KUALA LUMPUR, 23 Nov - Kerajaan berpendirian bahawa fahaman Muhammad Abdul Wahab (Wahabi) tidak sesat namun ia tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan umat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata kerajaan memandang berat terhadap kekeliruan dan perselisihan faham yang timbul berhubung isu ini tetapi setakat ini ia masih terkawal.
"Kumpulan yang menyokong pegangan Muhammad Abdul Wahab ini tidak terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah, namun apa yang mesti diatasi dan ditangani adalah isu-isu kontroversi yang bersangkut dengan masalah furu'iyyah (cabang) yang cuba dibangkitkan mereka," katanya ketika menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini Rabu.
Mohd Nor ingin tahu sejauh manakah fahaman Wahabi meresap dalam kalangan masyarakat.
Jamil Khir berkata keputusan itu berdasarkan hasil beberapa perbincangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998).
Ia juga turut dibincangkan dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kali ke-14 tahun 2000 dan kali ke-20 pada tahun 2002 serta kali ke-23 pada 2003, katanya.
Beliau berkata kesemua keputusan itu adalah untuk menyekat penularan isu atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan dan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia.
Kepada soalan tambahan Nasharudin Mat Isa (Pas-Bachok) tentang aspek ancaman yang boleh dilihat dari gerakan Wahabi, Jamil Khir berkata situasi yang berlaku hari ini adalah khilaf yang diperbesarkan sehingga menimbulkan sensitiviti umat.
"Keadaan ini sekali gus menimbulkan pandangan berbeza kepada kelompok masyarakat. Justeru, demi menjaga kesejahteraan rakyat, kerajaan memberi pendekatan bahawa Sunnah Wal Jamaah merupakan pegangan akidah dalam konteks negara Malaysia dan Mazhab Syafie menjadi pegangan," katanya. [BERNAMA]