Sempena Hari Belia Negara 2011, Kerajaan menganjurkan pelbagai program untuk para belia dengan slogan kempen Himpunan Sejuta Belia. Satu program yang menarik perhatian saya ialah Acara Tadarus al-Quran bersama Perdana Menteri Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 28 Mei 2011 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Yang menariknya daripada program Tadarus al-Quran ini ialah format dan konsep acara Tadarus al-Quran tersebut yang bagi saya adalah unik dan pelik. Apa yang unik dan peliknya? Berikut adalah format dan konsep acara tersebut:
- Acara ini berkonsepkan 1 Ayat 1 Quran 1 Belia.
- Acara ini menghimpunkan seramai 6,236 orang peserta belia dari kalangan NGO’s belia, pelajar IPT, sekolah menengah dan lain-lain. Bilangan 6,236 ini adalah sama dengan bilangan ayat dalam al-Quran.
- Setiap peserta belia akan diberikan slip ayat Quran, di mana seseorang belia hanya diberikan satu ayat sahaja. Jadi, 6,236 ayat al-Quran diagihkan kepada 6,236 peserta, bermakna seorang membaca satu ayat.
- Taklimat penerangan akan diberikan kepada beberapa ayat khusus, (contohnya ayat yang ada bacaan Tashil dan Imalah).
- Ada pembimbing yang akan membantu peserta melancarkan bacaan.
- Program bermula dengan kehadiran Perdana Menteri.
- Perdana Menteri akan menyebut “Al-Fatihah” sebagai tanda program bermula, dan peserta akan membaca satu ayat al-Quran yang diberikan secara serentak.
- Selepas semua peserta selesai membaca satu ayat secara serentak, seseorang akan membaca “Sodaqallahul Azim”, dan diikuti dengan bacaan al-Fatihah oleh semua peserta beramai-ramai.
Berikut adalah sedikit ulasan saya:
- Tadarus al-Quran ialah membaca ayat-ayat al-Quran, mentadabbur makna-maknanya, dan memahami tafsiran dan hukum hakamnya. Kerana itulah, Nabi SAW menyuruh seorang sahabat membaca al-Quran dan mengkhatamnya dalam masa sebulan. Apabila sahabat itu mengatakan dia mampu lebih dari itu, baginda menyuruhnya khatam Quran dalam masa sepuluh hari. Apabila lelaki itu mengatakan dia masih mampu melebihi kadar itu, baginda mengatakan, “Bacalah dalam tempoh tujuh malam, dan jangan lebih dari itu”. (Bukhari dan Muslim).
- Ini bererti tadarus yang sebenar bukannya berlumba-lumba cepat khatam al-Quran, sehingga ada ulama mengatakan makruh bagi seseorang mengkhatamkan al-Quran dalam masa kurang tiga malam. Kerana terdapat hadis “Tidak beroleh kefahaman bagi sesiapa yang membaca al-Quran dalam tempoh kurang daripada tiga malam”. (Abu Daud dan Tirmizi). Tadarus sebenar ialah membaca al-Quran dengan penuh penghayatan dan kefahaman.
- Program 1 Ayat 1 Quran 1 Belia yang dianjurkan Kerajaan, dengan format dan konsep di atas, tidak menepati konsep tadarus yang dianjurkan oleh Islam. Kerana objektif dari acara tersebut seolah-olah hanya mahu supaya 6,236 ayat al-Quran dibaca oleh belia. Ada yang akan membaca ayat sependek “Alif Laam Miim” sahaja, dan ada yang akan membaca ayat yang paling panjang dalam Quran sepanjang satu muka.
- Adalah lebih baik dan lebih syar’ie jika format tadarus ditukar dengan cara mereka berhimpun di masjid tersebut, dan salah seorang qari membacakan beberapa potong ayat Quran yang berkaitan dengan belia, kemudian diberikan syarahan ringkas atau tafsiran oleh seorang agamawan.
http://abuumair1.wordpress.com/2011/05/18/1-ayat-1-quran-1-belia/