SJ - 1869 : TAHAP PELAJARAN SEORANG MUSLIM & MASALAH TAR

Primary tabs

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ - 1869 : TAHAP PELAJARAN SEORANG MUSLIM & MASALAH TAR

Assalamualaikum

JKK kerana sudi memberi pandangan.

Soalan saya adalah bagaimana seorg. itu hadapi usahanya dalam mendalami ilmu agama cthnya fiqh & tassawuf.

Cthnya
Saranan adalah baik mempelajari Imam Syafi', setelah faham and amal kemudian jumhur dan khilaf dsb. Soalan tambahan di tahap manakah seorang itu boleh mengamalkan ilmu khilaf dsd itu adakan apabila dia sudah boleh berijtihad pada dirinya baru dibolehkan.

Soalan tambahan kedua: mengapa ramai tok guru menyarankan para talib untuk melengkap diri dengan fahaman dan amalan syariat asas (fiqh, tafsir,hadith dsb) dahulu sebelum mencecah ke alam tasawuf thariqat dan bagaimana hendak nilai diri tahap pemahaman untuk bersedia kerana ada yang berpendapat apabila belajar dan amal syariat naturally akan sampai ke tahap apa yang di ajar di thariqat cthnya.

Maaf, ke 3 betul ke jika berpendapat sebelum berjinak dengan thariqat elok berjinak dengan kitab mukadimmah tasawuf cthnya yg. dibawa oleh Imam Ghzali.

Re: SJ - 1868 : TAHAP PELAJARAN SEORANG MUSLIM & MASALAH

æÚáíßã ÇáÓáÇã æ ÑÍãÉ Çááå æÈÑßÇÊåã

{ ÈÓã Çááå ÇáÑÍãä ÇáÑÍíã }

(( ÑÈ ÅÔÑÍ áí ÕÏÑí æ íÓÑáí ÃãÑí æÃÍáá ÚÞÏÉ ãä áÓÇäí íÝÞåæÇ Þæáí ))

***********************

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

TAHAP PEMBELAJARAN SESEORANG MUSLIM : .

Yang dimaksudkan dengan setiap muslim dituntut untuk mempelajari ilmu ialah ilmu-ilmu yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah Ta’ala , yang memudahkan dia mengenal batasan-batasan arahan dan larangan agama dan yang bertujuan untuk menampung keperluan hidup manusia – Ianya tidaklah khas kepada ilmu-ilmu agama dan bahasa Arab semata-mata bahkan termasuklah kewajipan mempelajari ilmu kedoktoran , arkitek , kejuruteraan dan sebagainya. Perkara ini dibincangkan oleh ramai alim-ulama’ ketika mereka membahaskan mengenai apakah yang dimaksudkan dengan Fardhu ‘Ain dan apakah pula Fardhu Kifayah.

Sampai ke tahap manakah dia perlu belajar ? . Jawapannya sampai ke tahap PALING KURANG dia boleh mengenal batas-batasan agamanya, boleh melaksanakan apakah yang diperintahkan kepadanya selaku seorang hamba dan apakah pula yang diminta agar dijauhi dan juga memenuhi keperluan hidupnya.

Seseorang yang mempelajari Fiqh sebagai contohnya , perlulah dia belajar SEKURANG-KURANGNYA perkara-perkara yang diwajibkan kepada setiap hamba untuk melaksanakannya. Dan perlaksanaan tersebut sudah tentu tidak mungkin terhasil melainkan setelah diketahui ( mempelajari ) akannya , seperti wajib mengetahui jenis-jenis solat fardhu, wajib mengetahui tatacara mengambil air sembahyang yang betul, wajib mengetahui apakah perkara-perkara yang boleh menyebabkan terbatalnya air sembahyang dan sembahyang……dan seumpama dengannya. Ertinya perkara-perkara fardhu ‘ain itu merupakan satu kewajipan yang mesti diketahui oleh setiap umat Islam, tidak kiralah samada ianya terdiri drp masyarakat awam , lebih-lebih lagi bagi seorang penuntut ilmu agama dan para ulama’.

Adapun mengenai perkara-perkara khilaf ( yang menjadi perselisihan di kalangan ulama’ ) bukanlah SATU KEWAJIPAN YANG MESTI DIKETAHUI OLEH MASYARAKAT AWAM , seperti perselisihan ulama’ mengenai batalkah air sembahyang disebabkan menyentuh isteri ? , apakah dalil-dalil bagi golongan yang mengatakannya batal dan apakah pula dalil-dalil bagi mereka yang mengatakan tidak batal . Seperti juga perselisihan ulama ‘ mengenai adakah wajib bagi seseorang makmum membaca Al-Fatihah di belakang imamnya ?. Apakah dalil-dalil dan apakah cara instinbat ( mengemukakan keputusan ) bagi golongan yang mengatakan wajib ?, dan apakah pula dalil-dalil dan apakah cara instinbat ( mengemukakan keputusan ) bagi golongan yang mengatakan tidak wajib ?. Ini semua bukanlah merupakan satu kewajipan dan bukanlah juga satu perkara yang fardhu ain bagi setiap umat Islam. Yang fardhu ‘ainnya ialah dia mengetahui satu sahaja pendapat yang boleh membantu dia melaksanakan sesuatu tuntutan agama itu.

Bagi mereka yang baru hendak belajar ilmu fiqh , sudah tentulah kita menyarankan dia mempelajari ilmu Fiqh yang menjadi anutan majoriti umat Islam di kawasannya kerana itu lebih mudah baginya. Contohnya , bagi seseorang yang dibesarkan di Malaysia yang majoriti umat Islamnya dibesarkan dan dididik secara tradisi dengan Fiqh Imam Asy-Syafie, maka sudah tentulah seseorang yang baru hendak mempelajari fiqh itu ,mempelajari fiqh menurut aliran Imam Asy-Syafie. Tidaklah munasabah kita hendak memaksa dia keluar daripada kampungnya dan lari daripada tradisi pengajian Fiqh Asy-Syafie itu , lalu berhijrah ke India untuk mempelajari Fiqh Imam Abu Hanifah ( Hanafi ) !?.

Fiqh Al-Muaqaran ( Fiqh Perbandingan Di Antara Berbagai Mazhab ) juga sudah tentu tidak akan mampu difahami dengan baik dan tepat, melainkan seseorang itu terlebih dahulu mengetahui sekurang-kurangnya asas-asas Fiqh di dalam mazhab asalnya ( walaupun tidaklah sampai dia mesti jadi ‘alim 100 % dahulu di dalam Fiqh Asy-Syafie, barulah dia boleh belajar Fiqh imam-imam lain ! ).

Seseorang yang mempelajari “ Ilmu Khilaf “ ( Fiqh Al-Muqaran ) sebagaimana yang saudara soal itu, TIDAKLAH MESTI jadi alim 100 % dalam semua cabang perbicaraan fiqh di dalam fiqh yang tertentu ( seperti Fiqh Mazhab Asy-Syafie ) ataupun mesti terlebih dahulu jadi ‘alim dalam semua mazhab ulama’ Fiqh !!! – Maaf ! kami tidak temui kewajipan seperti ini sekadar pengajian kami dan pemeriksaan kami terhadap kitab-kitab dan fatwa-fatwa ulama’ . Oleh itu seseorang yang sudah mengetahui akan kedudukan sesuatu masalah fiqh , contohnya : Permasalahan : Di Manakah tangan perlu diletakkan ketika melakukan qiam di dalam sembahyang , di dadakah , di perutkah ataupun di bawah pusat ?, sudah tentu dia boleh beramal terus dengan pendapat dan pengkajian yang lebih tepat di dalam permasalahan tersebut , hasil perbandingan fiqh itu, tanpa perlu dia menunggu-menunggu sampai ke tahap dia ‘alim dalam semua cabang pengajian Fiqh sampai dia mengetahui semua cara instinbat dan dalil-dalil setiap ulama’ di dalam segenap perbahasan Fiqh dan tidak ada juga sebarang dalil – setahu kami ini – yang mengatakan seseorang itu hanya boleh beramal dengan amalan sedemikian setelah dia mampu berijtihad !!!. Dan kalau benarlah begitu , apalah gunanya Universiti Al-Azhar ( sbg contohnya ) mewajibkan setiap penuntutnya , khasnya mereka yang belajar di Fakulti Syariah untuk mempelajari Fiqh Al-Muqaran di samping Fiqh As-Sunnah , Fiqh Imam-Imam Mazhab tertentu dan sebagainya …..walhal realitinya hanya sedikit daripada keluaran Al-Azhar itu yang benar-benar mampu berijtihad !!!. Manakala baki lepasan-lepasan Al-Azhar masih banyak yang berada di peringkat ITTIBA’ , dan yang malang sekali lebih ramai lagi yang masih BERTAQLID . Dan sudah tentulah yang paling-paling mengecewakan sekali ialah golongan Al-Azhar yang sudah memiliki ijazah B.A daripada Fakulti Syariah , khasnya dan sudah pula didedakan dengan Fiqh Al-Muaqaran , Adab Al-Ikhtilaf , dan seumpamanya tapi bila pulang jadi orang YANG PALING TAKSUB SEKALI dengan sesebuah mazhab ataupun sesebuah kitab hinggakan habis pandangan-pandangan lain dan kitab-kitab yang tidak sealiran dengan pegangannya diketepikannya bahkan dicaci-maki olehnya ( hinggakan ada juga segelintir yang marahkan pensyarah-pensyarahnya yang mengajar Fiqh Al-Muqaran dan Fiqh As-Sunnah kerana disangkan bahawa para pensyarahnya itu semuanya adalah “ golongan muda “ , “ wahabi “ , “ alla mazhabiyah “ dan seumpamanya !!! ).

**************************************

MASALAH BELAJAR SYARIAT DAHULU , KEMUDIAN BARULAH BELAJAR TAREQAT : ..

Tareqat adalah salah-satu bahagian bagi ajaran Tasawwuf . Dan kalaulah kita boleh qiaskan ( buat satu perbandingan secara analogi ) maka ISLAM itu adalah SYARIAH ( FIQH & CABANG-CABANGNYA ). Manakala IMAN itu pula adalah TAUHID ( USULUDDIN ) dan IHSAN itu pula ialah TASAWWUF – Maafkan saya andainya perbandingan ini tidak tepat !.

Jadi, apa yang dikatakan oleh tuan-tuan guru kita itu sudah tentulah benar dan tepat sekali , kerana masakan seseorang yang masih baru Islamnya – masih baru belajar Fiqh –tiba-tiba boleh terus “ loncat “ ke dalam darjat Iman ( Tauhid ) !!??. Sudah tentu dia akan pening walaupun pelajaran Fiqhnya dan Tauhidnya kedua-duanya betul dan selari dengan Islam !!.

Seperti seorang pelajar di Tahun 1 ( sekolah rendah ) , mengapakah tidak diajar kepada mereka pelajaran Tingkatan 6 ( sekolah Menengah ) walhal itu juga adalah ilmu ?. Sudah tentu tidak boleh kerana TIDAK SESUAI dan pelajar tahun 1 itu masih belum lagi bersedia untuk menerima ilmu yang setinggi itu !.

Samalah bagi mereka yang baru bersilat sehari-dua , tidaklah munasabah tok gurunya bagi terus ilmu-ilmu dan buah-buah pukulan maut ataupun buah-buah kunci mati, walhal kuda-kuda si pelajar itu masih lembik, serangan penumbuk pun masih tersasar jauh, menyepak pun boleh menyebabkan dia sendiri jatuh !.

Jadi begitulah dengan ILMU TASAWWUF , yang mana ianya berada di tahap ilmu yang tertinggi sekali kerana matlamatnya ialah MAKRIFAH dan MUSYAHADAH iaitu tahap mengenal Allah Ta’ala dengan sebaik-baiknya mengikut neraca syariat dan pula ketika beribadat dia “ merasakan betul-betul “ yang dia seolah-olah berada di hadapan Allah Subhanahu Wa Ta’ala !.

Ilmu Tasawwuf ini adalah ilmu yang tinggi , kerana itu hanya sedikit sekali manusia yang mampu mencapai darjat ketinggian dan kedudukan yang istimewa itu . Yang banyak kita saksikan sekarang, bukanlah pengamal-pengamal Tsawwuf yang hakiki dan sahih , tetapi kebanyakkannya hanya sekadar mendakwa secara bohong tanpa tanpa ilmu pengetahuan agama yang kukuh. Samalah seperti ramai yang mengaku sebagai SALAFIAH , tetapi mereka sebenarnya bukanlah Salafiah kerana kehidupan mereka sendiri masih banyak yang tersasar daripada manhaj Salafus Solihin dan ilmu mereka pula masih banyak yang perlu ditampung dan yang malang sekali mereka yang mendakwa sebagai salafiah ini juga rupa-rupanya masih ada karat-karat taqlidnya dan ada pula yang menyokong fahaman-fahaman dan perjuangan-perjuangan yang sesat seperti Sekularisme itu !!!.

Kami akan menyatakan pandangan tokoh-tokoh Tasawuf mengenai pandangan mereka terhadap ilmu yang perlu dimiliki oleh setiap mereka yang mahu “ terjun “ ke dalam Alam Tasawwuf yang sebenar.

Berkatalah Imam Al-Junaid ( rh ) : .

“ Sesiapa sahaja yang tidak mampu menghasilkan ilmu-ilmu yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah, maka dia bukanlah sufi – ahli tasawwuf – yang sebenar ! “.

“ Dan sesiapa sahaja yang tidak menghafal Al-Quran , dan tidak pula menulis Al-Hadis ,tidaklah boleh dijadikan panduan di dalam hal ini – Ilmu Tasawwuf . Kerana Ilmu kami ini terikat dengan asal-usul Al-Quran dan As-Sunnah “..

Imam At-Tusturi ( rh ) pula menyatakan : .

“ Usul metode kami ini ada 7 perkara iaitu : (1)- Berpegang teguh dengan Al-Quran , (2)- Mengikuti As-Sunnah , (3)- Makan makanan yang halal , (4)- Menahan diri daripada menyakiti orang lain , (5)- Menjauhi maksiat-maksiat, (6)- Melazimi diri dengan taubat dan (7)- Memberikan hak-hak kepada setiap yang berhak menerimanya “.
.

Imam Abu Yazid Al-Bustami (rh) pula menyatakan : .

“ Jika kamu melihat seseorang yang diberikan keramat-keramat sehingga boleh berjalan di atas air dan boleh terbang di udara , janganlah kamu mudah terpedaya dengannya sehinggalah kamu memeriksa keadaannya ketika melaksanakan arahan-arahan agama dan meninggalkan larangan-larangannya , serta dia pula menjaga batas-batas agama dan melaksanakan tuntutan syariah “.
.

Terlalu banyak kata-kata para ulama’ Tasawwuf yang menggesa seseorang itu mendalami syariatnya – Ilmu Syariahnya – sehingga dia tetap berada di atas landasan syariah ( peraturan ) Allah Ta’ala walaupun dia sudah memasuki Alam Tasawwuf. Kami rasa tidak perlukan kami menyatakan kesemuanya memandangkan ianya tidak sesuai dengan penulisan di alam maya ini yang terhad ruangnya !.

**************************************

KITAB-KITAB YANG SESUAI BAGI MEREKA YANG BARU MEMPELAJARI TASAWWUF

Ya benar sekali !, Kitab Ihya ‘ Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali merupakan kitab yang dianggap sebagai kitab muqaddimah ( tahap permulaan ) bagi mereka yang baru berjinak-jinak memperlajari Tasawwuf.

Selain itu banyak kitab – kitab Tasawwuf yang juga sesuai dengan mereka yang berada di tahap tersebut seperti Kitab Minhajul Abidin , Mukasyafah Al-Qulub dan Bidayatul Hidayah oleh Imam Al-Ghazali . Kitab Sirajut Tolobin ( Imam Al-Kadiry) , Al-Jawabul Kafi ( Imam Ibnul Qaiyim Al-Jawziyah ) dan Riyadhus Solihin ( Imam An-Nawawi ) .

Adapun kitab-kitab seperti Al-Hikam ( oleh Al-Imam As-Sakandari ) , Al-Futuhat Al-Ilahiyah ( Ibnu ‘Ajibah ) , Futuhat Al-Makkiyah ( Ibnul ‘Araby ) dan “ Al-Insan Al-Kamil “ ( oleh Al-Jaili ) adalah kitab-kitab yang hanya boleh dipelajari oleh golongan yang sudah benar-benar “ matang “ ilmu-ilmu keagamaannya , lebih-lebih lagi mengenai ilmu Usuluddin dan Ilmu Syariah. Apatah lagi huraian-huraian yang benar-benar sesuai dengan kehendak Islam ( Al-Quran & As-Sunnah ) hanya boleh dihuraikan oleh para mursyidin ( guru-guru pembimbing ) yang benar-benar mahir dan menguasai selok-belok ilmu-ilmu agama.

Mudah-mudahan Allah Ta’ala menyelamatkan kita daripada sebahagian manusia yang cuba mengeksploitasi nama Tasawwuf dan menyebabkan Tasawwuf yang sahih itu dipandang jelek dan sesat !. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

**************************************

Wallahu A’alam Bissowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN :

1- FATAWA Al-‘ALLAMAH IMAM ABDUL HALIM MAHMUD – Jilid I , ms 366 ( Darul Makrifah, Kaherah ) .
2- ABJADIYAH AT-TASAWWUF AL-ISLAMI – Al-‘Allamah Syeikhuna Muhammad Zaki Ibrahim – ms 16.
3- MENGENAL DIRI DAN WALI ALLAH – Mustapha Mohamed Al-Jiasi – ms 51, Pustaka Aman Press , K.B.
4- TASAUF – Almarhum Prof. Dr. HAMKA – ms 93 , Pustaka Panjimas, Jakarta.

æ Åáì ÇááÞÇÁ Åä ÔÇÁ Çááå ÊÚÇáì
æÇáÓáÇã ÚáÈßã æ ÑÍãÉ Çááå æ ÈÑßÇÊå

24 / Rajab / 1423 H
2 / Oktober / 2002 M

Rabu – Bandaraya Kaherah