Merdekakan Sejarah Kemerdekaan

Primary tabs

Oleh: Solleh Al-Fatimi

Merdeka... Merdeka... Merdeka...Untuk menikmati sebuah kemerdekaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikecapi. Ia bukan diperolehi dengan berpeluk tubuh. Ia tidak dapat digapai dengan menghayunkan kaki. Ia tidak dapat dikecapi dengan manisnya pujian dan sorakan. Ia tidak dapat dihirup dengan suasana yang tenang. TETAPI...

Kemerdekaan di julang dengan bermandikan darah. Dialunkan lagu kebencian dan fitnah. Dihela nafasnya dengan racun menyesakkan dada dan meragut tidur malam. Dihamparkan duri tangisan dan derita. Dikejar peluru yang tiada belas kasihan. Dihukum tanpa pembelaan. Malah, tiada ungkapan kata yang layak digunakan untuk menceritakan segala derita, sengsara, pedih, letih, sakit, cemas, takut, harapan dan segalanya. Kerana hakikatnya jauh berbeza. Hanya mereka yang menempuhnya sahaja yang mengetahuinya.

Berjuang dan terus berjuang. Hasilnya, kita kecapi hari ini. Namun perjuangan mereka belum selesai. Maka kitalah yang menyambung perjuangan mereka. Mengisi sebuah KEMERDEKAAN.

Dukacita. Apabila setiap pengorbanan dan perjuangan yang mereka harungi selama ini, tidak dihargai. Perjuangan mereka berkubur bersama jasad-jasad mereka. Dukacita kerana setiap titik peluh darah mereka itu dibasuh dan dihilangkan dengan asid penjajah. Pejuang dianggap pengkhianat. Pembela dituduh Penderhaka...

Ya, Mereka tidak meminta agar nama-nama mereka disebut dan dijulang, TETAPI kita yang memerlukan nama mereka disebut dan dijulang. Kita yang memerlukannya. Agar kita yang mewarisi kemerdekaan ini mampu memahami dan menghargai nilai kemerdekaan ini. Mampu mengisi kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar. Bukan dibuai mimpi penjajah lama dan baru.

Mat Indera dituduh pengkhianat sedangkan dalam buku ini beliau adalah pahlawanSekarang kita melihat. Anak bangsa yang mewarisi kemerdekaan semakin layu. -Apakah layu kerana namanya Melayu?- Yang hanya menunggu jatuh ditiup angin. Tahun merdeka pun lupa. Tarikh merdeka tidak dihiraukan. Sambutan kemerdekaan kali ke berapa pun tidak ingat. Apatah lagi ingin mengetahui dan menghayati perjuangan wira-wira merdeka kita! Jauh sekali.

Dari kerana itulah, sejarah KEMERDEKAAN perlu dimurnikan semula. Sejarah pejuang perlu diangkat. Semangat pembela perlu dijulang. Nama perwira perlu dikumandangkan. Penderitaan pahlawan perlu diingati. Jasa mereka perlu dihidangkan. Barulah pewaris kemerdekaan mengerti apa itu kemerdekaan. Barulah pewaris kemerdekaan memahami bagaimana ingin mengisi kemerdekaan ini.

Janganlah kita menulis sejarah mengikut telunjuk Penjajah. Jujurlah dalam sejarah. Pejuang diangkat sebagai Pejuang. Jangan menari mengikut retak penjajah, parahnya adalah generasi pewaris kemerdekaan. Mereka tidak sesekali akan menghargai sebuah kemerdekaan. Mereka akan memikirkan hiburan, makan sedap, hidup mewah, bersuka ria dan penuh keseronokan. Maka apa mereka tahu dan mahu ialah HIDUP MESTI ENJOY!!

Oleh itu. Sekiranya, sejarah Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat r.anhum turut dilanda pemalsuan dan pengkhianatan, apakan pula sejarah negara kita. Namun masih ada mereka yang kasih dan cintakan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat r.anhum menggali kembali sejarah hidup mereka berdasarkan sumber yang benar lagi sahih. Melalui proses pemurnian yang diusahakan oleh para ulama'. Maka sejarah Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat dapat dipertahankan keasliannya. Alhamdulillah.

Maka sejarah kemerdekaan negara kita tercinta ini juga perlu dimurnikan dan disaring. Hanya kejujuran dan kebenaran yang mampu melakukan proses pemurnian ini.

Betapa terlukanya, apabila penjuang-pejuang kemerdekaan dilabel, difitnah dan ditohmah dengan gelaran pengkhianat, penderhaka, komunis dan sebagainya. Sedangkan merekalah yang menggadaikan nyawa dan darah mereka demi mempertahankan negara atas nama ISLAM. Murnikanlah sejarah kita. Buanglah pemalsuan dan pengkhianatan terhadap sejarah. KERANA KITA TIDAK MEMERLUKANNYA!

Justeru, kita sebagai pewaris kemerdekaan, yang manis jangan terus ditelan, yang pahit jangan terus diludah. Tetapi carilah kebenaran. Sekalipun ia terlalu pahit untuk ditelan. Jangan mudah melatah apabila individu tertentu mempertikaikan sejarah kita, tetapi carilah fakta dan berhujahlah secara fakta bukan emosi. -kerana terlalu banyak dan terlalu lama kita ditipu oleh sejarah kita- Jangan sampai kita 'membunuh' pejuang kemerdekaan untuk kali kedua! Kerana ia lebih kejam dan lebih zalim dari 'pembunuhan pertama'!

MERDEKAkan Sejarah KeMERDEKAan!


Dari;
Abu Mujahid Solleh al-Fatimi
Mohd Solleh bin Ab Razak


Nota: Artikel asal boleh dibaca di sini [solleh-alfatimi.blogspot.com]