Tarikh Keputusan: 1 Dec, 1986
Huraian Tajuk/Isu: Kedudukan Kassim b. Ahmad, Pengarang Buku 'Hadis Satu Penilaian Semula'.
Keputusan:
i) Jawatankuasa Syariah bersidang pada 3hb. Julai 1986 telah mengeluarkan fatwa iaitu orang-orang yang tidak mempercayai hadis hukumnya terkeluar daripada Islam dan tindakan awal pihak Majlis Agama Islam ialah mengeluarkan surat pekeliling kepada masjid-masjid di seluruh Negeri Pulau Pinang memberitahu kedudukan orang-orang yang tidak mempercayai hadis.
ii) Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang akan menghantar seorang pegawai agama untuk menemui dan berbincang dengan Saudara Kassim Ahmad.
Status Penwartaan: Tidak Diwartakan
Negeri/Group: Pulau Pinang
Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/kedudukan-kassim-b-ahmad-0
Tarikh Keputusan: 3 Feb, 1996
Huraian Tajuk/Isu:
Fatwa berikut yang dibuat oleh Mufti Negeri di bawah subseksyen 36 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 39 (6) Enakmen itu adalah disiarkan menurut subseksyen 36(2) Enakmen itu:
Keputusan:
A. Bahawa:
(a) Buku-buku yang bertajuk:
(i) 'Hadis Satu Penilaian Semula' dan 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik' yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(ii) 'Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu dan Hadis Di Dalam Al-Quran' yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(iii) 'Bacaan' yang ditulis oleh Othman Ali;
(iv) 'The Computer Speaks God"s Message To The World' yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa; dan
(b) Risalah 'Iqra' terbitan Jemaah Al-Quran Malaysia;
Adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan Akidah, Syariah dan Akhlak Islam. Ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah tersebut antara lain, menolak hadis sahih (iaitu hadis yang disahkan bersumber daripada Rasulullah s.a.w.) sebagai sumber Akidah dan Perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah s.a.w. dan menghina Al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat Al-Quran.
B. Bahawa orang atau orang-orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah yang disebut dalam subperenggan (A)(a) dan (b) adalah sesat dan bertentangan dengan Akidah, Syariah dan Akhlak Islam.
C. Oleh yang demikian:
(1) mana-mana orang atau orang-orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku 'Hadis Satu Penilaian Semula', 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik', 'Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu - Hadis Di Dalam Al-Quran', 'Bacaan', 'The Computer Speaks God"s Message To The World' dan risalah 'Iqra' ADALAH MURTAD.
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang:
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan, berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah tersebut;
(b) mencetak, menerbit, memiliki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan buku-buku buku 'Hadis Satu Penilaian Semula', 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik', 'Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu - Hadis Di Dalam Al-Quran', 'Bacaan', 'The Computer Speaks God"s Message To The World' dan risalah 'Iqra' atau mana-mana bahagianya, termasuk:
(i) apa-apa bentuk, versi atau variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku dan risalah itu; pada apa-apa bahan, samada bahan cetak atau media elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media;
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana kumpulan yang tersebut dalam subperenggan C (1) atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian.
(d) menjalankan sebarang kegiatan yang berkaitan dengan pengajaran, penyebaran, membantu ke arah penyebaran ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman ini.'
Status Penwartaan: Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 4 Jul, 1996
Nombor Rujukan: M.U.I.Phg. 12/46
Akta/Enakmen: Enakmen 3/91
Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-mengenai-kumpulan-anti-hadis-0