Muhammad Nazreen Jaafar |Intern, Islamic Renaissance Front (IRF)
Mungkin, beliau merupakan pemula banyak wacana-wacana kebebasan perempuan. Larut di dalam keluh-kesah zaman diskriminasi wanita di Mesir sekitar 1870an, Qasim memulai kritis untuk melangkaui ketirisan patriakisme terhadap sumbangan dan peranan golongan wanita.
Qasim Amin lahir awal Disember 1863. Ayahnya keturunan Turki-Utsmaniyah yang bertugas sebagai askar pada zaman Khadewi Ismail. Ibunya pula seorang perempuan Mesir asli. Qasim berasal dari keluarga kelas menengah. Pendidikan yang dia peroleh daripada tingkat dasar sehinggalah ke sekolah tinggi hukum berasal dari sekolah-sekolah golongan Aristokrat di Mesir. Setelah tamat, beliau sempat bekerja bersama bekas perdana Mesir, Mustafa Kamil Pasha.
Kemudian, beliau melanjutkan pendidikan tinggi di Perancis antara tahun 1881-1885. Pulang setahun kemudian, usia Qasim Amin yang baru sahaja genap 22 tahun tidak menghalang beliau untuk bertindak sebagai seorang Majistret - Lantas, beliau mulai untuk terlibat secara aktif bersama ' Al-Mu'ayyad ' , akhbar yang mempromosikan tuntutan reformasi sosial, politik dan pendidikan di negerinya.
Namun begitu, kontroversi dan polemik tidak pernah usai daripada seputar karya-karya Qasim sehingga sekarang. Padahal, buku yang berjaya diterbitkan berkenaan wacana tentang perempuan hanyalah dua buah ; 'Tahrir Al- Mar'ah' (Pembebasan Perempuan) dan diusuli penerbitan kedua setahun selepasnya ' Al Mar'ah al Jadidah' (Perempuan Moden) .
Polemik 'Tahrir al Mar'ah' : Imam Muhammad Abduh dan Qasim Amin.
Kelebihan yang terlihat daripada sosok Qasim Amin berbanding generasi sebelum disebabkan beliau lebih berani dan terbuka melancarkan kritik terhadap kekusutan kaum lelaki dan masyarakat patriakis ketika itu. Qasim Amin dilihat berjaya memberi kacukan pendekatan liberalisme Syaikh Rifa’at at Tahtawi dan rasionalisme Imam Muhammad Abduh. Hal ini tertuang menerusi 'Tahrir Al Mar'ah' yang melihat emansipasi wanita melalui dua cara pandang yang besar: Reformasi pendidikan dan sosial, serta reformasi pemikiran keagamaan.
Qasim dilihat sebagai pemikir yang suka mengutip pandangan intelektual barat, Jadi, makna 'kebebasan' yang beliau imani cukup terkesan dengan liberalisme pendapat di barat. Bagi beliau, takrif kebebasan berakar daripada pernyataan ini: Kebebasan yang sebenarnya adalah kebebasan yang boleh menyantuni semua pemikiran, menerbitkan setiap aliran dan menyambut setiap idea. Sementara itu, konteks pemikiran Abduh cukup didambai dan Qasim sangat terpengaruh oleh idea-idea Imam Muhammad Abduh.
Atas dasar itulah, Muhammad Imarah, yang mengumpulkan karya-karya Abduh dan Qasim Amin, menganggap 'Tahrir Al Mar'ah ' merupakan penegasan terhadap kemuncak pemikiran Imam Muhammad Abduh terhadap keberadaan perempuan. Daripada sinilah terbitnya kontroversi, Qasim Amin membela tradisi Hijab tetapi pada masa yang sama sepakat bahawa wujud kemunduran wanita Mesir khususnya pandangan sesetengah perempuan berhijab.
Pengakuan lain turut dituturkan Rasyid Ridha yang juga murid Abduh, bahawa Qasim menulis buku ini dalam keadaan emosional yang sangat tinggi. Namun, Rasyid Ridha sedar bahawa hal ini sememangnya wujud lalu dia berkata ' Tidak ada faedahnya kalau keburukan itu memang ada di dalam diri kita, kemudian kita terlalu sibuk membantah orang yang mencela keburukan kita malah mencari keburukan lain yang ada di dalam diri mereka. Sebaiknya kita membahas keburukan yang ada dan berusaha mencari cara menghilangkannya'.
Pernyataan ini menyanggah beberapa keadaan yang digambarkan Qasim semata-mata melakukan kritik tetapi tidak menyantuni hal-hal peribadi perempuan Mesir. Namun, Rashid Riddha percaya bahawa akal budi pemikiran Qasim sewajarnya dihayati untuk ijthihad kaum wanita.
Beberapa Wacana Tentang Wanita
Menurut pengamatan Qasim Amin terhadap keadaan wanita ketika itu, beliau mengambil kesimpulan bahawa perlunya reformasi dituntaskan. Qasim meletakkan persoalan 'perempuan' di dalam ranah yang lebih luas iaitu ukuran maju atau mundurnya sesuatu bangsa. Beliau tidak melihat wanita sebagai sosok yang lemah dan hanya patuh pada kehendak lelaki tetapi darjat wanita seharusnya mempunyai ruang-ruang demokratis yang lebih besar lagi. Lantas, pemikiran Qasim berangkat daripada rata-rata pandangan yang melihat 'wanita' ini sebagai budak lemah.
Menerusi Tahrir al-Mar'ah dan al-Mar'ah al-Jadidah, hipotesis terhadap reformasi pemikiran Qasim Amin terhadap peran wanita dapat dilihat menerusi ketajamannya mengkritik ehwal-ehwal ini.
1. Adat Istiadat yang Menghina Perempuan
Qasim melihat realiti yang ada dalam masyarakat Muslim adalah disebabkan adat-istiadat masyarakat yang buruk. Dan lebih merumitkan lagi adalah apabila kebiasaan yang buruk ini dikekalkan dan tiba-tiba mengalahkan ajaran agama lantas dianggap pula sebagai ajaran agama. Lantaran itu, Qasim menekankan hal ini wujud akibat daripada kepimpinan yang zalim di suatu bangsa akan melahirkan golongan lelaki yang kuat tetapi meminggirkan golongan wanita kerena kekurangan mereka.
Qasim juga menyebut beberapa kebiasaan lelaki yang menghina perempuan (ihtiqar al mar’ah), seperti lelaki yang melampiaskan isteri-isteri di rumah setelah mereka puas menyetubuhi mereka, menceraikan isteri mereka tanpa alasan serta lelaki yang menganggap bahawa perempuan tidak harus dipercayai dan diamanatkan.
2. Hijab
Dalam soal pakaian, Qasim menolak hijab yang menutupi seluruh bahagian tubuh perempuan dan cadar yang memisahkan wanita melalui batasan tabir (tanpa kehendak mereka sendiri). Qasim juga menentang peminggiran kaum perempuan daripada aktiviti-aktiviti sosial. Untuk itulah, Qasim Amin mengulas kembali soal hijab ini daripada latar agama dan sosial.
Daripada sisi agama, menurut Qasim Amin, penghuraian berkenaan tradisi hijab yang memisahkan wanita daripada kehidupan sosial ini tidak memiliki dalil yang jelas di dalam agama. Jadi beliau menentang keras pengurungan perempuan di dalam rumah mahupun pemaksaan membaluti seluruh tubuh (tanpa kerelaan) ketika mereka mahu keluar dari rumah.
Dari sisi sosial pula, 'hijab' yang terlampau keras (paksaan pemakaian) menzahirkan penampilan hal yang sangat bermasalah kerana ianya berusaha memisahkan wanita daripada kelompok sosial mereka. Jadi tradisi hijab (secara pemaksaan) melampirkan mereka ke dalam ruang-ruang yang sempit kerana mereka tidak boleh melihat secara terang mahupun mendengar secara jelas.
3. Poligami
Qasim Amin merupakan bagian daripada mereka yang memiliki pandangan yang positif terhadap kebebasan. Jadi, beliau menentang keras poligami atas sebab bukanlah ia didasarkan kepada hukum agama tetapi kebiasaan yang terjadi adalah penghinaan dan diskriminasi terhadap wanita. Pendapat ini tertuang di dalam buku Tahrir al Mar'ah.
" Tidak terbantah, poligami merupakan bentuk penghinaan yang keras terhadap wanita, kerana Anda tidak akan pernah mendapatkan perempuan yang rela melihat wanita lain ikut mencintai suaminya. Seperti halnya seorang lelaki tidak rela ada lelaki lain ikut mencintai isterinya. Cinta jenis ini - merupakan kudrat bagi perempuan seperti ia juga menjadi kudrat bagi lelaki...(h. 393)
Setelah menuturkan keadaan wanita dalam lintas sejarah, yang ditemukan adalah penindasan-penindasan terhadapnya, ia menyebutkan sebabnya adalah hilangnya kebebasan politik sesuatu bangsa. Sementara buku ' Perempuan Moden' (al-Mar'ah al-Jaddidah), Qasim Amin memberi contoh-contoh wanita timur yang menurutnya ditindas kaum lelaki gagal untuk keluar memajukan diri mereka.
Hal ini berbeza daripada buah fikiran wanita-wanita di barat muncul selepas mereka biasa membebaskan akal budi mengekang daripada golongan wanita ini daripada tradisi yang larut dengan wahm dan khurafat (h. 420). Jadi apa yang ditekankan di dalam buku ini adalah sebenarnya hakikat Hurriyatul Mar'ah (kebebasan perempuan).
Penutup
Sesungguhnya hasil perjuangan Qasim Amin yang didasari ide tentang reformasi terhadap kefahaman beragama dan pembebasan yang diasaskan oleh Imam Muhammad Abduh walaupun kelihatan telah berjaya memberikan hak kepada wanita Islam di sesetengah negara di bumi Islam, namu masih banyak yang perlu diperjuangkan.
Di dalam Tahrir al-Mar’ah, Qasim Amin pernah mengeluh tentang kebobrokan budaya Muslim di mana katanya: “kebebasan terhadap lelaki dibarengi oleh perhambaan terhadap wanita, pendidikan bagi lelaki diimbangi dengan kejahilan kaum wanita. Lelaki membina rasional dan kekuatan mentalnya, dengan menyingkirkan wanita terperosok dalam kebodohan dan kerencatan. Seluruh dunia adalah untuk lelaki, manakala wanita hanya menempati tepian dan sudut yang gelap.”
Rasanya tidak jauh apa yang diutarakan Qasim Amin seabad yang lalu dengan perubahan yang berlaku di era ini akibat kebangkitan golongan literalis yang terlalu ghairah memenjarakan wanita disudut yang kononnya bebas daripada ikhtilat. Sesungguhnya perjuangan pembebasan ini adalah perjuangan yang berterusan yand harus dipikul terutama oleh mereka yang mengambil inspirasi daripada perjuangan reformasi Imam Muhammad Abduh.