Oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
SOALAN
Saya bekerja di syarikat antarabangsa. Kerja melibatkan pergaulan dengan wanita dan kadang-kadang terpaksa bersalaman dengan wanita. Saya pernah tunduk untuk mengelakan bersalaman namun bagi wanita asing mereka akan menimbulkan persoalan yang agak negatif.
Pertama - Adakah rezeki saya dikategorikan dari sumber yang syubhah?
Kedua - Adakah cara yang terbaik untuk terus bekerja di syarikat seperti ini atau berusaha untuk mencari peluang pekerjaan di tempat lain.
JAWAPAN
Pergaulan antara lelaki dan wanita di tempat kerja sudah menjadi fenomena hari ini, dan ia telah tergolong dalam kategori ‘umum al-balwa' (kebahayaan dosa yang sukar dielakkan). Namun begitu, tidak semua jenis percampuran dan pergaulan lelaki dan wanita di tempat kerja itu jatuh dalam kategori haram. Jika ia dapat dikawal sebaiknya, dosa masih boleh dielakkan. Apa yang penting semua aspek komunikasi yang meningkatkan syahwat, menggoda, mendedah aurat, pandangan nafsu, sentuhan adalah antara faktor dosa berlaku di tempat kerja.
Walaupun begitu, gaji seseorang tidak semestinya menjadi haram disebabkan tingkah laku dosanya di tempat kerja kecuali apabila ia culas dan ‘mencuri tulang' semasa melaksanakan tugasan utamanya.
Sebagai contoh, seorang yang bertuags selaku pensyarah IT di sebuah universiti, tentunya gajinya halal, malah jika sekiranya dia culas dan melakukan maksiat seperti tidak solat, bergaul dengan syahwat dengan wanita di tempat kerja, gajinya masih halal kerana maksiat itu bukanlah BIDANG TUGASNYA, cuma perbuatan maksiat itu adalah dosa secara berasingan dan secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada rezeki dan keberkatan pendapatannya. Namun jika, pensyarah ini ponteng dari tugasan mengajarnya tanpa sebab munasabah, menyelewengkan anak muridnya semasa pengajiannya, tatkala itu gajinya boleh berubah menjadi haram.
Isu berjabat tangan antara lelaki dan wanita telah lama diperdebatkan di kalangan ulama, keempat-empat mazhab, majority ulama silam dan kontemporari berpandangan ia aadalah haram kerana ia tergolong di dalam kategori perilaku yang boleh membawa kepada zina. Allah telah secara jelas melarang kita jauh dari mendekati zina.
Selain itu, terdapat beberapa hadis lain yang menyokong ijtihad ulama ini seperti hadis Nabi tidak pernah menyentuh wanita bukan mahram hatta di ketika berbai'ah, hadis yang menyatakan besi di atas kepala lebih baik daripada sentuhan sebegitu dan lain-lain. Walaupun kesahihan hadis-hadis yang dipegang masih diperdebat dan dibincang di kalangan ulama, saya tidak berhasrat memanjangkannya di sini.
Sebahagian kecil ulama pula, khususnya ulama kontemporari berpandangan berjabat tangan lelaki dan wanita boleh dibenarkan jika :-
- dilakukan tanpa syahwat,
- tidak mendatangkan fitnah kepada dirinya dan orang yang berjabat tangan dengannya,
- tidak membawa mudarat kepada reputasi agama yang dipegangnya di mata khalayak khususnya pengikut dan muridnya,
- dimulakan oleh orang lain (contohnya wanita bukan Islam menghulurkan tangan di tempat awam yang jika tidak disambut boleh mengaibkannya)
- dilakukan oleh individu berumur dan tidak mudah menaikan syahwat, secara normalnya seperti inidividu berusia 70 tahun ke atas dan beberapa syarat lagi.
- Tangan dihulur oleh kaum kerabat atau keluarga yang belum cukup faham berkenaan hukum.
Kesimpulannya, mereka yang membolehkan TELAH MELETAKKAN SYARAT-SYARAT dan bukannya diharuskan secara umum.
Apapun hujjah kedua-dua pihak (saya tidak menyertakan hujah dan perbincangan kedua-duanya bagi mengelakan ulasan terlalu panjang dan tersasar dari menjawab soalan), berjabat tangan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram bukanlah amalan Rasulullah dan para sahabat serta para solihin di kalangan tabi'en. Isteri nabi Aisyah berkata:-
ما مست يد رسول الله - صلى الله عليه وسلم - يد امرأة قط
Ertinya : Tiadalah tangan Rasulullah menyentuh tangan mana-mana wanita dan baginda bersabda : " Aku tidak berjabat tangan dengan wanita" ( Riwayat Muslim)
Rasulullah juga bersabda :
إني لا أصافح النساء
Ertinya : Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan wanita ( Riwayat An-Nasaie ; Albani : Sohih)
DALAM KERJAYA
Seperti disebut ringkas di atas, jika berjabat tangan ini berlaku dalam kehidupan kerjaya seseorang, kehalalan gaji seseorang itu tidaklah tertakluk kepada hal tersebut secara asasnya tetapi gaji seorang pekerja tertakluk kepada bidang tugas utama dalam kerjayanya dan cara pelaksanaan tugasan itu, iaitu sama ada terdapat unsur haram seperti:-
- Menjual barangan haram sama ada kerana barangan curia tau jenis yang diharamkan zatnya seperti arak, dadah dan sebagainya.
- Menjual dan menyediakan servis atau perkhidmatan haram atau membantu perara yang haram
- Semasa menjalankan tugas, terdapat unsur rasuah, penipuan dari pelbagai aspek, ‘curi tulang'
Manakala unsur-unsur dosa tetapi tidak berkait secara langsung dengan kerjaya seperti :-
- Membuka aurat
- Tidak solat atau tidak puasa pada bulan Ramadhan tanpa keuzuran.
- Berjabat tangan lelaki wanita secara kerap dan syahwat
Semua dosa-dosa ini tidak menjadikan gaji tersebut haram, tetapi ia menjadikan pendapatan individu pekerja mulai hilang keberkatan. Menjauhkan individu terbabit dari Allah ta'ala dan seterusnya menjadi semakin lalai dan culas dalam kewajiban agamanya sehingga akhirnya boleh menjatuhnay ia dalam melakukan unsur haram jensi pertama di atas, tatakala itu kehalalan gajinya akan tergugat sedikit demi sedikit.
Berbalik kepada soalan, iaitu sama ada perlu atau tidak berhenti kerja kerana hal itu, saya kira tidak perlu, apa yang diperlukan adalah cuba mengawal kekerapan berjabat itu dari berlaku, cuba mengelakkannya dengan apa jua usaha. Perbanyakkan istighfar, amalan dan taubat secara berterusan. Namun jika, ada kemudahan dan peluang untuk mendapat kerjaya yang lebih minima terdedah dengan hal sedemikian, sudah tentu ia lebih baik untuk berhijrah.
Zaharuddin Abd Rahman
11 Jun 2010