Feminisme Islam Zainab Al-Ghazali – Bahagian II

Primary tabs

Ahmad Fuad Rahmat, Felo Penyelidik, Islamic Renaisance Front

[Diterjemahkan daripada artikel asal “The Islamic Feminism of Zainab al-Ghazali – Part II” oleh Ahmad Nabil Amir, Abduh Study Group,IRF]

 

Di sana, terdapat, suatu elemen sufistik yang kuat dalam susuk feminismenya. Elemen sufistik ini agak unik dalam konteks Mesir kerana ia mengapungkan pandang hagio-sentrik, berdasarkan ajaran atau contoh yang biasanya diterajui dan dipelopori oleh mistikus lelaki. Dalam kes Zainab al-Ghazali, pemimpin yang sering dirujuk dan dijejak inspirasinya adalah Hasan al-Banna, pendiri Gerakan Ikhwan [al-Ikhwan al-Muslimun]. Beliau malah pernah mengucapkan: “Saya telah mengikrarkan bai’ah yang utuh kepada Hasan al-Banna bahawa saya akan mati di jalan Allah…”[1]

Zainab al-Ghazali dan Ikhwan al-Muslimun

(Hari-hari Dalam Hidupku) terjemahan dari Ayyam min HayatiTopik ini, apa pun, adalah releven kerana inspirasi untuk menggarap daya perjuangan pemimpin dan aktivis spirituil bermakna, bagi al-Ghazali, Islam tidak hanya mengilhamkan sumber pengisian spirituil, tetapi juga ketahanan politik yang praktikal. Apa yang lebih mengujakan, dalam memoir penjaranya, “Ayyam min Hayati” (Catatan Harian dalam Hidupku) yang diterjemahkan secara bebas sebagai “Return of the Pharoah” (Kembalinya Firaun) dalam bahasa Inggeris, al-Ghazali merakamkan mimpinya berbicara dengan Nabi Muhammad sendiri dan kemudian dengan Sayyid Qutb pada malam beliau dihadapkan ke tali gantung oleh pemerintah Mesir.

Bahkan, lakarannya memperlihatkan bagaimana nilai spirituil Islam yang fundamental telah mencetuskan inspirasi dan memperkuat istiqamah dan ketahanannya berhadapan dengan penganiayaan fizikal ketika anjing-anjing penjara dilepaskan terhadapnya: “Anjing-anjing itu menerkam ganas, memincing taringnya dan mencarik kulit kepalaku, bahu, belakang, dada…saya terus mengulangi munajat kepada Tuhan…Oh Tuhan! Limpahkan padaku KeredaanMu’…saya sangkakan pakaian ini akan berlumuran darah…tetapi, ajaibnya, tidak ada setitik darah yang menyentuh pakaianku…Maha Suci Tuhan!”[2]

Dalam pergulatan ini kita lihat bagaimana, pada al-Ghazali, manifestasi spirituil dan aktivisme tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain.

Jadi apakah visinya untuk mengangkat kemajuan politik kaum wanita? Al-Ghazali tuntas dalam dakyahnya bahawa wanita adalah manusia yang punya hak dan maruah yang sama dengan lelaki. Tambahan, mereka juga merupakan agen penting dalam masyarakat. Dalam hal ini kedua-dua dimensi agama, duniawi dan pendidikan saintifik memainkan peranan yang mustahak:  Wanita Islam harus diberi pendidikan tentang subjek Islam yang basik (al-Qur’an dan Sunnah) di samping sains politik, geografi, dan isu kontemporer.” [3]

Kita harus waspada untuk melihat bahawa, tuntutan ini tidak berteraskan pada asumpsi bahawa wanita Islam di Mesir adalah lemah dan tertindas. Bahkan, pendidikan dituntut kerana wanita sentiasa berada dalam posisi yang gagah dan bertanggungjawab dalam masyarakat Islam. Oleh itu, pendidikan menawarkan kemungkinan untuk wanita memperkuat jati dirinya dalam masyarakat, tidak semestinya untuk “menyedarkan” atau “memberi pencerahan” pada mereka dari lingkungan kegelapan.

 

Peranan Wanita dalam Da ‘wah

Inilah mengapa al-Ghazali juga melihat peranan penting yang dapat dimainkan wanita dalam da‘wah. Da‘wah di sini harus merangkul makna yang lebih luas dari “misi”, dan lebih kurang dari “pertukaran agama”. Bagi al-Ghazali, ia akhirnya satu bentuk aktivisme Muslim, di mana wanita dapat memainkan peranan yang aktif dalam keseluruhan pembangunan masyarakat Mesir dan penentangannya terhadap imperialisme dan budaya kolonial: “Ia mungkin memerlukan beberapa generasi Islam untuk merampas tampuk pemerintah. Kita tidak terburu mengejar dan melangkaui waktu. Pada hari Islam memerintah, wanita Islam akan menemui diri mereka di dalam kerajaan mereka yang azali, iaitu mendidik lelaki.”[4]

Wanita tidak dihalang untuk aktif di ruang kehidupan awam, tetapi selepas tugasnya sebagai ibu disempurnakanApa yang menarik, minat terhadap potensi wanita ini, yang kelihatan progresif dalam rangka garisnya, juga ditandai oleh kecenderungan konservatif yang jelas. Bagi al-Ghazali, tugas pertama wanita Islam adalah peranan keibuan.[5] Wanita Islam tidak dihalang untuk turut serta dalam ruang kehidupan awam, tetapi ini harus disempurnakan sebagai sebahagian dari tanggungjawabnya terhadap anak-anak dan keluarga. Struktur masyarakat tradisional diperlukan sebagai cabang dari visinya yang lebih besar untuk melanjutkan perjuangan wanita Islam Mesir menentang imperialisme.

Oleh itu, tanggungjawab keibuan dan keperluan wanita untuk menjayakan peranannya bagi mengekalkan kestabilan keluarga bukan, menurut perhitungan al-Ghazali, menunjukkan kerendahannya tetapi hanya peranan berlainan mereka dalam masyarakat untuk mencapai tujuan kolektif yang lebih besar terhadap kemajuan Mesir sebagaimana yang diilhamkan oleh Islam.

Memandangkan ini tidak lah mengejutkan bahawa al-Ghazali menjadi penentang terhadap aliran moden feminisme Mesir dengan pertaliannya yang terbuka dan kekaguman terhadap budaya dan masyarakat Eropah. Sekularisme dan kapitalisme di sana pada dasarnya bercanggah dengan Islam, yang mana padanya, telah sedia melindungi dan menyediakan nilai yang cocok yang diperlukan oleh wanita Islam untuk berkembang dalam masyarakat.

Beliau tidak menganggap tanggungjawab keluarga yang diperlukan adalah selari dengan pandangan terhadap wanita sebagai individu yang bebas. Bagi al-Ghazali, hak wanita untuk bekerja hanyalah salah satu cara kapitalisme mengekploitasi pekerja. Kebebasan seksual, yang dilihatnya sendiri ketika beliau dipindahkan ke penjara wanita, dianggap sebagai kesan terhakisnya nilai-nilai Islam.

Wanita tersebut adalah “hamba kepada nafsu dan keinginannya. Jenayah mereka telah membungkam mereka seluruhnya dan mereka telah terlupa pada nilai kemanusiaan, kesucian, kehormatan dan harga diri.” 6

Feminisme barat dengan itu tidak lebih dari “khayalan isu yang direka oleh musuh Islam untuk mengalih perhatian umat Islam dari isu yang lebih besar untuk mengembalikan Islam kepada keagungan dan kehebatannya yang lampau…”7

Apa yang kekal mempesona tentang kisah Zainab al-Ghazali adalah kapasitinya mengungkapkan idealisme dan pemikiran yang tulen di tengah pergulatan dan cabaran zaman. Beliau tidak terbenam dalam percaturan dan perangkap taqlid terhadap pandangan wanita yang sempit yang diapungkan oleh puak tradisionalis. Tetapi beliau juga tidak tertawan oleh tarikan kemewahan dan arus kehidupan masyarakat Barat yang telah memukau ramai feminis Mesir yang terkemuka di kalangan generasinya.

 

 

Keluarga adalah mekanisme bagi perubahan sosial sekiranya wanita dipandang sebagai pengusung nilai persamaan dan harga diri berbanding sebagai pelayan kepada lelakiPeranan Wanita dalam Membina Masyarakat Islam

 

Hal ini, seperti yang diperingatkan dalam muqaddimah tidak membayangkan peranan yang lemah atau moderat. Al-Ghazali mungkin cuba berhujah bersabit peranan tertentu yang paling layak dimainkan oleh wanita dalam projek yang lebih besar untuk membangunkan masyarakat Islam, tetapi beliau tidak melihatnya sebagai satu bentuk peranan yang submisif. Bahkan, peranan tersebut hakikatnya meransang pemberdayaan sosial dan sangat perlu sekiranya dilihat dengan pendekatan yang betul berdasarkan Islam.

Lelaki akan memerlukan wanita dalam mana-mana masyarakat untuk berfungsi justeru wanita pada hakikatnya mempunyai banyak ruang untuk mengemukakan tawaran bagi memenuhi kondisi mereka. Keluarga adalah mekanisme bagi perubahan sosial sekiranya wanita dipandang sebagai pengusung nilai persamaan dan harga diri berbanding sebagai pelayan kepada lelaki.

Tetapi yang lebih penting, relevensi al-Ghazali mungkin terletak pada kenyataan bahawa persaingan antara filsafat sekular dan agama tentang faham kewanitaan ditentukan oleh pandangan dunia dan nilainya. Kita tidak boleh nyatakan apa yang kita mahu, sekiranya kita tidak pasti apakah sebenarnya yang mampu dan tidak mampu kita lakukan. Cabarannya, bagaimanapun, bukanlah untuk menuntut kebebasan tetapi untuk mengetahui batasan dan had jangkauannya. Etika adalah sesuatu yang dapat memisahkan kebebasan daripada perbuatan songsang. Adalah mudah untuk menginginkan kebebasan, tetapi ianya tidak bermakna sekiranya kita tidak dapat terlebih dahulu menjawab pertanyaan tentang bagaimana kita harus mencorakkan kehidupan.

Jawapan Zainab al-Ghazali mungkin tidak mampu menawarkan banyak penyelesaian dalam menangani perubahan yang kompleks yang berlaku di dunia Islam antara masanya dengan masa kita sekarang ini, tetapi kekuatan intelektual, keazaman politik dan ketahanan spirituilnya harus mengingatkan kita tentang kepentingan persoalan yang telah dibangkitkan ini.




[1] Lewis, P. Zainab Al-Ghazali: Pioneer of Islamist Feminism: 20

[2] Lewis. P. Zainab Al-Ghazali: Pioneer of Islamist Feminism. 22

[3] Lewis. P. Zainab Al-Ghazali: Pioneer of Islamist Feminism. 22

[4] Ibid.

[5] Ibid.

6 Lewis, P. Zainab Al-Ghazali: Pioneer of Islamic Feminism. 27.

7 Lewis, P. Zainab Al-Ghazali: Pioneer of Islamic Feminism. 22.

Kategori Berita: 

Artikel Berkaitan