Oleh Dr Abdul Basit Abdul Rahman (www.abuanasmadani.com)
Buku ini telah ditulis seorang pensyarah di Jabatan Syariah, Universiti Islam Madinah, al-Madinah Munawwarah, iaitu Syeikh Prof Dr Muhammad bin Husain Al-Jizani hfz. Beliau adalah salah seorang guru ana dalam subjek Usul-Fiqh di UIM, seorang yang baik dan petah berhujjah. Telah mendapat gelaran “Ustaz” Professor Usul al-Fiqh pada tahun 2010.
Antara hasil tulisan dan kajian beliau dalam bidang Fiqh dan Usul:
معالم أصول الفقه عند أهل السنة والجماعة - رسالة الدكتوراة
فقه النوازل، دراسة تأصيلية تطبيقية - 4 مجلدات
قواعد معرفة البدع.
معيار البدعة، ضوابط البدعة على طريقة القواعد الفقهية.
ضوابط الحكم على البدعة والمبتدعة.
سنة الترك ودلالتها على الأحكام.
دراسة وتحقيق قاعدة “الأصل في العبادة المنع”.
قاعدة المصالح في الشريعة الإسلامية.
إعمال قاعدة سد الذرائع في باب البدعة
حقيقة الضرورة الشرعية وتطبيقاتها المعاصرة.
القواعد الفقهية والأصولية المؤثرة في تحديد حرم المدينة النبوية.
تهذيب كتاب الموافقات للشاطبي.
بناء الأصول على الأصول.
فصول من كتاب الانتصار لأصحاب الحديث
Di sini insya’Allah ana nukilkan muqaddimah dan khatimah kitab ini sahaja. Ianya untuk memahami dan memberi idea tentang isi kandungan dan khulasah kitab secara umum.
Kata Muallif –hafizahullah-:
Al-Muqaddimah:
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، أما بعد:
Bahawasanya at-Tabdi’, iaitu menghukumkan bid’ah dalam masalah-masalah ijtihad adalah merupakan hukum Syara’. Maka sepatutnyalah hukum ini dibahaskan dan dikaji masalah-masalahnya dengan teliti serta diketahui dhawabit (syarat-syaratnya).
Satu perkara yang pelik, kamu akan dapati ramai ahli ilmu berhati-hati untuk menjatuhkan hukum kafir terhadap masalah-masalah ijtihad kerana ianya sangat bahaya dan amat besar kedudukannya. Tetapi yang amat mendukacitan ialah mereka begitu mudah menjatuhkan hukum bid’ah dalam perkara tersebut dengan memandang remeh kepada keadaan bid’ah itu.
Maka di sini sangat jelas kepada kita bahawa menutup pintu tabdi’ dalam masalah ijtihad dan memberi amaran tentang bahayanya termasuk dalam perkara yang lebih utama untuk diberi perhatian bagi menjauhi dan menghindari dari mengeluarkan hukum kafir terhadap perbezaan dalam persoalan-persoalan ijtihad.
Dalam masalah ijtihad ini, kita bukan sahaja harus menutup pintu tabdi’, tetapi sepatutnya juga membuka ruang untuk berdialog dan berbincang secara baik serta membuat kritikan yang membina. Ini boleh menjadi sebab bagi orang-orang yang berbeza pandangan kearah berpegang dengan al- Thawabit dan menjaga al-Muhkamaat serta berta’awun di atas al-Birr dan al-Taqwa.
Dengan meninggalkan tabdi’ sesama orang yang beriman akan terhasil satu kemaslahatan agama dan Maqasid al-Syariah, iaitu mendekatkan jiwa, menjinakkan hati dan berkasih-sayang sesama umat Islam.
Kerana itu saya memilih untuk menulis di atas tajuk ini. Dengan memohon kepada Allah Jalla sya’nuhu agar memberi taufiq dan membetulkan kefahaman. Saya susun buku ini bermula dengan Muqaddimah dan enam tajuk utama.
Pendahuluannya mengandungi takrif bid’ah, takrif ijtihad dan Dhawabit masalah ijtihadiyyah.
Tajuk Pertama: Larangan Tabdi’ dalam masalah ijtihad.
Tajuk Kedua: Dalil-dalil Larangan Tabdi’ dalam masalah ijtihad.
Tajuk Ketiga: Tempat-tempat ijtihad dalam bab bid’ah.
Tajuk Keempat: Bilakah boleh Tabdi’ dalam masalah ijtihad.
Tajuk Kelima: Hukum Tabdi’ al-Mujtahid.
Tajuk Keenam: Beberapa kaedah Usul dn Fiqh yang berkaitan.
Al-Khatimah.
Penulis telah menyimpulkan dalam khatimahnya lapan perkara.
Pertama: Dhabit masalah Ijtihadiyyah; ialah satu hukum yang dikeluarkan dengan cara ijtihad, kerana tiada ijma’ atau nas yang qat’i dalam perkara tersebut. Dan jika ada nas sekalipun, ianya bersifat zhanni, ertinya boleh diterjemahkan kepada banyak kemungkinan dan ditakwil. (Ini kerana jika sudah nas yang jelas, tiada lagi ijtihad dalam perkara tersebut!)
Kedua: Ijtihad dan Tabdi’ ialah dua hukum yang bertentangan, tidak mungkin bersatu.
Ini kerana bila sabit sesuatu masalah itu daripada kategori ijtihadiyyah, tidak boleh menyifatkan pandangan seseorang mujtahid itu sebagai bid’ah.
Sebaliknya apabila sabit perkara itu satu masalah bid’ah, maka tidak ada jalan lagi untuk berijtihad, bahkan ia termasuk dalam khilaf yang dicela.
Ketiga: Di antara dalil-dalil larangan Tabdi’ dalam masalah ijtihad ialah: Mencipta perkara bid’ah itu dicerca keseluruhannya oleh Syara’. Bid’ah akan mendapat dosa, manakala ijtihad pula akan mendapat pahala (satu jika salah dan dua jika betul).
Terdapat satu lagi perbezaan yang ketara di antara ijtihad dan bid’ah; Setelah diteliti bid’ah tidak ada dalil-dalil Syara’ yang muktabar tentangnya (hanya dalil-dalil yang dhaif, bahkan sebahagiannya palsu!) Berbeza dengan pandangan yang lahir daripada hasil ijtihad. Kerana ia dibina di atas Usul Syara’ yang muktabar.
Maka masalah yang terhasil daripada rekaan itu akan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam. Adapun masalah ijtihad bukan punca perpecahan. Ikhtilaf juga telah berlaku di kalangan para sahabat ra dan tabien, tetapi mereka tidak mengatakan orang yang mempunyai pandangan berbeza daripada mereka itu sebagai bid’ah ataupun pemecah jamaah.
Keempat: Tempat-tempat ijtihad dalam bab bid’ah
Ada empat cabang:
- Hadis-hadis yang ada itu kesabitannya muhtamal. (mungkin sabit atau mungkin tidak). Contohnya; hadis yang menyebut tentang masyru’ menyapu dua tapak tangan ke muka selepas berdoa.
- Makna hadis itu mempunyai pengertian yang muhtamal (banyak kemungkinan/tafsiran). Contohnya; hadis yang menyebut tentang masyru’ meletak dua tangan ke dada ketika I’tidal.
- Ikhtilaf at-Tanawu’ (Perbezaan pendapat yang pelbagai) dalam sifat-sifat ibadat yang datang daripada Nabi saw. Contohnya; membaca qunut dalam solat subuh.
- Bab Sadd az-Zarai’. Iaitu menutup pintu-pintu yang boleh membawa kepada bid’ah. Contohnya; menggunakan biji tasbih ketika berzikir.
Kelima: Larangan Tabdi’ dalam ijtihad bukan secara umum. Bahkan terdapat dua bab ijtihad yang berlaku Tabdi’ padanya.
Pertama; Masalah-masalah ijtihadiyyah yang tidak beriltizam dengan Syara’. (Contohnya; satu perkara ijtihad itu boleh membawa kepada perbalahan umat Islam atau menjadi satu syiar (symbol) kepada kumpulan bid’ah, seperti membaca bismillah secara kuat ketika solat yang sirri (yang perlahan bacaannya).
Kedua; Ijtihad dalam Tahqiq al-Manaat, iaitu mencari ‘illah hukum. (Contohnya; mengkhususkan mana-mana hari dalam setahun untuk berpuasa, sedangkan ianya tiada dalam Syara’, seperti puasa pada awal bulan Rajab).
Keenam: Mujtahid adalah seorang yang faqih, baligh dan aqil serta mempunyai malakah (kekuatan/kemampuan) untuk mengeluarkan hukum daripada sumbernya. Menurut mazhab Salaf dari kalangan sahabat dan tabien, mujtahid yang mencukupi syarat ini, jika dia tersalah sekalipun, dia akan diberi keuzuran (ma’zur) dan tidak berdosa.
Iaitu dengan syarat mujtahid yang tersalah itu mempunya asas asal iman dan mempunyai niat yang betul untuk mencari kebenaran serta telah mencurahkan segala kemampuan dan tenaganya untuk mencari keredhaan Allah swt serta bertaqwa kepada Allah swt.
Ketujuh: Menamakan mujtahid yang tersalah dalam bab bid’ah itu sebagai mubtadi’ (ahli bid’ah) dibolehkan, jika tiga perkara yang menjadi syarat-syaratnya ini tiada, iaitu: Ikrah (paksaan), jahil dan tersalah dalam ijtihad iaitu takwil.
Pada ketika ini, kita mesti tahu membezakan di antara bid’ah dan mubtadi’. Maka tidak semestinya kita menghukumkan satu amalan itu bid’ah dan orang yang melakukannya itu sebagai mubtadi’. Kerana mungkin yang melakukannnya itu seorang mujtahid yang ma’zur (dengan 3 syarat di atas tadi).
Kelapan: Qadhiyah (isu) Tabdi’ dalam masalah ijtihad ini mempunyai hubungan/kaitan dengan qaedah usul dan qaedah fiqh.
- Qaedah: لا إنكار في مسائل الاجتهاد “Tidak Boleh Ingkar Dalam Masalah Ijtihad”.
- Qaedah: كل مجتهد مأجور “Setiap Mujtahid Itu Diberi Pahala”.
- Qaedah: الخروج من الخلاف مستحب “Keluar Daripada Perkara Khilaf Itu Mustahab – Dituntut”.
- Qaedah: لا اجتهاد مع النص “Tidak Boleh Ijtihad Sekiranya Ada Nas”.
- Pertama, Qaedah “Tidak Boleh Ingkar Dalam Masalah Ijtihad”. Ianya lebih umum daripada Qaedah “Tidak boleh Tabdi’ dalam masalah ijtihad”, kerana tabdi’ adalah salah satu dari jenis ingkar. Ingkar itu ada beberapa tingkat; paling kerasnya mengkafirkan orang yang melanggar Syariah, kemudian tabdi’ dan mengatakan berdosa serta fasik.
- Jelas pula hubungan Qaedah “Setiap Mujtahid Itu Diberi Pahala” dengan masalah larangan Tabdi’ dalam masalah ijtihad kerana para mujtahid itu apabila diberi pahala di atas ijtihadnya, maka mestilah kita tidak boleh men-tabdi’ dan mengatakannya berdosa. Ini kerana men-tabdi’kanya menjadikannya berdosa!! Tidak mungkin seorang mujtahid itu mendapat pahala dan berdosa dalam satu masalah yang sama.
- Adapun Qaedah “Keluar Daripada Perkara Khilaf Itu Mustahab”, hubungannya dengan masalah ini sangat jelas. Kerana qaedah ini menetapkan istihbab mengambil pandangan yang marjuh (tidak kuat) dalam masalah ijtihad, kerana dibimbangi mungkin ia yang betulnya (kerana semuanya tidak ada dalil). Maka lebih utama lagi tidak boleh ingkar dengan pandangan marjuh atau mencercanya, atau menjatuhkan hukuman bid’ah dan berdosa ke atas mujtahid yang mengatakannya.
- Manakala qaedah “Tidak Boleh Ijtihad Sekiranya Ada Nas”, maka apa yang dapat difahami daripadanya; apabila tidak ada nas maka boleh berijtihad. Secara jelasnya pula, adanya nas itu dalil bahawa tidak boleh ijtihad. Maka apabila boleh ber-ijtihad, terhalanglah daripada men-tabdi’ atau ingkar. Sekian.
Ulasan:
Buku ini membawa satu perbincangan yang baik, agar para pendakwah tidak cepat menjatuhkan hukuman dengan sewenang-wenangnya ke atas mereka yang tidak selari dengan pandangan atau kefahamannya. Ini kerana memahami sesuatu hukum itu samada ianya mempunyai nas qat’i yang jelas, yang tidak ada lagi ruang untuk berijtihad dalam hukumnya. Atau masalah yang tidak ada dalil sama sekali, atau ada dalil tetapi yang muhtamal, ini membolehkan ulama’ berijtihad dalam perkara tersebut. Dengan tasawwur yang jelas kepada masalah ini, boleh menyekat seseorang daripada terus melabelkan sesuatu masalah itu sebagai bid’ah atau sebaliknya.
Maka amatlah penting bagi para pendakwah dan Tolabatul-Ilmi untuk mendalami ilmu usul al-Fiqh, usul al-Hadis dan lain-lain. Serta tidak gopoh mengeluarkan hukum dan terlalu boros menjatuhkan hukum terhadap orang lain.
Semoga kejernihan dan keceriaan ilmu itu kembali bersinar, serta ukkhuwwah dan mawaddah sentiasa subur dalam masyarakat.
Akhirnya sama-sama kita renung pesanan Syeikh Abdul Aziz bin Baz rhm:
،هذا العصر: عصر الرفق، والصبر، والحكمة، وليس عصر الشدّة. الناس أكثرهم في جهل، في غفلة وإيثار للدنيا، فلا بدّ من الصبر”
ولا بدّ من الرفق؛ حتى تصل الدعوة، وحتى يبلغ الناس، وحتى يعلمو. ونسأل الله للجميع الهداية”. [مجموع فتاوى سماحته 8/376. و 10/91
Maksudnya: “Zaman ini, zaman berlemah-lembut, bersabar dan berhikmah. Bukan lagi zaman “Syiddah” (menggunakan kekerasan), manusia kebanyakannya dalam keadaan jahil, lalai dan mengutamakan dunia. Maka para pendakwah mestilah bersabar, bersifat lemah-lembut, supaya dakwah kita dapat sampai kepada mereka dan sehingga mereka mengerti. Kami memohon kepada Allah SWT agar memberi hidayah kepada semua.”
و صلى الله و سلم على حبيبنا المصطفى وعلى آله ومن سار على نحجه إلى يوم الدين
Al-Faqir ilallah;
Abu Anas Madani, PSD, 19 J.2 1432H- 23/5/2011.
Perhatian: Buku ini dalam proses terjemahan oleh sahabat ana, tunggulah kelahirannya, nanti kita wacanakan… insya’Allah