Anwar Sumpah Balas: Ia Kerja Bodoh Lagi Bid'ah..

Primary tabs

ANWAR IBRAHIM TIDAK PERLU BERSUMPAH BALAS!!
Oleh Ust.
Wan Ji bin Wan Hussin

Eskay telah bersumpah laknat dalam mendakwa Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video seks yang telah tersebar. Ramai tokoh- tokoh agama di Malaysia yang terlupa ingin menyebut hukum qazaf, tetapi lebih seronok menyebut “sumpah balas” dari Anwar Ibrahim.

Sepatutnya, mereka perlu mengeluarkan kenyataan mendesak agar pihak mahkamah syariah mengambil tindakan terhadap Eskay atas kesalahan Qazaf. Ini kerana, tuduhan secara terang itu terpancul dari mulut Eskay dengan menyebut Nama Anwar Ibrahim.

Sumpah tidak semestinya menentukan benarnya dakwaan tersebut, tetapi dalam syariah, kebenaran itu melalui saksi seramai empat orang lelaki yang adil, yang tidak melakukan dosa kecil dan dosa besar. Disamping saksi tersebut melihat dengan mata kepalanya sendiri, bukan melalui video atau CCTV. Bersumpahnya Eskay itu, tidak menyebabkan tergugurnya kewajipan bagi dirinya mendapatkan empat orang saksi. Malahan, dia menyebut nama Anwar Ibrahim disamping bersumpah itu merupakan bukti kukuh bagi mahkamah syariah menangkap Eskay untuk dihadapkan mahkamah atas kesalahan Qazaf.

Tindakan menyuruh Anwar Ibrahim membalas sumpah tersebut merupakan satu perkara yang salah. Ini kerana, ia mampu menghapuskan kandungan maqasid syariah yang terpenting juga, iaitu menjaga maruah. [Sebilangan besar ulama mengatakan penjagaan maruah ini termasuk dibawah penjagaan keturunan, tetapi Al-Qurafi dalam kitab al-Furuq menyatakan penjagaan maruah itu adalah satu kandungan maqasid yang keenam]

Ada pihak menyatakan dengan cara bersumpah balas dapat menjaga maruah Anwar Ibrahim seperti yang dikehendaki oleh kandungan Maqasid Syariah. Kenyataan ini jika dilihat dari lapisan yang nipis, akan dianggap sebagai benar. Tetapi jika dihayati secara mendalam, ia merupakan perkara yang salah dan boleh disifatkan sebagai mewujudkan perkara baru dalam agama, atau diistilahkan sebagai bidaah.

Ini kerana, dalam maqasid syariah, tidak boleh melakukan satu tindakan dengan tujuan untuk menghilangkan satu kemudharatan, boleh melahirkan kemudharatan yang lain. Dengan maksud, sekiranya Anwar Ibrahim tetap bersumpah juga, ia akan mendatangkan implikasi yang cukup buruk selepas dari itu. Iaitu, implikasi bahawa amat mudah berlaku kejadian tuduhan zina, penjenayah mampu mengelak diri dengan semata-mata bersumpah, hukum qazaf akan jadi hukum yang tidak relevan lagi di minda rakyat Malaysia dan banyak lagi.

Ada pula pihak mendakwa dibenarkan tindakan Anwar Ibrahim bersumpah balas itu dengan merujuk kepada hadis kisah Ifk, iaitu Peristiwa fitnah zina yang berlaku ke atas Sayyidatuna Aisyah. Ini kerana, ketika Rasulullah SAW bersoal jawab dengan Aisyah bagi mendapatkan kepastian tentang apa yang dituduh.

‎فخرج صلى الله عليه و سلم حتى أتى منزل أبي بكر فدخل عليها فقال : يا عائشة ان كنت فعلت هذا الامر فقولي لي حتى أستغفر الله لك فقالت : والله لا أستغفر الله منه أبدا، ان كنت قد فعلته فلا غفر الله لي وما أجد مثلي ومثلكم إلا مثل أبي يوسف (يوسف الآية 86


Bermaksud :
“Lalu Rasulullah SAW keluar sehingga sampai ke rumah Abu Bakar dan menemui Aisyah. Baginda berkata : Wahai Aisyah, jika kamu telah melakukan perkara ini katakan padaku supaya aku memohon keampunan kepada Allah bagi kamu. Lalu Aisyah menjawab : Demi Allah aku tidak akan sekali-kali memohon keampunan Allah kerananya, jika aku telah melakukannya, tiada keampunan Allah bagiku, aku tidak dapati diriku dan diri kamu semua kecuali seperti yang berlaku kepada bapa Yusuf (sambil membaca surah Yusuf ayat 86)"

Perlu diperlu diperhatikan pada hadis ini, bahawa sumpah yang dilakukan oleh Aisyah bukan merujuk kepada bersumpah untuk nafikan tuduhan fitnah, tapi ia tidak mahu memohon keampuan kepada Allah.

Jadi, dakwaan boleh bersumpah balas itu dengan merujuk kepada hadis ini adalah salah dari sudut pengadaptasiannya. Malahan, ia merupakan tindakan yang tidak cermat dalam merungkai perkara syariah.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Sumber: http://g-82.blogspot.com/2011/05/anwar-ibrahim-tidak-perlu-bersumpah.html



ANWAR IBRAHIM TIDAK PERLU BERSUMPAH BALAS !! [2]
Oleh Ust. Wan Ji bin Wan Hussin

Sebilangan pihak berhujjah bahawa Anwar Ibrahim perlu bersumpah balas dengan memegang kaedah yang bermaksud, “menolak mafsadah perlu diutamakan berbanding mengambil maslahah”.

Perlu diperhatikan juga bahawa kaedah ini digunakan sekiranya pertembungan itu benar-benar antara mafsadah dan maslahah, tanpa melahirkan implikasi atau “Maalat Al-A’al” yang memburukkan selepas dari itu. Sekiranya mendatangkan implikasi yang memburukkan, atau melahirkan mafsadah yang lebih besar, menggunakan kaedah ini perlu diselidiki balik.

Makanya, perlu melihat kepada kaedah yang menyebut, “tidak boleh melakukan sesuatu mafsadah, menyebabkan lahirnya mafsadah yang lain”. Ekoran itu, kita akan faham kenapa Dr Yusuf Al-Qaradhawi mengkritik tindakan Taliban yang meruntuhkan Patung Bamiyan di Afghanistan dahulu. Ini kerana, tindakan Taliban itu memang hendak menghapuskan mafsadah dari sudut aqidah, tetapi tindakannya itu melahirkan tekanan terhadap masyarakat Islam di Negara Buddha yang lain, seperti Thailand, Vietnam dan sebagainya. [sila klik]

Begitujuga, Qaradhawi mengkritik tindakan mujahidin Chechnya ekoran tindakan mereka melakukan serangan terhadap pihak kerajaan, walhal pihak kerajaan telah membuka ruang demokrasi untuk mereka masuk dalam pilihanraya untuk menyatakan hasrat perlaksanaan Islam dalam Negara. Ini kerana, tindakan mujahidin Chechnya itu memang bertujuan untuk menghidari mafsadah, tetapi tindakan itu melahirkan mafsadah yang lebih besar, iaitu pandangan jelek non Muslim terhadap Islam dan sebagainya. [sila klik]

Jadi, keadaan yang agak sama dengan isu sumpah balas yang dicadangkan sebilangan agamawan terhadap Anwar Ibrahim.Jika diperhatikan secara mendalam, tindakan menyuruh Anwar Ibrahim bersumpah balas ini akan melahirkan mafsadah yang cukup besar. Malahan, dengan sumpah balas itu pun, ia tetap akan melahirkan mafsadah yang berentetetan.

Antara mafsadah yang berlaku adalah;

Pertama;

Bukankah kita sedar bahawa suruhan sumpah balas itu memang merupakan hasrat UMNO. Ia tidak ada lain, kecuali konspirasi politik dalam mempertahankan kuasa memerintah.

Tindakan UMNO menggunakan sumpah untuk mengheret Anwar Ibrahim dengan tuduhan zina ini tidak lebih sepertimana yang dilakukan oleh Khawarij yang melawan Saidina Ali dahulu. Iaitu, mereka melaungkan slogan “tiada hukum kecuali milik Allah”. Slogan ini ditanggapi oleh Saidina Ali dengan mengatakan, “kalimah yang benar, tetapi yang dikehendakinya adalah kebatilan”.

Maka begitujuga dengan desakan Anwar Ibrahim “bersumpah balas”. Dari sudut slogan “bersumpah”, memang ia dilihat seperti positif, tetapi ia mengandungi seribu satu perancangan jahat.

Jadi, desakan slogan “Anwar Ibrahim perlu bersumpah balas” tidak perlu dilayan, sebaliknya perlu didesak agar perkara ini diselesaikan di mahkamah syariah atas kesalahan Qazaf.

Kedua;

Perlu diambil perhatian juga, bahawa Anwar Ibrahim bukan seorang tokoh yang kecil dalam politik, malahan beliau dikenali seantero dunia. Sekiranya yang didesak bersumpah balas itu orang yang tidak dikenali, seperti Wan Ji bin Wan Hussin, mungkin kaedah “menolak mafsadah diutamakan berbanding mengambil maslahah” relevan digunakan. Tetapi, jika sumpah itu dari seorang tokoh yang dikenali ramai, malahan ia merupakan tokoh politik yang dikenali di dunia Islam dan di dunia barat. Lantaran itu, tindakan beliau bersumpah balas, sudah pasti memberi implikasi yang cukup besar kepada masa depan Islam di Malaysia.

Antara implikasi yang merupakan mafsadah itu adalah seperti berikut;

Satu, selepas dari ini, akan mudah berlaku tuduhan zina di kalangan rakyat Malaysia atau di luar Malaysia tanpa mereka perlu “berpening kepala” untuk mendapatkan empat orang saksi.

Dua, penjenayah [tidak kira tuduhan zina sahaja] akan dilihat benar semata-mata mereka bersumpah sahaja.

Tiga, budaya bermain-main dengan nama Allah atas nama sumpah akan berleluasa.

Empat, budaya sumpah yang menjadi kebiasaan orang munafiq akan terbudaya dalam masyarakat Malaysia.

Jadi, tindakan yang betul, bukan mendesak Anwar Ibrahim bersumpah balas, tetapi yang paling betul adalah mendesak pihak mahkamah syariah dengan segera mengambil tindakan terhadap Eskay atas kesalahan Qazaf. Lebih-lebih lagi, sumpah balas dalam perkara jenayah syariah ini tidak termaktub dalam nas, malahan ia adalah perkara bidaah, sedangkan hukuman Qazaf itu termaktub dengan jelas dalam Al-Quran.

Sekian

Wallahu ‘Alam

http://g-82.blogspot.com/2011/05/anwar-ibrahim-tidak-perlu-bersumpah_01.html