Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu `Abbas radhiaAllahu `anhuma, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam ada menyebut bahawa Baginda sallAllahu `alaihi wasallam diberitahu ada 70,000 orang di kalangan ummatnya yang akan masuk syurga tanpa dihisab dan diseksa terlebih dahulu.
Siapakah mereka yang beruntung yang termasuk di dalam 70,000 orang itu? Mereka ialah:
- Orang-orang yang tidak menjampi,
- Orang-orang yang tidak pernah minta dijampi,
- Orang-orang yang tidak meramal,
- Orang-orang yang hanya bertawakkal kepada ALLAH `Azza wa Jalla.
Hadithnya seperti berikut:
Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: ”Telah diperlihatkan kepadaku ummat-ummat terdahulu, maka saya melihat ada seorang nabi yang disertai dengan rombongan kecil, ada seorang nabi yang disertai dengan satu dua orang sahaja, bahkan ada seorang nabi yang tidak mempunyai pengikut seorang pun. Kemudian terlihat olehku satu rombongan besar yang kusangka mereka adalah ummatku, namun dikatakan kepadaku: ”Ini adalah Musa dan kaumnya, tetapi lihatlah ke ufuk sana.” Kemudian kulihat ke ufuk itu dan tiba-tiba kulihat rombongan yang besar, lantas dikatakan kepadaku: ”Lihatlah ke ufuk yang lain”; di sana kulihat satu rombongan besar kemudian dikatakan kepadaku: ”Ini adalah ummatmu dan di dalamnya ada tujuh puluh ribu orang yang akan masuk syurga tanpa dihisab dan tanpa diseksa lebih dahulu.” Beliau lalu bangkit dan masuk ke dalam rumah. Maka orang-orang ramai membicarakan masalah orang-orang yang akan masuk syurga tanpa dihisab dan diseksa lebih dahulu. Salah seorang dari mereka berkata: ”Barangkali mereka adalah sahabat-sahabat Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.” Ada pula yang berkata: ”Barangkali mereka adalah orang-orang yang dilahirkan dalam keadaan Islam kemudian mereka tidak mempersekutukan ALLAH.” Dan mereka memperkirakan yang macam-macam. Kemudian Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam keluar dan bersabda kepada mereka: ”Apa yang sedang kalian bicarakan?” Kemudian mereka menceritakannya kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Maka Baginda sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: ”Mereka itu adalah orang-orang yang tidak menjampi, mereka yang tidak pernah minta dijampi, mereka yang tidak meramal dan hanya kepada Tuhan sahaja mereka bertawakkal.” Kemudian `Ukkasyah ibn Mihshan berkata berkata: ”Wahai Rasulullah, doakanlah kepada ALLAH agar saya termasuk golongan mereka.” Baginda sallAllahu `alaihi wasallam menjawab: ”Kamu termasuk golongan mereka.” Lantas berdirilah orang lain seraya berkata: ”Wahai Rasulullah, doakanlah kepada ALLAH agar saya termasuk golongan mereka.” Baginda sallAllahu `alaihi wasallam menjawab: ”Kamu telah didahului oleh `Ukkasyah.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Peristiwa Hari Hisab dan seksa Neraka tersangat dahsyat. Betapa beruntungnya orang-orang yang bilangannya 70,000 orang ini yang mendapat keistimewaan ini, iaitu bebas dari dihisab dan diseksa terlebih dahulu. Mereka terus masuk ke Syurga dan menikmati keseronokan di sana, subhanALLAH.
Mudah-mudahan kita tergolong di dalam kumpulan ini. Untuk itu:
- Jauhilah dari terlibat dengan jampi-menjampi.
- Jauhilah dari meminta orang lain menjampi kita.
- Jauhilah dari terlibat dan percaya kepada sebarang perbuatan yang dikategorikan sebagai meramal seperti meramal nasib, meramal jodoh dan lain-lain lagi walaupun dengan tujuan main-main atau seronok-seronok.
- Jadilah hamba ALLAH yang sentiasa bertawakkal kepada ALLAH `Azza wa Jalla. Iaitu menyerahkan semua urusan kepada ALLAH selepas meletakkan perancangan dan usaha yang sungguh-sungguh.
WAllahu Ta`ala A`lam.
SUMBER: http://muzir.wordpress.com/2011/04/12/4-golongan-yang-tidak-dihisab-dan-diseksa/