Kertas kerja Seminar Tafsir al-Quran Anjuran bersama IRF - IIUM - al-ahkam.net
Tajuk: Studi Mengenai Tafsir Al-Azhar
Oleh: Ustaz Mohd Syauqi Bin Md Zahir Al-Kulimi Pusat Asasi UIAM
Seminar berkenaan telah diadakan pada hari Sabtu, 7 Ogos 2010, Masa: 0830 H - 1330 H
Download file PDF
Studi Mengenai Tafsir Al-Azhar
Oleh: Mohd Syauqi Bin Md Zahir Al-Kulimi Pusat Asasi UIAM
Pengenalan
Sejak Islam mula bertapak di kepulauan nusantara Melayu, telah wujud keperluan yang mendesak untuk memahami Al-Quran oleh golongan yang dipanggil Melayu Muslim. Ini disebabkan bahasa pertuturan mereka adalah bukan bahasa Arab sedangkan Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab.
Realiti bahawa Melayu Muslim merupakan golongan terbesar bilangannya berbanding masyarakat Islam lain seperti Arab Muslim, India Muslim, Afrika Muslim dan Eropah Muslim menujukkan keperluan kepada suatu usaha yang segera untuk memastikan hidayah Al-Quran sampai ke benak dan jiwa setiap individu Melayu Muslim.
Usaha yang dipelopori oleh ulama-ulama nusantara, dulu dan kini untuk memberi tafsiran yang sahih tentang hidayah yang terdapat dalam setiap ayat Al-Quran, kebanyakannya lebih kepada usaha secara ‘verbal’, seperti melalui syarahansyarahan agama atau kuliah-kuliah tafsir di masjid-masjid dan surau-surau. Kitab-kitab tafsir berbahasa Melayu yang lengkap merangkumi ke semua 30 juzuk amat sedikit bilangannya. Tafsir Al-Azhar karangan Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) merupakan kitab tafsir Al-Quran yang lengkap dalam bahasa Melayu yang boleh dianggap sebagai yang terbaik pernah dihasilkan untuk masyarakat Melayu Muslim.
Justeru, adalah penting bagi masyarakat Melayu Muslim yang tidak berbahasa Arab agar mengenali kitab Tafsir Al-Azhar ini terutama dari aspek metodologi tafsirnya untuk mereka lebih menghargai usaha yang dilakukan HAMKA kerana bukan semua ulama boleh mengusahakan apa yang telah beliau usahakan.
Biografi HAMKA
Nama sebenar beliau ialah Abdul Malik, dipilih oleh ayah beliau, Haji Abdul Karim Bin Haji Amrullah bersempena nama anak gurunya iaitu Syeikh Ahmad Khatib. HAMKA adalah singkatan kepada gabungan nama beliau, ayahnya dan datuknya bersama. Beliau dilahirkan pada 16 Februari 1908 di Sungai Batang, Sumatera Barat. Keperibadian dan ketokohan beliau banyak dibentuk dan dipengaruhi 2 faktor utama:
i. Haji Abdul Karim: HAMKA amat terkesan dengan harapan dan keperibadian ayahnya. Ayahnya amat berharap agar HAMKA menuruti jejak keturunan beliau menjadi ulama. HAMKA diajarnya pendidikan Al-Quran. Kemudian beliau dimasukkan ke sekolah desa ketika berusia 7 tahun.
Pada usia 9 tahun, HAMKA berpindah di Sekolah Diniyah yang didirikan oleh sahabat ayahnya iaitu guru kedua HAMKA iaitu Zainudin Lebai Yunusi. Di usia ini juga, HAMKA turut dibesarkan dan dididik oleh Syeikh Ahmad Rasyid Sutan Mansur. Selepas itu ayahnya memasukkan HAMKA ke Sekolah Thawalib. Namun sistem pendidikan klasik di sekolah-sekolah ini menjadikan HAMKA cepat bosan.
Selain itu, perceraian disebabkan adat, antara ayah dan ibunya turut menjadikan HAMKA bersikap kritis dengan adat Minangkabau. Ia juga menjadikan HAMKA memberontak dalam diam dengan ayahnya lalu menjauhkan diri pergi ke tanah jawa untuk tinggal dengan ayah saudaranya Jaafar Amrullah.
ii. Organisasi Muhammadiyah: Muhammadiyah yang mula diasaskan di Yogyakarta turut mempengaruhi keilmuan HAMKA dalam bidang agama. Kesempatan bertemu dengan tokohnya seperti Haji Omar Said Cokroaminoto, Haji Fakhruddin dan Ki Bagus Hadikusumo digunakan sebaik mungkin untuk berbincang. Berada di Yogyakarta turut memberi kesedaran agama baru kepada beliau. Perbincangan dengan tokoh-tokoh dalam Muhammadiyah banyak menyedarkan beliau tentang kepentingan membersihkan Islam dari amalanamalan khurafat, bida’ah dan adat-adat yang melampau.
Ketokohan HAMKA sebagai Ulama
Walaupun beliau tidak melalui proses pembelajaran formal seperti sarjana moden yang lain, tetapi liku-liku pengalaman hidupnya telah membentuk HAMKA yang dikenali kini. Ketokohan beliau dalam ilmu agama khususnya dibuktikan dengan kemahiran beliau dalam berbahasa Arab dan penulisan beliau yang banyak.
Dari aspek bahasa, HAMKA pergi ke Mekah menunaikan haji dan menetap di sana sehingga enam bulan di usia 18 tahun, tanpa pengetahuan ayahnya, Selama di sana, HAMKA berjaya memahirkan dirinya berbahasa Arab. Selain itu, dari aspek penulisan, HAMKA telah direkodkan menulis sebanyak 118 buah buku pelbagai genre seperti agama, falsafah, sejarah dan novel sepanjang hidupnya. Justeru, beliau diiktiraf sebagai ulama intelektual yang amat produktif menulis seperti ayahnya.
Pengiktirafan akademik tertinggi diberikan oleh Universiti Al-Azhar dan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan gelaran Doktor Kehormat di atas sumbangan ilmiah beliau terhadap Islam.
Ketegasan HAMKA dalam isu-isu keagamaan dan sosio-politik turut menyebabkan beliau dipenjara selama dua tahun di zaman Presiden Sukarno atas tuduhan melakukan gerakan subversif kudeta. Selama dua tahun di penjara beliau berjaya menghasilkan karya agungnya, Tafsir Al-Azhar yang menurutnya mustahil selesai jika beliau berada di luar penjara.
Beliau meninggal dunia pada tahun 1981 ketika usianya 73 tahun meninggalkan khazanah ilmu Melayu Islam yang universal, komprehensif dan kritis.
Tafsir Al-Azhar
Sejarah penulisan
Usaha menghasilkan Tafsir Al-Azhar telah pun dimulakan secara tidak formal oleh HAMKA sejak tahun 1958. Beliau telah mengadakan kuliah tafsir al-Quran setiap pagi selepas subuh di Masjid Al-Azhar dari hujung tahun 1958 hingga januari 1964.
Siri kuliah subuh itu turut ditulis dan diterbitkan dalam majalah Panji Masyarakat. Tetapi, usaha secara formal oleh HAMKA untuk menyiapkan Tafsir Al-Azhar bermula apabila beliau dipenjarakan dari tahun1964 sehingga 1966. Nama Tafsir Al-Azhar adalah bersempena nama masjid di mana beliau mula menyampaikan kuliah tafsirnya itu iaitu Masjid Al-Azhar.
Tujuan penulisan
HAMKA sebagai seorang tokoh ulama yang merasai denyut nadi masyarakat
sepanjang pembabitannya dalam kerja dakwah mendapati wujud keadaan mendesak bagi beliau untuk menulis tafsir Al-Quran dalam bahasa Indonesia yang lengkap.
Pemangkin pertama yang membawa kepada penulisan tafsir ini ialah kebangkitan golongan muda yang ingin mendekati Al-Quran namun terbatas pengetahuannya kerana kekangan kemampuan berbahasa Arab.
Pemangkin kedua ialah wujudnya golongan pendakwah yang boleh berbahasa Arab namun amat cetek pengetahuan umum dalam ilmu-ilmu berkaitan sejarah, sains dan lain-lain. Mereka hanya membawa fahaman tradisi yang keras sehingga kurang daya penarik di kalangan masyarakat yang semakin kritis dalam memahami sesuatu isu.
Manhaj tafsir
1. Manhaj Umum:
HAMKA memulai tafsirnya dengan muqadimah yang agak panjang iaitu setebal 50 muka surat dengan 10 tajuk utama. Dalam Pengantar Tafsir Al-Azhar, beliau memberi penghormatan kepada 4 individu penting dalam penulisan tafsir ini iaitu Haji Abdul Karim, Ahmad Rashid Sutan Mansur, Siti Raham dan Safiah.
Kemudian, dalam bab Pendahuluan, HAMKA menyebut keperluan menafsirkan Al-Quran dalam bahasa Melayu dengan syarat memenuhi syarat-syarat asas tafsir seperti yang telah ditetapkan oleh para ulama. Dalam tajuk ini juga beliau telah menyebut 2 tujuan utama penulisan tafsir Al-Azhar ini.
Dalam bab yang seterusnya, beliau secara panjang lebar membincangkan segala isu berkaitan Al-Quran dan tafsir, iaitu dalam bab Al-Quran, bab ‘Ijaz Al-Quran, bab Isi Mukjizat Al-Quran, bab Al-Quran Lafaz dan Makna dan bab Menafsirkan Al-Quran.
Namun, bab yang paling penting ialah Haluan tafsir. Dalam bab ini, HAMKA menjelaskan manhaj beliau ketika menulis tafsir ini. Terdapat 7 manhaj utama iaitu memelihara hubungan antara aqal dan naqal, mengurangi persoalan pertikaian mazhab yang tidak membawa faedah, pengaruh Sayid Rashid ridha, Syeikh Muhammad Abduh dan tafsir-tafsir moden dalam Tafsir Al-Azhar, pengaruh latar belakang pembaca tafsir yang pelbagai latarbelakang dan status mereka, merujuk kepada para ilmuwan dalam ilmu-ilmu fardu kifayah, menyebut riwayat tafsir yang lemah sekadar untuk pengetahuan menilainya dan sejumlah pendapat ulama Indonesia turut menjadi bahan untuk dimuatkan dalam tafsir yang besar ini.
Sejarah penulisan Tafsir Al-Azhar ditulis dalam dua tajuk yang akhir iaitu Mengapa Dinamai Tafsir Al-Azhar dan Hikmat Ilahi.
Keunikan tafsir Al-Azhar berbanding kitab-kitab tafsir yang lain ialah penyusunan kelompok-kelompok ayat Al-Quran mengikut tema ayat-ayat Al-Quran berdasarkan Surah tertentu. HAMKA berjaya menunjukkan tema ayat-ayat Al- Quran yang ditafsirkan.
Hasilnya, pembaca dapat memahami maksud tafsiran ayat-ayat tersebut dengan jelas serta kesinambungan yang wujud antara ayat tersebut. Ini merupakan suatu bentuk tafsir maudui (tafsir tematik) yang membahagikan Surah kepada tema-tema ayat yang lebih khusus.
Selain itu, kebanyakan Surah dimulakan dengan memberi tafsiran pendahuluan yang membincangkan tema umum Surah tersebut serta isu-isu yang akan dibincangkan dalam tafsir Surah tersebut.
2. Manhaj Khusus:
Sebagai sebuah tafsir yang besar dan lengkap, pendekatan HAMKA dalam memberi tafsiran ayat-ayat Al-Quran ialah dengan memasukan sebanyak mungkin maklumat yang diperlukan untuk pembaca mendapat maklumat dan dapat berfikir secara kritis serta mampu menilai segala maklumat yang dibentangkan secara rasional.
Beliau tidak mahu pembaca hanya menerima secara membuta tuli segala yang ditafsirkan beliau. Berdasarkan pendekatan tersebut, beberapa manhaj khusus dalam tafsiran beliau telah digunakan:
i. Tafsiran Al-Quran Dengan Al-Quran: HAMKA meletakkan keutamaan untuk
mentafsir ayat Al-Quran dengan ayat Al-Quran yang lain. Kerana baginya, tiada yang lebih tepat penafsirannya melainkan menggunakan ayat Al-Quran sendiri disebabkan nilai ayat tersebut yang qat’ei.
Bahkan, segala pendapat yang diberikan beliau mengenai sesuatu ayat akan disokong dengan membawa ayat lain yang akan mengukuhkan dan menjelaskan lagi ayat dan pendapat yang dibincangkan.
ii. Penggunaan Hadith: Selain menggunakan ayat Al-Quran sebagai rujukan
utama, HAMKA turut memberi penekanan penggunaan hadith-hadith yang
diambil dari kitab-kitab hadith yang muktabar dalam tafsirnya.
Sebagai contoh, ketika menafsirkan ayat berkaitan kemuliaan akhlaq Rasulullah SAW dalam Surah al-Qalam ayat 4, beliau membawa sejumlah hadith yang berkaitan kemuliaan akhlaq baginda. Hadith-hadith ini ada yang disalin matan dan sumber kitabnya serta ada yang disebut sekadar makna hadith tanpa matan dan sanadnya.
Kebanyakan hadith hanya disebut matannya tanpa rantaian sanadnya yang
panjang kerana HAMKA lebih mementingkan kefahaman hadith tersebut
berbanding pengetahuan rantaian sanad hadith tersebut. Beliau turut menyebut samada hadith itu sahih atau tidak dalam sesetengah hadith yang disalin beliau. Beliau hanya menyebut ulama yang meriwayatkan hadith tersebut.
Sumber rujukan hadith dalam Tafsir al-Azhar kebanyakan dari Kutub Al-Sittah dan Musnad Ahmad disamping Mustadrak Al-Hakim dan sunan-sunan yang lain. HAMKA amat prihatin dengan status hadith samada sahih atau dhaif. Hadith-hadith yang dhaif turut disalin sebagai ilmu untuk pengetahuan dan penilaian pembaca.
HAMKA juga menuruti manhaj Syeikh Muhammad Abduh dalam isu hadith ahad yang sahih tetapi dinilai beliau sebagai bertentangan dengan dalil yang jelas dari Al-Quran.
iii. Pengaruh Syeikh Muhammad Abduh: Pemikiran pembaharuan yang dibawa Syeikh Muhammad Abduh turut mempengaruhi pendapat HAMKA dalam mentafsir ayat-ayat Al-Quran.
Secara umumnya, banyak pendapat Syeikh Muhammad Abduh dan muridnya iaitu Sayid Rasyid Ridha dalam Tafsir Al-Manar yang disalin HAMKA samada sebagai salah satu riwayat tafsir dari sejumlah riwayat atau sebagai penguat kepada pendapat beliau sendiri. Khususnya proses salinan ini banyak terdapat dalam juzuk terakhir Al-Quran dan dalam isu-isu yang berbentuk merasionalkan suatu kisah sejarah.
Walaubagaimanapun, terdapat juga keadaan di mana HAMKA tidak sependapat tafsiran dengan Syeikh Muhammad Abduh. Namun perbezaan pendapat ini tidak dinyatakan secara jelas dengan perkataan. Tetapi, HAMKA menggunakan ayat yang halus untuk menyatakan pendapatnya sendiri.
iv. Penggunaan Kitab Tafsir Klasik Dan Moden: HAMKA berkesempatan untuk mengkaji semua riwayat kitab tafsir klasik dan moden untuk membuat penilaian sendiri sehingga mampu memilih pendapat yang dipersetujuinya atau beliau memberi pendapat beliau sendiri sesuai dengan situasi semasa masyarakatnya.
Dalam tafsiran sesuatu ayat Al-Quran, HAMKA akan membentangkan banyak
riwayat tafsir klasik khususnya untuk dinilai. Beliau tidak sekadar menyalin tanpa penilaian. Kerana baginya perbuatan tersebut adalah ‘textbook thinking’ yang menjumudkan pemikiran masyarakat. Beliau juga menggunakan kitab tafsir yang tidak semazhab dengan beliau seperti tafsir golongan muktazilah dan syiah.
v. Riwayat Israiliyyat: HAMKA turut menyebut dalam tafsirnya banyak kisahkisah Israiliyat bersama sumber riwayatnya dan mendidik masyarakat menilainya dari perspektif Al-Quran dan Sunnah serta logik aqal yang sihat.
Sekiranya riwayat tersebut tidak bercanggah dengan Al-Quran dan tidak memberi apa-apa kesan terhadap aqidah seseorang maka beliau akan menyalinnya dan diingatkan pula kepada pembaca agar jangan mempercayainya.
Contohnya dalam isu nama-nama individu yang didiamkan oleh Al-Quran. Namun, jika riwayat itu terlalu teruk sehingga menjatuhkan aqidah seseorang maka beliau akan turut menyalinnya dan diulas dengan tegas agar berhati-hati dengan kisah sebegini.
vi. Ayat Al-Kawniyyah: Keunikan yang terdapat dalam tafsir Al-Azhar ialah
perhatian yang mendalam terhadap ayat-ayat Al-Kawniyyah. Perbincangan
berkenaan ayat-ayat ini amat terperinci dengan disokong fakta-fakta sains dari buku-buku sains.
Terdapat juga kajian-kajian saintis kontemporari yang disalin dalam tafsirnya sebagai bukti kehebatan Allah SWT. Kesemua perbincangan sains ini bukan bertujuan untuk membuktikan Al-Quran itu bertepatan dengan sains kajian manusia yang terhad ilmunya, tetapi fokus utama beliau adalah untuk menguatkan tawhid manusia kepda Allah SWT.
Sebab itu, setiap kali fakta sains ini dibincangkan maka di akhirnya akan dikaitkan dengan Kehebatan, Kebesaran dan Kebijaksanaan Allah SWT dalam mencipta dan mengatur alam ini.
Selain itu, tujuan HAMKA menekankan perbincangan fakta sains dalam ayat Al-Kawniyyah adalah untuk memotivasi pemuda dan pendakwah agar sentiasa berfikir secara objektif dan kritikal seperti pemikiran saintis dalam kajian mereka.
vii. Persoalan Fiqh: Seperti yang beliau sebutkan dalam Haluan Tafsir sebelum ini, beliau mengelak dari perbincangan fiqh yang akan mewujudkan puak-puak dalam isu perbezaan mazhab. Untuk itu, beliau menjelaskan bahawa beliau bermazhab salaf yang berpegang kepada Sunnah Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda dan ulama-ulama yang mengikuti jejak baginda. Beliau tidak bertaqlid kepada mana-mana mazhab, tetapi lebih banyak meninjau pendapat ijtihad para ulama yang lebih dekat dengan kebenaran.
Oleh itu, kita akan dapati, setiap kali HAMKA membincangkan ayat-ayat hukum, beliau akan terlebih dahulu membentangkan pendapat para ulama berbeza mazhab. Disertakan juga hujjah dan dalil ijtihad para ulama tersebut. Kemudian beliau memberikan penilaian dan hujjah beliau sendiri terhadap semua pendapat ulama tersebut. Akhirnya, beliau akan memilih pendapat mana yang lebih kuat dalilnya dan dekat dengan maqasid Al-Quran dan al-Sunnah.
viii. Rujukan Tafsir: HAMKA juga merujuk kepada kitab-kita suci agama lain
dalam melengkapkan tafsiran beliau ke atas ayat Al-Quran. Namun, rujukan
tersebut hanya sekadar memberi maklumat tambahan kepada pembaca untuk dinilai dan dibuat perbandingan. Ayat-ayat berkaitan agama Kristian dan Yahudi khususnya akan turut disertakan dalil-dalil dari Taurat dan Injil.
Rujukan ini dilakukan sebagai medium dakwah khususnya dalam keadaan masyarakat yang berbilang agama di Indonesia yang kadang-kadang menyebabkan berlaku salah faham antara penganut agama Islam dan Kristian.
Penutup
Membaca kitab tafsir sebesar ini menimbulkan rasa kagum terhadap ketokohan HAMKA dalam segenap ilmu pengetahuan. Dari pembacaan ini juga membuktikan bahawa HAMKA merupakan seorang ulama, sejarawan, sasterawan, ahli falsafah, ahli politik, aktivis social, yang faham tanggungjawab dakwah beliau yang diamanahkan Allah ke atas beliau.
Sudah menjadi suatu kemestian pada zaman ini bagi orang Melayu yang ingin memahami Al-Quran untuk memiliki tafsir ini, memahaminya, dan menghargai usaha HAMKA ini. Perubahan yang dibawa beliau sepatutnya perlu diterima dengan hati dan minda yang ikhlas dan bersih kerana perbezaan setiap pendapat tafsir oleh ulama hakikatnya bukan bercanggah, tetapi perbezaan yang mempelbagaikan kefahaman dan ilmu tentang Al-Quran.
------------------------
RUJUKAN
1. Ahmad Ishak, Md Sidin (Editor)(2001), Pemikiran Dan Perjuangan HAMKA, ABIM
2. Hamka, Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah, (1990), Tafsir Al-Azhar(Vol.1-10), Singapura, Pustaka Nasional Pte Ltd.
3. _____________________________, (1982), Kenang Kenangan Hidup, Kuala Lumpur, Pustaka Antara.
4. Kadri, Hj. Mohd Zaid, (1997), Fakta-Fakta Tafsir Al-Azhar Juzuk 1-30, Johor Bahru, Badan Cemerlang Sdn Bhd.
5. Yusuf, Yunan, (1990), Corak Pemikiran Kalam Tafsir Al-Azhar, Jakarta,
Pustaka Panjimas