Soal:
Syarikat saya sering mengadakan seminar motivasi untuk pekerja. Penceramah seminar sering mengambil contoh dan kata-kata dari pakar motivasi bukan beragama Islam seperti Anthony Robbins dll. Dan juga mencadangkan kami banyak membaca buku tulisan mereka seperti "Unlimited Powers, Personnel Power".Apakah pandangan ustaz akan hal ini. Dan bolehkan dicadangkan di sini buku-buku Motivasi yang ditulis oleh orang Islam.
Terima Kasih.
---------------------------
[email]sas@mastic.gov.my[/email]
--------------------------
Jawapan
Alhamdulillah, inilah jawapannya:
Kita sudah tentu biasa mendengar nama-nama seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Sina, al-Masudi, Miskawaih, Ibnu Khaldun, al-Biruni, Ibnu Rushd, Ibnul Haiyyan, Umar al-Khaiyam, al-Khawarizmi dan lain-lainnya. siapakah mereka?
Mereka adalah para cendikiawan dan ilmuwan Islam yang menjadi jaguh dalam bidang masing-masing pada zamannya. Malahan, tamadun hari ini wajib berterimakasih atas sumbangan besar yang telah diberikan oleh mereka. Tamadun modern hari ini adalah kesinambungan dari tamadun yang telah dicipta oleh para cendikiawan Islam dahulu. Walaupun kegemilangan mereka cuba dipadam dari lipatan sejarah, namun hakikat kebenarannya tiada siapa yang boleh mengubahnya.
Bagaimana tamadun kegemilangan Islam yang tiada tandingnya walau dizaman manapun bermula? Mereka tidak bermula dari atas.. Mereka tidak bermula dari bawah.. Mereka bemula dari bawah. Mereka merangkak-rangkak dari bawah.
Semangat dan keazaman mereka ini semenjak awal lagi telah dipacu oleh al-Quran dan Sunnah kekasihNya Muhamad s.a.w. Kegelapan yang mengurung kotak pemikiran mereka semasa zaman jahiliah bertukar kepada cahaya yang terang benderang dengan datangnya nur Islam. Cuba bayangkan, dari sebuah bangsa yang tidak bertamadun, gemar berkelahi, keras hati, yang sanggup menanm anak perempuan hidup-hidup – sehingga para penakluk tidak sanggup untuk menjajah – telah bangkit dengan mencipta tamadunya sendiri yang tiada duanya di atas mukabumi ini.
Dari mana mereka bermula? Dengan semangat al-Quran dan al-Sunnah mereka memindahkan teknologi luar ke negara Islam. Segala ilmu yang ada di negara mana sahaja, sejauh manapun jaraknya mereka usung pulang. Sesampainya di negara Islam, mereka pelajari, kaji, kembangkan dan seterusnya disemadikan di dalam bentuk penulisan, kuliah, praktik dan sebagainya. Dari pelbagai ilmu yang di import, mereka tidak menelannya begitu sahaja. Ianya diproses semula dan diadun bersandarkan kepada petunjuk wahyu dengan penuh rasa ghairah. Mereka berkeyakinan ilmu yang benar tidak akan bertentangan dengan wahyu.
Akhirnya, dengan ilmu-ilmu yang mereka proses dan adun semula telah membawa kepada kejayaan pembinaan tamadun yang berdiri dengan idientitinya sendiri.
*******************
Antara kejayaan cemerlang mereka dalam bidang keilmuan Islam adalah disebabkan oleh keperluan mereka terhadap perkara berkenaan dalam perkara-perkara yang menyangkut soal hukum-hakam syarak. Sebagai contohnya, umat Islam diwajibkan untuk mengerjakan sembahyang fardu lima waktu dan puasa di bulan Ramadhan. Kewajipan ini amat berkait rapat dengan ilmu pengetahuan Geografi dan Astranomi. Mereka diwajibkan lagi dengan zakat. Ia amat berkait rapat dengan ilmu matematik dan perakaunan. Kewajipan ibadah Haji pula amat berkaitan dengan ilmu pengangkutan, geografi dan kedoktoran. Umat Islam di arahkan agar mempertahan negara dari serangan musuh. Dengan ini mereka perlulah mendalami ilmu persenjataan dan peperangan dengan sebaik-baiknya agar Islam akan tetap terus terpelihara. Mereka menuntut ilmu-ilmu yang ada hubungannya dengan hukum-hakam Allah agar mereka dapat mengabdikan diri kepada Allah dengan cara yang lebih sempurna.
Lihat pula zaman yang kita berada sekarang ini, kita berkemampuan mengulang kembali sejarah yang pernah diciptakan oleh umat Islam terdahulu. Dengan cara yang sama. Dengan pendorong yang sama. Dengan semangat yang sama. Zaman kita ini amat memerlukan kepada teknolgi-teknologi baru yang akan menjadikan pengabdian kita kepada Allah Taala lebih baik dan sempurna lagi.
Kita sepatutnya berusaha mengubah kecelaruan sistem pendidikan yang ada kepada satu sistem yang lebih efektif. Kecelaruan ini menyebabkan kaburnya arah tujuan. Ke mana hendak di bawa segenggam ilmu yang ada ini. Sistem baru yang perlu diwujudkan ini, hendaklah suatu sistem yang beransur-ansur membawa ke arah – menjadi tuan kepada ilmu. Oleh itu, Islamisasi ilmu perlu dilakukan secara berterusan.
Seruan yang dilaung-laungkan oleh Jamaluddin al-Afghani, Muhamad Abduh dan Rashid Redha suatu ketika dahulu supaya umat Islam kembali secara total kepada al-Quran dan sunnah adalah titik permulaan zaman kebangkitan abad 20. Ketika sebahagian umat mengharamkan mempelajari ilmu-ilmu modern dari barat, manakala sebahagian yang lain secara tanpa batasan menelan bulat-bulat ilmu-ilmu berkenaan, mereka dengan tenang memaparkan jalan penyelesaiannya.
Pembaharuan ini adalah suatu yang pahit untuk didirikan walaupun hasilnya amat manis sekali. Ia banyak menelan korban (bukan berbentuk nyawa). Tokoh-tokoh reformasi ini terpaksa menelan dengan pahit terhadap caci maki sebahagian umat. Malahan sampai ke tahap mengkafirkan. Beberapa tokoh sekular Mesir seumpama Thoha Husain adalah di antara korbannya. Beliau pengkagum tamadun barat yang tergelincir pemikirannya dari idea asal Muhamad Abduh. Namun jangan pula kita lupa, dari tangan beliau (muhamad Abduh) lahirlah tokoh-tokoh penggerak umat ini. Kemudian genarasi berikutnya, lahirlah beberapa tokoh lain yang menjadi pembaharu pada zaman masing-masing, seperti Hasan al-Banna dll.
Dengan seruan Muhamad Abduh agar pintu ijtihad dibuka semula dan taklid perlu dihapuskan, maka terongkailah kebekuan dan ketertutupan yang melanda para ulamak sebelum ini. Para ulamak mula melakukan reformasi (sehingga kini masih terus berjalan) terhadap ilmu-ilmu syariat. Banyak masalah fikah yang melanda umat abad ini dapat diselesaikan dengan begitu baik sekali. Sehinggakan kita dapat melihat fikah itu hidup segar kembali, berkembang dan sesuai dengan peredaran zaman. Pembahasan, rujukan dan kajian dari kitab-kitab klasik dibuat dengan cara baru yang lebih praktikal. Bukan dengan cara yang akan membawa kita kembali semula kepada zaman kitab-kitab itu ditulis. Jika dahulu, mempelajari kitab-kitab karya ulamak silam bermakna – pelajar kena tutup mulut. Wajib ikut! Tetapi sekarang, diserapkan agar mempelajarinya secara kritis.
Hasilnya, kita dapat melihat penyelesaian hukum-hakam syariat yang hidup seperti metode yang dipraktikkan oleh Dr. Yusof al-Qardhawi, majlis fatwa al-Azhar dan dari jabatan Syeikh al-Azhar sendiri.
****************
Ketika kami belajar di pondok dahulu, bukanlah semua yang diajar itu dari ilmu-ilmu syariat. Subjek-subjek akademik juga ada diajarkan, seperti ilmu logik (mantiq), ilmu astranomi/falak (sebahagian pondok), ilmu hisab, ilmu al-Balaghah, nahu, sorof dsbnya.
Dari sudut objektifnya.. Ilmu-ilmu ini kami pelajari untuk dijadikan sebagai alat memahami ilmu-ilmu syariat. Seperti ilmu balaghah, kami pelajari agar dapat memahami bentuk-bentuk penggunaan ayat di dalam al-Quran.
Ilmu logik pula adalah salah satu dari cabang ilmu falsafah yang disusun oleh dari Aristotle. Ia kami pelajari untuk memahami isikandungan kitab-kitab klasik tauhid (ilmu kalam). Oleh kerana kitab-kitab tersebut banyak yang disusun pada zaman kegemilangan ilmu falsafah, maka isikandungannya banyak menghentam idea-idea dari golongan yang bertentangan. Mereka juga menggunakan pendekatan ilmu logik dalam menyampaikan idea-idea mereka. Dalam kitab-kitab ini juga mengetengahkan metode mengenal Allah dengan cara ilmu logik (yang disesuaikan dengan syarak). Contoh, Allah itu wujud. Apa dalil aqlinya? Ada alam ini, kerana setiap benda mesti ada yang menciptakannya. Mustahil alam ini ada tetapi tiada yang menciptakannya. Oleh itu Allah itu wajib ada. Mustahil Allah itu tiada…. Inilah adalah pendekatan ilmu logik. Ilmu logik juga dipelajari untuk memahami kitab-kitab usul fikah dan lain-lainnya yang berkaitan secara tidak langsung.
Point yang hendak diketengahkan di sini ialah, ilmu logik yang kami pelajari adalah versi klasik. Sedangkan ilmu logik sudah semestinya berkembang dengan pesat sebagaimana ilmu-ilmu lain. Kami dizaman modern ini sepatutnya bukan mempelajari ilmu logik versi lama tetapi versi baru. Sebab apa? Sebab ilmu tersebut terhenti perkembangannya (ilmu logik berteraskan wahyu) selepas jatuhnya tamadun Islam. Yang berkembang sekarang berkemungkinan sukar untuk disesuaikan dengan praktik terhadap ilmu-ilmu syariat. Ia perlu diperoses semula. Boleh jadi, perlunya seseorang yang melakukan proses semula teori Edward de Bono..
Ilmu logik adalah ilmu berfikir dengan cara yang betul. Dianggap sebagai ilmu segala ilmu. Ia banyak menekankan tentang definasi. Setiap sesuatu perlu diberi definasi terlebih dahulu, kemudian barulah diselesaikan masalah yang dihadapi. Dan, dikatakan bahawa tamadun barat berdiri atas ilmu ini, dengan menekankan terhadap definasi sesuatu.
Begitu juga dengan ilmu astranomi, sebahagian pondok masih menggunakan teori-teori dan peralatan klasik sedangkan ia telahpun banyak menerima perkembangan.
Perbicaraan khusus adalah diperlukan untuk membahas soal-soal ini.
*****************
Setelah, meneliti penjelasan di atas, kita kaitkan pula dengan soalan yang saudara kemukakan:
Syarikat saya sering mengadakan seminar motivasi untuk pekerja. Penceramah seminar sering mengambil contoh dan kata-kata dari pakar motivasi bukan beragama Islam seperti Anthony Robbins dll. Dan juga
mencadangkan kami banyak membaca buku tulisan mereka seperti "Unlimited Powers, Personnel Power".
Apakah pandangan ustaz akan hal ini. Dan bolehkan dicadangkan di sini buku-buku Motivasi yang ditulis oleh orang Islam.
Jawapan: Soalan saudara adalah di sekitar boleh atau tidak kita mempelajari, membaca ilmu-ilmu yang ditulis oleh orang kafir. Berikut ini saya terjemahkan fatwa yang diberikan oleh Syeikh Athiyah Saqar di dalam Ahsanul Kalam, vol 10, hal 676:
Soal: Apakah hukum dari sudut agama mempelajari subjek-subjek falsafah yang ditulis oleh para ulamak Islam atau yang bukan Islam? Dan sejauh manakah bahayanya serta manfaatnya dengan mempelajari subjek-subjek berkenaan?
Jawab: Tidak mengapa mempelajari subjek-subjek falsafah, jika ia bertujuan untuk meluaskan pemikiran dan memperbandingkannya dengan Islam. Mana-mana yang bersesuaian kita terima, jika tidak kita tolak serta memperjelsaskan bentuk penolakkan tersebut. Atas asas inilah beberapa buah buku (kitab) telah dihasilkan yang membicarakan tentang Agama, aliran dan pelbagai aqidah- yang betul dan yang tak betul. Ia di bahas dan didiskusikan oleh para ulamak secara ilmiah menurut pertimbangan agama dan akal yang sihat.
Terdapat bahaya yang besar terhadap orang yang mempelajarinya tanpa dapat membezakan antara yang haq dan yang batil, atau menolak yang batil tanpa penjelasan tentang kebatilannya.
Al-Quran sendiri ada menyebutkan tentang qaidah-aqidah orang yang engkar kewujudan Allah, atheis dan yang mengengkari hari kebangkitan, hisab dll. Dengan menyebutkan dalil di atas kebatilan apa yang mereka I’tikadkan. Ini dilakukan oleh al-Quran, sebagaimana ia ada menerangkan dalil-dalil tentang akidah-akidah yang benar yang dibawa oleh Islam.
Dahulu, masalah ini pernah dipertelingkahkan mengenai hukum mempelajari ilmu logik yang diasaskan oleh orang-orang Yunan klasik. Sebahagian ulamak membolehkan, sebahagiannya mengharamkan:
Ibnu al-Sholah dan al-Nawawi mengharamkan. Sebahagiannya mengatakan perlu dipelajari, dan sebahagian yang lain mengatakan harus (jaiz) sahaja.
Maksud harus di atas ialah bagi orang yang mampu membezakan antara yang baik dan yang buruk dari ilmu ini. ………”
*****intaha Athiyah Saqar******
Ilmu motivasi adalah sebahagian dari cabang ilmu yang berguna, tetapi amat disayangkan sekali ia telah diasaskan dan dikembangkan oleh orang-orang yang bukan Islam. Oleh itu di dalamnya sudah tentui ada yang bertepatan dengan Islam dan ada yang tidak bertepatan. Dan bagi mereka yang dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, serta dapat memberi penjelasan mengapa ia buruk, diharuskan membaca dan mempelajarinya. Yang tidak dapat berbuat demikian adalah diharamkan, kerana khuatir ia akan terpesong pemikiran. Kerana ilmu motivasi banyak berasaskan kepada keyakinan diri dan potensi yang ada untuk menolak mereka kepada satu usaha yang diharap-harapkan dapat memberi kecemerlangan.
Saya ada membaca sebuah buku motivasi karya Kim Woo Choong, pengasas Daewoo. Buku ini amat baik sekali, tetapi ia tidak terlepas dari beberapa idea yang perlu ditolak kerana tidak sesuai dengan budaya hidup Islam. Namun banyak nilai-nilai baik yang boleh diambil darinya.
Agar manfaat dari ilmu motivasi ini dapat dikecapi oleh semua umat Islam dengan lebih sempurna, adalah menjadi kewajipan (fardu kifayah) ke atas umat Islam untuk mengolahnya semula ke dalam acuan Islam.
Buku motivasi yang ditulis oleh orang Islam, saya kira jika di Malaysia, bolehlah saudara mendapatkan buku-buku yang mungkin ditulis oleh pakar motivasi seperti Dr hasan Ali dll. Apakah kualitinya sesuai dengan citarasa saudara… Wallahu a’lam.
Mengenai buku yang saudara sebutkan, bolehlah dibaca seandainya saudara mampu membezakan mana yang haq dan mana yang batil.
Wallahu a’lam.
zain y.s