Keseluruhan doktrin Islam, seakan-akan, memberitahu kita, kata Muhammad Asad: “Berfikirlah – dan akalmu akan memandumu kepada iman”, daripada meyakinkan kita, sepertimana sebahagian doktrin lain lakukan, “dapatkan iman – dan melalui iman engkau akan mencapai kefahaman tentang kebenaran.”
Dr Ahmad Farouk Musa | Islamic Renaissance Front
Hari ini kita akan melihat secara spesifik karya al-Qur’ān Muhammad Asad, iaitu The Message of the Qur’ān. The Message didedikasikan kepada “Kaum Yang Berfikir”. Keseluruhan komentar Muhammad Asad adalah usaha yang luar biasa. Dalam tafsirnya, Asad tidak menampilkan terjemahan literal daripada al-Qur'ān, sebaliknya beliau menampilkan ruh yang terkandung dalam al-Qur’ān itu sendiri.
Asad cuba melukiskan ajaran al-Qur’ān bersandarkan pemikiran saintifik dan moden. Bagi Asad, pengkisahan dan alegori dalam al-Qur’ān memberikan fungsi yang prototaip dalam menelantarkan model-model yang mengilhamkan. Oleh itu, sementara rangka pengkisahan bagi orang beriman mewakili gambaran dunia yang sebenar, baginya itu adalah sekadar simbol yang melayeni fungsi metaforika.
Adalah jelas bagaimana mendalamnya Asad telah dipengaruhi oleh mazhab pemikiran revivalis yang berteras kepada Imam Muhammad Abduh yang cendekia secara khusus, yang pengaruhnya dapat dikesan dalam hampir semua pergerakan Islam dalam dunia moden kita.
Untuk memahami tafsiran Asad, kita perlu memahami corak hermeneutika al-Qur’ān menurut Asad. Seluruh pendekatan hermeneutika Muhammad Asad berakar pada penekanan bahawa setiap pernyataan al-Qur’ān adalah ditujukan kepada akal manusia dan harus, kerana itu, difahami baik dalam pengertian literal atau alegorinya.
Al-Qur’ān hanya dapat difahami jika ia dibaca dengan pertimbangan yang menyeluruh, sebagai satu kesatuan yang integral, dan bukan hanya sebagai koleksi aturan moral, kisah atau hukum yang terpisah. Tuhanlah yang menurunkan al-Qur’ān dan Dialah yang mengurniakan kepada manusia kemampuan untuk memahaminya. Asad menekankan bahawa al-Qur’ān harus dibaca sebagaimana “ia sepatutnya dibaca” dan ia menjadi, “tafsirnya yang terbaik”.
Oleh itu apabila Kami membacanya, ikutilah perkataannya [dengan seluruh fikiranmu] dan kemudian, saksikanlah, ke atas Kami untuk menjelaskan maknanya [ al-Qiyamah 75: 18-19].
Dalam menafsirkan al-Qur’ān, Muhammad Asad menekankan bahawa selain daripada pertimbangan linguistik, beliau cuba untuk memelihara secara konsisten dua undang-undang tafsir yang fundamental. Pendekatan asasnya terhadap tafsir adalah berpijak pada keyakinan bahawa semua perintah dan anjuran iaitu pesan etika al-Qur’ān harus dilihat bersama sebagai suatu pemaparan doktrin etika di mana setiap ayat dan kalimat mempunyai hubungan yang rapat terhadap ayat-ayat dan kalimat-kalimat yang lain, kesemuanya memperjelas dan menguatkan satu sama lain.
Maka hasilnya, makna yang sebenar hanya dapat digarap jika kita mengaitkan setiap satu daripada pernyataannya dengan apa yang telah dinyatakan di tempat lain dalam halamannya, dan cuba untuk menghuraikan idenya dengan cara membuat rujukan-silang yang kerap, sentiasa menempatkan yang khusus kepada yang umum, dan yang furu‘ kepada yang usul.
Apabila undang-undang ini diikuti dengan istiqamah, kita menyedari bahawa al-Qur’ān adalah – dalam perkataan Muhammad Abduh – “tafsirnya yang terbaik”.
Kedua, tiada bahagian daripada al-Qur’ān yang harus dilihat menerusi rangka “sejarah” semata-mata. Al-Qur’ān menetapkan prinsip asas yang dibentangkan dengan tujuan menasihat dan mendidik. Hal ini bermakna, sebagai contoh, bahawa rujukannya kepada kejadian dan peristiwa sejarah tidak harus ditanggapi secara literal sebagai membentuk rekod yang sebenar, tetapi sebagai ilustrasi tentang keadaan manusia.
Lebih lagi, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Asad, keasyikan pentafsir klasik dengan kondisi sejarah ketika ayat yang tertentu diturunkan tidak harus dibiarkan untuk mengaburi tujuan pokok sesuatu ayat dan relevensinya kepada pesan yang menyeluruh daripada al-Qur’ān. Hal ini adalah sesuatu yang beliau fikir mereka terkadang terlepas pandang dalam huraian mereka dan butiran yang tidak-tidak yang ditambah dalam naratif al-Qur’ān. Seseorang perlu jelas tentang perspektif al-Qur’ān atau pendekatan yang spesifik yang diambilnya kepadanya, dan hubungan dalamannya dengan ajaran etika yang al-Qur’ān kemukakan.
Beliau berpandangan bahawa dalam tafsiran kitab, dan terutamanya tentang naratif tentang penciptaan, seseorang harus disuguh dengan pencerahan dari disiplin-disiplin moden. Hal sedemikian inilah yang akan menjadi dasar untuk membuatkan naratif tersebut difahami kepada manusia di era moden. Beliau tekankan rasionalitas Islam yang bersejajar dengan pendekatan akliahnya terhadap agama.
Pendekatan ini selari dengan pendekatan Muhammad Abduh yang membangunkan sistem kepercayaan berdasarkan akal. Dalam perkataan Abduh: “Agama harus dianggap sebagai teman kepada sains, merangsang manusia untuk menyelidik rahsia kewujudan, memerintahnya untuk menghormati kebenaran yang telah mapan dan untuk bergantung kepadanya dalam kehidupan moral dan perlakuannya.”
Pencarian hermeunetika Muhammad Asad untuk membongkar makna teks al- Qur’ān terletak tepatnya dalam hujahnya bahawa al-Qur’ān mengandungi materi penceritaan yang tidak harus ditanggapi secara literal sebagai rakaman tentang insiden sejarah yang sebenar.
Apa yang umat Islam harus lakukan ialah melangkah sejenak ke belakang dan fikirkan tentang materi ini dari sudut inti pesanan al-Qur’ān seperti yang diturunkan dalam ajaran etika dan sosialnya. Tugas ini akan menjadi mudah hasil daripada kenyataan bahawa al- Qur’ān memberikan tekanan yang ketara kepada akal, yang merupakan kunci kepada pemahaman terhadap maksud teks al-Qur’an.
Hal ini bermakna bahawa setiap ayat al-Qur’ān adalah ditujukan kepada akal dan kerana itu harus dapat diakses oleh “kaum yang berfikir” - qaumin yatafakkarun.
Al-Qur’ān memberitahu kita dengan jelas bahawa banyak perenggan dan ekspresinya harus difahami dalam pengertian alegori kerana alasan yang mudah bahawa, oleh kerana ia dimaksudkan untuk kefahaman manusia, maka ia tidak boleh disampaikan kepada kita dengan sebarang cara yang lain.
Ia menyusul, lantaran itu, bahawa jika kita harus mengambil setiap perenggan, kalimat atau ungkapan al-Qur’ān dalam pengertian yang zahir, literal dan mengenepikan kemungkinan ia sebagai suatu alegori, suatu metafor atau suatu perbandingan, maka kita sebenarnya telah melanggar semangat daripada perintah suci Ilahi.
Muhammad Asad bagiku, adalah sosok yang mewakili tren humanis dan rasionalis Islam yang akan berdiri teguh tanpa mengira masa dan tempat.
Setiap generasi menghadapi situasi yang berbeza, justeru banyak undang-undang dan kaedah bagi masyarakat tidak dapat ditetapkan untuk setiap masa. Kerana itulah juga mengapa al-Qur’ān menetapkan undang-undang yang tidak bersandarkan masa, etika, hak dan pembatasan yang universal dalam pemakaiannya. Ia adalah perlembagaan yang mengandungi asas bagi perhubungan manusia dengan kehidupan. Semua yang diluar al-Qur’ān adalah terikat dengan masa dan harus diinterpretasi semula oleh setiap generasi untuk menyesuaikannya dengan kondisi mereka.
Muhammad Asad mempertahankan bahawa yang demikian ini adalah Sunnah yang sebenar, kelaziman Nabi, dan masyarakat yang terus maju dan membangun. Dan ia adalah akal, yang secara khusus, merupakan sasaran utama ayat-ayat al-Qur’ān. Akal, yang ditunjukkan dalam banyak penyataan dan peringatan al-Qur’ān, berulang kali diangkat oleh Muhammad Asad; sebagai jalan yang tepat yang dapat membawa kita kepada kesadaran tentang apa yang benar, dan dengan itu, kepada iman.
Dan kerana itu kita tanpa putus dituntut untuk menggunakan sebaiknya keupayaan intelek kita, untuk berfikir, untuk mengamati penciptaan Tuhan yang zahir, dan untuk merenungkan tentang perkara yang ghaib; dan akhirnya untuk berusaha memahami dorongan kita sendiri dan juga sesama makhluk yang lain.
Keseluruhan doktrin Islam, seakan-akan, memberitahu kita, kata Muhammad Asad: “Berfikirlah – dan akalmu akan memandumu kepada iman”, daripada meyakinkan kita, sepertimana sebahagian doktrin lain lakukan, “dapatkan iman – dan melalui iman engkau akan mencapai kefahaman tentang kebenaran.”
A Tribute to Muhammad Asad di auditorium Securities Commission, Mont Kiara pada 10 Disember 2009
Diterjemahkan oleh Dr Ahmad Nabil Amir daripada teks ucapan sempena program A Tribute to Muhammad Asad di Auditorium Securities Commission, Mont Kiara pada 13 Disember 2009 anjuran Islamic Book Trust dan Islamic Renaissance Front.