Daripada: ustaz.blogspot.com oleh Ustaz Emran bin Ahmad
Menangani Gejala Murtad dengan Ilmu Aqidah Yang Sahih
Murtad ialah satu istilah yang diberikan oleh Islam kepada perbuatan seorang muslim yang melakukan sesuatu perkara yang boleh mengeluarkan dia daripada syariat Islam baik berupa perbuatan atau perkataan ataupun kepercayaan serta keyakinan yang mencukupi syarat untuk mengeluarkan dia daripada agama Islam.
Para ulama menetapkan bahawa hukum murtad pada seseorang itu berlaku apabila dia terbukti memenuhi syarat-syaratnya iaitu yang pertama ialah hendaklah seseorang itu telah pun baligh dan berakal ini berdasarkan hadith rasulullah salallahualaihiwasalam : Diangkat kalam daripada tiga golongan iaitu kanak-kanak sehingga baligh, orang yang tidur sehingga terjaga dan orang yang gila sehingga berakal (hadith sahih riwayat Abu Daud no. 4398 dan Nasaie serta Ibn Majah).
Seterusnya yang kedua ialah berlaku murtad itu dalam keadaan tidak dipaksa sebaliknya murtad dengan pilihan sendiri adapun sekiranya seseorang itu dipaksa untuk murtad maka tidaklah jatuh murtad ini berdasarkan firman Allah swt :
Maksud ayat ãóäú ÔóÑóÍó ÈöÇáúßõÝúÑö ÕóÏúÑðÇ ialah mempunyai kehendak untuk murtad dari Islam dalam erti kata lain ialah mempunyai niat yang terang dan jelas kepada kekufuran dan melakukannya dengan pilihan sendiri tanpa ada paksaan atau gangguan akal atau kegilaan sebaliknya dengan penuh kesedaran dan keterangan.
Akhirnya hendaklah seseorang itu mengetahui hal dan hukum murtad serta perkara yang membuatkan dirinya menjadi murtad sehingga apabila terkumpul syarat-syarat ini pada dirinya maka tiadalah lagi perselisihan ulama bahawa telah pun menjadi murtad dari Islam. (lihat dalam Al-Mughni Ibn Qudamah m/s 540 Jilid 4).
Pada hari ini gejala murtad sangat berleluasa berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia tanpa kita sedari ianya bercambah dan bertambah akibat dari kejahilan, kerosakan moral dan akhlak yang membantu dan mendorong muda-mudi jauh dari agama sehingga mudah mengadaikan iman serta persekitaran semasa yang tidak selamat bagi akidah dan iman umat Islam termasuk penguatkuasaan undang-undang yang terlalu lemah mengakibatkan gejala murtad menjadi buruk tanpa dapat dibendung.
Al-Ismaili mengeluarkan hadith dari riwayat Al-Auzaie daripada Umair Ibn Hani daripada Ali ra bahawa beliau mendengar nabi salallahualaihiwasalam bersabda : Akan berlaku selepas peninggalanku kemunculan banyak fitnah apabila orang yang beriman tidak mampu lagi mengubah kejahatan dengan tangan dan lisannya lalu aku bertanya kepada baginda : Wahai rasulullah bagaimana keadaan tersebut berlaku ? lalu dijawab ; Mereka menentang dengan hatinya (hadith ini juga memiliki riwayat yang lain daripada Ibn Masud).
Peristiwa murtad seorang gadis melayu pada tahun 1950 yang bernama Natrah akibat kelemahan undang-undang Islam kepada undang-undang sivil ciptaan manusia seterusnya berlanjutan di Negara kita sehinggalah pelbagai kes murtad berlaku selepas itu seperti kes murtad Hartina Jamaluddin pada tahun 1988, peristiwa murtad Aisyah Bukhari pada tahun 1997 dan seterusnya pelbagai lagi sehinggalah kepada isu yang hanggat baru-baru ini dengan kemunculan kes Azlina Jelani yang telah murtad dan mahu menukarkan nama dan perkataan agama Islam di kad pengenalannya kepada nama dan agama Kristian.
Permasalahan murtad ini sebenarnya telah lama berlaku di dalam sejarah Islam dan ianya bermula sejak di zaman rasulullah lagi apabila wujud umat Islam yang munafiq dan beriman kepada baginda disebabkan takut dan masuk Islam hanya untuk kepentingan dunia seterusnya kufur dan lari daripada Islam apabila mereka merasakan wujud peluang untuk berbuat demikian seperti Abdullah ibn Jahsy dan Abdullah ibn Khathai juga seperti kisah yang terdapat di dalam hadith Muadz Ibn Jabal ra yang mengarahkan dibunuh yahudi yang murtad setelah memeluk Islam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.
Juga berlaku murtad disebabkan kerugian apabila bersama Islam dan ini pernah berlaku sewaktu zaman Abu Bakar ra yang mengarahkan dibunuhnya golongan yang murtad akibat tidak mahu membayar zakat kerana merasa rugi. Berkata Abu Bakar : Demi Allah aku akan membunuh mereka yang memisahkan zakat dengan solat (Riwayat Ahmad di dalam musnadnya dan Bidayah Wan Nihayah m/s 312 Jilid 6).
Punca murtad daripada Islam ialah disebabkan keimanan yang kurang kepada Islam dan ajaran agama ini serta kelemahan ilmu seseorang terhadap aqidah Islam yang sebenar sehingga dirinya dipenuhi keraguan dan syak terhadap kebenaran Islam. Pemahaman aqidah yang sahih sangat jarang dimiliki oleh umat islam hari ini sehingga tidak hairanlah mengapa sangat ramai sekali dari umat Islam hari ini yang murtad dan keluar daripada agama Islam.
Peranan Ahli Agama dalam Isu Murtad
Ahli agama yang wujud sejak dahulu di tanahair kita seringkali mengajarkan aqidah agama Islam ini dalam kaedah yang salah ataupun lebih buruk mereka mengajarkan perkara yang salah sebagai aqidah Islam sehingga menyukarkan proses pemahaman akidah yang sahih oleh masyarakat melayu.
Manusia mempunyai fitrah yang sangat jelas dalam masalah tuhan iaitu mahukan perlindungan daripada tuhan-Nya dan mempunyai keinginan dan perasaan untuk mengenal tuhannya. Masalah ini jika melibatkan agama lain seperti Kristian, Budha dan Hindu akan mendapat jawapan yang mudah sehingga menyenangkan pengikutnya tetapi apabila menemui umat Islam melayu maka akan menjadi sukar diselesaikan.
Bagi Hindu misalnya, apabila ditanya di manakah tuhannya maka mereka akan menjawab bahawa patung-patung dan simbol itu ialah tuhan mereka sehingga keyakinan mereka pada sesuatu benda itu menghidupkan semangat diri mereka. Juga ditanya bagaimanakah mereka akan mendapat perlindungan dari tuhan ? Maka dijawab ialah dengan menyembah para dewa dan tuhan patung mereka itu tanpa berbelah bagi.
Sebaliknya umat Islam apabila ditanyakan di manakah Allah yang merupakan tuhan mereka ? Maka jawapannya akan menjadi pelbagai sehingga pelbagai guru dari pelbagai aliran akan memberi jawapan yang berbeza menurut aliran masing-masing. Bahkan lebih menyedihkan sejak sekian lama ilmu aqidah kita diseliputi fahaman ilmu kalam atau pengaruh falsafah yang menghuraikan persoalan ketuhanan Allah swt dengan kaedah falsafah sehingga menyusahkan umat Islam memahami aqidah yang sebenar dan akhirnya mereka disusahkan dengan teori-teori dan usul seperti sifat 20 yang dihafal tanpa diketahui makna dan maksud.
Ilmu kalam dan akal menurut Imam Abu Yusof ra (Yakub Ibn Ibrahim) merupakan sesuatu yang tercela dan dibenci oleh para ulama salaf soleh. Bahkan diriwayatkan beliau pernah berkata : Ilmu kalam itu ialah suatu kejahilan dan mempelajarinya ialah kebodohan dan barangsiapa yang tidak mempelajarinya maka itulah kecerdikan dan beliau berkata lagi Jika kamu berjumpa dengan ahli ilmu kalam maka hendaklah kamu berkata kepadanya Wahai si Zindiq dan lagi katanya Barangsiapa yang belajar ilmu kalam maka sesungguhnya dia telah menjadi zindiq (lihat dalam riwayat yang pelbagai oleh Imam Khatib Al-Baghdadi dalam Syarif Ashabul Hadith m/s 168).
Demikianlah juga celaan dari Imam Syafie ra yang diriwayatkan pernah berkata : Hukum aku kepada mereka yang terlibat dengan ilmu kalam ialah disebatnya mereka itu dengan kayu dan dibaling dengan kasut lalu di bawa berarak ke sekeliling jalan-jalan sambil dilaungkan kepada orang ramai bahawa inilah hukuman bagi mereka yang meninggalkan kitab Allah dan sunnah rasul-Nya (riwayat Baihaqi dalam Manaqib Syafie m/s 462 Jilid 1).
Sekaligus keyakinan terhadap Allah swt dan agama Islam oleh sesetengah manusia menjadi goyah dan ragu-ragu sehingga akhirnya jatuh kepada pujuk rayu syaitan yang menyediakan tuhan yang nampak di depan matanya atau dapat dirasakan olehnya.
Berkata Iblis : Wahai tuhanku demi kerana engkau menyesatkan aku maka pasti akan aku hiaskan kepada mereka (manusia) di dunia ini sehingga mereka memandang baik (akan kesesatan yang dihiaskan) dan sungguh akan aku sesatkan mereka itu semuanya (Al-Hijr : 39).
Bukankah menjadi mudah sekiranya umat islam mengikuti para ulama salaf soleh dan mengajarkan akidah Islam seperti yang diajarkan oleh rasulullah kepada sahabat dan yang dipegang oleh para imam-imam besar seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad yang menetapkan bahawa Allah itu di langit berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan hadith yang sahih. Kemudian mengajarkan bahawa membincangkan soal keadaan Allah itu berada di langit ialah haram dan merupakan perkara yang kita dilemahkan untuk mengetahuinya. Sekaligus hal ini melatih manusia dekat dengan kitab dan sunnah dan merasa hampir kepada panduan Al-Quran apabila setiap apa yang diimani oleh mereka berada dalil dan hujahnya daripada dua sumber suci agama ini.
Seterusnya apabila berdepan persoalan bagaimanakah seorang itu mendapat perlindungan daripada tuhannya ? Maka umat Islam sekali lagi berdepan masalah keraguan dan keserabutan apabila mereka terpaksa melakukan pelbagai amalan dan kewajipan yang menyekat mereka daripada kesenangan duniawi sehingga ketaatan yang perlu mereka lakukan dengan alasan untuk mendapat perlindungan tuhan seringkali tidak berbaloi apabila mereka tetap mendapat kecelakaan duniawi sehingga menyangka segala ketaatan dan kebaikan mereka tidak membawa manfaat.
Sudahlah begitu umat Islam di tanahair kita sejak dahulu seringkali disemaikan dengan ajaran Islam menurut mazhab dan ulama atau Islam acuan manusia bukannya Islam yang diturunkan oleh tuhan. Hal ini sungguh memberi kesan besar kepada jiwa manusia apabila dia mempelajari agama sejak kecil sehinggalah besar hanya mendengar nama-nama manusia yang disebutkan kepadanya apabila ditanya dari manakah hal agama ini bersumberkan atau dari manakah datangnya perintah agama ini bukannya daripada tuhan atau rasul yang mulia dan suci.
Berkata Imam Abu Hanifah ra : " Tidak halal bagi siapapun untuk memegang pendapat kami tanpa mengetahui dari mana dalil yang kami ambil" (Sila rujuk Ibn Abd Barr, Al-Intiqa fi Fadlul Salasa Aimmah Fuqahah, m/s 145 dan Ibn Qayyim, Ilamul Muaqiin, m/s 29).
Tanyalah kepada orang tua kita kenapa bersolat begitu dan begini? Dijawab dengan menyebut nama-nama gurunya, ditanya mengapa membaca Al-Quran dengan begitu dan begini? lalu disebut nama gurunya dan kemudian apabila ditanya lagi kenapa sesuatu hal itu boleh dilakukan dan sesuatu hal itu tidak boleh dilakukan? dijawab dengan menyebut nama-nama gurunya sebagai hujah bahawa ianya dilarang oleh tok-tok guru atau pun kerana si ustaz sekian menyebut sekian dan sekian.
Maka itulah agama yang saban hari tidak dapat diterima oleh jiwa manusia hari ini khasnya yang muda yang melihat teknologi, kemodenan dan melihat ilmu manusia yang saban hari lebih berpontensi menjadi panduan hidup daripada agama yang bersumber dari nama-nama manusia.
Alangkah baiknya sekiranya sejak dahulu para ulama dan ahli agamawan kita mengajarkan masyarakat dengan kitab dan sunnah yang suci sehingga setiap amalan agama ini disumberkan kepada dua sumber suci ini sehingga masyarakat apabila ditanya tentang sesuatu permasalahan agama dengan segera mereka mengungkapkan ayat-ayat Al-Quran ataupun hadith dari rasul mereka sehingga masuk cahaya suci Al-Quran dan pertunjuk sunnah rasul di dalam jiwa-jiwa mereka sehingga memandu mereka kepada mengamalkan Islam dengan berhujah dan merasa dekat dengan sumber agama sekaligus menghubungkan mereka dengan lebih dekat lagi kepada pencipta.
Para ulama Islam dan ahli agama juga merupakan penyumbang masalah kepada keruntuhan iman dan kurangnya kepercayaan manusia kepada agama apabila mereka menjadi contoh yang tidak baik serta menjadi rujukan yang buruk kepada manusia khasnya kepada umat Islam di tanah melayu.
Cubalah ditanyakan kepada seorang Professor universiti yang memiliki disiplin ilmu daripada sistem barat apakah pandangannya kepada seorang ustaz yang mengajar di masjid ? Pastinya kita akan mendapat balasan yang berbunyi si ustaz tersebut tidak berdisiplin dalam menyampaikan ilmu apabila wujud petikan ilmu daripada kitab tanpa amanah, menyandarkan kata-kata dan ilmunya kepada sesuatu rujukan secara sesuka hati, mengulas sesuatu isu dan peristiwa tanpa mengkaji terlebih dahulu serta membuat kesimpulan dengan mudah tanpa mempunyai bukti dan hujah yang kukuh serta cepat menghukum dan membuat keputusan.
Itu belum dicampur dengan sikap ahli agama yang suka memberi khayalan dan cerita-cerita karut, lawak jenaka dan lelucon kepada pendengar-pendengar majlis ilmunya sehingga kerap-kali matlamat menghalankan cara apabila penipuan dimasukkan sebagai salah satu unsur dakwah konon bagi tujuan menyedarkan orang sedangkan dia tidak mengerti perbuatannya itu mencederakan agama Islam dan kebenaran agama menjadi tercemar dari sikap perbuatannya.
Diriwayatkan dari Abd Ibn Mubarak yang berkata : " Kalaulah tidak kerana Isnad (riwayat) maka berkatalah siapa pun apa yang ingin dikatanya (yakni dalam agama)." (Sila rujuk Tarikh Baghdad m/s166 Jilid 6).
Ditambah lagi kadang-kadang ceritanya itu sendiri bercanggah dengan syariat Islam seperti kisah sufi berkenaan seorang perempuan yang merosakkan matanya untuk diberikan kepada Hasan Al-Basri yang mengekorinya ke rumah lantaran tertarik kepada kecantikannya lalu dia membutakan matanya dan memberinya kepada Hasan Al-Basri yang konon tertarik kepada kecantikkan matanya itu.
Sungguh kisah ini melanggar syariat Allah yang melarang hamba-Nya melontarkan diri ke lembah kehancuran di dalam surah Al-Baqarah ayat 195 dan mengaitkan kisah yang tidak ada sebarang sokongan ilmiah ini kepada Imam Hasan Al-Basri sebagai watak hero yang menjadi peminat kecantikkan wanita ini sehingga mengekorinya ke rumah kerana tertarik pada mata gadis ini yang kononnya salah seorang wali dari wali-wali Allah. Sekaligus menjatuhkan martabat beliau yang merupakan imam mazhab dan salah seorang ulama tabien yang sempat berguru dengan Khalifah Ali Ibn Abi Thalib ra.
Demikianlah ustaz tidak professional dan ahli agama yang tidak mempunyai kemahiran yang sangat banyak terdapat di tanahair kita. Mereka mengajarkan agama sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan manusia melebihi segala ilmu lain baik perubatan, ekonomi atau kejuruteraan namun sikap dan keadaan mereka yang tidak memiliki disiplin dan kemahiran bahkan lebih teruk lagi tanpa memiliki adab dan etika keagamaan akhirnya membawa fitnah dan kehinaan kepada ahli agama sehingga menjatuhkan kepercayaan umat Islam khasnya golongan muda-mudi kepada agama di dalam membimbing hidup mereka.
Kerana itulah anak gadis muda remaja hari ini jika ditawarkan oleh ibubapanya untuk berkahwin dengan ustaz yang berjanggut dan berserban maka serta merta akan disanggah olehnya dengan menyebut No Way!!
Melihat kepada kehidupan umat Islam yang porak peranda, pergaduhan rumahtangga, perebutan harta pusaka, keras dan kasar yang menimpa hampir seluruh keluarga Islam termasuk keluarga ustaz dan ustazah sekaligus menjadikan anak-anak muda lebih tetarik kepada kehidupan bebas, ketenangan hidup dari kefahaman baru yang dapat memberikan harapan kepada hidup mereka seperti contohnya agama Kristian yang menyediakan mereka dengan sikap pemaaf Jesus, menghidangkan mereka dengan rahmat tuhan blessing of god dan pelbagai lagi keharmonian yang tercapai dari lisan dan perbuatan sehingga melegakan hati anak-anak muda dengan ajaran mereka.
Pendakwah Kristian sangat bijak apabila mereka menerapkan konsep kehidupan, kebahagiaan dan keharmonian dalam agama mereka sehingga menarik manusia khasnya anak-anak muda yang liar dan kosong hatinya untuk mudah terpengaruh dengan mereka. Bukankah kita sudah biasa mendengar slogan agama dari pendakwah Kristian seperti God Bless you yang bermaksud tuhan merahmati anda, The God Love You yang bermaksud tuhan memberkati anda dan lain-lain seruan dan slogan yang menarik serta menyejukkan hati remaja-remaja liar dan kosong hatinya dari kasih sayang dan pengisian hidup.
Manakala dari pendakwah-pendakwah Islam pula kita sering mendengar perkataan dan ucapan yang berbunyi Haram, berdosa, masuk neraka, tuhan akan melaknat kamu serta pelbagai lagi perkataan yang menyakitkan hati dan membuatkan jiwa manusia terasa hendak lari dan sukar menerima ucapan-ucapan dari orang sebegini untuk memotivasikan diri dalam kehidupan. Bukankah Islam itu ialah agama yang mudah dan meyenangkan ?
Tidakkah rasulullah itu diutuskan sebagai rahmat ke seluruh alam dan pendamai hati serta pemandu manusia dalam mencapai kebahagiaan dan memberikan ketenangan daripada ketakutan, keamanan daripada kerusuhan, kebaikan daripada kerosakkan? Mengapa para pendakwah tidak mendalami ilmu agama menurut maksud yang sebenar sehingga mencapai apa yang dinamakan ilmu iman dan menguasai apa yang dimaksudkan dengan ehsan?
Rahmat Allah itu ialah dengan ilmu seperti yang disebut oleh baginda sallahualaihiwasalam : " Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya Maka Allah akan memberikannya kefahaman dalam urusan agama" (Hadith Sahih, Muttafaqun Alaih Disepakati oleh Bukhari & Muslim).
Peranan Ilmu Iman dalam Membendung Gejala Murtad
Gejala murtad berlaku disebabkan kejahilan merupakan satu hujah yang benar dan kenyataan yang perlu diterima sekalipun di dalam kes Aisyah Bukhari dikatakan gadis ini merupakan pelajar lulusan sijil tinggi agama namun hendaklah difahami sejauh manakah kebenarannya kaedah mengukur ilmu seseorang itu ialah dengan sijil dan peperiksaan yang diambilnya?
Kejahilan yang berlaku kepada umat Islam ialah kejahilan terhadap ajaran Islam yang sahih serta mereka dijahilkan daripada mengetahui cara pengamalan Islam yang sebenar sehingga mereka tidak mengetahui keberkesanan agama Islam sebagai panduan hidup yang dapat membimbing manusia menuju kebahagiaan hidup.
Siapa yang mahu murtad sekiranya Islam itu terbukti di depan mata memberikan kebahagiaan kepada kehidupan manusia ? Malangnya Islam kerap-kali menjadi kambing hitam daripada perbuatan manusia yang jahil dan mereka yang zalim sehingga ajaran Islam dilihat tidak mampu memberikan kebahagiaan kepada hidup manusia maka kerana itulah maka menjadi wajib kepada umat Islam untuk mempelajari ilmu iman bagi mendalami persoalan agama ini sehingga meningkatkan keyakinan dan kepercayaan mereka dan menjadi benar-benar beriman dengan Islam.
Ilmu iman ialah pengetahuan yang menambahkan keimanan dan mengkaji serta meneliti perkara yang menguatkan keimanan manusia terhadap agama Islam melalui hujah naqli iaitu berdasarkan kitab dan sunnah serta hujah aqli iaitu berdasarkan akal dan kajian manusia melalui kebijaksanaan mereka dalam mencungkil kebenaran agama Islam sehingga dapat membuktikan kebenaran Islam dan menyingkap kebathilan dan kesalahan agama-agama lain yang menyalahi Islam. (lihat dalam kitab Ilmu Iman m/s 13 oleh Syeikh Abd Majid Az-Zindani).
Manusia ialah makhluk yang mudah mengikuti sesuatu yang berada di depan mata yang dapat membuatkan dirinya merasa yakin dan percaya dengan apa yang diikutinya. Kerana itu di dalam Islam keilmuan ini disebut sebagai ainul yakin iaitu keyakinan yang tercapai dari penglihatan dua mata yang membuatkan diri seseorang itu tenang dan hatinya tenteram dengan apa yang diyakininya.
Maka kerana itulah Nabi Allah Ibrahim as di dalam Surah Al-Baqarah ayat 260 disebut oleh Allah swt dengan berkata :
Sekalipun Allah swt berkehendak untuk menunjukkan kepada Nabi Ibrahim bagaimanakah caranya Dia menghidupkan makhluk yang sudah mati kepada Ibrahim as sebagai menenangkan hatinya namun beliau tetap diperintahkan oleh Allah swt supaya berusaha melakukan sesuatu iaitu mendapatkan empat ekor burung sekaligus sebagai bukti bahawa ilmu yakin ini tidak tercapai dengan hanya berharap dan berdoa meminta sahaja sebaliknya juga dengan berusaha.
Maka kerana itulah menjadi keperluan untuk pendakwah Islam sekarang menguasai ilmu iman dan menjadi berkemahiran tidak hanya dalam bidang agama tetapi dalam bidang-bidang lain yang boleh membuktikan kebenaran Islam melalui teknologi atau kebijaksanaan akal manusia yang dapat menyakini kebenaran agama Islam.
Sebagai contoh amatlah digalakkan umat Islam mendalami kisah-kisah teladan yang memberikan pengajaran dan meningkatkan keimanan seperti kisah para rasul terdahulu, kisah umat terdahulu sepert Ashabul Kafi, Uzair dan melawati tempat-tempat bersejarah dengan melihat kesan-kesan teladan yang menimpa umat yang derhaka seperti kaum Luth, Add dan Samudh yang dimusnahkan oleh Allah swt sehingga terdapat kesan-kesan sejarahnya ke hari ini.
Juga di dalam Al-Quran menyebutkan kisah Firaun dan lain-lain yang boleh dijadikan pengajaran serta kisahnya yang boleh membuktikan kebenaran kisah-kisah dan cerita-cerita di dalam Al-Quran yang bersifat fakta yang benar dan pernah berlaku bukan hanya rekaan cerita dongeng palsu.
Bukankah semua ini menambahkan iman? meningkatkan keyakinan keilmuan Al-Quram serta disamping itu bukankah juga terdapat kisah-kisah binatang di dalam kitab suci Islam ini seperti sifat lebah dan labah-labah yang diterangkan dengan sangat mudah tetapi membawa maksud yang bermakna kepada ilmu sains?
Lihat pula sunnah Rasulullah seperti panduan baginda dalam perubatan dan nasihat-nasihat baginda berkenaan ilmu kesihatan bukankah semuanya ini menjadi bukti bahawa di zaman 1400 tahun dahulu yang serba mundur dan kekurangan manusia seperti Rasulullah masih dapat mencapai pengetahuan yang begitu tinggi yang melebihi pengkajian sains manusia maka bukankah ini suatu hal yang membuktikan kebenaran Islam?
Tingkatkanlah iman manusia dengan membentangkan kepada mereka pengetahuan yang terkandung di dalam kitab suci serta sunnah yang mulia sehingga manusia semuanya menjadi yakin dengan kebenaran Islam dan keaslian agama ini daripada Allah swt.
Hendaklah pula para pendakwah menampilkan akhlak dan sikap yang terpuji serta melakukan urusan dakwah dengan hikmah dan menyeru manusia kepada kebaikan dan mengajak meninggalkan kejahatan dengan jalan yang paling menepati sunnah dan memenuhi maksud syariat dan hanya dengan ilmu dan pengalaman serta kefahaman barulah semua ini dapat terlaksana.
Didikan Keluarga yang Masuk Ke dalam Jiwa
Keluarga menjadi asas penting dalam menyelesaikan gelaja murtad sekalipun kita berhadapan dengan pelbagai contoh kegagalan keluarga dalam mengendalikan kes murtad ini. Keluarga Haji Bukhari dan Jelani gagal memelihara anak gadis mereka daripada jatuh cinta dengan lelaki pilihannya kerana hati anak gadis mereka bukan dimiliki oleh mereka dan mereka gagal mempertahankan akidah anak gadis mereka juga kerana akidah dan imannya bukan milik mereka.
Keluarga berperanan sebagai penjaga agama dan kehidupan seorang manusia sejak dilahirkan sehinggalah dewasa. Sudah pasti peranan keluarga tidak dapat dinafikan hanya kerana kegagalan beberapa buah keluarga dalam menjaga agama anak-anak mereka. Permasalahan yang berlaku sekarang yang mengakibatkan sesebuah keluarga gagal menjadi penjaga agama dan kehidupan ahlinya ialah disebabkan keluarga itu tidak mempunyai kekuatan dan keberkatan.
Kekuatan sesebuah keluarga ialah bermaksud kemampuan sebuah keluarga itu memelihara ahli-ahlinya daripada kehancuran dan kerosakkan dengan memiliki kekuatan ilmu dan pengetahuan, kekuatan amalan dan tindakan serta memiliki kekuatan sokongan dan kasih sayang yang saling mengikat di antara satu sama lain. Ibubapa yang memiliki hati anak-anaknya akan dapat mengawal anak-anaknya menurut kehendaknya dan untuk mencapai keadaan ini hendaklah sejak daripada kecil anak-anak itu dididik dengan didikan yang membentuk jiwa mereka sehingga terbentuk peribadi mereka menurut hanya apa yang dikehendaki oleh ibubapanya.
Ini bertepatan dengan sabda baginda salallahualaihiwasalam yang menyebut : Dan tidaklah seorang anak itu lahir melahirkan dilahirkan dalam keadaan fitrah lalu ibubapanyalah yang menjadikan dirinya sebagai yahudi atau nasrani atau majusi . (Hadith sahih riwayat Bukhari no. 1293 dan Muslim no. 2658).
Masalahnya pada hari ini anak-anak dicemari oleh persekitaran dan inilah yang menyebabkan sesetengah anak-anak sanggup melupakan segala didikan, kasih sayang dan pengorbanan ibubapanya hanya kerana godaan sekitar dan hawa nafsu yang diapikan oleh syaitan. Namun sekalipun begitu selama segala kasih-sayang, didikan dan pengalaman yang diberikan oleh keluarga kepada anak-anak itu masuk ke jiwanya maka sekalipun dirinya memakai pakaian najis maka sekiranya sampai dakwah dan seruan kepadanya dengan jalan yang benar maka nescaya jiwanya akan segera menyahut seruan keimanan dan kebaikan serta segala didikan dan ingatan kebenaran yang diberikan oleh keluarga sejak kecil.
Sudah pasti keimanan yang pernah dibenihkan di dalam jiwa akan kembali tumbuh dengan siraman air hidayah dan dakwah yang ikhlas dengan masa yang sesuai sekalipun seseorang itu sudah memakai pakaian najis dan mempunyai kulit luar yang kufur.
Malangnya apabila pihak keluarga hanya memberikan anak-anak didikan duniawi, makanan yang tidak masuk ke hati, minuman yang berakhir di saluran perkumuhan serta kasih sayang yang tercontoh melalui barangan dan kebendaan maka sesungguhnya anak-anak ini akan lupa segala kebaikan keluarganya melalui masa dan akan meninggalkan segala ajaran dan didikan yang bercanggah dengan pilihan hati dan jiwanya yang sudah diisi dengan sesuatu yang belum terisi semenjak kecil yang menjadikan dirinya seorang yang lain daripada dahulu.
Sekiranya anak-anak ini kemudiannya memilih untuk murtad pada suatu hari nanti setelah dewasa dan melalui liku-liku hidup tanpa ada didikan keluarga ke jiwanya maka nescaya sangatlah sukar untuk mereka kembali ke ajaran Islam yang menjadi agama asal mereka kerana jiwa mereka sudah terisi dengan kesesatan dan sudah disemai dengan kebencian dan sebaliknya kecintaan kepada apa yang baru diperolehinya baik kehidupan yang baru, agama yang baru dan juga keluarga yang baru.
Dalam bukan Kulit
Mendidik anak-anak hendaklah mementingkan perihal dalaman dan dasar serta perkara yang akan dapat menjadi sebati dengan jiwanya iaitu perkara akidah, keimanan dan persoalan kepercayaan. Disebabkan itu tindakan mendidik anak-anak dengan asas keimanan kepada Allah swt dan rasul serta perkara keimanan, mengajarkan anak-anak isi kandungan Al-Quran beserta maksud dan tafsirnya serta kitab sunnah dan pertunjuk rasulullah untuk menjadi amalan hidupnya akan menjadi bekalan berguna buat jiwanya di dalam mencari penyelesaian dalam masalah kehidupan yang akan dihadapinya suatu hari nanti.
Perbuatan keluarga muslim hari ini yang tidak memahami dan kurang pemahaman terhadap agama menjadikan mereka mementingkan kulit luar daripada isi dalaman. Mereka mementingkan anak-anak mereka belajar agama tetapi kurang mementingkan anak-anak mereka mengamalkan agama yang dipelajari. Mahukan anak-anak menghafaz Al-Quran dan pandai membacanya tetapi tidak mementingkan anak-anak untuk memahami isi kandungannya.
Menanamkan Rasa Cinta Kepada Allah swt dan Rasulullah sejak Kecil
Setiap keluarga muslim haruslah berusaha menerapkan rasa cinta anak-anak mereka kepada Allah swt dan kepada Rasulullah dan bukannya mengajarkan anak-anak mereka merasa takut kepada Allah swt dengan mengugut mereka dengan kemurkaan Allah swt sehingga terhasil satu persepsi negatif terhadap rahmat tuhan dan Islam ini menjadi agama yang mengazab manusia dan bukannya pemberi rahmat dan juga bukan melatih mereka menjadi benci kepada sunnah Rasulullah dengan meletihkan mereka dengan sesuatu yang tidak perlu sebaliknya mengalakkan mereka beramal dengan sunnah pada apa yang mereka perlu.
Para ibubapa hendaklah mengalakkan anak-anak mencintai Allah swt dengan mengajarkan anak-anak akan sikap penyayang dan pengasih Allah swt, mengisahkan kepada mereka perkara-perkara yang memberi harapan dan kebaikan serta disamping menjelaskan kepada mereka larangan dan kemurkaan Allah yang mengandungi matlamat untuk kebaikan dan mencapai kebahagiaan. Jangan memberitahu anak-anak bahawa hendaklah bersolat dengan segera sekiranya kamu tidak mahu masuk ke neraka sebaliknya beritahulah anak-anak bahawa hendaklah segera bersolat untuk segera mendapat rahmat dan pahala kebaikan yang banyak.
Biasakan anak-anak dengan ganjaran kebaikan dan rasa tenteram dengan agama sewaktu kecil sehinggalah mereka boleh berfikir sendiri dan pujuklah mereka dalam melakukan amalan kebaikan bukan dengan mengugut mereka sehingga akan nantinya dijadikan modal oleh syaitan untuk dipanaskan hati agar memberontak. Tanam dan semailah rasa cinta kepada Allah dan rasul dengan mengambarkan kasih sayang tuhan dan rahmatnya kepada hamba dan pengorbanan rasululah kepada umat sehingga lahir perasaan syukur dan sayang.
Hiburkan anak-anak dengan kisah-kisah rasulullah dan pesanan-pesanan baginda yang boleh memberi semangat dan motivasi kepada anak-anak sehingga mereka membesar dengan menjadikan kisah-kisah rasul sebagai idola dan sebagai sumber motivasi dalam kehidupan dan memandu mereka dalam membuat keputusan.
Latihlah mereka dengan sunnah rasulullah yang mudah dan menjadi perkara yang diperlukan oleh mereka dan bukannya dengan sunnah yang susah dan tidak diperlukan oleh mereka sebaliknya akan menjadi satu kesusahan kepada mereka.
Sabda baginda : Sesungguhnya kamu diutuskan untuk memudahkan manusia dan bukan untuk mempersusahkan. (hadith sahih, Riwayat jamaah kecuali Muslim).
Latihlah mereka dengan bersiwak dengan mengunakan berus gigi dengan mengatakan sunnah ialah menjaga kebersihan mulut dan gigi disebalik memberikannya kayu sugi yang akan menyusahkan anak-anak mengunakannya dan membuatkan mereka hilang perasaan ibadah apabila nantinya menggunakan berus gigi dan membuatkan perasaan menunaikan sunnah hilang dari mereka lantaran disempitkan pemikiran mereka sunnah hanya pada kayu sugi.
Ajarilah mereka bahawa sunnah rasulullah ialah memakai pakaian yang bersih dan suci serta memakai pakaian dengan bersyukur kepada Allah sw tanpa memiliki perasaan bongkak dengan pakaian yang dipunyai bukannya mengajarkan mereka bahawa sunnah ialah dengan memakai jubah dan serban sehingga membuatkan mereka hanya merasa sunnah apabila memakai jubah dan serban tetapi tidak jika memakai pakaian lain lalu membuatkan sebahagian besar hidup mereka yang dipenuhi dengan memakai pakaian lain itu kosong dari perasaan ibadah dan mengamalkan sunnah.
Sewajarnyalah kepada setiap muslim dan muslimah agar menghayati hadith baginda salallahualaihiwasalam yang diriwayat dari Umar ibn Khatab ra : Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat, dan bagi amalnya (balasan pada amalnya) dengan apa yang diniatkan. (Hadith Sahih, Muttafaqun Alaih Disepakati oleh Bukhari no. 41 & Muslim no.158).
Janganlah mengajar anak-anak dengan sesuatu yang menjauhkan dia daripada agamanya pada masa akan datang dan di dalam realiti kehidupannya tetapi cubalah semaikan cinta kepada Islam dan kepada Allah dan rasul dengan mendekatkan diri mereka kepada agama sehingga mereka merasa Islam itu ialah satu kehidupan yang dapat mereka lalui dengan selesa dan menjadi agama yang memandu hidup dan mengisi kekosongan jiwa.
Segala puji hanyalah bagi Allah swt.