JH-ASAS- 009 - Mendalami istilah SANAD

Primary tabs

Dua bahagian utama bagi sesebuah hadith ialah SANAD dan MATAN. Dalam artikel sebelum ini, telah dihuraikan maksud sanad dan matan. Dalam artikel kali ini, kita ingin melihat dengan lebih mendalam tentang sanad yang menghubungkan seseorang muhaddith/ahli hadith dengan teks hadith yang diriwayatkannya. Kita akan mengambil satu contoh daripada sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam bukunya al-Jami’ al-Sahih atau lebih popular dengan nama Sahih al-Bukhari.

Imam al-Bukhari telah menyebut di dalam bukunya hadith berikut:

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ فُضَيْلٍ حَدَّثَنَا عُمَارَةُ بْنُ الْقَعْقَاعِ عَنْ أَبِى زُرْعَةَ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - « كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ، ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ ، حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ »

Sebelum kita melihat dengan lebih lanjut kepada sanad hadith (diwarnakan dengan warna merah) ini, elok kita lihat terjemahan teks/matan hadith (diwarnakan dengan warna hijau) tersebut agar kita mendapat manfaat. Maksud hadith tersebut ialah:

‘Dua perkataan, ringan pada lidah, berat pada timbangan amalan (di akhirat), dicintai oleh al-Rahman (nama Allah SWT) – سبحان الله وبحمده dan سبحان الله العظيم . .

Sekarang, mari kita lihat dengan lebih teliti terhadap sanad hadith ini yang telah dinukilkan oleh Imam al-Bukhari.

1- Imam al-Bukhari memulakan sanad ini dengan menyebut ÍÏËäÇ yang membawa maksud ‘telah memberitahu kepada kami’ lalu diikuti dengan nama Qutaibah Bin Sa’id. Ini membawa beberapa makna: Pertama, Qutaibah ialah guru kepada al-Bukhari dalam meriwayatkan hadith. Kedua, hadith ini telah diberitahu oleh Qutaibah kepada al-Bukhari dengan sanad yang akan disebutkan seterusnya. Ketiga, al-Bukhari mendengar dan mengambil hadith ini secara langsung dari Qutaibah kerana beliau menggunakan perkataan ÍÏËäÇ . Siapa Qutaibah Bin Sa’id? Beliau ialah salah seorang alim hadith dan periwayat terkemuka dalam kalangan ahli hadith. Merupakan salah seorang ahli hadith yang diiktiraf ilmu dan akhlaknya oleh semua pengkaji hadith zaman berzaman. Beliau meninggal pada tahun 240 Hijrah. Seperkara lagi yang berkaitan hadith ini ialah - al-Bukhari juga meriwayatkan hadith ini melalui periwayat lain selain Qutaibah iaitu Zuhair Bin Harb dan Ahmad Bin Isykab. Kedua-dua mereka juga mengambil hadith ini daripada periwayat seterusnya iaitu Muhammad Bin Fudhail.

2- Seterusnya sanad ini disambung dengan nama Muhammad Bin Fudhail. Ini bermaksud Qutaibah (periwayat sebelumnya) mengambil hadith ini daripada Muhammad Bin Fudhail. Muhammad adalah salah seorang periwayat terkemuka dan terkenal pada zamannya. Beliau meninggal pada 195 Hijrah.

3- Periwayat seterusnya dalam sanad ini ialah Umarah Bin al-Qa’qa’. Beliau merupakan periwayat yang berasal dari Kufah, Iraq dan terkenal pada zamannya.

4- Abu Zur’ah pula merupakan seorang tabi’i. Istilah tabi’I atau tabi’in merujuk kepada generasi yang sempat bertemu dengan para sahabat tetapi tidak sempat bertemu Rasulullah SAW. Ini bermakna beliau mengambil hadith ini daripada Abu Hurairah kerana beliau sempat bertemu dengan para sahabat termasuklah Abu Hurairah, Ali Bin Abu Tolib, Abdullah Bin Amr dan lain-lain lagi. Beliau juga merupakan cucu kepada seorang sahabat Nabi SAW iaitu Jarir Bin Abdullah dan beliau sempat meriwayatkan hadith daripada datuknya itu.

5- Manakala sahabat yang mendengar hadith ini daripada Rasulullah SAW pula ialah seorang sahabat yang amat dikenali ramai iaitu Abu Hurairah. Tanggungjawab menyebarkan hadith telah dijalankan penuh amanah oleh beliau dan ini terbukti melalui hadith ini dan juga hadith-hadith yang lain yang diriwayatkan melalui beliau.

- Maka melalui hadith ini dapat kita fahami bagaimana al-Bukhari (dan imam-imam hadith yang lain) merantau dan mengembara mencari guru-guru dari kalangan ahli hadith lalu mencatat hadith tersebut secara lengkap dengan sanad serta matannya. Ini hanyalah satu daripada beribu hadith yang dicatat oleh al-Bukhari.

- Maka setelah beliau menemui hadith ini, beliau telah memuatkannya di dalam bukunya yang kita kenali sebagai Sahih al-Bukhari. Maka al-Bukhari mencatatkan dengan lengkap dan amanah hadith ini berserta sanadnya agar pembacanya tahu dari manakah asal-usul hadith ini.

- Dalam proses mencatat hadith ini juga, al-Bukhari telah melakukan penapisan dan kajian dalam masa yang sama. Bermula dengan pemilihan Qutaibah Bin Sa’id sebagai periwayat, sehinggalah kepada nama-nama yang disebutkan di dalam sanad tersebut, al-Bukhari telah memastikan bahawa sanad ini benar-benar tepat dan tidak ada sebarang kesilapan. Ini membawa maksud al-Bukhari bukan hanya seorang pencatat, tetapi beliau mengkaji dan meneliti apa yang dicatatnya. Oleh itu ulama sepanjang zaman mendapati buku Sahih al-Bukhari sebagai buku terbaik yang mengumpulkan hadith-hadith Rasulullah SAW.

- Sejak buku Sahih al-Bukhari ditulis, para ulama telah memelihara dan menyebarkan buku ini sehinggalah kita pada hari ini dapat menatap hadith ini berserta sanad dan matannya seperti yang dicatat oleh al-Bukhari yang meninggal pada tahun 256 Hijrah.

Diharapkan penjelasan ringkas ini dapat memberikan gambaran bagaimana hadith-hadith Rasulullah SAW dipelihara dan sampai kepada kita pada zaman ini. Kita seharusnya yakin dengan kecekapan, ketelitian dan kesungguhan para ulama hadith sepanjang zaman bermula daripada para sahabat, tabi’in dan seterusnya dalam memelihara dan menyebarkan hadith sehingga dapat diwariskan kepada generasi kita pada hari ini.

Penjelasan ringkas ini juga diharapkan dapat memberikan kefahaman tambahan terhadap maksud istilah SANAD dan MATAN hadith.

 

alitantawi