Nasihat yang ingin diberikan bukanlah bertujuan untuk menyekat dan menghadkan pembacaan buku-buku terjemahan. Bukanlah juga tujuan saya untuk menyarankan bahawa buku-buku ini perlu dibaca dalam bahasa asalnya sahaja iaitu Bahasa Arab.
Nasihat yang saya coretkan di sini juga bukanlah sesuatu yang datangnya dari khayalan atau cerita-cerita yang saya dengar dari orang lain. Ia merupakan pengalaman diri saya sendiri yang bertemu secara tidak dirancang dengan kesilapan-kesilapan dalam terjemahan sebahagian buku-buku berkaitan hadith dan buku-buku Arab yang diterjemahkan dalam bidang-bidang lain seperti tafsir, dakwah, fiqh dan sebagainya.
Ini menuntut kita untuk bersifat lebih berhati-hati dan tidak semata-mata bergantung dengan teks yang diterjemahkan seolah ia merupakan teks yang sama seratus peratus dengan teks asal. Ya, memang sukar untuk berhati-hati namun itulah yang perlu dilakukan agar tidak akan berlaku kekeliruan dan salah faham bagi para pembaca dan peminat buku-buku tersebut.
Saya ingin ringkaskan kesilapan-kesilapan dan kekurangan dalam buku-buku terjemahan yang saya temui sekadar pembacaan saya.Sebahagian kesilapan ini tidaklah begitu serius tetapi ada di antaranya yang menyebabkan kekeliruan. Saya tidak dapat menyatakan kesilapan dan kekurangan ini dengan jelas kerana tidak mahu menjatuhkan mana-mana cetakan terjemahan. Cukup dengan saya memberikan secara umum dan beberapa contoh yang dirasakan sesuai.
Bagi mereka yang ingin tahu, bolehlah menghubungi saya atau meminta pandangan ustaz-ustaz lain yang juga pasti pernah bertemu dengan kekurangan yang sama. :
1- Tajuk buku yang tidak sama seperti asal.
2- Kesalahan dalam menulis nama penulis.
3- Tidak ada penjelasan tentang buku dan penulis asal.
4- Kadangkala pendahuluan buku tersebut tidak diterjemahkan sedangkan ia dicetak bersama dalam naskhah asal.
5- Buku yang diterjemahkan adalah ringkasan daripada buku yang lebih besar tetapi ia dicetak tanpa disebut 'ringkasan'.
6- Buku yang diterjemahkan adalah gabungan dua buku tetapi diterjemahkan seolah ia satu buku dengan dua penulis.
7- Terdapat terjemahan yang berbeza malah bertentangan dengan maksud penulis. Sebagai contoh, penulis menyatakan 'keduanya mursal' sedangkan
terjemahannya ialah 'keduanya tidak mursal'.
8- Terjemahan yang tidak lengkap. Kadangkala beberapa perkataan dan pernah saya bertemu dengan beberapa baris yang tidak diterjemahkan langsung.
9- Kesalahan dalam menterjemahkan teks hadith. Contohnya di dalam hadith itu sepatutnya diterjemahkan 'Di manakah keamanan di bumi kamu' sedangkan penterjemah menulis 'Sesungguhnya aku aman di bumi kamu'. Pernah juga saya bertemu dengan hadith yang diterjemahkan : 'kemudian dia membasuh kedua kakinya' sedangkan maksud asal hadith itu ialah 'kemudian dia memialabasuh kedua tapak tangannya'!
10-Kadangkala sesuatu buku hadith itu diterjemahkan secara ringkas tanpa huraian yang boleh menjelaskan lagi maksud.
11-Nama-nama ulama yang diterjemahkan dengan baris yang salah.
12-Terjemahan yang tidak difahami mungkin kerana gaya bahasa penterjemah yang mengelirukan pembaca.
Ini adalah di antara kekurangan dan kesilapan yang pernah saya temui hasil pembacaan, kelas pengajian dan juga maklumat yang diberikan oleh sahabat berserta bukti dari buku-buku terjemahan tersebut.
Saranan saya:
- Berhati-hatilah dalam membaca buku-buku terjemahan. Pastikan anda meminta bantuan mereka yang tahu untuk membuat perbandingan dengan buku asal agar dapat dielakkan kesilapan dan kekeliruan.
Amat salah bagi mereka yang menyangka buku terjemahan SAMA SAHAJA dengan buku asalnya di dalam Bahasa Arab.
selamat membaca
Adlan Abd Aziz