KEPENTINGAN KAJIAN HADITH DI ATAS MANHAJ ULAMA TERDAHULU

Primary tabs

Kajian hadith melalui peringkat demi peringkat sejak zaman para sahabat sehinggalah ke zaman kita pada hari ini. Bentuk kajian di setiap zaman juga adalah berbeza mengikut keadaan dan kemampuan pengkaji. Ditambah pula dengan wujudnya sebab-sebab sampingan yang membantu kajian seperti kemajuan dalam penulisan dan teknik pemeliharaan hadith.

Di zaman para sahabat, tidak dinafikan bahawa terdapat kebarangkalian yang terlalu sedikit untuk wujudnya kesilapan sama ada sengaja atau tidak dalam periwayatan hadith. Namun, zaman demi zaman berlalu sehinggalah berakhirnya zaman para sahabat.

Pengkajian hadith untuk menentukan kesahihannya atau kedhaifannya berkembang pesat pada sekitar kurun ke 2 dan 3 hijrah. Di zaman itu masyarakat Islam mula mengenali tokoh-tokoh pengkaji hadith terkenal yang menjadi tempat rujukan dalam hadith. Ibn Rajab al-Hanbali (795H) meringkaskan perkembangan ini dengan katanya di dalam buku Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam (huraian hadith no.27): ‘Walau apa sekalipun halnya, pakar-pakar pengkaji hadith yang tahu tentang kecacatan hadith adalah individu-individu dalam kalangan ahli hadith yang amat sedikit bilangannya. Di antara yang paling awal dikenali dengan kritikan hadith ialah Ibn Sirin. Kemudian ia diwarisi oleh Ayyub al-Sakhtiyani. Ilmu itu diambil oleh Syu’bah (Ibn al-Hajjaj) dan diwarisi daripada Syu’bah oleh Yahya al-Qatthan dan Ibn Mahdi (Abd. Rahman Ibn Mahdi). Ia diwarisi daripada mereka berdua oleh Ahmad (Ibn Hanbal), Ali Ibn al-Madini dan Ibn Ma’in. Ia diwarisi daripada mereka berdua oleh ulama-ulama seperti al-Bukhari, Abu Daud, Abu Zur’ah dan Abu Hatim’.

Dr. Basyar Awwad Ma’ruf pula menyatakan di dalam pendahuluan kajiannya terhadap al-Jami’ al-Kabir karya al-Tirmidzi : ‘Maka, ketika itu tidak boleh disamakan di antara hukum para pakar hadith terdahulu terhadap hadith seperti: Ibn al-Madini, Ibn Ma’in, Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Zur’ah, Abu Hatim, al-Tirmidzi, Abu Daud, al-Nasaai dengan hukum para ulama terkemudian yang tidak sehebat mereka seperti Ibn Hibban, al-Hakim, al-Baihaqi, al-Mundziri, al-Nawawi, al-‘Iraqi, al-Haithami, Ibn Hajar, al-Sakhawi, al-Suyuti dan lain-lain lagi’. Begitu juga dengan muhaddith moden yang kita kenali seperti al-Albani, Syuaib al-Arnaouth, Abd. Qadir al-Arnaouth, Ali al-Halabi, Salim al-Hilali, Abd. Fattah Abu Ghuddah dan lain-lain lagi. Kajian mereka tidak mungkin boleh dianggap menyamai kekuatan kajian para ulama terdahulu.

Kenapa mereka didahulukan dan kenapa kajian mereka dianggap amat penting? Mungkin beberapa fakta ringkas berikut boleh menampakkan kepada kita sejauh mana pentingnya kajian ulama awal terutama yang hidup sekitar kurun kedua dan ketiga hijrah.

1- Mereka hidup di zaman kegemilangan periwayatan hadith. Hadith-hadith diriwayatkan dengan penuh ketelitian dan menjadi mudah untuk mereka mengumpulkan hadith-hadith yang ada pada periwayat-periwayat hadith di zaman itu. Ini memberi gambaran tentang kemampuan mereka untuk mengumpulkan hadith-hadith yang diriwayatkan secara langsung dan bukannya sekadar melihat buku tanpa melihat periwayat tersebut.

2- Kemampuan mereka untuk menghafaz dan mencatatkan beratus ribu sanad dan matan hadith. Ini penting untuk memelihara sanad-sanad itu sekaligus boleh membuat kajian dan perbandingan antara sanad yang benar dengan sanad yang mempunyai kesilapan atau periwayat yang tidak layak.

3- Zaman mereka hidup adalah hampir dengan zaman golongan awal periwayat hadith. Ia penting kerana mereka dapat melihat sejauh mana hadith-hadith diamalkan dan diterima oleh masyarakat terutama para ulama di zaman itu. Ini perlu untuk menyokong atau menolak sesuatu hadith berdasarkan amalan para ulama di zaman itu. Sekiranya mereka terjumpa hadith yang menyalahi amalan para periwayat itu sendiri, maka dengan sendirinya mereka tahu bahawa ia adalah hadith yang tidak sahih.

4- Kegigihan mereka merantau ke pelbagai tempat samada jauh atau dekat demi mencari periwayat hadith untuk mencatat hadith-hadithnya. Kebiasaannya, seseorang pakar hadith tidak akan meninggalkan kampung halamannya sehinggalah semua hadith di kampungnya itu telah dicatat dan dihafaz. Setelah selesai, barulah dia akan meneruskan pencarian hadith daripada bandar dan tempat lain. Ini amat membantu kerana hadith terdapat di pelbagai tempat. Lihatlah al-Bukhari sebagai contoh, keluar daripada kampung halamannya dan merantau ke pelbagai tempat untuk mengumpulkan hadith. Tidak hairanlah kenapa beliau merupakan salah seorang pakar hadith yang terkemuka. Sudah tentu situasi mereka berbeza dengan ulama terkemudian walaupun kesemuanya gigih mempelajari hadith. Kegigihan mengembara untuk mencari hadith daripada periwayat sudah tentu tidak dapat ditandingi oleh kegigihan mereka yang hanya mengembara dalam buku-buku untuk mencari hadith yang telah sedia dikumpulkan.

5- Cara mereka mengkaji hadith yang wujud pada zaman itu amat teliti iaitu dengan melihat kepada pelbagai aspek dan tidak hanya kepada sanad semata-mata. Dengan kemampuan yang ada, mereka tidak akan mudah menerima sesuatu hadith hanya kerana wujudnya sanad yang mengandungi periwayat yang thiqah. Begitu juga mereka tidak akan mudah menolak hadith hanya kerana ia diriwayatkan oleh orang yang dhaif. Oleh itu, kita perlu memahami ketelitian mereka yang mengkritik pelbagai aspek untuk sampai kepada keputusan samada hadith itu sahih atau tidak.

6- Pemilihan hadith pada mereka adalah salah satu perkara yang amat penting. Oleh itu, kita melihat al-Bukhari menghafaz beratus ribu sanad, tetapi sanad yang dimasukkan ke dalam Sahih al-Bukhari tidak sampai sepuluh ribu. Begitu juga Ahmad Ibn Hanbal yang menghafaz sejuta sanad, tetapi beliau hanya memasukkan sejumlah hampir 28000 sahaja di dalam bukunya al-Musnad. Ini bermakna mereka tidak menerima semua hadith hanya kerana sanadnya sahih pada zahirnya. Mereka akan memilih hadith yang terbaik daripada seseorang periwayat walaupun periwayat itu mempunyai sedikit kelemahan.

7- Kajian ulama terdahulu juga penting kerana daripada kajian merekalah munculnya buku-buku Mustolah al-Hadith seawal buku al-Muhaddith al-Fasil karya al-Ramahurmuzi. Ini bermakna, buku Mustolah al-Hadith datang selepas zaman kajian mereka. Sudah pasti kajian mereka perlu didahulukan sebelum buku Mustolah al-Hadith. Ditambah pula dengan beberapa kesimpulan yang kurang tepat yang ada di dalam kebanyakan penulis buku-buku Mustolah al-Hadith. Maka kajian ulama silamlah yang menjadi penentu dalam menentukan kaedah Mustolah al-Hadith yang manakah paling tepat, bukan sebaliknya.

Perkara-perkara di atas hanyalah sebahagian daripada sebab-sebab yang menuntut kita mengutamakan kajian ulama silam sekitar kurun 2 dan 3 Hijrah. Apakah pula kesimpulan yang ingin dibuat daripada apa yang telah ditulis di atas? Mungkin beberapa perkara di bawah dapat memberikan sedikit gambaran:

1- Kajian terhadap sesuatu hadith perlu mengutamakan kajian yang telah dibuat oleh ahli hadith silam. Inilah yang dinamakan sebagai Manhaj al-Mutaqaddimin.

2- Kajian ulama silam mestilah menjadi penentu kepada ilmu Mustolah al-Hadith. Kaedah-kaedah yang disimpulkan oleh penulis buku-buku Mustolah al-Hadith tidak dikira tepat sehinggalah ia disokong oleh bukti kajian daripada ulama silam.

3- Pendapat para ulama silam terhadap sesuatu hadith (samada mengsahihkan atau mendhaifkan) perlu diambil kira dengan sepenuhnya dan tidak boleh diabaikan kerana mereka lebih tahu.

4- Sekiranya berlaku kesepakatan di antara ramai ulama silam terhadap sesuatu hadith, ia tidak boleh lagi digugat oleh ulama terkemudian, apatahlagi ulama moden yang sama sekali tidak menyamai tahap keilmuan para ulama terdahulu.

5- Sekiranya berlaku perselisihan pendapat, pendapat ulama yang paling awal dan paling hebat perlu diutamakan. Kita boleh memilih pendapat terbaik namun dengan hanya menggunakan kaedah dan cara kajian mereka, bukan dengan sesuka hati menurut kaedah baru.

6- Kajian ulama silam bukan lahir daripada kajian singkat atau ilmu yang cetek. Tetapi ia lahir daripada kajian bertahun-tahun, hafazan terhadap beribu-ribu sanad dan matan, berguru dengan berpuluh malah beratus guru dalam hadith dan lain-lain lagi. Maka apabila Ahmad Ibn Hanbal menyifatkan sesuatu hadith itu sebagai : tidak sahih, ia bukanlah seperti kes seorang ulama hadith moden ditanya lalu dia menjawab dengan jawapan yang sama. Ia sama sekali berbeza kerana Ahmad Ibn Hanbal ‘hidup’ bersama kajian dan periwayat hadith sedangkan ulama moden ‘hidup’ bersama buku dan tulisan ulama hadith semata-mata. Anda pasti dapat merasai perbezaan di antara mereka berdua.

7- Kita juga boleh membuat kesimpulan bahawa ulama terdahulu di sini bukanlah semata-mata ulama ‘sebelum’ kita. Bahkan ia khusus kepada ulama yang hidup sekitar kurun kedua dan ketiga Hijrah atau pun ulama yang hidup sebelum tahun 300 Hijrah. Maka Ibn Hajar, al-Zahabi, al-Sakhawi sehinggalah kepada ulama moden, kesemuanya adalah digolongkan dengan istilah ulama terkemudian (al-Mutaakhirun).

8- Di sini kita tidak melihat semata-mata kepada tempoh masa atau zaman. Tetapi kita melihat kepada ciri-ciri kajian pada zaman itu. Maka mungkin sekali wujud ulama yang hidup selepas mereka tetapi mengamalkan manhaj atau metodologi kajian mereka, maka mereka juga kita anggap sebagai ulama yang berada di bawah Manhaj al-Mutaqaddimin. Contohnya seperti Ibn Rajab yang tidak berada di zaman ulama terdahulu, namun dia amat kuat menyokong manhaj kajian mereka dan mempertahankannya di dalam buku-bukunya seperti buku Syarh ‘Ilal al-Tirmidzi.

Contoh Perbezaan Manhaj al-Mutaqaddimin dan ulama selepas mereka

Di sini saya nukilkan satu contoh kajian terhadap hadith yang memberikan gambaran jelas tentang perbezaan di antara ketelitian kajian ulama terdahulu dibandingkan dengan ulama selepas mereka.

Lafaz Hadith:

ãóäú ÐóÑóÚóåõ ÇáúÞóíúÁõ ÝóáóíúÓó Úóáóíúåö ÞóÖóÇÁñ æóãóäö ÇÓúÊóÞóÇÁó ÝóáúíóÞúÖö

 

Maksud Hadith:

Sesiapa yang muntah dengan tidak sengaja, maka dia tidak perlu mengganti (puasa) dan sesiapa yang sengaja memuntahkan dirinya maka hendaklah dia menggantinya.

Takhrij Hadith:

Diriwayatkan antaranya oleh Abu Daud (2380) al-Tirmidzi (720), Ibn Majah (1676), Ibn Hibban (3518), al-Hakim dan lain-lain lagi.

Penilaian sebahagian ulama terkemudian (bukan al-Mutaqaddimun):

Ibn Hibban – sahih. (Sahih Ibn Hibban)

Al-Hakim – sahih di atas syarat al-Bukhari dan Muslim. (Al-Mustadrak)

Al-Albani – sahih (Takhrij Ibn Khuzaimah)

Syuaib al-Arnaouth – sahih (Tahqiq Musnad Ahmad)

(Mereka menilai hadith ini sebagai sahih kerana semua periwayatnya adalah thiqah (dipercayai dalam hadith) dan tidak ada masalah yang jelas menjatuhkannya pada kedudukan tidak sahih).

Penilaian sebahagian ulama terdahulu:

Ahmad – ia bukan hadith daripada Nabi. (Soaalat Abi Daud)

Al-Bukhari – tidak sahih. (Al-Tarikh al-Kabir) dengan penjelasan bahawa Hisyam telah melakukan kesilapan.

Al-Tirmidzi – beliau menukilkan kata-kata al-Bukhari ‘ia bukan hadith daripada Nabi. (Al-Jami’ al-Kabir)

Al-Darimi – salah seorang periwayatnya (Hisyam Ibn Hassan) telah melakukan kesilapan padanya. (Musnad al-Darimi)

Al-Nasaai – ia adalah mauquf (Bukan hadith Rasulullah SAW) . (Al-Sunan al-Kubra)

(Mereka menjelaskan bahawa hadith itu pada asalnya bukan berbentuk ‘sabda Rasulullah SAW’. Kesilapan telah berlaku pada salah seorang periwayat yang berada di dalam rantai periwayat hadith tersebut iaitu Hisyam Ibn Hassan).

Dr. Mahir Yasin (Ketua Jabatan Hadith Universiti al-Anbar, Iraq) telah menyimpulkan perselisihan ini dalam tulisannya ‘Tabaayun Manhaj al-Mutaqaddimin wa Mutaakhirin Fi al-Tashih wa al-Ta’lil’ (Perbezaan di antara manhaj al-Mutaqaddimin dan al-Mutaakhirin dalam mengtashihkan hadith dan mendhaifkannya) : ‘Maka dengan ini, kajian yang mendhaifkan hadith ini oleh pakar-pakar ahli hadith dan di antara mereka seperti : Ahmad, al-Bukhari, al-Darimi, al-Nasaai – dan merekalah yang dianggap hebat daripada segi hafazan dan ketelitian – tidak langsung dapat ditambah atau digugat oleh pendapat ulama terkemudian yang menilainya sebagai sahih’.

Semoga apa yang ditulis ini menjadi permulaan dalam membina sikap terbaik terhadap kajian hadith para ulama dan membezakan di antara manhaj ulama terdahulu dan ulama terkemudian. Insya Allah, tulisan akan datang akan cuba membincangkan beberapa aspek perbezaan yang ada di antara beberapa kaedah Mustolah al-Hadith dan juga kajian yang dipraktikkan oleh ulama terdahulu.

Adlan Bin Abd. Aziz

alitantawi@yahoo.com

www.alitantawi.blogspot.com

0197105167