Baca Ini Dulu Sebelum Nak Kutuk Dr Salman & Dr Aidh..

Primary tabs

2 Tokoh Dakwah Islam - Dr Salman & Dr Aidh
Oleh Ustaz Adlan Abd Aziz

Dalam artikel yg sebelum ni bertajuk 'Agama Bukan Milik Arab Saudi Semata-mata' saya telah sebutkan dalam perenggan kedua berbunyi:

"Sebenarnya saya sendiri pun mengkagumi sebahagian ulama dari Arab Saudi seperti Dr.Salman al-Oadah (www.islamtoday.net) dan pengarang buku 'La Tahzan' iaitu Dr. Aidh al-Qarni serta lain-lain lagi."
 
Biarkanlah kontroversi yang sedikit tentang artikel yang itu. Artikel ringkas kali ini ingin memperjelaskan mengapa saya mengkagumi dua orang tokoh ini - Dr.Salman al-Oadah dan Dr.Aidh al-Qarni.

1-Sejak saya mengenali mereka beberapa tahun yang lalu, saya asyik mengumpulkan apa sahaja yang ditulis oleh kedua tokoh ini termasuklah segala rakaman audio video mereka. Inilah cara untuk kita cuba memahami pemikiran tokoh yang kita minati, bukan dengan hanya satu dua tulisan atau satu dua ceramah.

2-Saya dapat mereka amat mendalami ilmu-ilmu Islam dan ia dilakukan dengan penuh disiplin. Belajar segala ilmu-ilmu sokongan, banyak membaca, banyak berguru dengan ramai dan pelbagai guru, berbincang dengan rakan-rakan pendakwah (contohnya Dr.Muhammad al-Arifi, Dr.Nabil al-Awadhi, Dr. Al-Turairi dll). Inilah di antara cara dan teknik mempelajari ilmu agama.

Dr Aidh al-Qarni & Habib Ali al-Jufri3-Mereka juga amat 'produktif' dengan pelbagai hasil dakwah. Dr.Salman dengan laman webnya (islamtoday.net), majalahnya, bukunya, program tv dan radionya, kuliah masjid dan ceramah umumnya malah melalui twitter dan facebook juga begitu banyak mutiara kata. Samalah juga dengan Dr.Al-Qarni - siapa tidak tahu buku-bukunya seperti La Tahzan (jangan bersedih) yang merupakan 'best-seller' di seluruh dunia. Program tv beliau, program radio, ceramah dan kuliah di masjid serta pusat dakwah seluruh dunia. Seharusnya kita harus mencontohi mereka dengan melakukan dakwah sekadar mampu malah semampu mungkin di mana sahaja bila-bila masa.

4-Keterbukaan mereka menghairankan dan menyejukkan hati dalam masa yang sama. Di kala ada sebahagian tokoh meletakkan dinding antara mereka dan beberapa tokoh yang 'tidak sealiran', kedua tokoh ini mengambil pendekatan bersahabat dan berbaik juga menegur kalau berbeza pandangan. Dr.Salman sebagai contoh begitu rapat dengan Dr.Yusuf al-Qaradawi dan menjadi teman perbincangan malah pembantu yang amat rapat dalam Kesatuan Ulama Sedunia. Sedangkan pandangan Dr.Yusuf banyak ditolak oleh sebahagian tokoh dari negara yang sama dengan Dr.Salman. Itu tidak menghalang beliau untuk memuji dan mengambil ilmu serta pengalaman Dr.Yusuf. Dr.Aidh juga begitu dengan pelbagai tokoh dakwah seluruh dunia Islam menjadi sahabatnya. INilah yang patut ada, bukan label melabel sampai membahagikan pula ulama - ada yang boleh ikut,ada yang kena dijauhi. Begitukah sikap ahli ilmu? Tidak. Malah sikap ahli ilmu adalah seperti yang ditunjukkan oleh Dr.Salman dan Dr.Aidh.

5-Mereka kerap dihentam dan dilabel oleh segolongan penuntut ilmu yang bencikan mereka dalam kalangan orang arab sendiri dan juga bukan arab. Sudah lama kita temui laman-laman web dan blog menghentam kedua tokoh ini. Sudah lama dalam youtube.com ada video-video khas dibuat untuk menghina dua tokoh ini. Sudah ada ceramah dan kuliah menghentam mereka. Saya ingin berkongsi satu cerita yang diceritakan sendiri oleh Dr.Salman dalam satu forum bersama Dr.Aidh dan Dr.Isom al-Basyir (bekas menteri agama Sudan) kerana mereka adalah rakan seperguruan. Kisah itu ialah:

Dr.Salman bercerita bahawa dia pernah dituduh dengan tuduhan negatif iaitu beliau ialah 'ikhwan muslimun' (ia bukanlah negatif tetapi ia dianggap negatif oleh sebahagian penuntut ilmu) lalu diberitahu tuduhan ini kepada Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani. Lalu negatiflah pandangan al-Albani kepada beliau. Lalu beliau telah menghantar semua penulisan dan kaset-kaset ceramah beliau kepada Syeikh al-Albani untuk diminta penilaian dengan penuh hormat. Lalu al-Albani setelah mendengar dan membaca apa yang dihantar telah membuat satu kenyataan yang amat baik di hadapan murid-muridnya iaitu 'Kalaulah semua ikhwan muslimun seperti Salman al-Oadah, alangkah baiknya' dan Dr. Salman tersenyum dan seluruh hadirin senyum bersama beliau termasuk Dr.Aidh dan Dr.Isom.

Renungkanlah bersama wahai sahabat.....

p/s: Atikel sebelum ni mengkritik penuntut ilmu yg taksub memenangkan pandangan ulama saudi dalam semua hal. Itu maksud artikel tu bagi yang masih lari tajuk dan tak faham tujuan.Tak pernah pun nak kritik peribadi syeikh-syeikh Saudi yang pernah saya berguru dengan mereka seperti syeikh Uthaimin. Artikel kritik pentaksub, bukan yang ditaksub. Jazakumullah [pemudaiman]


Note: Blog Ustaz Adlan boleh dilayari di sini alitantawi.blogspot.com