Jawapan Kepada Isi Twitter Yang Menghina Rasulullah SAW

Primary tabs

Jawapan Kepada Isi Twitter Yang Menghina Rasulullah SAW

By Shahmuzir

Status Facebook hari ini saya mulakan dengan menyentuh hal yang ditimbulkan oleh seorang wartawan muda dari Arab Saudi bergelar Hamzah Kashghari: 

Bukan semua yang ada di dalam hati kita boleh kita zahirkan.  Kerana ia boleh menimbulkan natijah apabila ia dikeluarkan samada dalam bentuk tulisan atau kata-kata.  Natijahnya boleh jadi samada baik atau buruk.  Sebab itu, kita tidak boleh dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata mengikut hawa nafsu kita.  Kena fikir dahulu.  Dan fikir tentang akibatnya.

Apa yang diluahkan Hamzah Kashghari ini mengingatkan saya kepada seorang remaja lelaki dari aliran menengah agama yang belajar tauhid, fiqh, hadith, bahasa Arab dan belajar pula dalam bi’ah yang solehah, tetapi beliau mempersoalkan kewujudan Tuhan.  Beliau menangis tatkala meluahkan kerisauannya.  Namun, disebabkan apa yang berpusing di dalam fikirannya itu ditanya dengan ikhlas dan bertemu pula dengan seseorang dengan tujuan untuk mendapat pencerahan, maka tujuannya dapat difahami.  Setelah diberikan nasihat, maka legalah beliau.

Memang kadang-kadang fikiran manusia didatangi dengan bermacam-macam fikiran.  Dan ketahuilah bahawa itu semua didatangkan oleh Syaitan La`natullah yang membisik-bisikkan ke dalam dada manusia.  Itulah ujian.  Ia datang kepada saya dan semua orang yang beriman, juga kepada orang yang tidak beriman.  Dan tentulah apabila semakin kemas iman seseorang, semakin kuat pula hasutan dan semakin hebat strategi si Syaitan La`natullah itu.  Selagi kita pandai menguruskannya dan berusaha mencari jawapan penyelesaian, maka akan selamatlah kita.

Dalam masa yang sama mintalah perlindungan dari ALLAH daripada dihasut dengan bisikan-bisikan jahat Syaitan La`natullah.  ALLAH lah Rabb manusia, Ilah manusia dan Raja manusia.

Tetapi jika kita termakan dengan hasutan itu lalu mengaitkan pula dengan masyarakat umum dengan mewar-warkan ke khalayak awam melalui media cetak atau internet tentang idea songsang itu, maka siaplah.  Hukum akan datang dibawa ke muka individu itu kerana ia melibatkan maslahah umum!

Kandungan Twitter

Berbalik kepada isu Hamzah Kashghari.  Inilah mesej twitter yang dikeluarkan oleh beliau:

 

Ada yang mengatakan bahawa apa yang di‘tweet’kan oleh Hamzah Kashghari adalah suatu yang ringan dan tidak patut dipandang serius.

 

Inna lillahi wa inna ilaihi raji`uun. Sesungguhnya kita dan semuanya milik ALLAH dan sesungguhnya kepadaNYA lah kita dan semuanya akan kembali.  Semoga ALLAH tidak mencabut rasa prihatin dan cinta kita kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.  Sungguh, ia suatu nikmat pemberian dari ALLAH.  Apabila ia dicabut, maka hilanglah rasa sensitif kita terhadap hinaan seperti ini.  Apabila ini berlaku, ketahuilah ia suatu musibah buat hati dan ummat.

Jawapan

Sungguh, kata-kata yang disebarkan melalui Twitter itu cukup menyinggung perasaan hati orang yang faham tentang kedudukan mulia Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di sisi ALLAH `Azza wa Jalla.  Kenapa?  Kerana ia sangat bercanggah dengan apa yang telah ditetapkan oleh ALLAH `Azza wa Jalla.  Lihat ayat-ayat ALLAH ini dan cuba renungkan.  Betapa ganjil dan biadabnya kata-kata dalam Twittertersebut:

Twitter 1:

 

ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman:

 

إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-NYA bersolawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bersolawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah al-Ahzab: 56)

ALLAH Yang Maha Mulia, Maha Agung, Maha Memiliki Segala-galanya, Maha Kaya, Maha Tinggi bersolawat ke atas Nabi.  Malaikat juga bersolawat ke atas Nabi.  Dan ALLAH menyuruh orang-orang yang beriman supaya bersolawat ke atas Nabi.  Tiba-tiba ada manusia engkar dengan suruhan itu??!!  Tidak mahu bersolawat??!!  Siapa kamu??!!  Siapa kamu??!!

Twitter 2: 

 

ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman:

 

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

”Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut ALLAH.” (Surah al-Ahzab: 21)

ALLAH Jalla wa A`la telah menegaskan bahawa pada diri Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam itu ada contoh yang mesti diikuti jika mahu berjaya dan harapkan redha ALLAH dan jika mahu kebaikan yang berpanjangan pada Hari Akhirat.  Tiba-tiba ada orang tu kata dia benci banyak perkara pada diri Rasulullah??!!  Siapa kamu??!!  Siapa kamu??!!

Tidakkah pernah kamu dengar hadith dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang bermaksud:  Barangsiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan termasuk golonganku” (HR Muttafaqun ‘alaih)

Twitter 3:

 

ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman:

 

قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ

وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ

كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ

وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ

اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

“Katakanlah:  ”Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari ALLAH dan Rasul-NYA dan dari berjihad di jalan-NYA, maka tunggulah sampai ALLAH mendatangkan keputusan-NYA.”  Dan ALLAH tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” (Surah at-Taubah: 24)

ALLAH Subhanahu wa Ta`ala telah mengangkat darjat diri Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam setinggi-tinggi darjat.  Dan ia lebih tinggi dari sekalian manusia termasuk ahli keluarga kita sendiri dan lain-lain kepentingan.  Tiba-tiba ada orang hendak merendahkan kedudukan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam setelah ALLAH meninggikan Baginda??!!   Dan setara pula dengan kamu??!!  Siapa kamu??!!  Siapa kamu??!!

Al-`Izz ibnu `Abdus-Salam yang digelar dunia Islam sebagai raja sekalian `ulama telah menyenaraikan sekurang-kurangnya terdapat 41 kelebihan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam berbanding Nabi-Nabi yang lain.  Jika dengan para Nabi yang mulia pun, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam mempunyai beberapa kelebihan ke atas mereka, inikan pula dengan kita.  Aduh, biadabnya tulisan dalam Twitter ini!

Saya mengajak semua berfikir dengan mendalam betapa tidak patutnya kata-kata dalam Twitter itu diungkapkan.  Saya menyeru agar beliau insaf.  Dan saya juga menyeru orang-orang yang membela beliau insaf.

ALLAH Maha Pemberi Maaf

Saya beranggapan bahawa tentunya beliau si wartawan muda itu kini telah insaf dan sedar betapa kata-kata beliau itu merupakan suatu musibah yang besar.  Keinsafan beliau tentunya datang asbab dari beberapa tindakan ummat Islam yang tidak puas hati dengan kata-kata yang menghina Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam itu.  Bayangkan jika tiada apa-apa respon dari ummat Islam, tentu Hamzah Kashghari tidak terfikir untuk insaf.  Bahkan mungkin akan mewujudkan suatu tindakan yang lebih berani dari beliau atau orang lain untuk menghina insan yang mulia ini, iaitu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

Sebagaimana saya dan semua kita biasa berbuat silap dan melampaui batas, begitu juga dengan si Hamzah ini.  Dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah dia kembali bertaubat dan insaf terhadap perbuatan salahnya itu.  Dan ALLAH Maha Pemberi Maaf lagi Maha Penyayang.  ALLAH tidak peduli besar mana pun dosa hamba-hambaNYA, selagi bertaubat, insyaALLAH ALLAH terima dan suka memberikan keampunan.  Saya seru juga buat orang-orang yang simpati dan membela beliau agar turut insaf dan bertaubat.

Dan juga saya seru agar para pemimpin atau tokoh yang pernah menghina Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dan juga hukum-hukum ALLAH yang lain dengan cara yang lebih teruk atau lebih halus, agar segera bertaubat.  Jika tidak, tunggulah keputusan dari ALLAH!!!  Ingat, ALLAH Maha Pembalas dan Keras Memberi Balasan!!!

Sepanjang zaman ada sahaja usaha manusia yang mahu menjatuhkan kredibiliti Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.  Sungguh, ia tidak langsung terjejas kerana ALLAH melindungi kredibiliti kekasihNYA itu.  Semoga dengan berbakinya rasa prihatin pada ummat Islam dalam isu-isu seperti ini, ia akan menyatukan semua ummat Islam, insyaALLAH.

Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.

 

Shahmuzir Nordzahir
13 Februari 2012

 

*Dipetik dari:  http://muzir.wordpress.com/2012/02/13/jawapan-kepada-isi-twitter-yang-menghina-rasulullah-saw/