SJ-11-0223 : Al-Bai' Bithaman Ajil

Primary tabs

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-11-0223 : Al-Bai' Bithaman Ajil

Assalamualaikum..
Boleh ustaz terangkan apakah maksud Al-Bai' Bithaman Ajil ?
Harap penjelasan yang seberapa segera.
Jazakallah..

SJ-11-0223 : Al-Bai' Bithaman Ajil

:salam

Bismillahi wal hamdulillah,

Ringkasnya konsep Al-Bai Bithaman 'Ajil atau BBA adalah seperti berikut :

Quote:
Bai Bithaman Ajil (BBA) atau Jual beli secara tangguh pembayaran adalah salah sebuah instrumen atau produk yang digunakan oleh kebanyakan bank-bank Islam di Malaysia. Konsep ini telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Shariah Kebangsaan yang berpusat di Bank Negara Malaysia dan juga kebanyakan bank-bank Islam di Malaysia. Menurut statistik, konsep BBA ini amat popular dan digunakan dengan cukup meluas di Malaysia. Sehingga Disember 2005, konsep BBA digunakan sebanyak 52.9 % dalam penerbitan Bon Islam (Sukuk) berbanding konsep-konsep lain. Manakala sepanjang tahun 2005 juga konsep ini digunakan sekitar 41 % pula di dalam produk pembiayaan kewangan pelanggan. Kedua-dua angka ini menunjukkan betapa konsep ini amat selesa diaplikasikan oleh perbankan Islam Malaysia. Malah ia juga amat popular di Brunei dan Bangladesh.

Bagaimanapun, konsep ini tidak diterima oleh bank-bank Islam di Timur Tengah termasuk Pakistan dan beberapa Negara lain. Ini adalah kerana majoriti ilmuan dan cendiakawan Shariah di rantau Timur Tengah tidak menerima konsep itu yang dianggap tidak menepati konsep tulen BBA, malah konsep BBA versi Malaysia juga dilihat sebagai gabungan dua konsep iaitu Bai' Inah (Jual dan beli semula) dan Bai Muajjal ( Jualan dengan bayaran bertangguh dan secara ansuran). Justeru, ini menyebabkan pihak Bank-bank Islam di sebelah Timur Tengah lebih suka untuk mengutamakan konsep-konsep lain yang lebih menepati objektif Shariah menurut ijtihad mereka seperti Ijarah, Musharakah dan lain-lain.

Secara mudahnya BBA versi Malaysia berfungsi seperti berikut; Apabila seorang pelanggan ingin membeli sebuah rumah berharga RM 200,000, maka si pelanggan akan membayar sejumlah wang kepada penjual / pemaju sebagai ‘booking' dan kemudiannya membayar 10 % pula kepada pemaju/penjual sebagai wang pendahuluan (deposit).

Setelah iu, berbekalkan perjanjian jual beli (S&P agreement) antara si pembeli dan penjual, maka si pelanggan akan mula mencari bank Islam yang oleh memberikan pembiayaan perumahan kepadanya. Setelah menepati seluruh syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Bank. Pihak Bank bersetuju untuk membeli rumah itu daripada pelanggan tadi dengan harga RM 180,000 (iaitu sama jumlahnya setelah di tolak deposit) dengan bayaran tunai. Dengan itu, rumah itu akan menjadi milik bank dan tanda pemilikan bank ke atas rumah itu adalah melalui satu surat ‘declaration of trust' dan sebuah ‘charge' sebagai tanda hak bank ke atas rumah tersebut. Bagaimanapun nama pemilik atas geran tidak akan ditulis nama Bank kerana ini bukanlah syarat dalam pemilikan Islam dan hanyalah bersifat urusan rasmi ‘formality'. Setelah pemilikan ini sah di sisi undang-undang Negara dan diiktiraf oleh Shariah, maka pihak bank Islam akan menjualkan rumah (yang telah dibelinya tadi) itu kepada pelanggan yang sama dengan harga baru ( merangkumi modal beserta kadar keuntungan yang di tetapkan) iaitu RM 350,000 yang boleh dibayar oleh pelanggan secara ansuran bulanan selama 25 tahun atau lebih, bergantung kepada perjanjian.

Itulah gambaran ringkas bentuk pelaksanaan BBA di Malaysia yang merupakan sebuah produk yang dibina atas konsep jual beli dan bukannya pemberian pinjaman kepada pelanggan.

Sumber : http://www.zaharuddin.net/content/view/192/63/

WA

الراجي رحمة ربه الجوّاد http://aljawhar.wordpress.com