BAB 2: ISU MARTABAT TUJUH

Primary tabs

BAB 2

ISU MARTABAT TUJUH

Bagaimanakah isu Martabat Tujuh ini pada masa kita sekarang? Pernahkah isu Martabat Tujuh ini menjadi isu hangat dalam sejarah Nusantara? Pada masa sekarang, Martabat Tujuh ini sudah merebak di kalangan penganut Ajaran Sesat Wahdat al-Wujud yang disenyawakan dengan Batiniah.

Bagi orang yang menyedarinya, ini adalah satu gejala yang mengancam 'Aqidah Ahli Sunnah. Pada zaman silam, sekitar awal abad dua puluh ini (sekitar zaman Perang Dunia Pertama) isu Martabat Tujuh menjadi hangat di Alam Nusantara.

Kedengaran suara yang mengatakan bahawa Martabat Tujuh ini adalah ajaran Imam Ghazali dan ada fatwa yang mengatakan bahawa, "sesiapa yang tidak tahu Martabat Tujuh sedangkan itulah Ilmu Batin dan isi Syari'at maka jika tiada mengetahui akan dia seseorang ditakuti mati atas kafir." Maka timbullah kegelisahan di kalangan masyarakat di Nusantara, yang diistilahkan dengan Negeri Jawi pada zaman itu, (sumber tidak jelaskan di daerah mana) lantas dibawa perkara ini kepada pakar rujuk Syaikh Ahmad Khatib berasal dari Minangkabau yang tinggal di Makkah.

Hal ini berlaku dalam tahun 1328 Hijrah (1909M). Syaikh Ahmad Khatib menafikan bahawa Martabat Tujuh itu ada kaitan dengan Imam Ghazali dan beliau menyelar mereka yang melibatkan diri dengan Martabat Tujuh ini dengan mengatakan bahawa, "mereka melibatkan diri daripada golongan orang jahil, segalanya menyalahi Syari'at Nabi dan menjadikan bersatu Tuhan dengan hamba, dan tiada ia daripada kalam Imam Ghazali, ghalibnya kufur dengan Allah Ta'ala... dan tiada pula daripada perkataan orang alim, tetapi ia daripada perbuatan orang jahil yang melihat ia akan perkataan ahli Wahdat al-Wujud..."

Jadi, menurut Syaikh Ahmad Khatib, Martabat Tujuh Wahdat al-Wujud ini tidak ada asal daripada al-Qur'an dan Sunnah? Memang Wahdat al-Wujud tidak ada asal daripada al-Qur'an dan Sunnah yang sahih. Maka bercanggahlah dengan Ahli Sunnah yang berpegang dengan al-Qur'an dan Sunnah iaitu menurut cara Nabi s.a.w. dan para Sahabat.

Bagi Ahli Sunnah, hakikat wujud ialah Ithnainiyat al-Wujud (Dua Wujud, Wujud Allah Pencipta dan wujud makhluk yang dijadikan daripada tiada kepada ada). Maka inilah pegangan Ahli Sunnah wa al-Jama'ah. Wahdat al-wujud dan Ithnainiyat al-Wujud adalah dua konsep yang bercanggah.

 


 

Isikandungan Buku: