:salam
Ustaz Haji Kamin yang dihormati ;
Bagaimanakah hukumnya seseorang isteri menggantikan tawaf bagi suaminya ketika menunaikan Haji @ Umrah ?, walhal tawaf rukun sudah pun ditunaikan oleh suaminya sendiri . Ini disebabkan tiba-tiba suaminya jatuh sakit selepas menunaikan tawaf rukun .
Dan apakah masalah tawaf rukun yang digantikan ini boleh disamakan dengan haji ganti ( badal ) ? .
Harap mendapat penjelasan yang menyeluruh dan jelas .
Sekian . Terima Kasih . :wassalam
wa'alaikumussalam
Alhamdulillah. Terima kasih Kaklong kerana masih bersama al-ahkam.net. Mengenai soalan fiqh al-ahkam ini, tidak payahlah Kaklong mengajukan soalan ini terus kepada saya. Untuk tidak menghampakan, saya akan cuba menjawabnya dengan kadar kemampuan yang ada. Kiranya, jawapan ini tidak memadai, bolehlah mengemukakan soalan tambahan kepada pihak al-ahkam sekali lagi. Insyaallah.
Apa yang saya faham dari soalan kaklong ialah, tawaf suaminya sudah sempurna, tetapi isterinya masih melakukan 'gantian' keatas tawafnyanya. Jika suaminya yakin bahawa tawafnya sempurna, maka tidak perlulah ia melakukan sekali lagi. Persoalan yang timbul sekarang, apakah boleh tawaf itu diganti dengan mewakil orang lain? Bagi memudahkan penerangan, kita pilih ibadat Haji sebagai misal.
Tawaf merupakan salah satu dari rukun haji (termasuklah Niat, Wuquf, Saie, Bergunting & tertib pada kebanyakkan rukun - Al-Syafie). Sekiranya tidak sempurna Tawaf tersebut, maka tidak sempurna Hajinya. Maka terpaksalah ia mengqadha'kan Hajinya kembali. Ia berlainan dengan wajib Haji (eg: Niat ihram di Miqat, melontar Jumrah dan sebagainya), dimana jika wajib Haji ditinggalkan, ia dikenakan dam dan hajinya sah. Dengan kata lain, jika salah satu dari rukun Haji tidak dilakukan, maka batalkah Haji seseorang itu[1] - (Fiqh 4, 1/511) atau Dr Wahbah Zuhaily (Fiqh Islami 3/99) mengatakan bahawa ibadat hajinya tidak sah.
1. Bolehkah seorang itu menggantikan TAWAF seseorang atau mewakilkannya? Apakah hukum menggantikannya?
a. Tawaf tidak boleh diwakil atau diganti oleh orang yang lain. Kalau uzur, kita boleh mengupah orang memikul atau menolak dengan menggunakan bantuan kerusi roda.
b. Hukum menggantikannya pada pandangan kami terbahagi kepada dua:
i. Melakukan sesuatu yang tidak disyara'kan oleh Islam dengan sengaja, pada hal ia mengetahui rukun-rukun haji, hukumnya berdosa. Ia merupakan satu perlakuan bid'ah, iaitu mengadakan ibadat yang tidak ada atau sesuatu yang baru didalam agama!
ii. Melakukan sesuatu yang tidak disyara'kan kerana kejahilan, ia merupakan suatu kemaafan. Moga Allah swt mengampunkan dosa kita, dan semoga kita dapat mempertingkatkan ilmu pengetahuan didalam ibadat haji ini. Nastagfirullah.
Katakanlah seperti scenario yang Kaklong beri, Tawaf seseorang itu sempurna, tetapi belum sempat melakukan Saie (salah satu rukun haji juga) akibat SAKIT,
Bekas Mufti Saudi, Sheikh Abdul Aziz bin Baaz didalam fatwa Haji no:155, apabila beliau telah ditanya oleh seorang rakyat Mesir mengenai keadaann bapanya yang tidak boleh melakukan tawaf dan saie. Kata beliau:
Shiekh Bin Baaz menyarankan agar anaknya membantu (kerusi roda dan pikul) semasa bapanya merasa tenaganya telah pulih.
2. Apakah sama dengan Haji Badal??
Menggantikan tawaf tidak di syara'kan didalam Islam. Ia tidak sama dengan Badal Haji. Badal haji ialah ibadat yang sah disini Islam dan haji seseorang dilakukan dengan menggunakan wakil. Ia hanya boleh dilakukan untuk seorang didalam satu musim Haji sahaja. Dan syarat melakukan badal haji ialah, seseorang itu mestilah sudah pernah menunaikan haji untuk dirinya sendiri. Cuma ulama berselisih mengenai isu samada boleh menunaikan Badal Haji bagi orang yang masih hidup atau tidak.
Contoh Badal Haji, Si Ali hendak menunaikan haji mewakili bapanya Ahmad (yang telah meninggal dunia atau sakit yang tidak mempunyai harapan untuk sembuh). Maka pemergian Ali ke Mekah, apabila sampai musim haji, Niat ihram hajinya ialah bagi pihak ayahnya. Dengan ertikata lain, Ali akan mengerjakan seluruh rukun dan wajib haji bagi pihak bapanya sahaja (dan bukan untuk dirinya dan juga bukan untuk orang lain). Sehinggalah beliau sempurna melakukan haji bagi pihak bapanya.Maka haji pada musim tersebut dilakukan oleh Ali khususnya untuk Ahmad.
Syarat-syarat Badal Haji, Kaklong boleh merujuk kepada SJ yang lepas :
sila klik : SJ - 2241 : UPAH HAJI
Kesimpulannya ialah Tawaf tidak boleh wakilkan (pengganti) dan ia merupakan salah satu rukun daru rukun-rukun Haji. Meninggalkan tawaf akan menyebabkan Hajinya tidak sah. Contoh perbuatan Haji yang boleh diwakilkan semasa berkeadaan uzur ialah melontar jamrah dan ia merupakan Wajib Haji. Badal Haji merupakan satu kaedah mewakilkan seseorang yang telah mati atau sakit yang tidak akan sembuh, dimana keseluruhan pelbelanjaan haji ditanggung oleh orang yang berhajat. Wakil Haji hanya akan melakukan Haji untuk orang yang diwakilkan sahaja (satu orang) didalam satu musim.
wallahu 'alam
-wassalam-
----------------------
Rujukan :
1. Abdul Rahman Al-Jaziry. Kitabu Al-Fiqhi 'ala mazaahibi Al-Arba'ah.Kaherah : Dar Al-Manar, 1999.
2. Dr. Wahbah Zuhaily. Fikh Al-Islami wa'adillatuhu - Jilid 3. cetakan ke 3. Damsyik : Dar al-Fikr, 1989
3. Sheikh Ahmad bin abdul Aziz bin Abdullah bin Baaz. Majmu' Fatawa Al-Sheikh Abdul Aziz Bin Baaz - Jilid 7. Riyad : Dar Al-Watan, 1997. ms. 186.
خيرالأمين