Kebiasaannya penulisan dalam agama tidak dapat lari dari menggunakan hadith-hadith Rasulullah SAW. Namun begitu kita dapati sebahagian penulis - bahkan mungkin termasuk diri yang menulis artikel ini juga - terkadang leka dan cuai dalam melakukan takhrij terhadap hadith tersebut. Dalam erti kata lain, pembaca tidak akan mendapat maklumat yang tepat tentang sumber dan kedudukan hadith tersebut. Puncanya ialah kerana penulis sendiri tidak bersistem dalam melakukan takhrij - menyatakan sumber hadith dengan tepat.
Berikut adalah contoh kesilapan dalam takhrij yang pernah saya temui:
- tidak bersistem dari awal penulisan - sama ada artikel atau buku - hingga akhir. Terkadang penulis akan menyebut dalam takhrijnya : 'Hadith sahih, Riwayat al-Bukhari dan Muslim', malah terkadang dengan nombor hadith atau jilid buku. Tetapi dalam artikel atau buku yang sama kita juga akan temu takhrij yang tidak terperinci seperti yang sebelumnya...'hadith sahih', 'Muttafaq Alaih'...ini semua tidaklah menjadi kesalahan tetapi ia menunjukkan kurangnya ketelitian. Pembaca yang tahu mungkin tidak mengapa tetapi ramai juga pembaca yang tidak tahu bahawa 'riwayat syaikhan' dan 'muttafaq alaih' adalah seerti dengan 'riwayat al-Bukhari dan Muslim'.
- tidak konsisten dalam menyebut sumber utama. Contohnya satu hadith disebut 'riwayat al-Bukhari, sedangkan hadith seterusnya disebut pula 'Hadith 40, Imam Nawawi', manakala hadith ketiga pula disebut 'al-Haithami'. Sedangkan penuntut ilmu hadith tahu bahawa untuk takhrij kita perlukan sumber utama yang mempunyai sanad - cthnya 'riwayat al-Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Ahmad dll'. Manakala sumber lain yang meringkaskan sanad seperti Hadith 40, Riyadhussolihin, Majma' Haithami dan lain-lain lagi tidak boleh digunakan dalam takhrij. Walaupun boleh dikemukakan sebagai sumber kedua atau ketiga. Malah ada yang menyebut 'riwayat Ibnu Hajar dalam Bulugh al-Maram' sedangkan lafaz 'riwayat' itu hanya sah digunakan untuk buku-buku utama bersanad, sedangkan Bulugh al-Maram adalah buku ringkasan tanpa sanad penuh.
- mengambil takhrij dari buku lain dan terkadang tanpa menyebut nama buku itu. Tapi bagi yang meneliti akan mengetahui bahawa ia hanyalah satu nukilan bulat-bulat dari buku lain. Sekurangnya kita menyebut dan mencari terlebih dahulu. Jika perlu, kita sebutkan 'sebagaimana di dalam buku...oleh penulis...' supaya kita lebih amanah.
- memberikan hukum terhadap hadith tanpa menyatakan sumber. contohnya menyebut hadith 'riwayat Ahmad, hadith sahih'. ini mungkin tidak mengapa bagi mereka yang sudah dikenali sebagai pakar hadith. tapi kita sebagai penulis biasa paling tidak perlu menyatakan - sama ada di awal pendahuluan buku, semasa menyebutkan hadith,di penghujung, atau dalam senarai rujukan - agar pembaca tahu bahawa kita merujuk kepada penilaian ulama tertentu sama ada ulama terdahulu atau masa kini.
- menyebut sumber hadith tersebut dalam buku-buku yang tertentu, sedangkan hadith itu ada dalam buku-buku yang lebih utama dan lebih terkenal. Contohnya terdapat penulis yang menyebut dalam takhrij - riwayat al-Tabarani, sedangkan hadith itu ada dalam kitab-kitab Sunan empat - Abu Daud, al-Tirmidzi, Nasaai dan Ibn Majah. Malah tidak kurang juga yang kita temui menyebutkan sesuatu hadith itu -riwayat Nasaai, atau riwayat Tirmidzi - sedangkan hadith itu telah pun ada dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.
- menyebut 'riwayat al-Bukhari dan Muslim' sedangkan ia tidak ada dalam kedua buku itu. Malah terkadang hadith-hadith yang dhaif juga dinyatakan 'riwayat al-Bukhari dan Muslim'. Kita yakin penulis tidak menyedari namun ini perlu diberi perhatian pada masa akan datang agar tidak berulang.
setakat ini dahulu. semoga kita dapat berhati-hati dan membuat semakan sedaya mampu untuk mengurangkan kesilapan sebegini. ini termasuklah diri penulis artikel ini juga.
wallahu a'lam
alitantawi