Berhujah Tentang Negara Islam

Primary tabs

Ahmad Fuad Rahmat | Felo Penyelidik, Islamic Renaissance Front (IRF)

Sejak bertahun yang lampau, banyak yang telah diulas dan diputuskan tentang “Negara Islam”. Sudut perhatian yang ketara, bagaimanapun, difokuskan terhadap polisi yang kontroversial yang bertaut rapat dengannya, seperti hudud dan polisi moral. Sedikit sangat ruang sebenarnya yang menggarap dan membincangkan apakah hakikat kerajaan Islam yang sebenarnya? Apakah corak yang terlakar pada kerajaan yang sepertinya? Apakah bentuk masyarakat yang diasaskannya? Adakah ia mempertahankan prinsip-prinsip demokrasi?

 

 

Bertolak daripada aspirasi untuk menyingkap persoalan yang menarik ini, ratusan hadirin berada di auditorium utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi menyertai forum “Menilai Semula Negara Islam”  pada malam Rabu, 16 November 2011.

Dipengerusikan oleh sarjana intelek dan akademis, Dr Maszlee Malik, pembahasnya terdiri daripada Dr Ahmad Farouk Musa mewakili Islamic Renaissance Front, Ustaz Fadlan Mohd Othman daripada gabungan Ulama’ Muda UMNO (iLMU) dan Dr Dzulkefly Ahmad, wakil Parlimen Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dari Kuala Selangor.

Sesiapa saja yang arif dengan landskap intelektual Muslim di Malaysia dapat menjangkakan pertempuran idea yang hangat dalam forum selama 3 jam tersebut.

Definisi

Puncak pertikaian lahir daripada pertelingkahan pandangan yang mendasar tentang Negara Islam yang diketengahkan. Bagi Ustaz Fadlan, ianya memadai bagi sebuah negara diiktiraf sebagai “Islami” jika penduduknya adalah Muslim yang mendirikan kemudahan dan institusi Islam.

Beliau menekankan bahawa “Negara Islam” tidak perlu lebih komprehensif daripada itu, sepertimana cukup untuk seseorang dianggap Muslim setakat ia mengikrarkan Shahadah (deklarasi keimanan akan keesaan Tuhan dan pengiktirafan Nabi Muhammad sebagai pesuruh Tuhan). Kita tidak perlu menilai watak Islam seseorang atau negara melangkaui kriteria yang minimal ini.

Dr Farouk dan Dr Dzulkefly membalas dengan menekankan keperluan terhadap pengisian dan substansi yang tepat dalam pemahaman Muslim tentang kenegaraan. Dr Farouk menegaskan bahawa maqasid, atau matlamat tertinggi, daripada semua Negara yang layak digelar “Islami” seharusnya adalah penubuhan daulah madaniyyah, negara madani yang sebenar yang beriltizam menegakkan keadilan. Ia jelas melibatkan misi yang penuh sedar untuk mengakhiri penindasan dan penderitaan.

Al-Qur’an memberikan penekanan terhadap ‘adl dan ihsan, iaitu keadilan dan kebajikan. Masyarakat al-Qur’an harus berlandaskan kepada semangat dan nilai ini. Juga, al-Qur’an menentang keras zulm dan ‘udwan iaitu penindasan dan ketidakadilan. Tidak ada masyarakat yang bersandarkan zulm dan ‘udwan yang layak dinobatkan sebagai masyarakat Islam. Nilai al-Qur’an adalah nilai yang paling asas dan fundamental. Kerana itu dapat diperhujah sama ada sebuah negara, mendakwa dirinya sebagai negara Islam dapat diiktiraf dengan sah tanpa menggariskan dasar masyarakat madani kepada nilai ini.

Dr Dzulkefly menambah bahawa faham kebebasan yang dijelmakan oleh negara Islam yang bercorak sivil bukan merupakan kebebasan yang mutlak dan abstrak, tetapi kebebasan daripada ikatan duniawi bagi memungkinkan kita mengabdi semata-mata kepada Tuhan. Dalam perkataannya, ia adalah pengalaman yang dizahirkan daripada kebebasan, upaya penyerahan kepada Tuhan, kebebasan yang akan membawa kita lebih akrab kepada deen (agama).

Difahami daripada perspektif keadilan, pengabdian pada Tuhan tidak hanya merangkum sekadar pengulangan ibadah rituil dan penubuhan institusi. Pengabdian pada Tuhan mencakup makna yang lebih segar yang didukung oleh aspirasi yang fundamental untuk memuliakan seluruh ciptaan Allah. Menurut  Dr Dzulkefly, cetusan ini akan memangkin upaya yang berkesan ke arah pemeliharaan budaya dan perbezaan. Pluralisme juga tentunya tidak diusahakan untuk agendanya sendiri, tetapi kerana meraikan seluruh makhluk yang diciptakan Tuhan bagi Muslim merenung kejadian dirinya.

Definisi berbeza yang telah dikemukakan ini membayangkan perbezaan respon yang diberikan ketika Dr Maszlee bertanya sama ada Malaysia dapat dianggap sebagai negara Islam. Ustaz Fadlan menjawab dengan mudah dan tuntas membenarkannya. Dr Farouk mengklaim sebaliknya. Dr. Dzulkefly Ahmad menawarkan afirmasi yang selayaknya. Malaysia adalah negara Islam dengan capaian skor 3/10. Malaysia adalah Islam pada nama tetapi hanya sedikit yang digambarkan yang menyamai makna dan pengisiannya.

 

Demokrasi anti-Islam?

Forum ini mencapai puncak pergulatan yang mencabar daripada kenyataan Ustaz Fadlan bahawa demokrasi pada asasnya tidak Islami.

Argumennya mengambil rentak putaran yang panjang daripada ungkapan metafor yang malap yang bermula dengan sekumpulan orang Islam yang mendapati diri mereka tersesat dalam hutan. Setelah beberapa ketika tanpa sesuatu untuk dimakan dan hampir mati maka sudah pasti dibolehkan untuk mereka membunuh dan memakan khinzir untuk melanjutkan kehidupan (survival). Dalam keadaan yang sama umat Islam hari ini bergelut dalam kondisi hidup yang terdesak dan darurat tanpa khalifah, maka demokrasi menjadi bentuk kedua yang terbaik daripada sistem kerajaan yang kita harus (dengan penuh keengganan) kerjakan (dengan itu menyamai bahagian seumpama mengunyah khinzir).

Daripada kebimbangan yang mendalam terhadap bid‘ah, Ustaz Fadlan berkeras mempertahankan keperluan untuk merealisasi Islam dengan seluruh kekuatan seperti yang diterapkan pada zaman Nabi. “Demokrasi”, apa pun jua, bukan merupakan ungkapan yang dapat ditemui dalam mana-mana ayat pada kitab al-Qur’an atau Sunnah. Kita singkap masa silam terlebih dahulu, sebelum menangani sesuatu cabaran dalam abad dan lingkungan sekarang.

Bagaimana pun jua metafornya telah ditangkis dengan satu persoalan yang skeptikal. Pengerusi Dr Maszlee meneusi perspektifnya menunjukkan keanehan yang jelas, jika tidak desperado, daripada contoh yang dikemukakan Ustaz Fadlan. Bukankah orang Islam yang tersesat itu sebaliknya dapat memilih untuk memakan sayuran dan tumbuhan? Dengan perkataan lain, haruskah semangat demokrasi difahami keseluruhannya terasing daripada aspirasi politik Islam? Natijah baiknya, logik Ustaz Fadlan dianggap tidak meyakinkan. Sudut jeleknya, ia bertentangan dengan semangat Islam sendiri.

Permusuhan terhadap demokrasi ini diperlihatkan sekali lagi dalam hujah Ustaz Fadlan tentang mengapa demonstrasi diharamkan. Memandangkan kematian Khalifah Umar, Uthman dan Ali berpunca daripada pemberontakan demonstran, maka demonstrasi tidak harus menjadi wadah dalam menyuarakan tuntutan politik.

 

Demokrasi adalah faham yang Islamik

Ia diserahkan kepada Dr Farouk untuk mengungkapkan pendirian yang jelas: tiada analogi yang harus ditarik antara kepimpinan Khalifah Rashidah dengan mana-mana pemimpin hari ini yang secara jelas telah terbukti bobrok di negara ini.

Tuntutan rakyat harus didengar dan respon yang sepatutnya harus diberikan. Tiada kewajaran untuk menafikan ruang awam digunakan untuk menyuarakan bantahan dan pergeseran kepada budi bicara mahkamah.

Dr. Farouk mengingatkan kita bahawa apa yang telah terang salah adalah salah dan tugas kita adalah mencari penyelesaian terbaik untuk memperbaiki kesalahan. Sekiranya penyelesaiannya tidak menyalahi prinsip Islam, maka tidak berbangkit sama ada ia diilhamkan daripada Barat, ataupun daripada Timur. Apapun, “Barat” juga adalah sebahagian daripada ciptaan Tuhan. Untuk menafikan kebaikan hanya kerana ia muncul daripada Barat adalah menghalang upaya produktif ke arah matlamat pembangunan umat Muslim.

Malah, Nabi pernah mengungkapkan dalam sebuah hadith, bahawa “Jihad yang paling afdal adalah menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim.” Memandangkan demokrasi, dengan pijakan dasarnya, menawarkan kaedah terbaik untuk melaksanakannya dengan cara yang aman, umat Islam tidak rugi daripada mengambil dan memanfaatkan sistem demokrasi ini sebagai wadah yang terbaik untuk menegakkan keadilan.

Konsep demokrasi tercantum dalam al-Qur’an sendiri walaupun ia menggunakan istilah yang berbeza sepertimana dihuraikan oleh Muhammad Asad dalam bukunya “State and Government in Islam”. Ia adalah berlatarkan alasan ini al-Qur’an merujuk kepada pemerintah demokratik ketika ia menyatakan: “Dan mereka yang memenuhi seruan daripada Tuhan mereka dan kekal mengerjakan sembahyang, dan urusan mereka (diputuskan) dengan jalan perundingan, dan yang menafkahkan apa yang telah Kami kurniakan kepada mereka” [42:38].

Justeru kepentingan bersama (yang berkait dengan kerajaan) harus disempurnakan dengan konsensus bersama sahaja yang mana dalam dialek politik kontemporer dapat ditafsirkan sebagai kerajaan demokratik.

Oleh kerana pada zaman tersebut tidak ada amalan dengan definisi yang jelas tentang politik demokrat, al-Qur’an merujuknya sebagai ‘amruhum syura baynahum,’ i.e. urusan ditangani dengan kaedah perundingan, yang menzahirkan idea yang bermakna yang mencadangkan kepada praktis demokrasi.

Perintah ini, yang memberi implikasi tentang kerajaan dengan hubungan konsensus dan muafakat, harus dianggap sebagai salah satu klausa yang fundamental daripada keseluruhan perundangan al-Qur’an menyentuh tentang tata urus negara, dan mengikat seluruh umat Muslim dan berlaku di sepanjang zaman.

Islam tidak dapat ditegakkan oleh Negara sahaja. Islam harus direalisasikan oleh kedua-duanya Ummah dan Negara. Negara melaksanakan Islam sementara Ummah menilai dasar pemerintahan Negara (check and balance).

Di sinilah kita memainkan peranan sebagai Muslim dalam negara Islam yang demokratik. Sekiranya kita masih terus membisu terhadap segala bentuk ketidakadilan yang zahir di sekeliling kita, dan komuniti kita, maka kita gagal menegakkan undang-undang fundamental yang paling basik dalam al-Qur’an: untuk menyempurnakan tugas kita sebagai umat Islam dalam menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran!

Dr Farouk mengulangi bahawa Rachid Ghannouchi, pemimpin Hizb an-Nahdah (Parti Renaisans) menukil daripada pemikir Islam yang hebat Malik Bennabi tentang demokrasi dalam bukunya "ad-Dimuqratiyyah fil Islam" – Demokrasi dalam Islam; bahawa secara metaforiknya, ketika pohon syūra layu di tanah Islam kerana kurang dipupuk, benihnya mekar, yakni ketika zaman Renaisans, di tanah Eropah di mana pohon demokrasi berakar dan berkembang.

Dr. Dzulkefly Ahmad, membenarkan pendapat Dr. Farouk, mengingatkan audien bahawa sementara faham seperti “keseimbangan kuasa” dan “demokrasi representatif” mungkin berakar daripada Barat, semangat demokrasi jelas telah tersemadi dalam Islam, yakni dalam konsep Islam tentang Shura dan Ijma‘. Kesarjanaan mutakhir dalam sejarah intelektual juga mengesahkan bahawa Renaisans Eropah berakar daripada warisan intelektual Muslim.

Dinamisme Diperlukan

Dr Farouk mengingatkan audien terhadap keperluan untuk memberi fokus terhadap realiti sekarang ketika berfikir tentang masa lampau. Hal ini tidak bermakna bahawa kenyataan kini harus diangkat dan diutamakan tanpa diperhalusi, atau sejarah lampau disingkirkan sekaligus. Ia bermakna bahawa realiti sekarang tidak boleh dikurangkan atau dipermudah sebagai suatu hadangan daripada setiap benda yang Islamik. Kerana itu, beliau menekankan keperluan Muslim untuk bersikap dinamik dan menerima perubahan.

Kita dengan itu harus sedia merangkul perubahan kerana mekanisme penindasan dan ketidakadilan sentiasa bertukar corak dengan penampilan yang baru. Bagi menangani persoalan global yang kita depani ini dengan bijak, umat Muslim harus dimaklumkan tentang apakah kemusykilan tersebut dan mengapa ia tercetus, dan ini menuntut penglibatan yang serius dan objektif terhadap kemajuan dan nilai dalam diskusi politik kontemporer.  Permasalahan di zaman kita adalah unik untuk zaman kita.

 

Ideal menentang Realiti

Pendekatan Dr Maszlee sepanjang malam itu adalah untuk membawa wacana ini kembali berakar kepada temanya. Kedua belah pihak, dengan kelebihan merit dan kekurangannya dikesampingkan, melahirkan idealisme mereka tentang negara Islam tetapi hanya dapat mengungkapkan sekelumit tentang apakah bentuk yang bakal terlihat dalam rangka praktisnya.

Bagaimana tentang isu hudud? Atau dakwaan yang berlanjut tentang penafian hak wanita daripada terlibat secara aktif dalam lapangan sosial dan politik? Apakah kerangka hukum yang terbaik yang dapat mengekspresikan dinamisme yang dicanangkan oleh kedua-dua Dr Farouk dan Dr Dzulkefly? Bagaimana konsep keadilan dalam Islam, yang dikuatkuasakan oleh negara, akan kelihatan?

Sesungguhnya, hanya sedikit contoh konkrit yang dapat dikemukakan, berdasarkan fakta yang mudah bahawa tidak banyak negara yang sepertinya di luar sana. Ustaz Fadlan mendakwa bahawa Arab Saudi adalah contoh nyata yang paling dekat dapat kita temui. Dr. Farouk mencadangkan New Zealand berdasarkan indeks terbaru yang dikeluarkan oleh Islamicity Index yang mengukur kelayakan Islam kesemua kerajaan-kerajaan di seluruh dunia. Perhitungan yang penting adalah terhadap pengisiannya. Justeru adalah suatu yang imperatif dalam upaya mengesahkan status Negara Islam, untuk memastikan tatakelola yang baik, keadilan sosio-ekonomi dan pengiktirafan terhadap hak politik dan kemanusiaan.

Kebebasan

Banyak keraguan yang lazim ditimbulkan sewaktu diungkapkan tentang “Negara Islam” dapat dirumuskan pada satu kebimbangan, dan ia adalah sama ada rakyat di negara tersebut kekal bebas. “Apakah yang dibenarkan atau tidak di bawah mandat kerajaan Islam?” adalah kemusykilan yang paling lantang dihadapkan kepada umat Islam di era ini.

Semua jaminan yang lain yang diperuntukkan sebagai ganti kepada kebebasan – baik ianya berupa keamanan, keselamatan atau kekayaan – kelihatan sekunder, jika tidak seluruhnya kelihatan kosong, terhadap keperluan yang lebih mendesak untuk mengetahui apakah visi masyarakat yang sebenarnya bebas yang Islam dapat (atau tidak) tawarkan.

Setiap keamanan, keselamatan dan kekayaan yang kita kecapi tidak memberi sebarang makna sekiranya kita tidak mengenal kehendak dan aspirasi kita di dalamnya.

Apa yang diserlahkan oleh ketegangan pada malam itu adalah pertikaian ini bukan antara Muslim yang bebas dan Muslim yang tidak. Untuk memahami apakah risiko sebenarnya kita harus menolak keselesaan pandangan bersifat binari tersebut.

Dipertimbangkan dengan adil, posisi Ustaz Fadlan menentang demokrasi bagaimana sukar sekalipun untuk ditelan pada kenyataannya berpijak pada tuntutan terhadap kebebasan: kebebasan daripada dosa, bid‘ah, “Barat” dan selanjutnya. Manakala visi kebebasan yang dicanangkan oleh kedua panelis berikutnya, sebaliknya, lebih bercorak inklusif di mana kelompok lain juga berhak mengambil bahagian dan menyumbang kepada manifestasinya.

Pertelagahan ini hasilnya bukan terhadap definisi kebebasan tetapi definisi terhadap kehidupan Muslim yang baik, dengan perkataan lain, terma dan syarat daripada mana seorang Muslim dapat menjalani hidupnya dengan bebas.

Masa Depan?

Debat ini jelas memperlihatkan keunikan wacana poitik Islam yang menuntut kenyataan sekarang ditinjau persamaannya dengan kerangka politik klasik, iaitu,  kesemua fakta yang dapat digarap dan dicerakinkan tentang kehidupan dan pentadbiran Islam di zaman Nabi Muhammad.

Politik Islam yang kacau dalam dunia global kian terungkai di sana sini, tetapi tekad perjuangan dan inspirasi yang terilham padanya harus berakar dalam obor sejarah.

Tetapi realitinya adalah visi politik yang paling nostalgik sekalipun hanya mampu direalisasi pada zaman ini dengan pandangan yang jelas terhadap apa yang menanti di hadapan. Malah tuntutan yang paling emotif kepada zaman Islam yang suci dan keagungan silam dibuat bagi meraih hari esok yang lebih baik.

Terpisah jauh daripada semua lontaran retorik dan hermeunetik, tugas yang terpikul kelihatan sulit. Kita tidak harus membiarkan keyakinan kita terhadap peristiwa silam berbicara tentang ketidakpastian di masa hadapan.

[Diterjemah oleh Dr Ahmad Nabil Amir, Abduh Study Group, IRF]