Dari http://www.zaharuddin.net/content/view/847/72/
Hukum sijil simpanan premium telah lama ditanya kepada saya. Sekitar tahun 2006 saya pernah memberikan respon ringkas namun tidak mempunyai kata putus disebabkan kekurangan informasi.
Dari masa ke semasa saya masih sesekali meninjau perkembangan Sijil Simpanan Premium ini. Sebagai yang pernah saya sebutkan di dalam ulasan sebelum ini, beberapa perkara perlu dilihat untuk menentukan status hukum bagi Sijil Simpanan Premium, iaitu :-
- Wang terkumpul hasil simpanan orang ramai, ke mana dilaburkan? Dan siapa yang memantau?
- Apakah kontrak yang digunakan antara penyimpan dan pihak BSN ? Adakah wadiah, mudarabah atau Qard?
- Hadiah yang ditawarkan melalui cabutan adakah ia judi ?
- Adakah produk Sijil Simpanan Premium ini diletakkan di bawah BSN Islamic Bank dan telah mendapat pengesahan Majlis Shariahnya?
Tanpa maklumat yang mencukupi, kesemua empat perkara tersbeut di atas tidak akan dapat disemak dengan adil lagi tepat. Hasilnya saya gagal memberikan sebarang pandangan berkenaan statusnya.
PERKEMBANGAN
Namun demikian, pada awal tahun 2008, saya bertemu dengan seorang bekas Pegawai BSN Islamic Banking di Pesta Buku Antarabangsa, ketika itulah saya mula mendapat lebih banyak maklumat dari bekas orang dalam BSN sendiri. Beberapa persoalan yang kabur sebelum ini telah terjawab. Tatkala itu status hukum untuk SSP yang mampu saya rumuskan adalah, ia adalah tidak patuh Shariah atau dalam kata lainnya, ia haram kerana wang yang terkumpul dilaburkan secara halal dan haram tanpa sebarang pemantauan. Saya juga dimaklumkan tiada sebarang kontrak jelas antara penyimpan dan BSN, serta produk ini tidak disahkan oleh Majlis Syariah BSN Islamic.
Namun demikian, saya masih sukar untuk menulis apa-apa secara terbuka kerana kebanyakan maklumat adalah secara verbal tanpa bertulis.
Sehinggalah Julai 2009 ini, satu Seminar Kewangan Islam akan dianjurkan oleh USIM. Saya turt menyumbang satu kertas kerja untuk pembentangannya pada 16 Julai 2009, namun kemungkinan besar saya tidak dapat hadir. Cuma sewaktu meneliti tajuk-tajuk pelbagai kertas kerja para pembentang saya terlihat satu tajuk yang berkaitan iaitu :-
"The Issue of Gambling in Premium Savings Certificate (Sijil Simpanan Premium) of Bank Simpanan Nasional in Malaysia: An analysis from the Shariah perspective"
Saya dengan segera menghantar email kepada penulisa dan pembenatnag yang juga merupakan Pengerusi Majlis Penshaiat Syariah BSN Islamic.
Dan berikut adalah petikan email beliau kepada saya memberitahu hasil kajiannya :-
Sebenar ada berberapa isu Syariah berkaitan SSP antaranya:
- 1- Persoalan sama ada SSP ada unsur perjudian, tetapi berdasarkan operasi SSP, tiada judi.
- 2- Qard, kerana dari segi perundangan, akaun SSP adalah satu qard daripada BSN, so BSN tak boleh janji sebarang hadiah kerana "Kullu qardin jara naffan fahua riba".
- 3- Investment, diurus secara konvensional, bercampur-aduk riba dan non-riba. Lagi pun BSN sendiri dari segi pentadbiran dan akaun memang menganggap SSP sebagai produk konvensional.
Solutionnya ialah mengikut apa yang dilaksanakan oleh Bank Islam, kerana kebetulan yang design "SSP-i" asalnya staff BSN, kemudian berpindah ke Bank Islam.
Bagi sesiapa yang inginkan perbincangan dan perdebatan lanjut berkenaan hal ini, hadirlah ke pembentangan kertas kerja tersebut di persidangan ini .
KESIMPULAN
Jika demikian, hasil kajian beliau adalah sama dengan hasil kajian awal saya cuma tidak mampu saya coretkan secara bertulis kerana ketiadaan autoriti dan bukti bertulis.
Saya bersetuju bahawa hadiah kereta dan sebagainya yang diberi melalui cabutan nombor sijil yang dipegang oleh penyimpan adalah bukan judi. Ia jelas kerana pihak penyimpan tidak mengalami sebarang kerugian walau tidak terpilih. Justeru ia bukan judi yang sifatnya mendedahkan peserta kepada rugi jika tidak terpilih, untung jika menang. Hal itu tiada dalam sistem cabutan SSP.
Saya juga bersetuju bahawa kontrak di antara BSN dan penyimpan adalah qard atau pinjaman, Justeru, sebarang hadiah atau dividen yang dijanjikan oleh BSN (jika ada) adalah riba berdasarkan hadis dan ijma ulama.
Saya juga bersetuju bahwa apabila wang terkumpul disalurkan kepada pelaburan bercampur halala hdan haram, ia sama sekali TIDAK PATUH Shariah YANG TIDAK BOLEH disertai oleh mana-mana orang Islam.
Justeru itu, apakah hukum Sijil Simpanan Premium BSN ?
Saya difahamkan pihak BSN Islamic sedang bertungkus lumus memperbaiki system sedia ada SSP kepada cara dan keadah Islam. Sementara belum wujudnya produk SSP Islam, menyertai SSP yang sedia ada adalah sama seperti menyimpan di dalam sebuah akaun riba di mana-mana bank konvensional. Hukumnya juga adalah sama, iaitu haram, menyertainya juga haram.
Majlis Syariah BSN Islamic juga tidak memberikan sebarang pengesahan patuh Shariah kepada produk SSP ini. Saya juga difahamkan bahawa pihak JAKIM juga telah dimaklumkan berkenaan hal ini dan mereka sedang melakukan tindakan yang sewajarnya untuk menanganinya.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
07 Julai 2009