Oleh Ahmad Nabil Amir (PhD Usuluddin)
Diterjemahkan daripada artikel "Feminism, Equality and the Qur’an"oleh Dr Ahmad Farouk Musa.
Terdapat banyak tafsir yang muncul sepanjang zaman, tetapi sedikit yang menekankan tentang isu persamaan gender seperti yang diketengahkan dalam al-Qur'an. Banyak pentafsir yang gagal menjarakkan diri mereka daripada rangka pandang misoginis yang dominan dalam masyarakat mereka ketika mengusahakan tafsiran al-Qur'an. Tafsiran mereka berdampak kukuh dalam pemikiran Muslim hari ini dan dianggap sebagai puncak kebenaran yang mana tafsiran lain dianggap sebagai pendobrak atau, lebih buruk, zindik.
Harus difahami bahawa kesemua pentafsir terdahulu mendekati al-Qur'an dengan akal, menghuraikan maksud setiap ayat al-Qur'an bersandarkan pengetahuannya tentang bahasa Arab dan sunnah Rasulullah (saw) di samping pengalaman yang dikutip daripada sejarah dan budayanya. Oleh itu, pasti terdapat perbezaan di kalangan pentafsir dalam memahami sesetengah ayat seperti pendahulunya.
Perbezaan ini tidak harus dilihat dengan cemuhan tetapi sebenarnya ia membuktikan saling pergantungan dalam daya akliah manusia. Perbezaan pandangan ini adalah asas dalam seluruh kemajuan berfikir manusia dan faktor terkuat yang mengasak upaya manusia mencari ilmu.
Asal Usul Adam dan Hawa Adalah tidak mustahil untuk menyimpulkan bahawa tanggapan lelaki lebih unggul daripada wanita lahir daripada kepercayaan bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam, kerana itu Hawa dianggap sebagai makhluk yang lebih rendah. Wanita dianggap sebagai kejadian sampingan yang tidak akan mungkin menyamai lelaki.
Dalam pembukaan Surah an-Nisa (Wanita) yang pantasnya dinamakan demikian kerana banyak ayatnya yang mengungkapkan hak wanita, al-Qur'an menyebut:
"WAHAI MANUSIA! Sedarlah tentang Tuhanmu, yang telah menciptakan kamu daripada jiwa yang satu (nafs), dan daripadanya (minha) diciptakan untuknya pasangannya (zaujaha), dan daripada keduanya menyebar keturunan yang banyak daripada lelaki dan wanita. Dan ingatlah kepada Tuhan, yang dengan namaNya kamu menuntut [hakmu] antara sesamamu, dari daripada ikatan kerabat ini. Sesungguhnya, Tuhan sentiasa memerhatikan kamu! [4:1].
Banyak pentafsir klasik memilih makna yang tertera pada istilah nafs sebagai "seorang manusia" dan menganggapnya merujuk pada Adam (as). Bagaimanapun Asad berbeza dan mengutarakan tafsiran Muhammad Abduh yang memberi keutamaan kepada maksud "bangsa manusia" sebagaimana istilah ini menekankan kesamaan asal usul dan persaudaraan seluruh bangsa manusia, tanpa berhujah dengan mengaitkannya dengan kisah Bible tentang kejadian Adam dan Hawa. Oleh itu menurut Asad, istilah "nafs", dalam konteks ini ditafsirkan sebagai "entiti yang hidup", yang sebenarnya mengikut kerangka fikir yang sama seperti Muhammad Abduh.
Perihal ungkapan "zawjaha" (pasangannya), harus diperhatikan bahawa ia merujuk pada makhluk bernyawa, ia menunjukkan pasangan bagi wanita (iaitu suami) sepertimana juga pasangan bagi lelaki (iaitu isteri). Terjemahan literal daripada "minha" sebagai "daripadanya" jelas menunjukkan, secocok dengan pengertian teks, kepada kenyataan biologi bahawa kedua-dua jantina berasal daripada "satu entiti kehidupan" yang sama.
Peranan Wanita dalam Mendorong Tergelincirnya Lelaki daripada Rahmat
Kisah Adam tergelincir daripada rahmat sering dihubungkan dengan kelemahannya menghadapi godaan Hawa. Ia telah terpasak dengan kukuh dalam minda Muslim bahawa Hawa memainkan watak sebagai penggoda, pemerdaya dan penghasut Adam.
Tanpa membahas secara terperinci kesemua ayat-ayat yang berkait dengan insiden ini - yang boleh ditemui pada 2:35-36, 7:19-25 dan 20:115-124 – al-Qur'an tidak pernah meletakkan kesalahan pada Hawa. Pelanggaran perintah Tuhan adalah perbuatan kolektif dan bukan individu.
Apa yang lebih menarik adalah bagaimana Muhammad Asad menghuraikan keseluruhan episod supaya kita dapat mengutip moral yang terakam di sebaliknya.
"Dia(Tuhan) berkata: "Turunlah kamu [dari kedudukan yang diredai dan suci ini]…[7:24]
Muhammad Asad menunjukkan bahawa kisah yang sama daripada perbandingan Kegelinciran ini pada 2:35-36, panggilan dalam bentuk kata dua (Adam dan Hawa) bertukar pada peringkat ini kepada kata jamak, yang menjelaskan bahawa kisah Adam dan Hawa adalah, pada hakikatnya, kiasan kepada ketentuan nasib manusia.
Pada saat awal ketika dirinya suci manusia tidak menyedari adanya kejelekan dan, justeru, tidak merasai keperluan untuk memutuskan pilihan di antara sekian banyak kemungkinan dalam tindakan dan perbuatan. Dalam kata lain, ia hidup, sepertimana haiwan yang lain, berdasarkan deria rasanya sahaja.
Oleh kerana, bagaimanapun, kesucian ini hanyalah satu kondisi daripada kewujudannya dan bukan suatu keutamaan, ia menempatkan hidupnya dalam kualiti yang statik dan lantaran itu menyisihkannya daripada kemajuan moral dan intelek.
Pertumbuhan kesedarannya – dizahirkan secara simbolik daripada aksi membelakangi perintah Tuhan dengan sengaja – menterbalikkan semua ini. Ia merobah dirinya daripada makhluk yang menurut deria rasa sahaja kepada entiti manusia yang sempurna, seperti yang kita ketahui. Seorang manusia yang berupaya membezakan antara benar dan salah dan dengan itu untuk memilih haluan hidupnya.
Pada pengertian yang lebih mendalam, kiasan tentang Kegelinciran tidak menunjukkan aksi yang inferior, bahkan, suatu peringkat baru dalam kemajuan manusia: iaitu pembukaan pintu pada pertimbangan moral.
Dengan larangan "mendekati pohon ini", Tuhan memberikan kemungkinan kepada manusia untuk membuat salah - dan, dengan itu, untuk membuat perlakuan yang benar juga. Dan lantaran itu manusia telah diberikan keupayaan moral dengan kebebasan memilih (moral free will) yang akan membezakannya daripada seluruh makhluk hidup yang lain.
Lelaki sebagai Pelindung Wanita
Ayat 34 dari Surah an-Nisa' adalah ayat yang sering digunakan berulangkali bagi menyekat sebarang percubaan bagi membincangkan sebarang isu berkenaan kesamaan wanita dengan lelaki dalam satu ummah.
Lelaki harus memelihara wanita sepenuhnya (ar rijalu qawwamuna 'ala-nnisa') dengan limpahan kurnia yang Tuhan telah lebihkan pada lelaki berbanding wanita…[4:34]
Kata kunci dalam ayat ini adalah qawwam yang telah diterjemahkan sebagai "pelindung dan penjaga (wanita)", "berkuasa (ke atas wanita)", "mempunyai keutamaan (ke atas wanita)" dan "penakluk atau tuan (atas wanita)".
Bagaimanapun Muhammad Asad menegaskan bahawa ekspresi qawwam adalah bentuk intensif dari qa'im yang menandakan seseorang yang bertanggungjawab kepada atau mengambil berat terhadap sesuatu benda atau seseorang. Bentuk nahu qawwam adalah lebih komprehensif dari qa'im, dan menggabungkan konsep daripada penjagaan fizikal, dan perlindungan dan juga tanggungjawab moral.
Kenyataan bahawa lelaki adalah qawwam tidak bermakna bahawa wanita tidak boleh atau tidak harus menanggung keperluan diri mereka sendiri. Ia adalah demi kerana melihat beban berat yang dipikul wanita dalam mengandung dan membesarkan anak, maka mereka tidak harus dipertanggungjawab untuk menyediakan keperluan hidup juga.
Memukul Isteri
Salah satu dari isu yang kontroversial dalam Islam adalah perintah dalam al-Qur'an untuk memukul isteri yang tidak patuh. Ayat yang sering dipetik adalah lanjutan daripada ayat 34 Surah an-Nisa':
Dan tentang wanita yang kehendak-jeleknya menjadikan alasan untuk kamu merasa khuatir, nasihati mereka [dahulu]; kemudian jauhi mereka dari tempat tidur; kemudian pukullah mereka; dan jika kemudian mereka tunduk kepada kamu, jangan mencari jalan untuk menyakiti mereka. Perhatikanlah, Sesungguhnya Tuhan Maha Tinggi dan Maha Besar!
Di sana terdapat salah faham yang besar terhadap ayat yang dinyatakan kerana mengambil kefahaman yang cetek dan literal daripadanya. Pertamanya, seseorang tidak harus mengabaikan seruan al-Qur'an bahawa hubungan antara suami dan isteri adalah berdasarkan pada keikhlasan dan kasih sayang.
Dan diantara tanda kebesaranNya adalah ini: Ia menciptakan untukmu pasangan daripada dirimu sendiri, supaya kamu cenderung kepadanya, dan Dia mempertautkan cinta dan kasih sayang [mawaddah wa rahmah] antaramu: pada hal ini, sesungguhnya, terdapat pesan yang jelas kepada kaum yang berfikir![30:21].
Adalah juga wajib bagi suami untuk melayani isterinya dengan kemesraan dan cara yang baik, dan tidak melupakan aspek positifnya.
Dan bergaullah dengan isterimu dengan cara yang elok; kerana jika kamu membenci mereka, boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal Allah ingin menjadikan daripadanya kebaikan yang banyak [4:19].
Bagaimana boleh seseorang dengan mudah melupakan kesemua ayat yang menganjurkan kehalusan cinta dan penzahiran rasa hormat ini dan kemudian secara salah mendakwa mempunyai keizinan wahyu untuk memukul isterinya?
Muhammad Asad dalam tafsirnya mengutip hadith yang sahih daripada Rasulullah (saw) yang mana Baginda (saw) sangat membenci ide tentang memukul isteri, dan bersabda dalam banyak kesempataan: "Sanggupkah seseorang daripada kamu memukul isterinya seperti ia memukul hamba, dan kemudian menidurinya di waktu malam?" (Bukhari dan Muslim).
Menurut sebuah hadith yang lain, Baginda (saw) melarang memukul mana-mana wanita dengan sabda: "Jangan sekali-kali memukul hamba perempuan Tuhan" (Abu Dawud, Nasa'i, Ibn Majah, Ahmad ibn Hanbal, Ibn Hibban dan Hakim, dari riwayat Iyas ibn 'Abdullah; Ibn Hibban dari riwayat 'Abd Allah ibn 'Abbas; dan Bayhaqi dari riwayat Umm Kulthum).
Rasulullah (saw) telah menjelaskan dalam khutbah yang disampaikan pada Hajjat al-Wida', tidak lama sebelum kewafatan Baginda (saw), bahawa pukulan hanya boleh dilakukan jika "isteri telah melakukan pelanggaran, dengan cara yang jelas, daripada perbuatan yang tidak berakhlak", dan ia harus dibuat "dengan cara yang tidak membawa kesakitan" (ghayr mubarrih).
Hadith Sahih mengenai hal ini ditemui dalam Sahih Muslim, Tirmidhi, Abu Dawud, Nasa'i dan Ibn Majah.
Sebahagian daripada Ulama Islam yang terkemuka (e.g. ash-Shafi'i) berpendapat bahawa ia hanya diharuskan, dan lebih baik dijauhi. Mereka membenarkan pandangan ini daripada cetusan perasaan Rasulullah (saw) berhubung dengan permasalahan ini.
Ia tidaklah menjadi penyimpangan yang besar untuk mengutip kenyatan Prof Tariq Ramadan di dalam bukunya "What I Believe" yang menzahirkan bahawa beliau tidak mewakili seluruh umat Islam tetapi hanya mendakap kalangan yang mendukung tren reformis, dan kefahaman reformis berbeza dengan tajam daripada interpretasi kelompok literalis terhadap ayat tersebut.
Sementara golongan literalis mempertahankan kebenaran memukul isteri atas nama al-Qur'an, para reformis membaca ayat ini daripada sudut faham kesejagatan dan menerapkan konteks pada ayat dan hadith dan juga meletakkan kronologi historisnya dalam pertimbangan. Berlatarkan interpretasi ini dan mengingatkan contoh yang diterapkan oleh Nabi (saw), yang tidak pernah memukul wanita, dapatlah disimpulkan bahawa keganasan rumah tangga adalah bertentangan dengan semangat Islam dan perbuatan sedemikian haruslah dikecam dengan keras.
Poligami
Jelasnya tulisan ini tidak akan lengkap tanpa membahaskan isu-isu terhangat dalam debat seputar poligami. Pendukung mazhab literalis selalu mewarwarkan bahawa poligami adalah hak yang dikurniakan Tuhan kepada mereka. Mempersoalkan poligami seolah mempersoal ketetapan Tuhan.
Adalah tidak aneh untuk membaca kenyataan laporan baru-baru ini berhubung fatwa yang dikeluarkan oleh penasihat Majlis Agama Islam Johor bahawa wanita Muslim yang menentang poligami telah melakukan dosa besar dan harus bertaubat kerana ia termasuk perbuatan murtad. Seseorang akan merasa terpanggil pula mencari hukum terhadap lelaki Muslim yang menentang poligami? Atau adakah beliau mengandaikan bahawa setiap lelaki Muslim mendukung idea naifnya ini?
Menurut Asad, kebenaran untuk mengahwini lebih daripada seorang isteri (dengan kadar maksimun empat), adalah dibataskan kepada syarat: "Sekiranya kamu merasa khuatir tidak mampu berlaku adil terhadap mereka, maka (kahwinilah hanya) satu" [4:3] yang memberi makna bahawa pernikahan plural ini hanya mungkin pada kes-kes yang terkhusus dan dalam situasi yang tertentu.
Pandangan Asad adalah selaras dengan Imam Muhammad Abduh yang mengisytiharkan bahawa poligami tidak diizinkan kecuali dalam kondisi yang sangat mendesak (al-darurat al-quswa). Dan 'adl(keadilan) adalah syarat yang terpenting dalam menegakkannya.
Harus difahami bahawa ayat yang mengandungi kekangan daripada menikahi wanita lebih daripada empat adalah ketika masyarakat tidak punya batasan terhadap bilangan isteri yang boleh dimiliki. Berdasarkan ini Abduh mendakwa bahawa seseorang yang cukup bijak akan menyedari bahawa monogami adalah pilihan yang ideal kerana ia menuruti fitrah (watak semulajadi).
Dengan dasar fitrah juga, setiap wanita harus dihormati. Kerana itu, monogami adalah undang-undang perkahwinan yang asas. Dan poligami harus dilarang berteraskan kepentingan awam (maslahah mursalah).
Pendapat Abduh tentang hukum poligami berkait rapat dengan pandangannya tentang kedudukan wanita dalam Islam. Beliau percaya bahawa tidak ada yang melayakkan Islam untuk diangkat sebagai agama dunia yang moden selain daripada pengiktirafannya yang tinggi terhadap wanita. Dalam semua aspek yang penting, wanita adalah sama taraf dan kedudukan dengan lelaki. Dalam menegaskan kenyataan ini, 'Abduh memetik ayat berikut:
"Aku tidak akan melupakan usaha setiap seorang daripada kamu yang berjuang [di jalanKu], baik lelaki atau wanita: setiap kamu adalah pendukung terhadap yang lain…[3:195].
Beliau menafsirkan ayat ini dengan makna bahawa lelaki dan wanita adalah setanding antara satu sama lain di hadapan Tuhan. Pentafsiran yang sama juga dikemukakan oleh Muhammad Asad dalam komentarnya terhadap ayat tersebut.
Persamaan pada Pandangan Tuhan
Manakala al-Qur'an telah menyatakan dengan jelas bahawa lelaki dan perempuan setara di hadapan Tuhan, Muslim di abad ke-21 masih dibebankan dengan interpretasi yang dibuat berdasarkan pemahaman patriakal terhadap pernyataan al-Qur'an. Asad sementara itu telah berhasil mengemukakan makna ayat tanpa terlihat sebarang kecenderungan gender. Beliau adalah jurucakap sebenar tentang aliran kemanusiaan dan rasionalis Islam.
Perbincangan kita tentang isu yang berkait dengan feminisme tidak bermaksud untuk ditangani secara menyeluruh, memandangkan luasnya lapangan yang harus digarap dalam topik ini. Kami berharap tulisan ini akan mencetuskan minat kepada penyelidikan lanjut di dalam wilayah ini, dan terdapatnya ruang khusus kepada "The Message of the Quran" di antara sekian banyak tafsir yang ada pada kita kini.
[Edisi terkini dari karya Muhammad Asad, The Message of the Qur'an, yang diterbitkan oleh Islamic Book Trust, kini boleh diperolehi di kedai buku tempatan, atau di laman web ini:www.ibtbooks.com]