Wahabi: Apakah mereka Ahlus Sunnah?
Fahaman Pergerakan Wahabi dari sudut pandangan Ahli Sunnah Waljamaah, adakah selari atau terdapat perselisihan dan jika terdapat perbezaan adakah ianya menjejaskan akidah kita sebagai penganut Agama Islam.
Jawab
Alhamdulillah, inilah jawapan ringkasnya:
Gerakan Wahabi adalah para pengikut Syeikh Muhamad bin Abdul Wahab, iaitu seorang ulamak yang terpengaruh dengan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah. Mereka ini dalam bidang fikah bermazhab Hanbali dan manakala dalam bidang aqidah berpegang kepada aliran salaf. Pengikut aliran ini banyak terdapat di Arab Saudi. Sebahagian kecil ada di seluruh negara-negara Islam termasuk di Malaysia.
Masalah: Apakah mereka tergolong di dalam Ahlus Sunnah?
Jawab: Ya, mereka adalah dari golongan ahlus sunnah.
Masalah: Adakah selari atau terdapat perselisihan dan jika terdapat perbezaan adakah ianya menjejaskan akidah kita sebagai penganut Agama Islam.
Jawab: Perbezaan yang berlaku tidak sampai menjejaskan akidah. Hanya perselisihan dari segi furuk sahaja. Banyak contoh-contoh perselisihan yang berlaku antara mereka dengan Syafi'iyah dll.
Antaranya ialah:
1. Cara mempelajari ilmu tauhid. Kebanyakan umat Islam mengikut cara Asya'irah, iaitu tauhid sifat duapuluh. Belajar menggunakan perantaraan ilmu kalam. Tetapi mereka tidak bersetuju dengan cara itu. Mereka menggunakan cara kaum salaf.
2. Tawassul. Sebahagian ulamak membolehkan bertawassul dengan orang yang telah mati, dengan syarat-syaratnya. Mereka tidak membenarkan.
3. Qunut.
4. Talqin
5. Ucapan ushalli (melafazkan niat).
6. Kenduri arwah.
7. Sambutan maulid nabi.
8. Talak tiga sekaligus jatuh satu.
--------
Tambahan:
Masyarakat Malaysia khususnya agak sukar untuk menerima aliran yang mereka bawa, kerana sudah sebati dengan mazhab Syafi'i. Seperkara lagi ialah cara penyebaran mereka yang agak keras sehingga menimbulkan kesan `lawan balik' dari masyarakat dengan begitu kuat sekali. Akibatnya, perpecahan berlaku.
Bagi kami, sikap tolak ansur dalam masalah khilafiyah adalah wajib demi menjaga perpaduan di kalangan umat Islam. Contoh, dalam masalah qunut subuh.. Siapa yang mahu buat silakan. Siapa yang tidak buat, itu terpulang. Talqin, kenduri dsbnya juga begitu. Siapa yang menganggapnya sebagai disunatkan atau disukai, sila buat. Siapa yang menganggapnya sebagai bid'ah, itu terpulang. Kita hormati pendapat mereka.
Seperkara lagi yang amat menyedihkan ialah perbuatan menyerang, memaki dan menghamun tokoh-tokoh ulamak terbilang. Sepatutnya kita kena belajar menghormati dan mengenangkan jasa-jasa mereka. Butiran-butiran idea mereka, mana yang baik kita ambil dan mana yang dirasakan tidak menepati sumber hukum kita tinggalkan. Mereka juga manusia biasa yang telah bersungguh-sungguh bekerja untuk Islam.
Sekian. Wallahu a'lam
zain ys
Rujukan:
Islam Bi-La Mazahib, Dr. Mustafa al-Sya'kah