By Shahmuzir
Saya ingin berkongsi dengan anda semua akan satu perumpamaan yang mungkin boleh diambil manfaat daripadanya.
Cuba bayangkan kita sedang berdiri di hadapan dinding dan di tangan kita mempunyai dua biji bola getah. Satu berwarna putih dan satu lagi berwarna hitam. Lihatlah kepada dua biji bola getah tersebut.
Kita mempunyai pilihan samada untuk melontar bola getah yang berwarna putih ataupun yang berwarna hitam ke dinding. Dan setiapnya akan memberikan tindakbalas yang sama. Iaitu bola getah itu akan melantun ke arah kita semula setelah ia terkena dinding. Jika kuat kita melontarnya, maka kuat jugalah pantulannya ke arah kita. Jika perlahan lontarannya, perlahanlah pula ia memantul.
Pilihan di Tangan Anda
Bayangkan bola getah yang berwarna putih itu sebagai perbuatan-perbuatan yang bersifat positif. Dan bola getah berwarna hitam itu pula mewakili perbuatan-perbuatan yang bersifat negatif.
Sebagaimana kita mempunyai pilihan untuk melontar bola getah yang berwarna putih atau hitam, seperti itulah juga kita mempunyai pilihan untuk memilih samada untuk melakukan perbuatan yang positif ataupun negatif.
Orang yang bijak dan sentiasa berfikiran jauh sudah tentu akan memilih untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang positif. Dia akan selalu memberikan sumbangan yang positif kepada orang-orang di sekelilingnya, samada di dalam keluarganya, di kawasan tempat tinggalnya, di pejabatnya ataupun mana-mana sahaja.
Sebaliknya, orang yang terburu-buru, yang selalu kalah dengan nafsu dan tidak berfikir panjang akan melakukan perbuatan-perbuatan yang buruk. Malah lebih memburukkan keadaan jika sifat buruknya melibatkan orang lain dan menyusahkan orang di sekelilingnya.
Beri Kesan Jangka Pendek dan Panjang
Bola getah yang melantun ke arah kita hasil lontaran ke arah dinding bolehlah diibaratkan sebagai hasil perbuatan kita. Baik perbuatan yang kita lakukan, baik jugalah hasil yang bakal melantun ke arah kita nanti. Sebaliknya, buruk perbuatan yang kita lakukan, kelak perbuatan buruk itu akan memakan diri.
Bukan itu sahaja, malah semakin kuat lontaran kebaikan yang dilakukan, semakin tinggi juga manfaat yang akan terhasil. Usah difikirkan sangat manfaat bagaimana yang bakal diperolehi. Buat sahaja. Buat banyak-banyak perbuatan kebaikan.
Samada kita sebagai ahli keluarga, ahli organisasi, ahli masyarakat atau siapa pun kita, tak usah berkira. Jangan sambil lewa bekerja. Produktiflah, inisiatiflah, kreatiflah, inovatiflah. Hasilnya pasti akan melantun ke arah kita samada cepat atau lambat, sedar atau tidak. Jika tidak di dunia manfaatnya, di akhirat bakal tersedia, insyaALLAH. Makin banyak kebaikan diberi, makin banyak pulangan menanti. Itu pasti.
Sebaliknya, buat insan yang memilih untuk melakukan keburukan, nescaya keburukan itu akan melantun ke arah mereka mengikut kadarnya. Makin jahat perbuatannya, makin teruklah nanti balasan keburukan memantul ke arah mereka. Cepat atau lambat, sekarang atau nanti, di dunia atau di akhirat, pasti kena!
Justeru, saya menyeru diri saya dan kita semua agar pilihlah untuk melakukan dan menyumbangkan kebaikan pada setiap masa, walau di mana pun kita berada, kepada sesiapa pun yang kita jumpa. Berilah yang terbaik, nanti yang terbaik juga akan kita perolehi. Dan janganlah lekas berpuas hati dengan perbuatan kebaikan yang telah dilakukan. Gandakan ia dan berlumba-lumbalah berbuat kebaikan.
- Jadi, bola mana yang anda mahu lontarkan?
- Putihkah atau hitamkah?
- Perlahankah atau kuatkah lontarannya?
Pilihannyanya terpulang kepada diri masing-masing. Dan hasilnya akan terpantul kepada diri masing-masing…
SUMBER: http://muzir.wordpress.com/2011/03/16/bola-putih-bola-hitam/