Islam Progresif : Wacana Kritis terhadap Pemikiran Keagamaan dan Keintelektualan Muslim

Primary tabs

Muhammad Nazreen Jaafar | Intern, Islamic Renaissance Front (IRF)

Sarjana yang pertama kali menggunapakai istilah 'Islam Progresif' ialah Greg Barton. Misalnya dalam gerakan Islam di Indonesia, Barton telah menggambarkan suatu wacana khas tentang kelompok Islam 'Pasca Modernis' yang digunakan untuk menjelaskan paradigma baru gerakan Islam yang disebut sebagai 'Neo-Modernisme Islam'. Maka, Islam progresif itu hanya ditanggapi sebagai sebutan gerakan baru Islam tanpa menyisihkan dan membeza-bezakan gerakan Islam ini dengan banyak gerakan lain yang sebelumnya.

Misalnya, sebelum ini sejarah dan pemikiran Islam hanya dikenali dengan tiga arus kelompok utama iaitu Islam tradisionalis, modernis dan neo-modernis. Sementara itu, wujud pula beberapa label tehadap ciri identiti-identiti kelompok Islam tertentu yang disandangkan seperti 'liberal', 'moderat', 'radikal', 'konservatif' dan 'militan'. Gerakan kelompok seperti ini difahami Barton sebagai kelompok 'reactionary' yang cenderung dengan tabir politik dan tidak sama sekali menjelaskan ciri-ciri dan pembawakan epistemologinya di tengah agenda dakwah masa panjang.

Neo-Modernisme Islam Progresif

Tidak hanya beku dengan pemikiran politik semata-mata, kelahiran neo-modernisme ini jelas tidak dapat dipisahkan dengan polemik dan pergeseran dua kutub pemikiran iaitu aliran tradisionalis dan modernisme. Konflik yang tercetus akibat pertembungan dua gagasan ini terwujud dengan kefahaman agama dan sikap politik, maka, kelihatan gerakan-gerakan ini tidak mahu mengusung pencerminan konflik tersebut dalam kacamata yang lebih luas sifatnya dan akibat daripada itu, wacana kritis terhadap kedua-dua belah dilihat semakin terbungkam dengan sendirinya.

Nurcholish MajidNurcholish Majdid atau Cak Nur pernah secara tuntas mengkritik kondisi yang dia lihat sebagai polemik kebuntuan dalam wacana keintelektualan gerakan Islam. Penyakit yang muncul akibat kebekuan fiqih lama supaya disesuaikan di dalam bentuk orde baru atau disebut sebagai 'fiqihisme'. Menurut Nurcholish : 'Sekarang telah berhenti sebagai pembaharu. Mengapa? Sebab mereka pada akhirnya telah menjadi beku sendiri, karena mereka agaknya tidak sanggup menangkap semangat dari idea pembaruan itu sendiri, iaitu dinamika dan progresitivitas'

Kritik Nurcholish seperti demikian: Organisasi Islam yang didirikan pada awalnya bersifat anti-tradisi dan anti-sektarianisme, sekarang telah berukar menjadi tradisi dan sektarianisme sendiri; kerana ia tidak mampu bersifat anjal dan akomodatif dalam menyesuaikan sifatnya agar ia setiasa dinamik dan progresif.

Terpanggil untuk memecahkan kebuntuan dikalangan gerakan Islam, neo-modernisme Islam yang dicanangkan Nurcholish tidak lebih daripada apa yang dikenali sebagai 'Ijtihad’. Malah, apa yang dimaksudkan Nurcholish di sini tentang pembaharuan Islam menerusi lambang Islam Progresif adalah menerusi proses pembacaan gejala-gejala sosial dan sejarah dirumuskan dalam perspektif Islam.

Ijtihad bererti terus-menerus mencari hubungan wahyu dan akal dalam konteks keperluan zaman. Maka, selanjutnya pembacaan epistemologi dan kedudukan hubungan subjektiviti agama itu tidaklah terduduk di dalam proses transendentalisme yang tidak dipersoalkan tetapi harus larut di dalam tradisi wacana kritis.

Tradisi Kritis dalam Pemikiran Keagamaan

Pada dasarnya, pemikiran kritis ini tumbuh di dalam garisan intelektual-etika (sebagaimana digariskan menerusi gagasan dan tradisi Kant), ada hubungan lanjut di dalam ranah dan hubungan masyarakat. Tradisi ini membekalkan sisi  sistem kepercayaan hidup yang hidup dan substantif dapat berterusan sekiranya ada kesediaan dan kelaziman untuk berfikir.

Sepertimana yang ditegaskan Erich Fromm dapat mengurangkan kemungkinan manusia untuk terjebak ke jalan yang salah : 'Critical Thinking is the only weapon and defense which man has against the dangers in life. If I do not think critically then indeed I am subject to all influences, to all subjects, to all errors, to all lies which are spreadout, with which I am indoctrinated from the first day on.’

(Berfikir secara kritikal adalah satu-satunya senjata dan pertahanan bagi manusia menentang segala bahaya dalam kehidupan. Sekiranya aku tidak mampu untuk berfikir secara kritis, maka aku akan terpengaruh kepada segala jenis pengaruh, segala macam perkara, segala macam kesilapan, dan kepada segala bentuk tipu daya yang merebak luas, seperti yang diindoktrinasi kepadaku dari hari pertama lagi.)

Justeru, dalam sejarah, pemikiran kritis bertolak daripada fahaman yang mahukan sesuatu yang lebih baik. Hanya dengan pautan pemikiran kritis, reformisme dapat berlangsung. Hal ini tersangkut dengan keupayaan memikir-ulang dan melakukan penambah-baikan sistem dan ruang berkhilaf pendapat untuk diperakui.

Umumnya, minda kritis berkemampuan untuk mengelak potensi berlakunya korupsi intelektual (tentang korupsi ide dan makna) selain dapat mengangkat potensi altruisme manusiawi. Malahan menurut Fromm lagi, pemikiran kritis tidak perlu disamakan dengan sikap 'Anti- Establishment' ataupun sikap anarkis.

Sebaliknya menurut Fromm: "Critical thinking is...an approach to the world ; it is by no means critical in the sense of hostile, of negativistic, of nihilistic but on the contrary critical thought stands in the service of life, in the serving of removing obstacles to life individually and socially which paralyze us. '

(Berfikir secara kritis ialah…suatu pendekatan terhadap dunia. Ia tidak bersifat kritikal yang membawa makna permusuhan, atau bersifat negatif, atau nihilistik. Tetapi sebaliknya pemikiran kritis memainkan peranan di dalam kehidupan dalam meminggirkan sebarang sekatan yang melumpuhkan di dalam kehidupan seseorang individu maupun masyarakat.)

Ranah kritisme seharusnya menjadi suatu ruang demokratik apabila adanya keterlibatan yang terbuka untuk semua. Perkara yang dipersetujui harus pertama 'inklusif'. Keduanya, perbincangan ini harus untuk dipersetujui dengan sifat ikhlas lagi 'genuine'. Menurut Edward Said, kritisisme seharusnya memikirkan ia sebagai pengukuhan kehidupan dan pada dasarnya menentang setiap jenis tirani, dominasi dan salahguna.

Upaya pemikiran kritis untuk memahami juga perlu untuk memahami konteks perjalanan sejarah dan fakta historis sesuatu ide itu, jelas sepertimana difahami sebagai Karl Mannheim: '[H]istory is not made by one group but is born out of the struggle of contending tendencies in which human inteligence and unhampered thought are the clarifying power and can become leading when they intervene in the right places and knowledgeablebly identifying existing forces'

(Sejarah bukan dihasilkan daripada satu kumpulan tetapi terhasil daripada pertarungan beberapa kecenderugan di mana kepintaran manusiawi serta pemikiran yang tidak disekat merupakan kuasa yang menjernihkan dan berupaya untuk menerajui apabila ia diaruh pada tempat yang sesuai dan mampu mengenalpasti kuasa yang bertarung itu secara sedar dan waras.)

Kondisi untuk Pengembangan Pemikiran Kritis

1. Kesedaran Sejarah yang Terbangun

Pembacaan sejarah secara kritis sepatutnya diadili secara berhemah akan rentetan sejarah terbabit. Tanpa pengadilan sejarah, pemahaman sejarah mungkin boleh terkulit dan diperbesar-besarkan dengan romantisisme sejarah. Misalnya, pergeseran dan penyimpangan fakta hanya dibaca daripada sisi yang memberikan perihal keuntungan dan fakta negatif dan intipati pensejarahan yang bercirikan kegelapan yang tersudut sama sekali dinafikan dan ditolak ke tepi.

Howard Zinn, ahli sejarah kontemporari Amerika juga berpendapat bahawa pemikiran sejarah yang kritis dapat membebaskan kita daripada kebelengguan pemikiran, iaitu kepercayaan bahawa adanya kuasa yang dipertanggungjawabkan untuk memecahkan mitos-mitos yang selama ini memerangkap kita.

2. Penerimaan Tradisi Islam yang Pluralistik

Sepanjang sejarah intelektual Islam berlangsung, pergeseran kelompok-kelompok yang mengkehadapankan versi Islam supaya masing-masing dianggap paling sah dan autentik adalah perihal yang bukan asing lagi. Daripada perbezaan bentuk dan faham mazhab teologi Murji’ah, Jabariyah, Qadariyah, Mu'tazilah dan Assya'irah sehinggalah kebenturan mazhab fiqah dan kelompok politik seperti Sunni, Syi’ah dan Khawariij mahupun pergeseran mazhab antara Hanafi, Syafi’e, Malik dan Hanbali. Pada dasarnya, mereka tetap berpasak pada hal yang satu, memelihara kemurnian dan ketauhidan Islam menurut faham aliran masing-masing.

Penting untuk kita mengamalkan gaya pemikiran dan kepedulian yang serius untuk mengulang fikir ranah pemahaman agama yang eksklusif sepertimana yang berlangsung dalam aliran tradisionalis/ortodoks untuk diteroka sehinggalah pengertian mendalam pluralisme agama sebagaimana tersadung di dalam hal untuk meraikan kata perbezaan dalam cara pandang manhaj keIslaman itu sendiri

Memaknakan Keterkaitan Teks dan Konteks3. Memaknakan Keterkaitan Teks dan Konteks

Kita harus ingat bagaimana Nabi Muhammad memberikan tauladan dalam hal ini. Dalam menerangkan kepada Zaid ibn Laheed apa yang bakal ditempuhi kaum Muslimin, Nabi bersabda : 'Dan kecelakaan yang bakal menimpa apabila ilmu terhapus.' Maka Zaid membalas : 'Bagaimanakah ilmu boleh terhapus sementara kita mempelajari Al-Qur’an dan mengajar dan menurunkan kepada anak-anak kita dan anak-anak kita akan mengajarnya kepada anak-anak mereka? 'Nabi langsung menjawab: 'Maka beradalah dalam kesedihan wahai ibn Labeed. Aku sangkakan kamu adalah cerdik pandai Madinah. Bukankah Taurat dan Injil yang dikurniakan kepada kaum Yahudi dan kaum Nasrani dibaca oleh mereka namun isi kandungannya tidak sama sekali mendatangkan kebaikan kepada mereka?'

Jadi, hal yang diinginkan oleh Nabi Muhammad bukanlah kerana tiada kesinambungan kita-kitab masyarakat agama lain; sebaliknya kerana sikap sesuatu masyarakat penganut yang mengabaikan realiti di luar teks. Jadi, perdebatan keselarian antara teks dan makna telah menjalani sejarah yang panjang dalam tradisi intelektualisme di dalam Islam.

Malah, hal-hal urus tadbir teks (naqliah) dan rasional (aqliah) merupakan antara perjalanan debat terpanjang dalam sejarah Islam. Perkara ini juga pernah disusun menerusi sanggahan metafizika Ibn Rushd terhadap gagasan 'causality' atau penalaran melalui korpus saintifik dan rasional harus mekar dalam tradisi keagamaan.

Perungkaian ini didebatkan menerusi buku yang diterbitkan oleh Ibn Rushd 'Tahafut at-Tahafut' sebagai jawapan balas kepada Al-Ghazzali menerusi 'At Tahafut Al-Falasifah'. Jadi, sanggahan dan keramahan wacana perbezaan (baca: plural) sudah wujud sebagai entiti zaman berzaman.

4. Sikap Demokratik dalam Menerima Kepelbagaian

Salah satu peranan penting dalam usaha merekonstruktif tanda persamaan dan titik penyatuan adalah persetujuan untuk memulakan konsep 'agree to disagree'.  (Bersutuju untuk TIDAK bersetuju).

Apa yang dimaksudkan dengan sikap demokratis ialah rangka pemikiran yang membentuk dan mewarnai kehidupan manusia, dan juga suatu cara hidup asas beretika di mana keperibadian manusia dan perhubungan peribadi menjadi asas teori sistem-nilai (value system) dalam sesebuah masyarakat. Kelangkaan demokrasi disusun menerusi dialog manusia sebagaimana pesan al-Qur’an telah menjelaskan bagaimana kepelbagaian itu diciptakan untuk manusia dengan harapan manusia melakukan persaingan untuk kebaikan sesama.

Menghormati perbezaan tidak menghalang seseorang daripada mengenal pasti pengalaman-pengalaman manusia. Suatu pengusulan 'A Priori' merupakan asas yang harus sedia untuk diterima untuk melangkaui kebaikan di masa hadapan. Kemuncak pemikiran kritis ini bermuara dengan perkembangan proses untuk menerima akar kata yang bersilang antara satu sama lain, tetapi garis demokratis inilah yang memangkin perkembangan sosial yang lebih murni.


* BERSAMBUNG BAHAGIAN KEDUA