Pertemuan Ilmuan Dan Da’i Malaysia

Primary tabs

Saling berpesan untuk kebenaran bersama kesabaran, bukanlah agenda kecil.

Ia mengiringi untung rugi hidup sebagai hamba Allah yang menghargai masa kehidupannya.

Alhamdulillah segala puji bagi-Nya yang telah melimpahkan kurniaan rezeki untuk para asatizah berhimpun di dalam sebuah ‘usrah’, dengan inisiatif al-Fadhil Ustaz Haji Zaharuddin Abdul Rahman yang mengambil inspirasi usaha Sheikh Yusof al-Qaradhawi dalam hal ini.

 


 

Foto ihsan: Zaharuddin.Net

Pertemuan pertama diadakan bulan lalu di kediaman beliau, manakala pertemuan kedua berhasil diadakan dengan Ustaz Zahazan Muhammad sebagai tuan rumahnya.


Foto ihsan: Zaharuddin.Net

Usaha ini mensasarkan manfaat dalam dan luar.

Manfaat dalaman adalah dalam bentuk taujihat, pertukaran pengalaman, ilmu pengetahuan dan hasil pemerhatian terhadap pelbagai isu serta cabaran yang wujud di dalam masyarakat. Ia juga menjadi medan untuk para asatizah saling nasihat menasihati, memberikan sokongan berdasarkan kepakaran masing-masing terhadap isu yang dihadapi bersama.

Manakala manfaat luaran pula adalah untuk dari semasa ke semasa berkongsi pandangan ‘pihak ketiga’ dalam persoalan-persoalan yang berlegar di tengah masyarakat. Pandangan ketiga yang diharapkan dapat mengimbangi kecenderungan yang kerap dibelenggu persepsi label, perkumpulan, hingga manhaj ilmiah yang menjadi tunjang satu-satu pendapat tidak berhasil diberi keutamaan.

Demi mencapai matlamat inilah, pertemuan kedua kami memberikan fokus kepada PEMIKIRAN WASATIYYAH sebagai core value dalam usaha menyatukan umat Islam merentas segala perkumpulan. Hanya Islam dan prinsip-prinsipnya yang mendukung kerjasama justeru perdamaian.

Setakat pertemuan kedua, barisan asatizah yang menganggotai usaha ini adalah:

Foto ihsan: Zaharuddin.NetFoto ihsan: Zaharuddin.Net

Ahli-ahli setakat ini terdiri dari ilmuan berikut :-

  1. Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ( Mursyid Liqa’)
  2. Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,
  3. Ustaz Dr Zahazan Muhammad,
  4. Ust Mohammad Nidzam Abdul Kadir,
  5. Ust Aizam Mas’ud,
  6. Ust Hasrizal Abdul Jamil,
  7. Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,
  8. Imam Muda Asyraf,
  9. Ust Ramadhan Fitri,
  10. Ustaz Dr. Maszlee Malik,
  11. Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,
  12. Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman ( Pengerusi / Moderator Liqa’)
  13. Ust Syed Mohd Norhisyam

Bagi urusan sekretariat dan teknikal, kami menerima bantuan dua tokoh muda iaitu:

  1. Saudara Imran Koyube (iluvislam)
  2. Ust Ahmad Syarief

Moga usaha ini mendapat Rahmat dan Inayah Allah buat kami terus memperbaiki diri dan membantu mengislahkan masyarakat ke arah mengagungkan Allah dan mengangkat Rasul-Nya sebagai pemimpin ulung umat merentas zamaan dan makaan, ameen.

“Tidaklah wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab dan Hikmah serta Kenabian, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.” [Aal 'Imraan 3: 79]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
facebook.com/hasrizalabduljamil
68000 AMPANG

Sumber http://saifulislam.com/9956