menyalahi maksud penulis asal, 'hilang' iaitu tidak diterjemahkan ...dan pelbagai lagi.

Tiga:
Andai kata berlaku salah faham pada terjemahan atau perbezaan pandangan antara dua terjemahan atau lebih, bagaimanakah agaknya untuk kita pastikan mana yang lebih benar dengan maksud penulis? Sudah pasti kita perlu melihat kepada teks asalnya dalam B.Arab bagi menyelesaikan perselisihan.

Itu adalah sebahagian yang saya pernah tulis tentang terjemahan buku-buku rujukan Islam termasuklah juga buku-buku berkaitan hadith dan kajiannya.

Ini tidak bermakna saya menafikan hak untuk membaca buku-buku hadith kecuali di dalam Bahasa Arab. Apa yang saya maksudkan ialah :

 1-     Sekiranya anda boleh berbahasa Arab, pastikan di manakah kemampuan anda dalam memahami sesuatu buku berkaitan hadith yang ditulis dalam Bahasa Arab. Tidak dapat tidak, anda perlukan rujukan lain – kamus contohnya – untuk anda memahami maksud sebenar penulis yang kadangkala menulis dengan bahasa yang tinggi dan perlu difahami dengan jelas. Sedikit demi sedikit, penguasaan itu akan bertambah tapi bukan dalam  sekelip mata.

2-     Sekiranya anda tidak boleh memahami buku asal dalam Bahasa Arab, pastikan anda memiliki buku terjemahan yang terbaik dalam memahami maksud penulis asal. Jangan malu atau malas bertanya kepada yang tahu untuk anda memahami maksud asal penulis. Demi Allah, saya sudah bertemu dengan pelbagai terjemahan berkaitan hadith dan kajiannya yang BERTENTANGAN dengan maksud asal penulisnya dalam Bahasa Arab.


Berhati-hatilah dalam membuat persediaan untuk memahami maksud sebenar penulis sesebuah buku.


Adlan Abd. Aziz