JH-MANHAJ-003- Kenali Sumber Utama Buku-Buku Mustolah al-Hadith

Primary tabs

Ramai pengkaji hadith atau penuntut ilmu hadith yang suka membaca buku-buku Mustolah al-Hadith. Namun saya merasakan (berdasarkan apa yang saya temui) bahawa kebanyakan mereka suka membaca buku-buku yang ringkas, padat dan moden yang dianggap sebagai ringkasan terhadap buku-buku terdahulu.

Sebahagian yang lain pula memang suka membaca buku-buku terdahulu. Namun begitu, kita dapati terkadang mereka suka membaca buku-buku yang ditulis oleh ulama kurun kesembilan, kesepuluh dan seterusnya. Buku-buku seperti Nukhbat al-Fikar dan Nuzhat al-Nazor karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Mugith karya al-Sakhawi atau Tadrib al-Rawi karya al-Suyuthi seringkali meniti di bibir mereka.

Seeloknya kita mengenali buku-buku utama Mustolah al-Hadith agar kita tahu kedudukan buku-buku tersebut – sama ada kedudukan dari segi terdahulu atau kemudian, atau kedudukan dari segi buku yang utama atau yang ringkas dan sebagainya.

Sekiranya anda salah seorang yang memang meminati dan menceburi bidang hadith, saya ingin anda bertanya kepada diri anda: Pernahkah anda membuka atau membaca buku-buku Mustolah al-Hadith yang awal seperti Ma’rifat Ulum al-Hadith karya al-Hakim atau al-Kifayah Fi Ilm al-Riwayah karya al-Khatib al-Baghdadi?.

Saya ingin menegaskan bahawa kita PERLU membuka kembali buku-buku Mustolah al-Hadith yang awal kerana beberapa sebab, antaranya ialah:

Pertama, kerana buku-buku Mustolah al-Hadith yang terkemudian tidak dapat lari daripada mengambil maklumat asalnya daripada buku-buku terdahulu. Kenapa kita tinggalkan buku asal dan kita berpada hanya dengan buku yang menukilkan sebahagian maklumat asal tadi?

Kedua, kerana buku-buku Mustolah al-Hadith yang terdahulu lebih dekat dengan zaman kajian hadith yang awal. Maka ia dianggap lebih tepat dalam menghuraikan bagaimana kajian hadith itu berlaku menurut pemerhatian dan kajian penulis.

Ketiga, kerana buku-buku Mustolah al-Hadith yang terkemudian didapati mengubah beberapa sudut kajian Mustolah yang tidak mencerminkan 100 peratus Mustolah al-Hadith yang terdahulu. Maka untuk melihat dan mengenal pasti perbezaan itu, kita perlu membaca kedua-duanya – buku awal dan buku kemudian.

Mungkin juga ada di antara pencinta ilmu hadith tidak sedar atau terlupa bahawa buku-buku Mustolah al-Hadith adalah satu bentuk ’penceritaan semula’ tentang cara dan teknik kajian hadith ulama terdahulu dalam mengkaji hadith. Ia bukan kaedah yang muncul sebelum daripada kajian, tetapi ia adalah kaedah yang telah diamalkan dan digunakan oleh salaf bermula daripada para sahabat, tabi’in dan seterusnya untuk memastikan bahawa hadith terpelihara tanpa sebarang pengurangan atau penambahan. Maka adalah penting untuk mengaitkan antara teori dan praktikal, tidak semata-semata mempelajari buku Mustolah al-Hadith tanpa melihat sendiri bagaimana kajian hadith dibuat oleh ulama. Ini menuntut pelajar hadith agar membaca pelbagai jenis buku dalam bidang hadith dan mengaitkannya dengan teori-teori dan kaedah dalam Mustolah al-Hadith.

Maka cara yang paling baik untuk mendapatkan maklumat yang paling hampir dengan pengamalan kajian hadith oleh ulama salaf ialah – membaca buku-buku yang menjadi sumber Mustolah al-Hadith yang terawal dan mempelajarinya agar dapat diketahui bagaimana ia diaplikasikan. Seterusnya barulah ditambah dengan mempelajari buku-buku Mustolah al-Hadith yang terkemudian dan yang diringkaskan. Seterusnya ditambah pula dan dimantapkan lagi dengan pembacaan buku-buku Mustolah al-Hadith moden yang dianggap sebagai pemudah cara dan huraian semasa bagi ilmu ini.

Untuk memudahkan para pencinta ilmu hadith, saya akan cuba mengetengahkan buku-buku yang menjadi sumber awal daripada penulis terdahulu dalam bidang Mustolah al-Hadith yang dicadangkan untuk dibaca dan dipelajari.

BUKU-BUKU CADANGAN

Al-Risalah – ÇáÑÓÇáÉ

Penulis: Imam al-Syafie (204H)

Buku ini walaupun dikenali ramai sebagai buku asas Usul Fiqh, namun di dalamnya terselit perbincangan yang mantap tentang Usul Hadith atau Mustolah al-Hadith. Kehebatan penulisnya yang merupakan seorang imam dalam fiqh dan hadith menjadikannya sebagai salah satu buku utama dalam kajian hadith dan fiqh secara teori dan amali.

Al-Tamyiiz – ÇáÊãííÒ

Penulis: Imam Muslim (261H)

Buku ini merupakan antara buku penting dalam mengetahui ketelitian ulama salaf menapis hadith. Imam Muslim mengarang buku ini untuk memperjelaskan lagi kehebatan ilmu kajian hadith yang adakalanya dianggap sebagai ilmu yang tidak jelas atau tidak mempunyai kaedah. Di dalam buku ini, beliau memuatkan kaedah berserta contoh praktikal dan ini amat penting untuk pengkaji hadith.

Pendahuluan Sahih Muslim

Penulis: Imam Muslim (261H)

Walaupun pendahuluan Sahih Muslim agak ringkas, namun di dalamnya terdapat pelbagai maklumat yang berharga untuk diketahui oleh setiap pelajar dan pengkaji hadith masa kini. Sebagai contoh, di dalamnya terdapat penjelasan tentang maksud hadith ‘munkar’ dan juga tahap penerimaan periwayat.

Al-‘Ilal al-Saghir – ÇáÚáá ÇáÕÛíÑ

Penulis: Imam al-Tirmidzi (279H)

Buku ini merupakan penutup atau penghujung bagi buku al-Tirmidzi yang terkenal iaitu Jami’ al-Tirmidzi atau dikenali juga dengan nama Sunan al-Tirmidzi. Buku yang ringkas ini menceritakan tentang kajian hadith secara umum termasuk beberapa istilah yang digunakan beliau dalam bukunya al-Jami’. Buku ini juga telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Ibn Rajab al-Hanbali (795H) dan dicetak dengan nama Syarh ‘Ilal al-Tirmidzi.

Ma’rifat ’Ulum al-Hadith – ãÚÑÝÉ Úáæã ÇáÍÏíË

Penulis: al-Hakim (405H)

Buku ini merupakan himpunan kaedah-kaedah berserta contoh kajian ulama hadith salaf. Al-Hakim sendiri di dalam pendahuluan buku ini menyatakan bahawa beliau ingin mengumpulkan kajian ulama terdahulu agar dapat diketahui oleh umat Islam pada zamannya yang telah mula jauh daripada perkara tersebut. Pembahagiannya dan contoh-contoh yang dikemukakan itu menjadikan buku ini amat praktikal bagi pembacanya.

Al-Kifayah Fi ‘Ilm al-Riwayah – ÇáßÝÇíÉ Ýí Úáã ÇáÑæÇíÉ

Penulis: al-Khatib al-Baghdadi (463H)

Buku ini ditulis oleh al-Khatib al-Baghdadi dengan tujuan yang hampir sama dengan al-Hakim seperti yang dijelaskan sendiri di dalam pendahuluan bukunya ini. Buku ini amat diberikan perhatian serta banyak dinukilkan maklumatnya oleh penulis-penulis selepas beliau.

Sekian dulu untuk kali ini.

æÇááå ÃÚáã

 

alitantawi